Isnin, September 19, 2011

PPSMI: Jangan sampai 'rumah siap pahat berbunyi'


PPSMI: Jangan sampai 'rumah siap pahat berbunyi'

SAYA tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut hasil kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berhubung isu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang bakal dimansuhkan sepenuhnya tahun hadapan.
Menurut Presidennya, Azwanddin Hamzah, berpandukan sejumlah responden mencakupi 15,000 ibu bapa di seluruh negara, beliau menyimpulkan bahawa 55 peratus responden mahukan kaedah PPSMI diteruskan dalam sistem pendidikan nasional.
Menurut beliau, kajian JMM yang bermula sejak April lalu berjaya mengesan kehendak respondan untuk melihat anak-anak cemerlang dalam subjek Sains dan Matematik jika diajar dalam bahasa Inggeris.
Begitu bersemangat JMM memperjuangkan isu PPSMI yang dilihat mampu menjana kecemerlangan anak bangsa. Di sebalik keghairahan mendepani isu yang telah sekian lama berlegar dalam dunia pendidikan nasional, ada beberapa perkara yang masih kurang jelas sewaktu kita berusaha menganalisis sekali gus mentafsir hasil kajian ini.
Pertama, menyatakan seluruh negara telah dijelajahi untuk mencari responden cukup meruntun saya melihat bukti kukuhnya. Apakah penggunaan istilah seluruh negara bermaksud JMM telah merentasi Laut China Selatan menyusuri Sabah dan Sarawak?
Berapa lurah, bukit dan sungai yang berjaya diredah untuk bertemu ibu bapa yang menghuni daerah pedalaman di negeri tersebut untuk mendapatkan pandangan dan isi hati mereka? Apakah jumlah 1,5000 responden satu angka yang realistik mewakili jutaan golongan ibu bapa di seluruh negara?
Persoalannya, JMM menyebut bahawa 84 peratus daripada 70 peratus responden yang dijejaki berada di luar bandar menyokong penuh PPSMI diteruskan. Dalam erti kata lain, ibu bapa di pedalaman amat faham dan prihatin dalam isu PPSMI yang bermula sejak 2003.
Walaupun sangsi, kita berharap kajian JMM ini telah sampai ke ceruk rantau pedalaman Sabah dan Sarawak untuk melihat sendiri unsur-unsur demografik yang dikatakan tidak sama sekali mempengaruhi aspirasi dan iltizam ibu bapa.
Secara jujurnya, isu pemansuhan PPSMI telah muktamad. Beberapa pendekatan drastik telah diambil oleh pihak kementerian, yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Terdapat beberapa program dan pelan pendidikan yang sedang dikaji dan bakal dilaksanakan. Maka itu, kita amat berharap agar JMM tidak seperti 'rumah siap, pahat baru berbunyi'.
Apakah JMM tidak sedar, sebelum 2003 pun, telah ratusan ribu pelajar Malaysia belajar di luar negara? Apakah hanya dengan PPSMI saja anak-anak Malaysia akan menjadi lebih mudah sampai ke destinasi 'menara gading' di luar negara?
Adalah juga menjadi persoalan yang amat menghantui fikiran apabila JMM membuat kesimpulan bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik memberi impak yang besar dalam suasana pengajaran dan pembelajaran serta mampu membawa pelajar ke dunia ilmu yang lebih jauh.
Sebenarnya JMM terlepas pandang untuk melihat kemajuan negara luar secara global. Negara China, Korea, Perancis, Jepun sebagai antara contoh, tidak pula menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi pendidikan nasional, namun mereka tetap menjadi antara negara maju dan mampu menguasai ekonomi di persada antarabangsa. Jati diri bangsa mereka tetap utuh dan tulen. Mereka membina kemajuan dan kekuatan bangsa dengan wacana dan budaya mereka sendiri.
JMM perlu melihat isu PPSMI ini secara rasional, telus, menyeluruh dan tidak berkepentingan semata-mata. Pendekatan berbaur tekanan secara teknikal seperti kajian yang dijalankan, di samping mewujudkan kekeliruan pentafsiran di kalangan ibu bapa, bukanlah jalan penyelesaian ke arah mencari hala tuju kecemerlangan bangsa dan negara. Mudah-mudahan bangsa Malaysia mampu dikenali dan dihormati kerana identitinya tersendiri dan bermartabat.
Berilah peluang kepada Kementerian Pelajaran menyusun program dan merombak semula sistem pendidikan nasional agar lebih sesuai, mempunyai natijah jangka panjang dan diterima oleh semua lapisan masyarakat. Polimek yang berpanjangan, sedang keputusan kerajaan telah diketahui, hanya akan merencatkan lagi usaha kerajaan yang telah berlangsung sekian lama.
Sumber : Utusan Malaysia 19-9-2011

Ahad, September 18, 2011

DASAR ORANG KURANG UPAYA

Dasar Orang Kurang Upaya PDF Print Emel

Pengenalan
Golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. Pendekatan berasaskan hak atau rights-based dan juga perlindungan wajar digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU.

Definisi
OKU adalah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat.

Pernyataan Dasar
Dasar OKU menjadi asas kesaksamaan hak dan peluang kepada OKU bagi penyertaan penuh dalam masyarakat. Dasar ini turut mengutamakan nilai hak kemanusian seperti kemuliaan, kehormatan dan kebebasan bagi membolehkan mereka hidup berdikari.

Objektif Dasar
Dasar OKU menetapkan empat objektif berikut:
1. Memberi pengiktirafan serta penerimaan prinsip bahawa OKU mempunyai hak dan peluang yang sama bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.
2. Memastikan OKU menikmati hak, peluang dan akses secara saksama di bawah undang-undang negara.
3. Menghapuskan diskriminasi terhadap seseorang atas sebab ketidakupayaannya dan.
4. Mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak OKU.

Strategi
Strategi di bawah Dasar OKU terbahagi kepada 15 bidang seperti berikut:
1. Advokasi
  • Meningkatkan kesedaran dan membentuk sikap positif di kalangan masyarakat terhadap OKU menerusi program yang berkesan.

2. Aksesibiliti
  • Memastikan penyediaan persekitaran bebas halangan (barrier-free) termasuk kemudahan di dalam dan luar bangunan, tempat kerja, kawasan perumahan serta ruang awam.
  • Meningkatkan penyediaan kemudahan pengangkutan awam yang mesra OKU dan
  • Menggalakkan penyediaan kemudahan serta akses kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

3. Kesihatan
  • Meningkatkan perkhidmatan kesihatan termasuk program pencegahan, pengesanan dan intervensi awal (primary care) dan
  • Meningkatkan perkhidmatan perubatan yang berkualiti kepada OKU (secondary and tertiary care)

4. Pemulihan
  • Meningkatkan keberkesanan serta memperluaskan program pemulihan sedia ada bagi OKU.
  • Mewujudkan program pemulihan baru bagi OKU selaras dengan perkembangan semasa.

5. Pendidikan
  • Meningkatkan akses OKU kepada pendidikan di semua peringkat, termasuk pendidikan sepanjang hayat.

6. Pekerjaan
  • Membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menggalakkan penggajian OKU dalam semua sektor pekerjaan.
  • Menggalakkan OKU bekerja sendiri (self-employed) dan berdikari.

7. Keselamatan Diri dan Perlindungan Sosial
  • Melindungi OKU dari segala bentuk eksploitasi, keganasan dan penderaan.
  • Memantapkan perkhidmatan dan kemudahan kepada OKU yang layak dan berkeperluan.

8. Perkhidmatan Sokongan
  • Memantapkan mekanisme perkhidmatan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan OKU.
  • Menggalakkan penghasilan dan penjualan alat-alat tiruan dan sokongan OKU yang mampu milik.

9. Sosial
  • Meningkatkan kemudahan dan menggalakkan penyertaan OKU dalam aktiviti sosial.

10. Pembangunan Sumber Manusia
 (i) Membangunkan kapasiti dan menyediakan sumber manusia terlatih serta mencukupi yang memberi perkhidmatan kepada OKU.
 (ii) Membangunkan keupayaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kepentingan OK.
(iii) Meningkatkan penyertaan OKU dalam proses perancangan dan membuat keputusan.

11. Penglibatan Masyarakat
  (i) Menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam program pembangunan OKU.
 (ii) Menjalin dan memperkukuhkan rangkaian kerjasama multisektor dan multidisiplin.
(iii) Menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat.
12. Penyelidikan dan Pembangunan
 (i) Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan mengenai OKU serta menyebar luas hasil penyelidikan untuk tindakan penambahbaikan.
(ii) Memantapkan mekanisme penyelarasan pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program-program OKU.

13. Perumahan
 (i) Menggalakkan reka bentuk universal dalam pembinaan rumah dan kawasan persekitaran.
(ii) Membuka peluang kepada OKU untuk memiliki rumah.

14. Kanak-kanak OKU
Mengutamakan kepentingan terbaik (best interest) untuk kanak-kanak kurang upaya dalam setiap program perkembangan, kemajuan dan pemerkasaan golongan OKU.
15. Wanita OKU
Mengutamakan kepentingan terbaik (best interest) untuk wanita kurang upaya dalam setiap program perkembangan, kemajuan dan pemerkasaan golongan OKU.

Penutup
Pihak Kerajaan amat prihatin terhadap golongan OKU dan penggubalan Dasar ini merupakan komitmen Kerajaan dalam usaha memastikan OKU mendapat kesaksamaan hak dan peluang bagi penyertaan penuh dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, pelaksanaan Dasar OKU memerlukan kerjasama yang bersepadu daripada semua pihak serta penglibatan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan serta pertubuhan bukan Kerajaan, ahli akademik, pakar perubatan, pekerja sosial, sukarelawan dan orang ramai.

YANG BAIK JADIKAN TELADAN

Yang baik di Singapura
Oleh Mior Kamarul Shahid

2011/09/11

PERTAMA, pada kira-kira jam 11 pagi Sabtu 3 September 2011, kami berbincang mengenai ke mana hendak bersiar-siar di sekitar Singapura. Pada hari kelima Aidilfitri itu kami tidak bercadang bertandang berhari raya ke rumah saudara mara atau kenalan di situ kerana sudah pun berbuat demikian sehari sebelumnya. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah malamnya, kami bercadang untuk bersiar-siar sepanjang hari. Di Singapura, Sabtu itu suasana hari raya begitu dirasakan. Ia adalah hari mereka berkunjung berhari raya dengan baju berwarna warni. Pada hari raya pertama 30 Ogos, Singapura hanya memberi cuti umum sehari dan keesokannya mereka sudah bekerja atau bersekolah semula. Oleh itu, hujung minggu itu adalah hari mereka berkunjung sesama sendiri.

Untuk memandu di Singapura, setiap kereta perlu mempunyai kad autopass untuk membolehkan mereka masuk ke kawasan tol, tempat meletak kereta di kompleks beli-belah dan kawasan yang perlu berbayar, tanpa sebarang masalah. Fungsi kad ini sama seperti Touch n Go di Malaysia. Jumlah wang dalam kad itu boleh ditambah di kedai tertentu.
Bagi orang luar, kad itu biasanya dibeli di kaunter khas sewaktu memasuki Singapura, sebaik selesai urusan pemeriksaan imigresen. Apabila meninggalkan Singapura nanti, jumlah wang yang ada pada kad itu akan ditolak berasaskan penggunaannya sama ada bayaran tol, meletak kereta dan sebagainya. Jika tiada kad itu, pemilik kenderaan dilarang keluar Singapura kecuali selepas membayar denda yang agak tinggi.
Ketika masuk ke Singapura, kami terlupa membeli kad itu. Selepas bertanya kepada beberapa orang, kami dinasihatkan supaya pergi ke pejabat Sistem Pengangkutan Darat di republik itu yang mengambil masa perjalanan kira-kira setengah jam dari Woodlands. Disebabkan hari itu Sabtu, pejabat berkenaan akan tutup pada jam 12 tengah hari. Disebabkan sudah 11.30 pagi, kami terpaksa mencuba nasib bergegas ke pejabat berkenaan bersama seorang saudara yang menunjuk arah jalan.

Satu syarat untuk mendapatkan kad itu ialah menunjukkan dokumen kereta sama ada salinan geran atau insurans. Kedua-duanya tiada. Selepas melalui beberapa lampu trafik dan memotong mengikut jalan pintas, kami tiba di kaunter pada jam 11.59 pagi dalam hujan renyai, hanya seminit sebelum waktu pejabat tutup.
Selepas memberitahu pegawai berbangsa Cina itu yang saya tidak mempunyai sebarang dokumen, dia berkata memadailah dengan cukai jalan. Cukai jalan terlekap di cermin kereta yang diletakkan secara gopoh gapah di luar pagar pejabat itu. Agak memeranjatkan saya, dengan tersenyum dia mengajak saya ke kereta sambil menutup kepalanya dengan surat khabar dan kemudian mencatat maklumat yang diperlukan untuk mengisi borang yang diperlukan.

Kemudian dia mengajak saya kembali ke pejabat dan menyiapkan kad autopass berkenaan. Pada jam 12.20 tengah hari, saya sudah memiliki kad itu dengan bayaran S$20, walaupun sudah melebihi tempoh waktu bekerja. Terfikir juga, bagaimana keadaan yang sama berlaku di Malaysia. Silap-silap, 15 minit sebelum waktu pejabat bekerja berakhir, pejabat sudah ditutup. Ini adalah satu contoh baik yang ditunjukkan oleh pegawai kerajaan republik itu. Sikap disiplin yang tinggi diterapkan pada setiap pegawai dan kakitangan bagi melambangkan semangat nasionalisme rakyat negara itu.
KEDUA, di Singapura, saya berpeluang menemui, Nadira, anak sindrom down. Walaupun anak istimewa, Nadira yang berusia 16 tahun, tiada bezanya dengan anak biasa lain di republik itu. Dia boleh membaca, menulis, mengira dan sebagainya seperti anak normal lain. Hanya wajahnya yang jelas menunjukkan dia anak sindrom down. Nadira boleh bercakap hampir sama seperti kanak-kanak lain, malah lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Di republik itu, kanak-kanak seperti Nadira tidak memerlukan bantuan sesiapa juga untuk ke sekolah atau ke tempat tertentu yang dia sudah biasa. Pentadbir sekolahnya tidak membenarkan Nadira datang ke sekolah ditemani atau dihantar oleh sesiapa juga, walaupun ibu bapa. Mereka juga dilarang membawa telefon bimbit kerana ia adalah peraturan sekolah. Jika ada pun, nama dan alat rumah diletakkan di poket beg sekolahnya. Sekolah mahu meyakinkan ibu bapa bahawa anak sindrom down boleh hidup sendiri.

Setiap hari bersekolah, pagi-pagi lagi Nadira keluar rumah seperti anak normal yang lain. Dari rumah pangsanya, dia menuju ke lif dan berjalan kaki ke stesen MRT bersendirian. Dia diajar menaiki tren MRT yang menuju ke arah sekolahnya. Dia turun tren dan berjalan ke sekolahnya dengan selamat setiap hari. Pada mulanya keluarganya bimbang melepaskan Nadira ke sekolah bersendirian tetapi lama kelamaan mereka sudah begitu yakin bahawa Nadira tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun. Cuma, pada suatu hari Nadira tidak pulang ke rumah pada waktu yang sepatutnya. Mengikut ceritanya, Nadira tertidur sewaktu berada dalam tren kerana keletihan.

Ini menyebabkan dia turun di stesen lain. Tetapi, sebenarnya, setiap anak sindrom down juga diajar bagaimana untuk pulang jika mereka tersesat. Bagi Nadira, dia diajar supaya tidak bertanya kepada lelaki. Dia diajar supaya meminta bantuan daripada wanita. Dia memberitahu yang dia tersesat dan meminta wanita itu menghantarnya ke rumah. Wanita itu menghantar Nadira pulang ke rumah dengan selamat kerana baginya itu satu tanggungjawab. Keadaan ini berbeza dengan keadaan di negara ini yang mana, ibu bapa tidak yakin melepaskan anak-anak seperti ini bebas seperti orang lain. Masyarakat juga tidak begitu prihatin terhadap anak seperti ini.
Sumber : Berita Minggu 18 September 2011

Selasa, September 06, 2011

HATI-HATI MENJAWAB SOALAN KBKK

Pelajar tidak dapat mengemukakan alasan atau pandangan secara waras apabila ditanya soalan berkaitan satu isu. Hal ini demikian kerana kecetekan akal akibat kurang membaca dan mengikuti perkembangan semasa negara. Contoh kecetekan pendapat tersebut :

Soalan : Cara membantu golongan nelayan.

1.  Nelayan kena turun ke laut awal pagi dan balik lambat sikit.
(Ada ke nelayan yang lambat turun ke laut dan balik awal ? )

2.  Nelayan menangkap ikan pada hari minggu (Ahad).
(Ada ke nelayan yang bercuti pada hari tertentu? )

3.  Nelayan harus menjaga sungai dengan bersih.
(Ada ke mana-mana nelayan yang mengotorkan sungai yang menjadi "periuk nasi" mereka?
(Kalau nelayan jaga sungai, ada ke mana-mana pihak nak beri upah?)

4.  Para nelayan harus dihantar ke sekolah agar reti membaca dan memahami situasi ekonomi.
( Ini satu penghinaan kepada golongan nelayan. Walaupun mereka tidak berpelajaran tinggi tetapi pengalaman mereka tidak dapat "dibeli" di sekolah.)

5.  Sentiasa bersikap maju ke hadapan.
( Ada ke golongan nelayan yang mahu mundur dalam kehidupannya? )

6.  Memberi pengetahuan yang lebih mendalam tentang laut.
( Apa maksud "lebih mendalam tentang laut" ?. Ombak besar ke, tukun ke? )

7.  Mengurangkan kadar bayaran cukai kepada nelayan.
( Ada ke golongan nelayan yang berpendapatan rendah membayar cukai pendapatan? Cukai yang dibayar memang ada dalam bentuk cukai tak langsung. Contoh: apabila membeli barang makanan, harganya termasuk cukai).

8.  Kerajaan hendaklah memandang serius dalam meningkatkan taraf hidup nelayan.
( Bila pulak kerajaan melupakan tanggungjawab untuk membela golongan nelayan bahkan ada skim pencen untuk golongan nelayan ).

Nasihat kepada pelajar :
1. Jangan "hentam keromo" sahaja apabila menjawab soalan bentuk ini.
2. Fikirkan logik cadangan yang dikemukakan.
3. Fikirkan sama ada cadangan diberi itu satu idea baharu atau sudah sedia dilaksanakan oleh kerajaan,
4. Jangan menyinggung perasaan suatu pihak walaupun tanpa niat.
5. Ambil peduli akan isu yang berlaku di sekeliling kita dengan cara membaca dan menonton televisyen.
6. Internet memberi banyak sumber maklumat yang terkini.

Isnin, September 05, 2011

KAMI MENITIPKAN BELASUNGKAWA


Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada Pn Norazrina Hj jaafar, balu kepada Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban ketika menjalankan tugas di Somalia. Secara kebetulan Norazrina ialah anak didik GPMS Cawangan Johor Bahru dan bersama-sama saya bergiat aktif dalam persatuan tersebut di sekitar tahun 1980-an dan 1990-an. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. AL FATIHAH untuk Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor.

TEMA : PELANCONGAN

CARA MENINGKATKAN BILANGAN KEDATANGAN PELANCONG KE MALAYSIA :
Daya tarikan sektor pelancongan di Malaysia ]

1. Perkhidmatan hospitaliti bertaraf antarabangsa
2. Infrastruktur pelancongan yang moden serta sistem pengangkutan yang selesa
3. Kaya dengan masyarakat majmuk ( kebudayaan, kesenian dan agama )
4. Makanan yang menyelerakan
5. Destinasi pelancongan yang menarik
6. Homestay
7. Ekopelancongan
8. Warisan sejarah
9. Pantai dan pulau yang indah
10. Pusat beli-belah yang moden.

FAEDAH MELANCONG DI DALAM NEGARA

1. Dapat mendalami pengetahuan tentang hal-ehwal negara kita.
2. Membantu perkembangan industri pelancongan tempatan
3. Boleh menjimatkan kos perbelanjaan
4. Mengurangkan pengaliran keluar wang negara
5. Mempertingkat rasa cinta akan negara
6. Keselamatan lebih terjamin di dalam negara

FAKTOR MENDORONG PELANCONGAN DOMESTIK

1. Peningkatan pendapatan isi rumah
2. Kualiti hidup yang lebih baik
3. Penawaran harga kompetitif oleh syarikat penerbangan tambang murah dan MAS
4. Pakej percutian domestik yang berpatutan
5. Pelaksanaan masa bekerja lima hari seminggu
6. Dapat berjimat cermat ekoran krisis kenaikan harga minyak

Sumber : Koleksi Rencana Umum 1 oleh Tn Hj Samat Buang.

Ahad, September 04, 2011

PERPADUAN NASIONAL : RUMAH SUDAH SIAP PAHAT MASIH BERBUNYI


Perpaduan Nasional: Rumah Sudah Siap Pahat Masih Berbunyi?
Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana lima siri siri ini cuba merungkai isu perpaduan yang masih menjadi polemik setelah hampir lebih lima dekad merdeka. Mengapa "Rumah Sudah Siap Pahatnya Masih Berbunyi?"

Bernama mendapatkan beberapa pandangan dalam menyelusuri polemik isu perpaduan nasional ini di tengah-tengah bersemaraknya sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 tahun ini.

Bahagian pertama ialah hasil wawancara dengan Datuk Omar Hashim, Pengerusi Jawaatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM).

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Seberkas kayu lidi yang diikat tidak mudah dipatahkan tetapi lidi yang dilerai dari ikatan, sebatang demi sebatang senang dipatah.

Ini kisah yang sering diajar untuk menunjukkan jika kita tidak bersatu-padu, kita akan menjadi lemah seperti sebatang lidi tetapi jika kita bersepakat, kekuatan kita bak seberkas kayu lidi, teguh dan padu.

Betapa cantiknya orang tua dahulu menggambarkan kepentingan permuafakatan, persepakatan dan istilah yang sering dilaung-laungkan hari ini iaitu perpaduan.

Kita juga ada peribahasa yang dalam maknanya untuk menggambarkan betapa pentingnya perpaduan seperti "Bersatu Kita Teguh Bercerai Kita Roboh", "Berat Sama Dipikul Ringan Sama Dijinjing" dan "Bulat Air Kerana Pembetung Bulat Kata Kerana Muafakat."

Sudah tentunya juga kita mengharapkan masyarakat majmuk atau berbilang kaum di Malaysia hidup "Bagai Aur Dengan Tebing", perumpamaan yang menggambarkan keadaan kehidupan yang harmoni, tolong menolong antara satu sama lain.

Kita tentunya tidak mahu melihat masyarakat berbilang kaum Malaysia dengan tiga kaum utama, Melayu, Cina dan India dan berpuluh-puluh etnik yang lain di Sabah dan Sarawak bersikap "Seperti Enau Dalam Belukar Melepaskan Pucuk Masing-masing!"

REALITI SEMASA

Lalu seperti tidak kena apabila isu perpaduan masih dipersoal selepas lebih lima dekad kita membebaskan diri daripada belenggu penjajahan.

Namun inilah realiti hari ini.

Pokok persoalannya ialah seakrab atau semesra mana hubungan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini?

Justeru polemik isu perpaduan nasional ini boleh diibaratkan seperti peribahasa Melayu "Rumah Sudah Siap Pahat Masih Berbunyi".

Jika benar berlaku hakisan perpaduan, di mana silapnya dan apakah masih ada sinar di hujung terowong?

"Perpaduan Nasional atau perpaduan kebangsaan adalah satu perkara yang paling elusif di antara cita-cita kebangsaan dan cita-cita besar negara.

"Sehingga hampir 54 tahun kita masih membicarakannya kerana kita masih belum bertemu dengan satu formula atau satu penawar bagaimana kita dapat membangunkan perpaduan dengan secara yang paling mantap dan harmonis sekali, " demikian pandangan Datuk Omar Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif, Persatuan Sejarah Malaysia (PSM)dalam wawancara dengan Bernama di pejabat PSM, Wisma Sejarah di sini baru-baru ini.

SEBELUM MERDEKA

Tidak timbul isu perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum negara ini sebelum merdeka tetapi dalam masa yang sama juga menurut Omar, tidak ada juga pergeseran yang ketara.

Masing-masing kaum nampaknya gembira dengan kehidupan sendiri dan ketika itu juga tidak ada usaha untuk membuat penyatuan atau memperteguh ikatan perpaduan.

"Kita berada di bawah penjajahan dan mereka meletakkan kaum-kaum yang ada dalam tembok masing-masing. Kita hidup macam di bawah pemerintahan apartheid. Kita berkembang dan maju sendirian.

"Ini cara pihak kolonial mengekalkan pemerintahannya di sini iaitu membahagi-bahagikan orang Cina di sekolahnya, orang Melayu di sekolahnya dan orang India di sekolahnya.

"Kaum-kaum ini duduk di tempat asing daripada orang lain, orang Melayu di kampung-kampung pinggir sungai, orang Cina di bandar-bandar besar dan orang India di estet," jelasnya.

Menurut Omar, pihak Inggeris dapat mengekalkan keadaan keseimbangan kaum menerusi dasar pecah dan perintah mereka.

Pihak Inggeris, bagaimanapun, kata beliau memang sedar keperluan mengadakan keadaan di mana semua kaum di negara ini mempunyai kesatuan yang bersatu padu.

"Sebab itulah apabila kita menuntut kemerdekaan, pihak Inggeris meletakkan syarat iaitu orang Melayu, Cina dan India mesti bersatu-padu dalam satu bentuk perikatan atau satu bentuk persatuan politik," tambah Omar.

CONTOH TERBAIK

Mengambil contoh terdekat negara jiran, Indonesia, Omar berkata negara itu adalah contoh terbaik di mana soal perpaduan kebangsaan dicapai sebelum kemerdekaan lagi.

Jelasnya, sejak 1928 lagi apabila memperjuangkan kemerdekaan mempunyai apa yang dipanggil sebagai "Sumpah Pemuda" iaitu satu bangsa, satu negara dan satu bahasa iaitu Indonesia.

"Jadi apabila mereka memploklamir kemerdekaan pada 1945 yang kemudian diiktiraf pada 1949, mereka sudah tidak ada masalah mengenai soal-soal pokok yang berlegar tentang perpaduan nasional atau perpaduan kebangsaan.

"Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa Indonesia dan tidak ada tentangan oleh bahasa-bahasa yang lebih besar seperti bahasa Jawa. Tidak ada kekacauan dalam perkara itu meskipun negara itu terdiri daripada 3,000 pulau.

"Walapun begitu, ini tidak bermakna tidak ada soal pemisah yang timbul selepas itu seperti soal pemisah Acheh yang lebih merupakan cerminan kepada masalah politik di mana soal keadilan dan penyamarataan ekonomi tidak berjalan dengan baik," kata Omar.

Beliau juga memberi contoh negara Vietnam dan Myanmar (Burma) yang juga telah mencapai kejayaan dalam soal-soal perpaduan.

ASAS PERPADUAN

Kepimpinan awal negara ini sememangnya telah memikirkan perkara-perkara yang boleh dijadikan sebagai asas untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum.

Menurut Omar satu daripadanya ialah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, keadaan ini mula terhakis apabila timbul aliran liberalisasi di mana kedudukan bahasa-bahasa lain diperkukuh.

Dalam mempersoalkan bahasa, Omar berkata ia ada kait mengait dengan soal aliran persekolahan.

"Kita mempunyai satu matlamat besar mengikut Penyata Razak yang mahu melihat semua anak Malaysia Cina, India, Melayu belajar di bawah satu bumbung mengikut kurikulum yang sama, bahasa pengantar yang sama dan akhirnya mengambil peperiksaan yang sama.

"Tetapi bila ada akta pada 1996, apa yang terjadi ialah pengukuhan sekolah-sekolah aliran vernakular dan saya tidak nampak bagaimana penyatuan aliran ini dapat dilaksanakan sebagai satu daripada matlamat kita untuk mencapai perpaduan.

"Aliran-aliran ini berlari atas satu rel yang selari dan tidak ada satu tempat di mana mereka akan bertemu, masing-masing dengan haluan masing-masing, tidak ada titik pertemuan," katanya.

Omar memberi keutamaan kepada sekolah rendah untuk memupuk semangat kebangsaan, semangat perpaduan dan semangat kekitaan kerana di peringkat itulah pelajar senang dilentur.

"Ramai orang bercakap dengan cara nostalgia ketika mereka mengikuti pengajian di sekolah Inggeris dan bagaimana mereka berkawan baik dengan kaum Cina, India dan lain-lain.

"Inilah yang sepatutnya terjadi dalam sistem pendidikan nasional kita di mana sekolah kebangsaan menjadi sekolah perdana dan semua anak Cina, Melayu dan India dapat bergaul dengan baik," tambahnya.

TRAGEDI 13 MEI

Sememangnya bukan mudah mengurus sebuah negara yang mempunyai kemajmukan masyarakat dengan pelbagai agama, nilai dan budaya serta adat resam.

Sejarah telah membuktikannya.

Ikatan perpaduan, kesepakatan dan permuafakatan hancur berderai lebih sedekad selepas laungan "Merdeka" membelah angkasa raya Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Tragedi berdarah 13 Mei 1969 yang tercetus hampir 12 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan tidak dapat tidak, melakar satu titik hitam dalam sejarah tanah air.

Isu perkauman yang dimainkan ketika kempen pilihan raya 1969 dengan parti pembangkang membangkitkan isu Bahasa Kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu membakar hangus ikatan perpaduan dan menjadi punca persengketaan yang membawa kepada rusuhan berdarah.

"Sebab-musabab yang lebih serius tidak ternampak di mata kasar iaitu kebimbangan serta perasaan tidak selamat orang Melayu mengenai pencapaian ekonomi serta kedudukan masa depan penguasaan politik mereka dalam negara merdeka yang sedang dibangun," kata Omar.

Ekoran daripada kekacauan yang meletus dan mengancam ketenteraman awam, Parlimen digantung pada 16 Mei 1969. Pemerintahan negara ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai Tun Abdul Razak.

Langkah pantas MAGERAN membolehkan pihak berkuasa mengawal keadaan sebelum ianya merebak menjadi apa yang disebut di dalam Laporan MAGERAN "Tragedi 13 Mei" sebagai "malapetaka yang besar".

Laporan itu dalam bahagian pengantarnya turut mengakui sememangnya terdapat pergeseran antara kaum sebelum tercetusnya rusuhan dan kerajaan ketika itu berharap "semoga bahang yang terpasang itu tidak akan meletus."

UJIAN GETIR

Dua faktor utama dikenalpasti sebagai penyebab kekacauan tersebut iaitu isu perpaduan dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

"Memang rusuhan kaum 13 Mei ialah satu satu ujian pahit kepada masyarakat negara ini. Natijah kejadian besar yang menggemparkan masyarakat itu ialah perlunya soal perpaduan diberi perhatian utama.

"Kita terpaksa membayar harga yang tinggi kerana alpa kepada soal perpaduan selepas merdeka.

"Saya kira selepas merdeka soal perpaduan kaum ini walaupun dirasa penting tetapi tidak mendapat perhatian yang berat kerana kita pada masa itu sibuk dengan pembangunan negara," kata Omar.

Menurut beliau, soal sosio-ekonomi, kemiskinan, pendidikan, pertanian, hubungan antarabangsa, pembangunan negara, pembukaan tanah-tanah Felda dan projek-projek prasarana mengambil banyak masa dan perhatian pemimpin ketika itu.

Sumber : Bernama

PERPADUAN NASIONAL : JANGAN LUPA SEJARAH


Perpaduan Nasional: Jangan Lupa Sejarah
Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana lima siri siri ini cuba merungkai isu perpaduan yang masih menjadi polemik setelah hampir lebih lima dekad merdeka. Mengapa "Rumah Sudah Siap Pahatnya Masih Berbunyi?"

Bernama mendapatkan beberapa pandangan dalam menyelusuri polemik isu perpaduan nasional ini di tengah-tengah bersemaraknya sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 tahun ini.

Bahagian kedua adalah sambungan wawancara dengan Datuk Omar Hashim, Pengerusi Jawaatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM).


KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Lahirnya apa yang dipanggil sebagai Rukun Negara selepas Tragedi 13 Mei dilihat sebagai satu usaha murni kerajaan untuk menangani konflik perkauman dengan secara telus.

Pengisytiharan Rukun Negara yang dibuat 31 Ogos 1970 diharap menjadi kunci untuk membuka jalan kepada usaha mewujudkan suasana keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Rukun Negara ialah satu daripada piagam yang besar yang dihasilkan di negara ini yang terbahagi kepada dua, iaitu cita-cita dan prinsip, dan ini mendapat persetujuan daripada semua kaum pada masa itu.

"Rakyat Malaysia juga perlu mengambil berat dan menghayati falsafah di sebalik cita-cita dan prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jika mereka mahu kehidupan yang aman dan harmoni.

"Dalam masa yang sama kerajaan perlu menggerakkan kembali kempen untuk memberi kefahaman dan penghayatan terhadap Rukun Negara," kata Datuk Omar Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) kepada Bernama dalam satu wawancara di sini baru-baru ini.

Rukun Negara berpaksikan kepada lima prinsip utama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan.

Intipati cita-cita Rukun Negara pula ialah ke arah mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat, memelihara cara hidup demokratik, mencipta masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama, menjamin cara hidup yang liberal dan melahirkan masyarakat progresif.

DASAR EKONOMI BARU (DEB)

Omar juga merujuk kepada pelaksanaan dasar sosial ekonomi bersepadu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1970 menerusi Rancangan Malaysia Kedua untuk tempoh 20 tahun.

Menurut beliau, DEB adalah respons kepada 13 Mei bertujuan merawat penyakit dan kepincangan sosial serta ekonomi yang mendatari tragedi besar itu.

Di bawah dasar itu, masyarakat Malaysia disusun semula supaya ia menjadi lebih adil dengan sistem ekonomi diperbaiki untuk pembasmian kemiskinan semua kaum.

Langkah juga diambil bagi memastikan kekayaan negara dapat diimbangi dan diagih-agihkan secara lebih adil dan saksama khasnya antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Omar berpendapat DEB selepas 20 tahun pelancarannya mencapai kejayaan besar bagi semua kaum walaupun bagi Bbumiputera prestasinya tidak mencapai sasaran yang direncanakan.

"Namun demikian, DEB adalah instrumen paling efektif dalam membangun keyakinan masyarakat dan memperkasa kestabilan negara."

JANGAN LUPA SEJARAH

Setelah lebih 40 tahun Tragedi 13 Mei berlaku, mungkin ramai yang ingin melupuskannya terus daripada ingatan mereka supaya igauan buruk peristiwa berdarah ini tidak menghantui kehidupan khususnya generasi muda negara.

Dalam hal ini, apa yang diperlukan ialah kesungguhan semua pihak memastikan sejarah hitam itu tidak berulang dan kita juga tidak memerlukan tragedi berdarah untuk mengajar kita betapa pentingnya erti perpaduan.

Namun perkembangan mutakhir membimbangkan Omar menjadikan beliau tidak begitu optimistik apabila diaju soalan prospek pencapaian perpaduan nasional.

Beliau menuding kepada apa yang disifatkannya sebagai "partisan politic" atau politik berat sebelah yang dianggapnya merosakkan sebarang usaha besar untuk kepentingan kebangsaan.

Keutamaan diberi hanya kepada politik kepartian walaupun ia jelas bertentangan dengan kepentingan negara.

"Partisan politic", katanya, menyumbang kepada pergeseran kaum dan ini terbukti dalam tragedi 13 Mei.

"Segala-galanya dipolitikkan sehingga amat menyukarkan institusi negara dan badan pentadbiran berjalan dengan baik," katanya.

Jika tekanan memperleceh institusi negara terus menerus dikempen oleh pembangkang lama kelamaan kewibawaannya akan terhakis dan akibatnya amat buruk.

"Keadaan sekarang menunjukkan ada bahagian masyarakat yang seolah-olah kehilangan kepercayaan kepada institusi kerajaan, tak percaya kepada polis, tak percaya kepada sistem kehakiman dan tak percaya kepada pemimpin kerajaan.

"Ini satu perkara yang dahsyat dan sindrom ketidak percayaan ini adalah satu penyakit besar kepada bangsa Malaysia. Inilah hasil permainan partisan politic," tegasnya.

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN

Omar lalu menggesa kerajaan mewajibkan semula pelajar dan mahasiswa memahami sedikit sebanyak perkara pokok dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Kursus-kursus boleh disediakan mengikut tahap kemampuan masing-masing dan tidak terlalu teknikal.

Menurut beliau, segala yang rakyat perlu tahu atau patut tahu mengenai hak dan tanggungjawab mereka, kedudukan orang Melayu dan Islam serta Raja-Raja Melayu semuanya tersurat dengan seimbang di dalam Perlembagaan.

"Pakar-pakar perundangan Perlembagaan memberitahu kita bahawa Perlembagaan Malaysia adalah sebuah dokumen organik yang unik yang memperlihatkan kebijaksanaan luar biasa dari segi keadilan, keseimbangan dan matlamat jarak jauh negara.

"Saranan saya bagi membangun kembali keyakinan rakyat dan perpaduan nasional adalah dengan memberi tumpuan kepada beberapa tonggak penyatuan yang kita cipta," tambahnya.

Cadangan yang diutarakan Omar, pertama, pelaksanaan secara serius tanpa kompromi, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan semua rakyat dan juga menjadi bahasa ilmu pengetahuan.

Walaupun bahasa-bahasa lain dibenar penggunaannya tetapi Bahasa Melayu mesti diutamakan dalam semua keadaan, rasmi atau tidak rasmi.

"Selepas hampir 54 tahun merdeka semua orang harus menerima Bahasa Melayu sebagai lambang penyatuan dan darah daging mereka," tegas beliau.

Cadangan Omar yang kedua menyentuh mengenai sistem pendidikan nasional yang dikatakannya mestilah dilaksanakan dengan tegas berasaskan semangat tersurat dan tersirat Penyata Razak.

Dalam hal ini, sekolah kebangsaan wajib diberi prioriti dari segi infrastruktur, keguruan dan kelengkapan yang terbaik selain diadakan pengajaran Bahasa Inggeris serta Bahasa Cina dan Bahasa Tamil yang teratur.

Dengan demikian, kata Omar sekolah kebangsaan akan dapat menarik lebih ramai ibu bapa Cina dan India menghantar anak-anak mereka bermula daripada sekarang.

"Sekolah kebangsaan akan menjadi sekolah nasional atau sekolah perdana dalam erti kata yang sebenar di mana semua anak Malaysia belajar bersama serta bersaing di bawah satu bumbung yang melambangi perpaduan.

"Kita harus menjalani satu muhasabah nasional berhubung perpaduan nasional.

"Kita bangun atau jatuh sebagai satu bangsa bergantung kepada kebijaksanaan kita mengurus kerukunan hidup masyarakat kita," kata Omar.

Menurut beliau, rakyat Malaysia sebetulnya mempunyai banyak kekuatan sebagai satu bangsa umpamanya kepelbagaian kaum dan budaya dengan kepandaian masing-masing, peramah dan punya toleransi yang tinggi dan tradisi hidup bersama dengan aman dan harmoni.

"Semua ini adalah aset yang wajib digembleng untuk perancangan membangun perpaduan yang lebih kental.

"Dalam suasana pancaroba dan tidak kestabilan di seluruh dunia, Malaysia bagi saya ialah satu oasis kebahagian. Negara ini indah dan kaya.

"Saya sayang dan bangga dengan watan saya ini dan berdoa tidak akan timbul apa-apa malapetaka yang dapat merosak kestabilan dan keharmonian rakyatnya," katanya.

Sumber : Bernama

DIKEHENDAKI LEBIH RAMAI PEMBINA JAMBATAN YANG JUJUR


Dikehendaki Lebih Ramai Pembina Jambatan Yang Jujur - Dr Chandra Muzaffar
Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana lima siri ini cuba merungkai isu perpaduan yang masih menjadi polemik setelah hampir lebih lima dekad merdeka. Mengapa "Rumah Sudah Siap Pahatnya Masih Berbunyi?" Bernama mendapatkan beberapa pandangan dalam menyelusuri polemik isu perpaduan nasional ini.

Bahagian ke-tiga ini adalah hasil wawancara dengan Dr Chandra Muzaffar, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia and Profesor Kajian Global, Universiti Sains Malaysia (USM).


KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kalaulah boleh dilakukan, Dr Chandra Muzaffar sudah tentu akan menampal di setiap pelusuk tanah air poster yang berbunyi "Dikehendaki: Lebih Ramai Pembina Jambatan".

Syarat yang akan dikenakan, di tempat paling atas, Rakyat Malaysia, orang muda diutamakan!

Beliau juga akan menambah syarat tambahan: "Yang Jujur Sahaja! Pemusnah Jambatan Tak Perlu Memohon!"

HAJAT MERDEKA

Pernyataan di atas sebenarnya adalah hajat Chandra sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-54, hajat yang dizahirkan dalam wawancara dengan Bernama mengenai isu Perpaduan Kebangsaan di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau juga memberitahu penulis "pembina jambatan" ialah istilah kegemarannya yang sering digunakan apabila bercakap mengenai perpaduan.

"Jika ramai yang sedar, katakan dalam masyarakat kita ada ramai orang Melayu dan bukan Melayu, Cina, India, Kadazan dan yang lain-lain, amat mengambil berat tentang pembina jambatan, keadaan akan berbeza.

"Yang menjadi masalahnya kita tidak mempunyai ramai pembina jambatan, di sana di sini ada beberapa kerat individu sahaja.

"Dahlah tak ramai, ada pula yang jadi pemusnah jambatan dan orang yang mendirikan tembok," kata Chandra, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia.

KEKUATAN PADU

Memupuk semangat perpaduan kebangsaan sewajarnya bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata seperti yang disuarakan oleh Chandra yang juga Profesor Kajian Global, Universiti Sains Malaysia (USM).

Penyelesaian sebenarnya, katanya, terletak kepada rakyat.

"Apa yang kita perlukan kekuatan padu semua kaum, orang Melayu, orang bukan Melayu yang menjadi pembina jambatan yang jujur. Kalau kita ada semuanya ini, persekitaran dan suasananya lebih sesuai untuk benih-benih perpaduan bercambah dan berkembang.

"Saya ikhlas berharap dan berdoa kita mampu mewujudkan lebih ramai pembina jambatan yang benar-benar jujur yang akan menjadi tonggak kekuatan padu menggalakkan perpaduan kebangsaan," katanya.

Paling unggul, tambahnya jika generasi muda dapat diasuh dan dididik sebagai pembina jambatan yang diharap-harapkan itu.

Menepati kata-katanya, Yayasan 1Malaysia mengambil inisiatif untuk memenuhi keperluan itu dengan mengadakan program untuk pelajar sekolah di mana antara lain mereka dapat memahami erti menjadi warga negara Malaysia.

"Kewarganegaraan bermakna kesediaan untuk melaksanakan bukan sahaja hak tetapi sama juga pentingnya, tanggungjawab sebagai seorang warga negara," kata Chandra.

PERJALANAN YANG BERTERUSAN

Menjelaskan lebih lanjut mengenai perpaduan, Chandra tegas menyatakan ia ibarat satu perjalanan yang jauh serta berterusan dan bukannya satu destinasi.

Dalam perkataan lain seseorang itu tidak boleh berkata "Kita telah mencapai perpaduan" bak kata Chandra kemungkinannya tidak ada negara di dunia ini boleh mendakwa ia telah mencapai perpaduan pelbagai etnik.

"Perkara ini tidak akan berlaku bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di mana-mana negara di dunia yang penduduknya terdiri daripada berbilang etnik dan agama.

"Mengapa? Kerana kita bercakap tentang orang yang berlainan pegangan agama dan latar belakang kebudayaan, sejarah yang berbeza, memori yang berbeza dan dengan pengalaman yang berbeza.

"Situasinya amat, amat kompleks. Banyak perbezaan dan akan terus ada perbezaan. Saban waktu ada sahaja yang akan berlaku.

"Kita perlu meneruskan rundingan untuk menangani perbezaan-perbezaan ini, kita perlu terus berusaha mengatur cara dan langkah untuk membolehkan kita tinggal bersama," kata Chandra.

Beliau mengambil contoh Ireland Utara di mana konflik antara puak Katolik dan Protestant masih wujud.

"Mereka telah mencapai persetujuan mengenai cara untuk menyelesaikan konflik yang sudah berlarutan berkurun lamanya.

Mereka ada mencapai kata sepakat yang dipersetujui kedua belah pihak, yang dipanggil Good Friday Agreement pada 1998.

"Bagaimana pun baru-baru ini terdapat pertempuran di Ireland Utara yang mengakibatkan kematian di mana ini menunjukkan tidak ada penyelesaian mudah untuk masalah berhubung dengan etnik dan agama," tegasnya.

IBARAT PERKAHWINAN

Menggunakan "perkahwinan" sebagai analogi kepada perpaduan di mana diakui tidak ada perkahwinan yang sempurna, Chandra mengulangi kenyataannya bahawa ia memerlukan usaha yang berterusan.

Pasangan yang berkahwin akan mengalami masalah, cabaran dan perbezaan dari semasa ke semasa dan mereka perlu mencari jalan penyelesaian.

Dalam hal Malaysia, beliau menekankan bahawa pucuk pimpinan di awal 1957 telah mengambil langkah bijak dengan memberi keutamaan kepada isu perpaduan yang dilihat sebagai cabaran paling utama.

"Dari awal lagi kita telah sedar ini adalah satu cabaran yang memerlukan perhatian yang maksimum, cabaran yang memerlukan sepenuh tenaga dan usaha kita.

"Saya berpendapat kita memang tahu perkara itu. Kita sedar daripada awal-awal lagi bahawa perpaduan adalah isu penting, maka sebab itulah semua pemimpin kita, pembuat pendapat dan elemen berpengaruh dalam masyarakat sering menekankan tentang perpaduan," jelasnya.

PERLU POSITIF

Namun demikian, Chandra pantas menambah bahawa dalam apa juga keadaan kita perlu berpijak di bumi nyata dalam usaha kita menangani isu perpaduan.

Dalam mengulangi kenyataannya bahawa perpaduan ialah satu proses, satu perjalanan yang tiada penghujungnya, beliau turut menegaskan bahawa "kita tidak boleh meletak jangka waktu mahu pun bercakap tentang perpaduan yang sempurna."

"Apa yang kita ingin capai adalah dengan tahun-tahun yang berlalu kita mampu untuk berkata ikatan perpaduan kita lebih teguh dan ia akan jadi lebih teguh. Kita perlu bersikap positif mengenai perkara ini.

"Sekiranya semua kaum, semua peringkat masyarakat boleh berkata demikian, dalam perkataan lain esok akan menjadi lebih baik daripada hari ini dan kita mula merasa lebih sebagai sebuah keluarga.

"Jika itu boleh kita ungkapkan dalam kita menjalani kehidupan kita, itu sudah satu pencapaian," katanya.

PERPADUAN LEBIH HEBAT

Mengulas pembentukan Bangsa Malaysia, istilah yang timbul di dalam versi Melayu Wawasan 2020, Chandra menarik perhatian bahawa perpaduan masih menjadi kunci kepada pencapaian aspirasi itu.

Beliau menjelaskan dalam versi Bahasa Inggeris Wawasan 2020, versi asal, istilah yang digunakan sebetulnya "Greater Unity amongst the different peoples and the different communities."

"Seperti yang saya katakan di awal tadi ikatan yang lebih teguh itulah yang kita perlukan," tegasnya.

Beliau turut menyatakan rasa tidak senangnya dengan isu yang dibangkitkan tahun lepas di mana seseorang ditanya sama ada beliau "Melayu dulu atau orang Malaysia dulu."

Pada pandangan Chandra, soalan itu tidak munasabah di mana seseorang itu boleh berhujah bahawa dua ciri penentu negara Malaysia, kedua-duanya ada kaitan dengan identiti bangsa Melayu.

"Umpamanya apakah bahasa negara ini? Melayu, seperti yang digariskan dalam Artikel 152 Perlembagaan Malaysia dan Melayu adalah bahasa orang Melayu. Apa dia agama Negara ini? Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa agama negara ini adalah Islam. Apakah agama orang Melayu? Islam.

"Jadi dua ciri negara ini adalah sebenarnya ciri bangsa Melayu. Oleh demikian untuk menyoal sama ada seseorang itu Melayu dulu atau orang Malaysia dulu, sebenarnya mendedahkan orang yang menyoal itu tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang negara Malaysia," tegas Chandra.

TANAH AIR

Menurut beliau, dalam konteks tertentu seseorang itu mungkin merasa dia Kadazan tetapi dalam apa cara pun ini tidak menjejaskan perasaannya kepada tanah airnya, yakni Malaysia.

"Katakan ada pesta Kadazan dia merasa dirinya Kadazan. Bila datang Ramadan dia merasa dia seorang Muslim. Kerana cintanya kepada pantun, seperti Pak Ungku (Prof Diraja Ungku Aziz) dia merasa dirinya Melayu kerana pantun warisan indah orang Melayu.

"Sama juga dengan orang Cina, apabila tiba perayaan Tahun Baru Cina mereka akan merasa diri mereka lebih orang Cina," kata Chandra, seraya menambah isu yang digembar-gemburkan itu hanya helah politik.

PENERIMAAN ADALAH KUNCI

Tidak dapat tidak, Melayu atau bukan Melayu mempunyai kewajipan dan tanggung jawab untuk membina negara ini.

Dalam hal orang bukan Melayu, kata Chandra, mereka perlu menerima hakikat sejarah dan empati untuk sejarah serta evolusi negara Malaysia -- bagaimana ia berkembang dari sebuah negara Melayu kepada negara Malaysia.

Begitu juga halnya, kata beliau dengan orang Melayu, mereka perlu sedar implikasi realiti semasa penerimaan orang Cina dan India sebagai warganegara dengan hak dan tanggungjawab untuk menjadikan kita masyarakat berbilang etnik yang sebenar.

"Kita tidak akan dapat memahami dan mengambil berat antara satu sama lain selagi kita melihat negara ini menerusi lensa perkauman. Kita mesti mengatasi perasaan mementingkan diri mengikut kaum," tegasnya.

Rakyat Malaysia juga perlu memahami dengan lebih mendalam isi kandungan Perlembagaan dan Rukunegara.

"Kita sepatutnya melakukan ini sejak awal dulu lagi, mengambil langkah untuk membuatkan orang Melayu dan bukan Melayu memahami secara bersungguh-sungguh kedua-dua dokumen penting ini. Kita sepatutnya mengambil langkah supaya rakyat menjiwai Perlembagaan dan Rukunegara dengan sepenuh jiwa dan raga

"Kita boleh gunakan sistem pendidikan, kita boleh gunakan media. Kita juga boleh gunakan saluran budaya dan agama. Kita telah gagal melakukannya.

"Saban waktu kita tewas kepada tarikan dan tekanan politik perkauman. Dalam lain perkataan mengutamakan politik daripada perpaduan kebangsaan.

"Sekiranya ini berlanjutan kita tidak akan dapat bergerak ke arah mencapai perpaduan yang lebih hebat seperti yang dibayangkan di bawah Wawasan 2020 yang hanya tinggal 9 tahun sahaja lagi," keluh Chandra.

Sumber : Bernama

JANGAN PERLEKEH APA YANG TELAH KITA CAPAI


Jangan Perlekeh Apa Yang Telah Kita Capai - Dr Chandra Muzaffar
Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana lima siri siri ini cuba merungkai isu perpaduan yang masih menjadi polemik setelah hampir lebih lima dekad negara merdeka.

Bernama mendapatkan beberapa pandangan dalam menyelusuri polemik isu perpaduan nasional ini.

Bahagian ke-empat ini sambungan hasil wawancara dengan Prof Dr Chandra Muzaffar, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia dan Professor Kajian Global, Universiti Sains Malaysia.


PETALING JAYA, 29 Ogos (Bernama) -- Dalam membicarakan perpaduan nasional di Malaysia, ada tiga pencapaian penting yang tidak wajar dilupakan.

Dr Chandra Muzaffar, pakar sains politik tempatan yang dihormati meletakkan 'keganasan perkauman minimum' di tempat pertama dalam senarainya ketika diwawancara Bernama di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Beliau merujuk kepada rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang menurutnya mempunyai implikasi kepada perpaduan nasional di samping beberapa pertelingkahan kecil di sana-sini.

Bagaimanapun, beliau menganggap sebagai menakjubkan bagi sebuah masyarakat pelbagai etnik dan pelbagai agama yang disifatkanya antara yang paling kompleks di dunia kurang mengalami keganasan kaum.

"Ini sesuatu yang amat penting, perkara ini telah banyak kali saya ulang sejak 40 tahun lalu, iaitu kita mengalami keganasan kaum yang minimum," kata Chandra, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan 1Malaysia.

BERSYUKURLAH

Chandra yang juga Profesor Kajian Global, Universiti Sains Malaysia (USM) membandingkan pengalaman Malaysia dengan apa yang berlaku di negara yang mempunyai masyarakat pelbagai etnik di dunia.

Negara-negara yang dinamakannya termasuk dari Ireland ke bekas Yugoslavia di Eropah, ke Lubnan dan Mesir di dunia Arab, ke India, Pakistan dan Sri Lanka di Asia Selatan dan di Asia Tenggara iaitu Thailand, Filipina dan Indonesia.

Menurut beliau, di negara-negara yang dinyatakan di atas masalah etnik atau agama telah mencetuskan keganasan etnik.

"Di negara ini kita mengalami keganasan etnik yang minimum dan rakyat Negara ini mesti menghargai hakikat ini kerana pada saya keganasan adalah satu perkara yang amat teruk di mana boleh berlaku pertumpahan darah serta pembunuhan.

"Terutamanya dalam masyarakat pelbagai etnik, pelbagai agama, keganasan mempunyai implikasi yang jauh lebih serius berbanding keganasan dalam masyarakat-masyarakat lain kerana keganasan tidak akan berakhir.

"Jika anda membunuh seseorang daripada komuniti lain akan timbul perasaan dendam yang bersifat perkauman. Ianya akan berterusan. Memang teruk, jadi bila negara kita hanya mengalami sedikit keganasan, ini adalah satu pencapaian yang besar," katanya.

DAPAT DISELESAIKAN

Yang kedua, masalah dan cabaran yang pasti tercetus, semuanya ini sedikit sebanyak masih dapat diselesaikan.

Seperti yang dijelaskan Chandra, pertelingkahan ini diselesaikan menerusi dasar dan tindakan melalui perbincangan dan tolak-ansur.

Beliau berkongsi dua contoh untuk menguatkan hujahnya.

Pertama ialah apa yang disifatkan sebagai cabaran besar etnik berhubung dengan kedudukan ekonomi pelbagai komuniti di negara ini.

"Kenapa saya kata utama? Kerana 70 peratus masyarakat Melayu pada 1957 hidup di bawah paras kemiskinan dan sekiranya ditinjau di peringkat kelas pertengahan dan tinggi, kurang sekali peratus orang Melayu.

"Kita bercakap mengenai masyarakat yang mempunyai pertalian kuat dengan negara ini tetapi lemah kedudukan ekonominya pada tahun 1957," kata Chandra.

Hari ini, beliau berkata taraf kehidupan orang Melayu jauh lebih baik dengan bilangan doktor Melayu mencapai hampir 35 peratus sementara peguam, 40 peratus, berbanding 2 atau 3 peratus pada 1957.

Malahan, katanya, komposisi golongan pertengahan juga menggambarkan masyarakat pelbagai etnik negara ini bukan dibolot satu-satu kaum sahaja.

Transformasi yang besar itu, menurut Chandra dicetuskan oleh sedikit pergeseran.

PENDIDIKAN KUNCINYA

Mengulas lebih lanjut mengenai transformasi, Chandra mengaitkannya dengan perluasan peluang pendidikan yang disifatkannya sebagai faktor utama tetapi ramai pihak yang lupa atau sengaja abaikannya.

Sesiapa sahaja boleh mendapatkan pendidikan dan memandangkan orang Melayu adalah bangsa majoriti, mereka mendapat banyak manfaat daripada proses ini.

"Mengapa saya bangkitkan hal ini? Sekiranya kita melihat belanjawan pembangunan kita, Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia ini, yang secara konsistennya memperuntukkan 25 peratus daripada belanjawan pembangunan untuk pendidikan sejak 1957, ini amat mengkagumkan.

"Ini sebabnya mengapa transformasi ini dapat dicapai.

"Dan sudah tentunya ia diperkukuhkan lagi oleh Dasar Ekonomi Baru (DEB)," jelas Chandra.

Di sebalik transformasi yang mencetuskan dukacita di kalangan bahagian tertentu masyarakat, Chandra masih berpendapat ia menjamin kestabilan dan harmoni dalam masyarakat.

"Jika kita tidak mencapai semua ini, sudah tentu kita berdepan dengan masalah yang lebih buruk. Ini yang semua pihak perlu hargai. Katakanlah keadaan kekal seperti 1957 atau 1969, dapatkah anda membayangkan bagaimana keadaan negara pada hari ini?

"Tidak akan ada keamanan, tidak ada kestabilan, tidak ada keharmonian dan sudah tentunya tiada demokrasi. Proses transformasi ini juga menjadikan peluang untuk tragedi 13 Mei berulang tipis!

"Perkara ini perlu disemat dalam pemikiran semua. Ada kalanya orang mudah lupa. Bukan sahaja mereka lupa, mereka langsung tidak menghargainya.

"Mereka hanya fikir DEB adalah punca semua masalah kita sedangkan sebenarnya inilah salah satu sebab mengapa kita boleh hidup dalam keadaan yang agak baik dalam masyarakat negara ini," kata Chandra.

MENYELESAI ISU

Salah satu konflik besar DEB, kurangnya peluang bagi bukan Melayu berkelayakan mendapat tempat di institusi pengajian tinggi sedikit sebanyak dapat diselesaikan menerusi beberapa langkah.

Beliau menjelaskan apabila universiti-universiti awam ditubuhkan pada 1970-an, kerajaan memberi lebih penekanan kepada pengambilan pelajar Melayu dan ramai pelajar bukan-Melayu dipinggirkan.

Salah satu langkah yang diambil kerajaan untuk menangani perasaan tidak senang hati bukan Melayu ialah menetapkan kuota 55-45 Bumiputra-bukan Bumiputra untuk universiti awam pada 1978 sewaktu pemerintahan Tun Hussein Onn.

Satu lagi cara untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan membenarkan beberapa universiti dan kolej swasta ditubuhkan bagi mereka yang tidak dapat memasuki universiti awam. Ini bermula pada awal 90-an.

Menurut Chandra, langkah ini banyak membantu ibu bapa memandangkan mereka tidak perlu menghantar anak-anak mereka ke luar negara di mana kos pendidikan amat tinggi.

"Perkembangan yang penting ini berlaku sewaktu Tun Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran ialah Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apa yang dilakukan kerajaan adalah usaha untuk mengurangkan rasa tidak senang hati, rasa kecewa di kalangan ibu bapa dan pelajar bukan Melayu," kata Chandra.

PERLEMBAGAAN

Pencapaian ketiga yang disifatkan Chandra perlu diingati rakyat negara ini ialah berkait dengan apa yang ditakrifkan sebagai penanda jelas dalam konteks hubungan etnik, terutamanya kedudukan komuniti yang berlainan.

Semua negara, katanya, sama ada mempunyai penduduk berbilang etnik atau tidak, memerlukan penanda jelas dalam perjalanan untuk mencapai perpaduan nasional.

"Saya fikir dalam hal ini kita amat bertuah kerana mempunyai Perlembagaan yang adil dan saksama dan daripada segi prinsip asas etnik ianya masih kekal begitu.

"Dari awal-awal lagi kita jelas inilah negara kita dan dari awal juga kita mengambil kira sejarah dan keadaan semasa.

"Kita tidak menafikan sejarah kita kerana tidak ada negara yang boleh dibina dengan menidakkan sejarah negara dan sejarah kita terkandung dalam Perlembagaan, kedudukan raja-raja, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama Persekutuan," jelasnya.

KAITAN SEJARAH

Bercakap mengenai kedudukan orang Melayu, Chandra memberitahu penulis ia juga mempunyai kaitan dengan sejarah orang Melayu perlu dilindungi terutamanya apabila kewarganegaraan diberi secara liberal kepada sebahagian besar penduduk bukan Melayu.

"Orang hari ini tidak tahu apa yang berlaku pada waktu itu. Jika anda lihat statistik, pada 1955 hanya 15 peratus orang bukan Melayu (Cina dan India) yang merupakan warganegara.

"Oleh kerana liberalisasi syarat kewarganegaraan sebelum Merdeka 1957, demografi berubah dengan hampir 40 peratus warganegara Malaya terdiri daripada orang bukan Melayu.

"Dalam lain perkataan golongan elit Melayu dan komuniti Melayu memberi tempat kepada yang lain. Hasilnya orang Melayu daripada sebuah negara, negara Melayu, Tanah Melayu daripada segi sejarah, menjadi hanya sebuah komuniti.

"Ini adalah pengorbanan yang amat besar dibuat masyarakat Melayu, satu tindakan yang kita boleh katakan sebagai begitu mulia," kata Chandra.

AMAT SEIMBANG

Perlembagaan Persekutuan mewujudkan keseimbangan yang tidak terdapat dalam kebanyakan perlembagaan di kebanyakan negara berbilang etnik.

Menurut Chandra, Perlembagaan negara ini amat adil dan saksama daripada segi hak dan kedudukan pelbagai komuniti di negara ini.

"Sekiranya anda mengkaji Perlembagaan ini secara holistik, memang bertepatan untuk raja-raja Melayu diberi kedudukan, adalah tepat juga untuk bahasa Melayu berada pada tempatnya yang hak, dan ini bukan hasil rundingan.

"Saya mahu menjelaskan di sini kerana kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan berakar umbi dalam sejarah kita," kata Chandra.

Bahasa Melayu, jelas beliau, telah menjadi lingua franca dunia bahagian sini sejak beratus-ratus tahun lalu.

"Jadi apabila keputusan dibuat untuk menjadikannya bahasa kebangsaan, ia adalah sesuatu yang logik dan belajar bahasa lain pula adalah untuk memberi tempat kepada bahasa berkenaan.

"Begitu juga dengan kedudukan Islam. Islam adalah agama kerajaan serta kesultanan Melayu, dan juga adalah asas pentadbiran dan undang-undang," katanya.

KEKUATAN KENTAL

Chandra juga membuat rujukan khas kepada Rukunegara yang disifatkannya sebagai mukadimah kepada Perlembagaan Persekutuan memandangkan ia membentangkan matlamat dan prinsip panduan untuk negara.

Kesemuanya ini, kata beliau diperkuatkan lagi oleh Wawasan 2020 kerajaan yang diperkenalkan pada 1991, yang menggariskan sebuah wawasan untuk masa depan negara berbilang kaum ini.

"Pertama daripada sembilan cabaran strategik ditujukan kepada perpaduan, mewujudkan perpaduan lebih mantap di kalangan rakyat negara ini.

"Sekali lagi kita bertuah kerana sekarang kita mempunyai gagasan untuk menyatukan semua pihak iaitu 1Malaysia.

"Ia adalah sebahagian daripada satu proses yang panjang, bermula dengan Perlembagaan, Rukunegara, Wawasan 2020 dan sekarang 1Malaysia.

"Pada hakikatnya saya fikir ini adalah salah satu daripada kekuatan kental di mana kita mempunyai penanda untuk perjalanan kita dan sebahagian besar rakyat Malaysia yang boleh berfikir akan menghargainya. Kita perlu mengikuti penanda-penanda ini secara jujur dan ikhlas dalam kita meneruskan perjalanan kita menuju masa depan," kata Chandra sebagai menutup perbualan.

Sumber : Bernama

DI MANA BUMI DIPIJAK, DI SITU LANGIT DIJUNJUNG


Di Mana Bumi Dipijak Di Situ Langit Dijunjung
Oleh Melati Mohd Ariff

Rencana lima siri siri ini cuba merungkai isu perpaduan yang masih menjadi polemik setelah hampir lebih lima dekad merdeka. Bernama mendapatkan beberapa pandangan dalam menyelusuri polemik isu perpaduan nasional ini.

Bahagian ke-lima ini adalah hasil wawancara dengan Prof Dr Teo Kok Seong, Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Hubungan etnik di Malaysia sepatutnya boleh diurus dengan mudah tanpa banyak masalah kerana kumpulan etnik yang terdapat di negara ini tidak banyak.

Menurut Prof Dr Teo Kok Seong, Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bukan seperti di Rusia dan India yang terdapat puluhan atau ratusan kumpulan etnik.

"Bagaimanapun perpaduan di negara ini lebih bersifat retorik daripada keadaan sebenarnya," kata beliau kepada Bernama dalam wawancara yang memfokus kepada isu perpaduan menjelang Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54.

CURIGA-MENCURIGAI

Teo yang juga Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu, UKM, berkata istilah 'juxtaposition' atau 'mengatur seiring" lebih tepat digunakan dalam mengukur tahap perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Maksud 'juxtaposition' dalam konteks ini ialah kita ditonjolkan sebagai bersatu, tetapi sebenarnya tidak kerana masih banyak curiga-mencurigai antara satu sama lain.

"Ini berlaku secara menyeluruh. Mungkin wujud hubungan akrab antara individu Cina dengan individu Melayu tertentu, itu lain ceritanya," kata beliau.

Apa yang berlaku adalah di sebalik Peristiwa 13 Mei dan usaha kerajaan menangani isu perkauman menerusi pengisytiharan Rukunegara dan perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Menurut beliau, sekarang ini wujud fahaman apa yang menguntungkan sesuatu kaum merugikan kaum yang lain.

"Apa-apa yang diperolehi bangsa Melayu melalui dasar tertentu dianggap sebagai suatu kerugian bagi bukan Melayu, keadaannya sudah sampai ke tahap itu dan ini tidak baik untuk perpaduan," katanya.

CONTOH CURIGA

Beliau memberi contoh Sekolah Wawasan yang ingin diperkenal oleh kerajaan pada 1997 untuk menyatupadukan pelajar berbilang kaum.

Idea untuk menubuhkan sekolah ini, katanya, bertunas pada 1995 dan menjadi kenyataan apabila dua atau tiga buah Sekolah Wawasan ditubuhkan pada 1997.

Bagaimanapun, konsep sekolah itu yang sepatutnya diperluas ke seluruh negara terhenti setakat beberapa sekolah itu sahaja kerana tiada sambutan.

Menurutnya, kaum bukan Melayu curiga, kononnya ada agenda tersirat oleh pemimpin Melayu di sebalik Sekolah Wawasan.

"Pada hal, kalau kita kaji betul-betul hasratnya murni sekali, iaitu untuk menyatukan kanak-kanak sekolah tetapi kaum Cina terutamanya, melihat ini percubaan untuk mengikis jati diri dan juga budaya mereka," kata Teo.

Keadaan itu berlaku kerana tidak ada saling kepercayaan dan masih wujud rasa curiga antara satu sama lain.

"Kalau sudah bersatu, sewajarnya apa-apa yang diperkenal kerajaan difahami baik dan diterima secara terbuka, tiada curiga," katanya.

Beliau memberi satu lagi contoh iaitu subjek baru "Malaysia Negaraku" tentang kewarganegaraan yang dirancang diperkenal di semua sekolah dan diajar dalam Bahasa Melayu pada awal tahun 2011.

"Sekolah Cina menentangnya habis-habisan. Mereka bimbang ini satu lagi rancangan licik pemimpin Melayu untuk mengikis jati diri orang bukan Melayu. Mereka mahu subjek ini diajar dalam bahasa Cina," kata Teo.

EMPAT LANGKAH

Bagi Teo, ada empat langkah untuk menangani masalah curiga-mencurigai ini yang disifatkannya begitu menebal.

Langkah-langkah itu kenal-mengenali, faham-memahami, hormat-menghormati dan akhirnya menghargai kepelbagaian.

Malangnya masyarakat Malaysia, pada pandangan beliau, masih belum pun di peringkat pertama, iaitu kenal-mengenali antara satu sama lain.

"Kenal-mengenali ini penting kalau kita hendak bersatu padu dalam masyarakat majmuk. Selepas kenal-mengenali barulah kita boleh pergi ke langkah kedua, faham-memahami cara hidup dan etos kaum masing-masing.

"Memang banyak yang kerajaan lakukan selepas tragedi 13 Mei 1969, tapi nampaknya sesetengah sektor rakyat tidak mahu memberi sokongan, untuk merealisasikan hasrat murni ini.

"Saya kira kerajaan tak terlepas pandang apa-apapun, hanya golongan bukan Melayu ini yang tidak mahu menyertai program-program yang bersifat nasional," jelasnya.

Beliau memberi contoh keengganan kaum Cina menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan, dan sekarang 90 peratus anak Cina belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina.

Keadaan itu jauh berbeza berbanding sekitar tahun 70-an dan 80-an yang menyaksikan ramai ibu bapa Cina menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan.

JATI DIRI ETNIK

Teo mengaitkan perubahan sikap kaum Cina ini dengan kebangkitan semula nasionalisme etnik dan pemupukan jati diri etnik dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia.

Perkembangan ini ada kaitan dengan berakhirnya Perang Dingin pada awal 1990-an dan kebangkitan China sebagai kuasa dunia.

Menurut beliau, orang Cina di seluruh dunia termasuk Malaysia berasa begitu teruja tentang potensi China.

"Mereka hendak mengaitkan diri mereka dengan sebuah kuasa besar dan ini tidak susah kerana daripada segi etnik mereka sememangnya orang Cina.

"Bagi saya, tidak salah untuk terus mengekalkan keCinaan itu sebab negara kita majmuk, tetapi yang salahnya apabila kita bangkit semula daripada segi nasionalisme etnik Cina, dan juga memupuk jati diri etnik Cina, sesetengah orang Cina atau sebahagian besar mereka lupa akan nasionalisme kebangsaan kita.

"Lupa jati diri kebangsaan. Di situ mereka tidak dapat mengimbanginya dan itu masalah besar," jelas Prof Dr Teo seraya menambah keadaan itu bukan sahaja melibatkan generasi muda, tetapi juga generasi tua.

PERLU SETIA

"Di mana bumi di pijak di situ langit di junjung". Teo menegaskan kesetiaan mesti lebih kepada di mana mereka tinggal dan mencari rezeki dan dalam hal ini beliau bimbang dengan gejala kurangnya nasionalisme dan jati diri kebangsaan.

Kebangsaan, bagi beliau bermaksud simbol dan proses sosio-budaya Melayu seperti bahasa Melayu dan kebudayaan kebangsaan yang berteraskan budaya Melayu.

Menurut beliau, walaupun kaum bukan Melayu mendukung nasionalisme dan jati diri kebangsaan, ini tidak bermakna mereka tidak boleh langsung mengamalkan budaya mereka.

Katanya, ini terbukti di mana bukan Melayu terus diberi kebebasan mengamalkan warisan dan budaya mereka, dan dalam bentuk asli lagi dengan sokongan kerajaan pula.

"Tetapi ada hanya boleh berbahasa Cina, tidak menguasai bahasa Melayu atau enggan menggunakannya kerana bimbang kehilangan jati diri etnik, selain tidak menghormatinya sebagai bahasa negara.

"Apatah lagi nak menggunakan bahasa Melayu sesama orang Cina! Ini lain halnya dengan bahasa Inggeris yang digunakan tanpa ada buruk sangka sedemikian.

"Ini salah faham yang perlu diperbetul, mereka perlu sedar bahasa Melayu itu bahasa negara, bahasa yang mewakili semua rakyat Malaysia," tegasnya.

Beliau menyifatkan ekstremisme etnik ini sebagai antara faktor penghalang utama kepada pencapaian perpaduan di negara ini.

BAHASA PERPADUAN

Apa yang diperlukan untuk membentuk sikap yang lebih positif adalah lebih banyak pergaulan antara bukan Melayu dengan Melayu.

Menurut Prof Dr Teo, bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan harus dilihat sebagai bahasa perpaduan, iaitu simbol nasional untuk kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya di Malaysia.

Di sini beliau mengutarakan pandangan pentingnya sekolah satu aliran, cara terbaik tetapi sukar dilaksanakan.

Beliau memberitahu sekarang terdapat enam aliran persekolahan iaitu sekolah rendah kebangsaan, sekolah rendah jenis kebangsaan (Tamil dan Cina), sekolah agama (Islam), sekolah swasta yang menggunakan bahasa Inggeris, sekolah persendirian Cina yang menggunakan bahasa Cina, sekolah antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris dan tidak termasuk yang bersekolah bersendirian di rumah.

"Macam mana nak bentuk jati diri kebangsaan yang sama dan satu masyarakat Malaysia yang mendukung asprisai nasional yang sama? Memang sukar sekali, malah tak boleh, mustahil.

"Yang menuntut di sekolah jenis kebangsaan, pemikiran mereka lain daripada yang belajar di sekolah kebangsaan, walaupun kurikulumnya sama. Begitu juga yang pergi ke sekolah swasta dan sekolah antarabangsa.

"Tengok Singapura, satu aliran sahaja, mereka gunakan bahasa Inggeris, manakala bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Melayu diajar sebagai satu subjek sahaja. Dengan cara ini, rakyat Singapura didapati mendukung nasionalisme kebangsaan yang sama, selain mempamer jati diri Singapura yang sama oleh semua, Cina, Melayu dan India.

KURANG MENYOKONG

Bagi ramai anak muda sekarang, terutamanya kaum Cina yang tidak boleh berbahasa Melayu, andaian yang boleh dibuat mereka tidak bergaul dengan orang Melayu justeru tidak memahami cara hidup orang Melayu.

Mereka juga kurang berminat menyertai program anjuran kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan yang membabitkan pelbagai kaum.

Berdasarkan pengalaman peribadinya memberi ceramah di bengkel dan forum antaranya mengenai perpaduan dan Gagasan 1Malaysia, kebanyakan yang hadir ialah Melayu.

"India ada sedikit, Cina boleh dikatakan tak ada langsung. Mereka tak suka ceramah membincangkan soal jati diri dan nasionalisme kebangsaan, yang menekankan penggunaan dan penghayatan simbol dan proses sosio budaya Melayu, antaranya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

"Jadi dalam soal ini hanya orang Melayu yang mendengar," katanya yang secara terbuka turut memberitahu anak-anak muda bukan Melayu juga agak tersisih daripada pemahaman sejarah tanah air, apatah lagi menghayatinya.

Teo berpandangan pemimpin Cina perlu memainkan peranan penting untuk mengimbangi kepincangan yang disuarakannya.

"Perjuangan pemimpin Cina ini lebih kepada menjaga kebajikan orang Cina dalam hal-hal kapitalisme, khususnya ekonomi. Tak ada usaha langsung untuk menasionalkan orang-orang Cina yang kurang nasional.

"Saya mohon pemimpin Cina, baik daripada parti kerajaan mahupun sebaliknya, tanganilah masalah pengimbangan jati diri dan nasionalisme etnik dengan jati diri dan nasionalisme kebangsaan, dalam kalangan komunti Cina.

"Kalau kita tak melakukan sesuatu sekarang, sampai tahun 3030 pun keadaannya masih macam ini, ataupun bertambah buruk lagi," tegasnya.

UBAH SIKAP

Bagi Teo perpaduan tulen akan hanya wujud apabila ada asimilasi psikologi, yang bermaksud menerima cara hidup Melayu dalam kerangka kebudayaan kebangsaan, antaranya menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa negara, dan tidak merasakan semua ini akan menghakis jati diri etnik mereka.

"Mengapa proses ini sukar berlaku di Malaysia, berbanding orang Cina dari Malaysia dan Singapura yang berhijrah ke Australia dan pantas melalui proses asimilasi psikologi?

"Orang Cina juga tidak mempunyai masalah melalui asimilasi psikologi apabila mereka bermastautin di Thailand atau Indonesia.

Teo yang berasal dari Salor, Kelantan berkata walaupun sudah terlajak lebih 50 tahun, rakyat Malaysia perlu bersikap optimistik untuk mencapai perpaduan kaum dan semua pihak perlu menganggap Malaysia sebagai rumah mereka sendiri, bukan rumah sewa atau rumah tumpangan.

Bukan juga setakat tempat untuk mencari duit sahaja dan melaburkan keuntungan daripadanya di tempat lain.

"Mengambil analogi rumah kita sendiri, kita mestilah nak jaganya baik-baik dan kalau nak mengecatnya, kalau boleh kita tak akan beli cat yang murah.

"Kita perlu berkongsi tanggungjawab ini bukan menyerahkan sahaja kepada orang Melayu kerana Malaysia adalah juga tanah air semua

"Kalau ada masalah kita perlu berbincang dengan jujur dengan rasa insaf. Tragedi 13 Mei tidak mustahil boleh berulang sekiranya hubungan etnik negara ini dibiarkan dalam keadaan sedia ada," tegas Teo.

Sumber : Bernama

Template by:
Free Blog Templates