Sabtu, Ogos 27, 2011

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakan guru beragama Islam di seluruh negara. Tidak lupa untuk semua pelajar yang melayari blog saya. Harapan saya semoga bahagia dan bergembira di hari raya. Maaf zahir dan batin jika ada perkataan yang menyinggung perasaan sesiapa juga.

Khamis, Ogos 25, 2011

MODUL KOMSAS JOHOR

DRAMA  :  CEMPAKA BERDARAH

Baca petikan drama di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

MAK JAH : Benar tuan, perangainya saling tak tumpah perangai arwah ayahnya.

PROF. PETER  :  Ayahnya sudah lama meninggal?

MAK JAH  :  Dah lama tuan, masa perang Jepun. Zaman pun lahir masa itu. Saya
                 namakan dia Mohamad Zaman, zaman Jepun.

PROF.PETER  : Oo...begitu, tetapi mengapa Mak Jah tak menggunakan nama
Mohamad Jepun?

MAK JAH :  Saya tak suka nama Jepun, tuan.  Nama itu jahat. Orang Jepun ganas dan kejam,tentu tak baik nama mereka kita pakai. Nama orang Melayu banyak yang diambil daripada nama orang Islam, tuan.

PROF. PETER  : Saya tahu, apakah Orang Putih tidak baik,  Mak Jah?

MAK JAH : Orang Putih baik, tuan, tetapi...mereka bekas penjajah negeri ini, tuan.
Tentu tak sesuai orang Melayu gunakan nama Orang Putih.

PROF. PETER  : Nampaknya Mak Jah begitu kuat faham nasionalisme ya...
                                     
(Dipetik daripada drama “Cempaka Berdarah” karya A. Rahim Abdullah dalam antologi Harga Remaja, hlm 257)

(i) Jelaskan pendapat Mak Jah tentang zaman pendudukan tentera Jepun.   
[3 markah]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah Prof. Peter menganggap nasionalisme Mak Jah sangat  kuat?
                                                                                                                                 [3 markah]

(iii) Huraikan satu perwatakan Mak Jah berdasarkan petikan drama dan dua perwatakannya   yang lain dalam keseluruhan drama.                                                       
[3 markah]
Skema jawapan :

(i)    Pendapat Mak Jah tentang zaman pendudukan tentera Jepun.
  • Penuh dengan kekejaman 
  • Penuh dengan keganasan
  • Penindasan terhadap  sesama manusia
  • Orang Melayu tidak suka menggunakan nama orang Jepun untuk anak mereka,  sebaliknya menggunakan nama orang Islam.
 (ii)  Prof Peter menganggao nasionalisme Mak Jah sangat kuat kerana
                                                                                                              
  • Mak Jah tidak suka menamakan anaknya dengan nama Jepun kerana Jepun ganas dan kejam.
  • Orang Melayu tidak sesuai menggunakan nama Orang Putih keran mereka bekas penjajah Tanah Melayu.

(iii)   Huraikan satu perwatakan Mak Jah berdasarkan petikan drama

Memiliki semangat nasionalisme yang sangat kuat. 
Contohnya dia benci penjajah sehingga tidak mahu menamakan anaknya dengan nama penjajah.

Duaa perwatakannya Mak Jah dalam keseluruhan drama.                                                                                     

Prihatin tentang pelajaran anaknya. 
Contohnya, dia sempat bertanyakan pelajaran anaknya Zaman kepada Prof. Peter.

Penyayang
Contohnya dia bersungguh-sungguh menghalang Prof. Peter membawa Cempaka kerana amat menyayangi Cempaka seperti anaknya sendiri.


Rabu, Ogos 24, 2011

MODUL KOMSAS JOHOR 2011

TEKS              :    IBU DAN CEPER
ANTOLOGI   :    HARGA REMAJA    

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan perkataan anda sendiri.
Kucintai Sungai Ceper sama seperti kucintai ibu. Ia bermula dari satu titik dan kemudian berkembang menjadi besar dan akhirnya membentuk dirinya sebagai sebuah sungai yang panjang berliku-liku membawa kejernihan yang benar-benar sejahtera dengan arus yang kuat mendukung ketenteraman. Pasir-pasir yang berbiji halus ,batu-batu kerikir yang berkilat mengalir di bawah bersama ikan yang cerdas.
Saling tidak tumpah seperti ibu yang rancak ke sana rancak ke sini seperti air terjun.Ibu tidak boleh tinggal sepanjang hari, sama seperti air Sungai Ceper yang bergerak bersama ikan, menampar tebing yang berselekoh,memasuki lubuk-lubuk yang dalam.
Ibu juga bergerak di mana saja dia berada.Kalau di baruh,ibulah yang menajak dan menyisir belut.Ibulah yang pikul gemal dan tanam benih-benih itu dengan tulang empat kerat ibu yang tidak pernah tidak bermaya itu.Kelak ibulah yang mengejar burung apabila padi menguning. Dan ibu jugalah yang menuai padi apabila padi masak sampai habis gemal-gemal itu dijunjung naik masuk jelapang.
Ceper pun serupa. Ia memancutkan airnya begitu deras bagaikan anak panah yang baru saja lepas dari busurnya. Dan pancutkan itu menebuk tebing hingga mencipta lubuk yang dalam-dalam, menyusur dasar bersama ikan-ikan yang bercahaya matanya,bersama anak-anak dan bapa-bapa undang,bersama lumut yang lembut kehijau-hijauan dan bercahaya seperti manik-manik dipanah cahaya lampu. Aku bersama sahabat-sahabat sebaya bersorak dengan penuh tenaga apabila sekali-sekala kami turun ke lubuknya meragau ikan atau sekadar menyembunyikan pucuk-pucuk buluh bermain acilut.
Selesai saja subuh, ibu sudah berada di bumi. Kalau musim bersawah,di sawahlah.Kalau musim tetak mengluang di payalah.Kalau musim berderau di rumah kenduri atau bersama keluarga menziarahi mayat, ibu ada-ada saja kerjanya.
                                                                                                               
1. Gambarkan keadaan Sungai Ceper.                                                                                     
[3 markah]
Jawapan :
Keadaan sungai Ceper ialah sungai Ceper telah berubah dari sungai yang kecil menjadi sebuah sungai yang besar dan panjang serta berliku-liku. Malahan Sungai Ceper telah mengalir dengan jernih dan arusnya begitu kuat. Seterusnya, pasir-pasir sungai Ceper berbiji halus, batu kerikinya berkilat dan kelihatan ikan berenang. Bahkan sungai Ceper yang mengalir telah memukul tebing yang berselekoh dan memasuki lubuk-lubuk yang dalam.

2.     Pada pendapat anda, apakah fungsi sungai kepada masyarakat yang tinggal di kampung?                                                                                                                                                       
[3 markah]
Jawapan :
Pada pendapat saya, fungsi sungai kepada masyarakat yang tinggal di kampung ialah sungai menjadi jalan perhubungan yang utama. Sungai membekalkan air bersih untuk minuman, membasuh dan mandi-manda. Sungai menjadi sumber air untuk mengairi kawasan pertanian. sungai menjadi sumber rezeki penduduk yang bergantung kepada tangkapan ikan dan udang.

3.    Berikan dua latar masyarakat yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan dua latar masyarakat yang terdapat dalam keseluruhan cerpen.                                                
[3 markah]
Jawapan
Latar masyarakat yang terdapat dalam petikan ialah latar masyarakat kampung. Contohnya, ibu yang tinggal di kampung akan membajak sawah menuai padi, menetak mengkuang dan bergotong-royong mengerjakan sawah.
Latar masyarakat yang terdapat dalam keseluruhan cerpen ialah latar masyarakat yang tidak menghargai kebersihan sungai. Contohnya, Ceper tidak tercemar kerana dijadikan tempat membuang segala bahan yang tidak diperlukan oleh penduduk.

Isnin, Ogos 22, 2011

KAMI MENITIPKAN BELASUNGKAWA



SELAMA berada di katil R/N 838715 wad CRW Hospital Pulau Pinang dan masuk minggu keempat iaitu pada 15 April 2011 semasa beliau hendak menjalani pembedahan jantung, Azizi Abdullah sempat melakar catatan di dalam blognya.
"Sungguh-sungguh amat terasa doa kawan-kawan melalui pengakuan lewat Facebook, e-mail, blog dan SMS. Kudusnya seperti angin malam membisik ke telinga memberitahu bagaimana mereka bermunajat memohon seorang hamba yang terlantar ini kembali sembuh seperti mereka.
"Saya sangat sedar bagaimana kawan-kawan, peminat mengharap saya dipanjangkan umur untuk terus menulis."
Demikian antara baris-baris tulisan terakhir di dalam blognyanya. Namun, Azizi menghembuskan nafas terakhirnya pagi semalam.

Novelis yang terkenal dengan novel Seorang Tua di Kaki Gunung ketika naskhah itu dijadikan teks wajib pelajar Tingkatan Lima kira-kira 20 tahun lalu, meninggal dunia selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang sejak 11 Ogos lalu.
Sebelum itu pun Allahyarham telah dimasukkan ke hospital berkenaan pada Mac tahun ini dan menjalani pembedahan jantung April lalu.

Namun menurut rakan-rakannya, keadaan Allahyarham tidak stabil akibat komplikasi serangan kuman, kencing manis dan masalah buah pinggang.
Bekas guru Pendidikan Islam adalah antara aktivis yang gigih, berani dan cekal untuk menyatakan kebenaran terutama dalam penulisan beliau.
Pemikiran, falsafah, hasil karya dan pemikiran Azizi dalam berkarya sangat dihormati. Gaya penulisan dan persembahan tulisannya cukup meresap ke sanubari sesiapa yang membacanya.
Sejarah bakat menulis Azizi bermula ketika di sekolah agama, kira-kira dalam tahun 1960-an. Sepanjang bergelumang dalam dunia sastera, Azizi telah menghasilkan lebih 30 buah novel, tidak kurang 300 cerpen, ratusan artikel sastera dan kritikan sosial, 5 antologi cerpen, penulis drama radio, drama TV dan empat buah buku sosial.
Allahyarham juga dianggap oleh sesetengah penulis sebagai 'Penulis Sayembara' kerana sering memenangi anugerah.
Walaupun semasa bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah, Allahyarham banyak menghasil cerpen dan dimuatkan dalam akhbar-akhbar tempatan terutamanya Utusan Melayu dan Mingguan Malaysia.

Antara hasil karya sayembara Azizi yang terkenal ialah Wi & William (Hadiah Sako), Jati Diri(Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1995); Di Qalaah Salehuddin (Hadiah Sastera Utusan Public Bank 1998).
Sebagai pesara guru, cerpenis, novelis dan penyajak, Azizi diterima sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (Januari 2005 - Disember 2005) untuk penulisan novel bertajuk "Sangeetha."
Selepas bersara sebagai guru, Azizi menjadi Editor Utusan Pengguna terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan terus aktif berkarya menghasilkan novel serta kritikan politik berunsur satira.

Dua novel terbarunya "Anak Belantera" dan "Badai Cinta", baru sahaja memasuki pasaran bebeberapa bulan lalu.
Sumbangan Azizi dalam dunia sastera Malaysia amat besar. Untuk menghargai jasa-jasanya itu Allahyarham adalah antara 10 penerima awal Anugerah Penulis SEA (SEA Write Award) - anugerah yang diberikan setiap tahun semenjak 1979 kepada penyair dan penulis di Asia Tenggara oleh kerajaan Thailand.
Azizi menerima anugerah itu pada 1988. Anugerah ini meletakkan Azizi sebaris dengan sasterawan dan karyawan tanah air seperti A. Samad Said, Baharuddin Zainal (Baha Zain), Abdullah Hussein, Usman Awang, Adibah Amin, A. Latiff Mohidin, Arena Wati (Muhammad Dahalan Abdul Biang), Kemala (Ahmad Kamal Abdullah) dan Noordin Hassan.

Al-fatihah buat Allahyarham Azizi Abdullah.

Sumber : Utusan Malaysia

Ahad, Ogos 21, 2011

PELUANG SAMA RATA UNTUK MENJAWAB

Soalan karangan yang dikemukakan dalam BM kertas 1 sifatnya mesti memberi peluang sama rata untuk semua jantina, bangsa dan agama untuk menjawabnya. Soalan yang condong memihak kepada suatu jantina, bangsa dan agama biasannya dielakkan daripada dikemukakan. Sebagai contoh, isu kemerosotan mutu sukan bola sepak hanya memberi peluang lebih baik kepada pelajar lelaki tetapi bagi pelajar wanita yang tidak meminati bola sepak tidak berpeluang untuk menjawab soalan tersebut. Soalan tersebut sepatutnya punca kemerototan mutu sukan negara secara umum. Dalam hal ini, pelajar berpeluang menjawab dengan mengemukakan mana-mana jenis sukan yang diminati misalnya bolasepak, bola jaring, badminton dan sebagainya.

Sabtu, Ogos 13, 2011

SOALAN KARANGAN LEBIH BERBENTUK POSITIF



Pada tahun 2010, LPM mengeluarkan soalan yang hampir kesemuanya berbentuk positif seperti cadangan, langkah, kebaikan, peranan dan sebagainya. Tiada unsur negatif seperti kesan buruk, masalah, mala petaka, kerumitan dan sebagainya digunakan dalam soalan.

Soalan BM Julai 2010

1. Anda telah menyertai satu pasukan sukarelawan yang membantu mangsa bencana alam.
Ceritakan pengalaman anda semasa menjalankan tugas tersebut.

2. Amalan meraikan hari-hari istimewa seperti Hari Ibu, Hari Bapa dan hari lahir setiap ahli keluarga semakin popular dalam kalangan masyarakat.
Huraikan kepentingan-kepentingan meraikan hari-hari istimewa tersebut.

3.  Isu kenaikan harga barang keperluan hanan perlu ditangani kerana kenaikan itu menimbulkan
pelbagai kesan terhadap rakyat di negara ini.
Tulis sebuah rencana yang berta juk `Peranan Pelbagai Pihak dalam Menangani Isu Kenaikan Harga Barang'.

4.  Semua pemimpin negara di dunia wajar menjalinkan hubungan baik antara satu sama lain.
Jelaskan manfaat-manfaat yang diperoleh melalui hubungan baik pemimpin-pemimpin negara di dunia.

5.                                                                 Jika ilmu dikaji teliti,
di sungai cabaran tersedia titi.
Ilmu dituntut dengan tabah, yakin diri bertambah-tambah.

Petikan gurindam di atas menggambarkan bahawa ilmu sangat penting dalam kehidupan.
Bincangkan kelebihan orang yang menguasai pelbagai ilmu.

Soalan BM Nov 2010 :

1. Anda telah dilantik sebagai pengawas sekolah.
Sebagai pengawas, bincangkan peranan anda untuk membantu pihak sekolah membentuk murid yang berdisiplin.

2.  Seorang ibu dapat menjaga sepuluh orang anak tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu.


Situasi seperti yang di atas seharusnya tidak berlaku dalam sesebuah masyarakat.
Jelaskan tanggungjawab yang sepatutnya dilaksanakan oleh anak-anak terhadap ibu bapa.


3.  
Negaraku
Tanah tumpahnya darahku
Rakyat hidup bersatu dan maju
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertakhta

Lirik lagu Negaraku di atas antaranya menyentuh soal perpaduan, kesyukuran dan taat setia rakyat kepada raja dan negara.

Huraikan peranan setiap rakyat Malaysia dalam menjamin kesejahteraan negara sebagaimana yang dihasratkan dalam lirik tersebut.

4. Penyakit berjangkit seperti selesema burung, influenza A (H1N1) dan meningitis atau radang otak telah menjadi isu global.
Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara-negara di dunia untuk menangani wabak penyakit tersebut.

5. Peribahasa 'Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’ membawa maksud bahawa jika ada azam dan usaha, pasti ada kejayaan.
Tulis  sebuah cerpen berdasarkan maksud peribahasa tersebut


SPM 2011 JULAI


1. Huraikan faedah-faedah yang diperoleh daripada sesuatu hobi.


2. Beri komen tentang mengapa sesetengah pihak berpendapat bahawa ibu bapa kurang memberikan perhatian kepada anak-anak yang meningkat remaja berbanding dengan perhatian yang diberikan semasa anak-anak di sekolah rendah.


3.  Potensi industri Kraf Tangan di Malaysia


4. Langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan antarabangsa.


5.  Tuliskan cerita berkaitan pantun... Pulau Pandan Jauh ke tengah.....
fokus soalan ialah tentang budi dan jasa seseorang yang tetap dikenang walaupun sudah meninggal dunia.

KOMEN :
Trend soalan yang dipaparkan di atas TIDAK SAMA SEKALI mengesahkan bahawa tiada unsur negatif seperti kesan negatif akan digunakan dalam peperiksaan SPM Nov 2011. Namun penulis yakin bahawa penerapan unsur positif akan menghasilkan lebih banyak pelajar yang berfikiran positif yang bakal melahirkan pemikir untuk menyelesaikan suatu isu pada masa hadapan.

Selasa, Ogos 09, 2011

CARA MEMPROMOSI BATIK BUATAN MALAYSIA

 Batik buatan Malaysia bukan sahaja boleh digunakan dalam majlis rasmi , bahkan dalam acara sukan lasak seperti :Flying Fox" juga batik boleh digunakan. Aktiviti bidan terjun semasa mengikuti kursus bersama-sama pengetua daerah Johor Bahru di Pulau Sibu, Mersing menampilkan gaya tersendiri walaupun berbaju batik. CINTAI BARANG BUATAN MALAYSIA

Isnin, Ogos 08, 2011

BONUS UNTUK PENJAWAT AWAM


Kerajaan umum bonus setengah bulan untuk penjawat awam

08/08/2011 6:15pm

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Kerajaan bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam bulan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
"Bonus dan bayaran khas ini akan dibuat pada pertengahan bulan ini,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, bonus itu adalah bagi menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap pemberian bonus dan bayaran khas ini dapat meringankan beban penjawat awam dan para pesara kerajaan dan membantu mereka membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri. – Bernama

Syukur alhamdulillah.....inilah yang dikatakan mendapat durian runtuh. Semoga pemberian bonus ini dapat meringankan beban kewangan penjawat awam untuk  menyambut Hari Raya Aidilfitri.

PERANAN PELBAGAI PIHAK MEMBANTU OKU




             Sebagai warganegara Malaysia, rakyat dikehendaki menghayati dan mempraktikkan prinsip-prinsip Rukun Negara untuk memupuk semangat perpaduan. Rukun Negara diperkenalkan untuk menyatupadukan rakyat Malaysia supaya mereka saling menghormati, membantu, memahami dan bekerjasama. Dengan ini, sebuah masyarakat penyayang dapat diwujudkan. Walau bagaimanapun, masyarakat penyayang tidak dapat diwujudkan sekiranya masyarakat yang bersifat individualistik dan materialistik masih wujud dalam jiwa mereka. Mereka tidak sanggup menghulurkan bantuan kepada golongan yang lemah dan bersikap mementingkan diri sendiri sepertienau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Hal ini jelas diperlihatkan dalam isu Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini. Terdapat sebahagian masyarakat memandang rendah orang kurang upaya dan menganggap mereka tidak mampu memberikan jasa, sumbangan dan perkhidmatan kepada keluarga, masyarakat dan negara. Sebenarnya, ramai orang kurang upaya hanya mempunyai kecacatan dari segi fizikal , akal mereka masih sempurna dan dapat berfikir dengan matang. Mereka masih berupaya dan berkemampuan menyumbang jasa dalam pembangunan negara. Namun, kemampuan mereka telah dinafikan oleh masyarakat. Mereka tidak mempunyai peluang untuk membuktikan keupayaan mereka. Persoalannya, mengapakah langkah-langkah yang diambil untuk menjaga kebajikan serta kedudukan sosial OKU dalam masyarakat cuma bagai mencurahkan air ke daun keladi atau menampal kersik ke buluh? Walaupun kempen demi kempen terus dianjurkan namun, kebajikan golongan OKU tetap diabaikan. Dalam hal ini, siapakah yang harus disalahkan? Sikap menuding jaritidak akan menguntungkan sesiapa melainkan menambahburukkan situasi yang semakin parah. Oleh sebab itu, setiap pihak harus memainkan peranan masing-masing danmenjangkau sehabis tangan dalam melaksanakan prakarsa-prakarsa  yang pragmatik lagi efektif bagi membantu golongan OKU. 

               Sebagai mukadimah perbincangan, saya akan memfokuskan perbincangan saya secara mendalam dan menyeluruh lagi objektif dengan menyelami, membedah siasat dan mendiagnosis cara-cara yang dapat dilaksanakan untuk membantu golongan OKU dari perspektif peranan yang dimainkan oleh ibu bapa. Umum mengetahui bahawa setiap ibu bapa berharap anak-anak mereka sihat supaya kehidupan mereka lebih sempurna dan gembira. Namun, hakikat adalah berlawanan daripada apa-apa yang diharapkan kerana terdapat ibu bapa yang mendapat anak yang cacat dari segi fizikal. Dalam kalangan ibu bapa ini, terdapat segelintir ibu bapa sampai hati untuk meninggalkan anak kandung mereka di rumah anak yatim ataupun di rumah kebajikan. Malahan, terdapat ibu bapa yang mengurungkan anak mereka di dalam bilik kerana malu memiliki anak yang cacat. Mereka juga tidak menghantar anak mereka ke sekolah kerana menganggap anak mereka tidak mampu menerima pelajaran di sekolah. Sebagaimana yang kita ketahui bahawa anak-anak merupakan anugerah yang terbaik dikurniakan oleh Tuhan kepada ibu bapa. Jadi, di bahu ibu bapa tergalas amanah yang sangat besar untuk memastikan anak-anak mempunyai kehidupan yang bahagia tanpa mengira anak itu cacat atau sempurna. Sebagai ibu bapa, mereka patut melindungi anak yang kurang upaya dan menghantar mereka ke sekolah untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan supaya mereka boleh berdikari dan menyara kehidupan pada masa akan datang. Selain itu, ibu bapa juga patut menghantar anak-anak kurang upaya ke sekolah atau kolej yang menawarkan kursus kemahiran agar mereka mempunyai kemahiran untuk kerjaya masa depan mereka.  Bagi ibu bapa yang memiliki anak yang sihat, mereka tidak boleh bersifat berpeluk tubuh malah seharusnya menghulurkan bantuan kepada OKU. Peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlu mendidik anak mereka supaya bersimpati  akan nasib malang yang menimpa OKU. Ibu bapa sepatutnya bersedia membantu golongan OKU tanpa mengira warna kulit dan agama seseorang.  Sekiranya ibu bapa terjumpa orang buta melintas jalan raya, ibu bapa hendaklah membantu mereka agar mereka dapat melintas jalan raya dengan selamat. Daripada peristiwa itu, ibu bapa telah menjadi suri teladan  kepada anak-anak mereka. Bak kata peribahasa, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak umpama sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan menggilap dan mencanainya sehingga menjadi berlian yang indah dan berkilat. Pada masa lapang, ibu bapa boleh membawa anak mereka pergi ke pusat kebajikan untuk melakukan kerja amal bagi membantu OKU. Dengan melakukan kerja-kerja amal, ibu bapa dan anak-anak dapat membantu OKU di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga  persis  peribahasa sambil menyelam minum air. 

             Jika kita bersedia memerah otak dan berikhtar berhempas pulas, jalan penyelesaian yang berkesan tentu ada dan tentu bukan satu sahaja kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pihak kerajaan harus melakukan sesuatu untuk membantu OKU. Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Pusat Kebajikan Masyarakat pada tahun 2009 menunjukkan bahawa kadar kemiskinan semakin meningkat disebabkan tiang keluarga tidak dapat bekerja dan mencari rezeki akibat cacat. Oleh hal yang demikian, kerajaan bukan sahaja perlu menyediakan tabung bagi membantu keluarga yang miskin malahan perlu menyediakan tabung untuk keluarga yang mempunyai ahli yang cacat supaya dapat meningkatkan kualiti kehidupan mereka. Tidak dapat menafikan bahawa pertambahan rumah setinggan di negara kita disebabkan oleh cara penyelesaian yang tidak sempurna. Ada angin ada pokoknya, kebanyakan golongan OKU tidak mendapat peluang pekerjaan dan menganggur dalam jangka masa yang panjang malah mereka juga tidak mampu membiayai perbelanjaan perubatan yang besar. Sekelompok daripada mereka tidak mempunyai tempat perlindungan. Dalam konteks ini, pihak kerajaan sepatutnya mewujudkan kebajikan perubatan kepada OKU supaya mereka mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan atau di pusat kesihatan kerajaan. Pihak hospital swasta juga harus bertimbang rasa dengan memberikan keistimewaan kepada golongan OKU melalui pemberian diskaun. Perkhidmatan Kebajikan Am dan Jabatan Kesihatan Negeri harus melipatgandakan usaha mendaftarkan OKU melalui bantuan alat-alat pemulihan seperti kerusi roda dan menyediakan latihan perusahaan dan vokasional. Kerajaan harus memperbanyakkan rumah murah dan memberikan keutamaan kepada mereka supaya mereka dapat membeli rumah dengan kos yang rendah. Pihak kerajaan harus mengalakkan golongan OKU belajar di sekolah teknik yang boleh membekalkan mereka ilmu kemahiran seperti kemahiran menghasilkan kraf tangan. Secara tidak langsung, pengusaha kraf tangan tidak perlu bimbang lagi bahawa tiada generasi muda yang ingin mewarisi malah kemahiran ini akan diwarisi serta dipelajari oleh generasi akan datang. Pihak kerajaan patut menganugerahkan penghargaan seperti pingat dan sijil kepada golongan OKU yang berjaya dan berjasa dalam sesuatu bidang. Agensi-agensi Bukan Kerajaan (NGO) secara sukarela hendaklah menyediakan beberapa kemudahan bagi OKU seperti penubuhan Persatuan Kusta dan Rumah Amal Cheshire yang sejajar dengan cogan kata ‘’Kebajikan Adalah Tanggungjawab Bersama’’. Pihak kerajaan tidak harus mengamalkan sikap memekakkan telinga yang tajam, menutup mata yang celik dan membutakan  hati yang insaf dalam peranan membantu OKU.

              Sebagaimana kita maklum, media massa juga memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu golongan OKU. Media massa merupakan wahana yang dominan dalam  mempengaruhi minda seseorang dengan cepat dan berkesan. Generasi kini terutamanya golongan remaja tidak dapat menjauhkan diri daripada pengaruh media massa. Media massa telah berkembang dengan pesat dan bilangannya tumbuh dengan begitu cepat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Media massa terbahagikan kepada dua iaitu media cetak dan media elektronik. Media massa merupakan pihak yang dapat memberikan maklumat lanjut tentang golongan OKU dan cara untuk membantu mereka. Media cetak merupakan media yang menggunakan kaedah tulisan seperti surat khabar, majalah dan buku. Media elektronik pula merupakan media yang menggunakan teknologi terkini yang menggunakan kaedah elektronik dan elektrik seperti radio, televisyen dan internet. Media massa harus menekankan keprihatinan masyarakat terhadap golongan OKU dan menghormati mereka sebagai insan ciptaan Tuhan. Iklan yang berkaitan dengan sumbangan yang perlu diberikan oleh golongan OKU harus diuar-uarkan supaya semua masyarakat mengetahui dan menyalurkan sumbangan kepada yang memerlukan. Media massa juga boleh bertindak dengan menyeru masyarakat memberikan sumbangan kepada golongan OKU yang memerlukan bantuan dari segi kewangan. Masyarakat harus diberitahu bahawa golongan OKU berhak mendapat peluang pendidikan dan juga bersosial dengan masyarakat serta tidak dipisahkan daripada aktiviti kemasyarakatan. Masyarakat harus memberikan layanan yang saksama kepada golongan OKU. Artis-artis tempatan yang terkenal sepatutnya memberikan  sokongan sepenuhnya kepada golongan OKU dengan  menyeru masyarakat memberikan perhatian dan sokongan kepada OKU dengan menggunakan pengaruh mereka yang kuat terhadap masyarakat. Media massa harus bekerjasama bagai aur dengan tebing bersama-sama artis-artis tempatan menekankan bahawa kecacatan bukan penghalang dalam memberikan sumbangan yang bermakna kepada produktiviti dan kemajuan negara. Banyak individu cemerlang telah berjaya meningkatkan nama baik negara dalam aspek sukan, pertandingan dan juga keputusan yang baik walaupun mereka mempunyai kecacatan dari aspek fizikal.

             Memang tidak dapat dinafikan bahawa remaja sekarang tidak mempunyai pegangan agama dan didikan moral yang kuat. Hal ini menyebabkan mereka memandang rendah terdapat sesiapa yang lemah daripada mereka terutamanya golongan kurang upaya yang cacat dari segi fizikal. Didikan agama dan moral mampu membentuk jati diri remaja. Dalam hal ini, pihak sekolah yang bertanggungjawab mendedahkan nilai murni kepada pelajar. Dengan mempunyai nilai murni yang baik, remaja generasi kini akan mempunyai kesedaran untuk menghormati hak golongan OKU. Remaja haruslah dididik oleh pihak sekolah tentang kesusahan yang dialami oleh OKU dan mereka sepatutnya menghulurkan bantuan dan tidak harus menghina mereka lagi. Hal ini adalah kerana golongan OKU juga merupakan makhluk yang diberi peluang untuk menjalani kehidupan biasa seperti manusia normal. Didikan agama juga sering mengajar manusia agar berbuat baik kepada semua orang tanpa mengira paras rupa, bentuk badan mereka sama ada mereka normal atau sebaliknya. Setiap individu memerlukan pengiktirafan daripada masyarakat bahawa mereka masih diterima oleh semua orang. Guru sendiri harus memainkan peranan yang penting dengan menjadi teladan baik kepada pelajar seperti membantu pelajar yang cacat dan memberikan sepenuh kasih sayang kepada mereka. Pelajar digalakkan membantu rakan mereka yang cacat semasa mereka dalam kesusahan supaya mereka tidak berasa tersisih. Guru harus memberikan layanan yang adil dan saksama kepada semua pelajar. Pihak sekolah sepatutnya  menyediakan kemudahan khas untuk pelajar kurang upaya seperti tandas khas. Perlindungan juga harus diberi dalam bentuk biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar kurang upaya. Tindakan sedemikian adalah untuk menggalakkan mereka terus berusaha dan bersemangat gigih serta memastikan mereka dapat melanjutkan pelajaran pada masa akan datang. Melalui sekolah yang merupakan rumah kedua pelajar, pelajar akan menghormati golongan OKU dengan sepenuh hati. Hari Orang-orang Cacat Sedunia boleh dianjurkan oleh pihak sekolah bagi mengiktirafkan sumbangan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara. Pelajar harus diberi kesedaran tentang  pentingnya menghormati  hak-hak  golongan OKU. 

               Sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai pihak harus bekerjasama untuk memberikan kesedaran kepada semua masyarakat tentang golongan OKU dan cara untuk membantu mereka. Golongan OKU harus dihormati dan dipandang tinggi kerana mereka mampu mencapai kecemerlangan yang tinggi walaupun cacat. Sejarah telah membuktikan bahawa kecacatan bukan penghalang untuk berjaya dalam hidup dan menyumbang bakti kepada pembangunan masyarakat dan negara. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah Beethoven yang merupakan seorang pemuzik terkenal yang cacat pendengaran serta Professor Ismail bin Mohd.Salleh yang cacat penglihatan tetapi mendapat kejayaan dalam  bidang akademik . Masyarakat dan pihak lain harus memberi galakan kepada golongan OKU supaya mereka akan terus berusaha dalam bidang yang diminati sehingga mencapai kejayaan kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. PBB juga telah mengiytiharkan sumbangan golongan OKU yang termaktub dalam Hak Orang Kurang Upaya 1975. Mereka mendapat hak serasi dengan semua manusia. Masyarakat harus menghargai golongan OKU dengan memahami mereka kerana kelahiran, keturunan, kemalangan atau penyakit menyebabkan kita lebih faham dan berasa bersyukur kepada Tuhan tentang diri sendiri. Golongan OKU harus diberi penghargaan dan diumumkan kejayaan oleh pihak kerajaan sebagai satu simbol kejayaan dan semangat dedikasi mereka dalam pembangunan negara. Janganlah menghina golongan OKU ini memandangkan mereka juga mempunyai ciri-ciri keperibadian yang istimewa. Marilah kita bersama membantu golongan OKU dan bersama-sama menyahut seruan kerajaan dengan mencapai Wawasan 2020 yang bertujuan untuk mewujudkan kelompok masyarakat yang sama taraf dan bantu-membantu.

Sumber : Blog Cikgu Zainafsiah

http://zaizak69.blogspot.com/

Ahad, Ogos 07, 2011

CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG / KUALITI

Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan namun, remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara saujana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Soekarno pernah mengungkap, “Berikan saya 10 belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia.” Ternyatalah di sini bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa.
Kecemerlangan dari aspek akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik Rakyat sihat, negara maju dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu, remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, Ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik tidak dapat menjamin kejayaan seseorang jika tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang berkualiti perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baru yang penuh dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial, seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi. Seperti peribahasa, Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalihRemaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai dalam kehidupan kita. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan. Remaja yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.
Selain itu, remaja yang berkualiti juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja yang berkualiti harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan masyarakat sakinah dan madani pada suatu hari nanti.
Sementelahan pula, remaja yang berkualiti perlu kreatif dan inovatif untuk memacu kegemilangan negara. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baru akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi. Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak.
Intihanya, Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

[724 patah kata]

Template by:
Free Blog Templates