Rabu, Mac 30, 2011

BAHAS ALA PARLIMEN ZON MAJIDI

Bahas ala parlimen Zon Majidee.
Tarikh : 30 Mac 2011
Masa : 8.00 pagi hingga 4.30 petang
Tempat : SMK Dato Jaafar, Johor Bahru.

Pasukan yang menyertai pertandingan :
1. SMK (P) SIGS
2. SMK Convent
3. Maktab Sultan Abu Bakar
4. SMK Tun Syed Nasir
5. SMK Dato Jaafar
6. SMK Sri Tebrau
7. SMK St Joseph
8. SMK Taman Pelangi

Pertandingan akhir :  SMK (P) SIGS sebagai pihak Kerajaan dan MSAB sebagai pihak pembangkang

USUL : 1 MALAYSIA BERMULA DI SEKOLAH.

Keputusan : USUL DITERIMA.

Rabu, Mac 23, 2011

Seramai 9,239 Pelajar Dapat Semua A Dalam SPM 2010



PUTRAJAYA: Seramai 9,239 calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia telah mencatatkan gred keputusan cemerlang dengan mendapat semua A bagi setiap mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.
Keputusan tersebut mencatatkan peningkatan sebanyak 1,252 orang calon berbanding 7,987 pelajar pada tahun 2009.
Ia diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Abdul Ghafar Mahmud semasa mengumumkan analisis keputusan SPM di Kementerian Pelajaran di sini, Rabu.
Beliau berkata keputusan tersebut merupakan keputusan terbaik dalam tempoh empat tahun.
Daripada jumlah tersebut, seramai 363 calon berjaya mendapat A+ bagi semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 214 calon pada 2009.
"Calon yang mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau gred C bagi semua pelajaran juga meningkat iaitu daripada 60,114 calon kepada 68,114.
"Bilangan calon yang memperoleh pencapaian semua A, meningkat bagi calon yang mengambil sembilan dan sepuluh mata pelajaran sementara pencapaian calon yang mendapat semua A bagi yang mengambil 11 dan 12 mata pelajaran adalah menurun,” katanya.
Jelasnya, bilangan calon yang gagal atau memperoleh gred G bagi semua mata pelajaran turut menunjukkan penurunan seramai 104 calon iaitu seramai 2,773 pada tahun lepas berbanding 2,877 pada 2009. "Jadi calon yang mendapat gred Cemerlang Tertinggi adalah masih terlalu sedikit berbanding bilangan calon yang gagal semua mata pelajaran iaitu 2,773 calon," katanya.
Abdul Ghafar berkata pencapaian calon sekolah swasta dan calon sekolah tajaan agensi selain kementerian, seramai 40 calon berjaya memperoleh gred cemerlang semua mata pelajaran berbanding 41 calon pada 2009.
Bagi calon yang berkeperluan khas pula, 319 calon berjaya mendapat sijil SPM dan daripada jumlah itu tujuh calon mendapat keputusan semua A bagi semua mata pelajaran yang diduduki.
Beliau turut mengesahkan bahawa pencapaian mata pelajaran pula 55 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi melebihi tiga peratus untuk gred cemerlang, dengan 39 subjek tidak berubah manakala sembilan lagi mencatatkan penurunan.
"Bagi gred kepujian (B+,B,C+,C) sebanyak 18 mata pelajaran meningkat, 43 stabil manakala 42 menurun dan kategori lulus pula (D dan E) sebanyak lima mata pelajaran adalah stabil dan 31 lagi menurun melebihi tiga peratus,” katanya.
Mengenai pencapaian sekolah pula, Abd Ghafar berkata sebahagian besar sekolah dirumuskan berada dalam kategori pencapaian sekolah Cemerlang, Baik dan Memuaskan manakala hanya 66 sekolah memperoleh pencapaian berpotensi.
Beliau berkata pencapaian calon mengikut lokasi turut meningkat dan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar dapat dikurangkan sebanyak 0.18 Gred Purata Nasional (GPN).
"Pencapaian calon luar bandar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sains adalah lebih baik daripada pencapaian di bandar sementara jurang prestasi dalam Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral masih perlu dipertingkatkan.
"Semua pihak yang terlibat khususnya para pentadbir dan guru-guru sekolah berjaya memainkan peranan masing-masing dengan efektif dan efisien hingga dapat melahirkan pelajar yang berupaya mencapai kecemerlangan akademik," katanya.
Ditanya mengenai senarai nama pelajar dan sekolah yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2010, Abdul Ghafar berkata satu majlis khas akan diadakan di Lembaga Peperiksaan Malaysia, Jalan Duta Kuala Lumpur pada 1 April ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka merasmikan majlis berkenaan.

Sumber : Mstar Online

Isnin, Mac 21, 2011

TEMA HARI GURU TAHUN 2011

'GURU  PENJANA  TRANSFORMASI PENDIDIKAN  NEGARA'

Isnin, Mac 14, 2011

DATUK LEE CHONG WEI JUARA


Datuk Lee Chong Wei menjuarai kejohanan badminton All-England tahun 2011 apabila menewaskan musuh ketatnya Lin Dan dari negara Cina dengan 21-17 dan 21-17 sebentar tadi. Diharapkan prestasi Datuk Lee Chong Wei akan sentiasa konsisten sepanjang tahun 2011. Tahniah diucapkan atas kejayaan Datuk Lee Chong Wei. Jika pada tahun 2012 nanti beliau dapat menjuarai kejohanan sama, maka nama beliau akan tercatat sebagai satu-satunya pemain yang mencatat hatrick pada kejohanan All England.

Jumaat, Mac 04, 2011

IMBASAN TRAGEDI POS DIPANG

TRAGEDI POS DIPANG - 29 OGOS 1996
Kebanyakan penduduk Perkampungan Orang Asli Pos Dipang, Kampar, Perak hanya mampu terperap di rumah masing-masing kerana hujan terlalu lebat ketika itu. Hujan sejak jam 12 tengah hari, masih tidak berhenti walau sudah enam jam berlalu.Tiba-tiba, satu dentuman kuat berselang-seli dengan derauan hujan dari arah bukit di belakang kampung berkenaan, kedengaran. Penduduk tersentak, tertanya-tanya apakah bunyi aneh itu. Beberapa minit kemudian mereka sekali lagi mendengar satu bunyi pelik. Belum sempat mereka memikirkan apa-apa, dinding rumah mereka terus pecah dan air bercampur lumpuh menerjah ke dalam.

Tragedi Pos Dipang : Kejadian berlaku pada 29 Ogos 1996, korbankan 39 nyawa manakala lima lagi dilaporkan hilang
Rempuhan arus deras menyebabkan ada penduduk tercampak keluar dari rumah masing-masing manakala beberapa rumah yang terletak di tebing Sungai Dipang terus runtuh dan dihanyutkan.
Sebaik menyedari banjir lumpur mula membaham perkampungan Orang Asli itu, penduduk mula panik, jeritan mula kedengaran di mana-mana dan ada antara mereka mula meluru keluar daripada kediaman untuk menyelamatkan diri.
 Bagaimanapun, sebaik keluar dari rumah, dengan pantas juga arus deras menyambar. Ramai penduduk dibawa bergulungan sambil tenggelam timbul bersama arus, beberapa kali badan mereka terhentak dan tercucuk dahan kayu.
Keadaan berlaku tanpa diduga. Ketika dibawa arus, jeritan meminta tolong terus bergema sebelum mulut dimasuki air berlumpur. Sesetengah mereka tersangkut pada pokok manakala sesetengah lain ghaib tenggelam di bawah air banjir. Sekelip mata, puluhan mangsa dihanyutkan entah ke arah mana.
Arus deras turut menghanyutkan batang pokok besar yang dipercayai ditinggalkan di atas bukit di hulu penempatan itu ketika kerja penebangan balak dijalankan beberapa tahun sebelum itu.
 Hentaman balak dan rempuhan banjir menyebabkan 30 rumah musnah, 20 lagi rosak dan puluhan penduduk kampung yang kebanyakannya terdiri daripada Orang Asli hilang dalam tragedi itu.
Mereka yang terselamat, berpaut pada pohon atau apa saja yang mampu mengelakkan mereka daripada hanyut. Dalam ketakutan, mereka mengharapkan supaya petaka itu segera berakhir.
Petang mula beranjak ke malam dan suasana sekitar mula menjadi gelap. Pasukan penyelamat yang menyedari tragedi buruk berlaku di kawasan berkenaan segera bergegas ke lokasi kejadian walau pandangan dihijab kelam.
 Seramai 400 anggota penyelamat membabitkan polis daerah Kinta, pasukan bomba pusat, pasukan 2 Briged Rejimen Renjer Diraja Ipoh, Pasukan 69 Komando Pasukan Polis Hutan (PPH) Ulu Kinta, Batalion Ketiga PPH Bidor, kakitangan Pejabat Daerah Kampar dan Pasukan Pertahanan Awam dari Ipoh memulakan gerakan mencari mangsa.
Mayat pertama iaitu seorang wanita Orang Asli berusia lingkungan 30 tahun, ditemui kira-kira jam 1.30 pagi. Operasi mencari terus dijalankan.
Ketika itulah, pasukan penyelamat mula menyedari yang operasi mencari bukanlah sesuatu yang mudah dijalankan. Arus masih mengalir deras, cuaca amat gelap berikutan terputusnya bekalan elektrik.
Mereka mencuba semampu boleh sementara menunggu malam bertukar siang bagi meneruskan kerja mencari mangsa. Sebaik matahari menjelma, terteralah pemandangan yang begitu menggerunkan.
 Pagi semalam, Perkampungan Orang Asli Pos Dipang tidak seperti itu tetapi selepas 24 jam berlalu, hujan lebat menukarkan landskap kampung berkenaan menjadi kawasan bencana!
Pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari. Dalam kesukaran, mereka terpaksa menggali timbunan tanah bercampur lumpur setebal kira-kira 1.5 meter dan mengalihkan pokok yang tumbang untuk mencari kemungkinan mayat mangsa di bawahnya.
Pihak penyelamat hanya menggunakan tenaga manusia untuk mencari mayat mangsa dan
keadaan tempat kejadian yang berselerak dipenuhi kesan runtuhan rumah dan pokok tumbang menyebabkan kerja mencari lebih sukar dilakukan.
Bantuan juga sukar disampaikan kerana jambatan di Sungai Dipang yang menghubungkan kampung itu dengan Kampar roboh dilanda arus, menyebabkan pasukan bantuan terpaksa melalui jalan jauh iaitu Chenderiang dari Tapah.
 Sehingga berakhirnya hari kedua kejadian iaitu 30 Ogos 1996, tragedi banjir lumpur itu mencatatkan penemuan 15 mayat mangsa manakala 27 lagi dipercayai masih hilang dihanyut banjir lumpur.
Operasi yang dijalankan kemudian terus mencatatkan penambahan jumlah mangsa yang maut terdiri daripada bayi seawal tujuh bulan sehingga ke penduduk tua berusia 70 tahun. Malah satu daripada mayat mangsa tragedi banjir lumpur itu dijumpai hanyut sehingga ke Sungai Kinta, Malim Nawar, kira-kira 48 kilometer dari tempat kejadian.
Pada 11 September 1996 iaitu selepas 13 hari berlalu, operasi mencari mangsa dihentikan dengan jumlah angka korban tragedi banjir lumpur Perkampungan Orang Asli Pos Dipang, dicatatkan kepada 39 orang manakala lima lagi masih hilang dan gagal ditemui.
FAKTA TRAGEDI POS DIPANG
•Berlaku pada 29 Ogos 1996, kira-kira jam 6 petang.
•Mengorbankan 39 mangsa dan lima hilang.
•Semua mangsa, kecuali enam orang dari keluarga Cina yang tinggal di Bah Hon Hin kira-kira enam kilometer dari Perkampungan Orang Asli Pos Dipang ialah penduduk Orang Asli.
•Perkampungan itu mempunyai kira-kira 60 rumah yang dibina dengan bantuan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan mempunyai kira-kira 1,500 penduduk.
•Penempatan itu dibuka pada 1978 apabila dusun buah-buahan yang mereka usahakan di situ mengeluarkan hasil. Sebelum ini penduduk tinggal di Batu 19 Jalan Cameron Highlands, tidak jauh dari situ.
Hujan lebat luar biasa punca utama banjir lumpur
 Jernih air yang mengalir perlahan di Sungai Dipang sesekali mengutuskan kedamaian kepada sesiapa saja terutama penduduk Perkampungan Orang Asli Pos Dipang yang sentiasa berdampingan dengan sumber alam itu.
Tetapi kejernihan sungai itu tidak lagi menawarkan kedamaian pada 29 Ogos 1996. Di bawah titisan hujan menggila, air sungai yang jernih mula dicampuri lumpur, arus tidak lagi mengalir perlahan seperti sebelumnya tetapi mula semakin deras.
Paras air yang hanya sekitar 0.3 meter mula melimpah sehingga kira-kira 1.5 meter dari paras tebing dan air sungai yang sebelum itu amat mendamaikan mula menjadi bencana alam yang mengorbankan 39 nyawa.
 Pasukan penyiasat khas yang ditubuhkan bagi menyiasat punca tragedi itu mendapati tiga faktor dikenal pasti sebagai penyebab utama bencana banjir lumpur itu.
Laporan disediakan pasukan petugas terdiri daripada pakar geologi Planetarium dan jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati ia berpunca dan dipengaruhi faktor iklim, topografi dan geologi sekitar kawasan kejadian.
Hujan lebat yang luar biasa sebelum tragedi itu adalah antara punca utama kejadian itu. Berdasarkan rekod JPS pada Ogos 1993 sukatan hujan di kawasan kejadian hanya 137 milimeter (mm), Ogos 1994 (197mm), Ogos 1995 (281 mm) manakala pada Ogos tahun kejadian ialah 461mm.
Kawasan bukit yang curam di Sungai Pusat yang terletak di hulu Sungai Dipang menyebabkan berlaku tanah runtuh yang besar di situ. Keadaan itu menyebabkan air Sungai Pusat keruh dan berlumpur berbanding Sungai Dom dan Sungai Sangkut iaitu anak Sungai Dipang di hulu.
Timbunan lumpur dan pasir daripada tanah runtuh itu menyebabkan air di sungai berkenaan meningkat mendadak dan mempunyai kuasa tinggi menghakis Sungai Dipang hingga ke hilir seterusnya keadaan itu menyebabkan berlakunya proses hakisan yang mencabut pokok besar dan ia adalah punca utama begitu banyak pokok terbongkah.
Kehadiran pokok besar itu menyebabkan terbentuknya beberapa empangan sementara terutama di alur sempit dan satu daripada empangan terbesar yang terbentuk dikesan kira-kira 200 meter dari perkampungan Orang Asli terbabit.
Tekanan air akibat hujan lebat pada hari kejadian menyebabkan empangan itu pecah lantas menghanyutkan kayu tersangkut serta mencabut pokok lain yang melintang sebelum air melimpah ke perkampungan berkenaan.
Demikianlah hasil kajian yang dikatakan menjadi punca bencana alam itu. Sejak cerita kejadian banjir lumpur yang dahsyat itu tersebar, pelbagai pihak mula membuka mata dan memberi tumpuan terhadap isu penempatan Orang Asli di negara ini.
Selepas tragedi itu juga, hampir semua kerajaan negeri yang mempunyai ramai penduduk Orang Asli mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) mengenal pasti penempatan masyarakat itu yang terdedah kepada bahaya terutama banjir lumpur.
Berikutan bencana yang memusnahkan hampir keseluruhan penempatan Orang Asli itu, sebuah penempatan baru dibina untuk mereka tidak jauh daripada penginapan asal. Penempatan baru Orang Asli Pos Dipang itu juga menjadi penempatan contoh berikutan kajian kerajaan negeri mendapati penempatan itu sesuai dan selamat diduduki.
Penempatan baru seluas 1.5 hektar itu menempatkan 53 rumah dengan kos pembinaan setiap satu sebanyak RM7,000.
Sumber: Nasron Sira Rahim

Khamis, Mac 03, 2011

Isu telefon bimbit, penjelasan KPM

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada laporan akhbar dalam laporan khas akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 Februari 2011 - Pelajar bebas guna telefon bimbit.
Keputusan KPM menerusi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009 bertarikh 25 Mac 2009 berkaitan Penguatkuasaan Larangan Membawa Dan Mengguna Telefon Bimbit Oleh Murid Di Sekolah adalah bertujuan untuk mendidik murid agar dapat menggunakan telefon bimbit mereka dengan cara yang betul dan larangan ini hanya berkuat kuasa dalam kawasan sekolah.
Ini disebabkan penggunaan telefon bimbit di sekolah didapati telah mengganggu kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Selain itu, ia juga telah mendatangkan pelbagai masalah disiplin seperti kecurian, pergaduhan serta penyebaran bahan-bahan maklumat yang boleh mempengaruhi perlakuan yang negatif dalam kalangan murid sekolah.
Prinsip terhadap larangan ini sebenarnya adalah untuk mendidik. KPM berpandangan penggunaan sesuatu ciptaan peralatan komunikasi yang canggih untuk manfaat anak-anak murid harus digalakkan, tetapi mesti dilakukan dalam konteks kawalan, bimbingan, pemantauan serta didikan yang betul.
Dalam masa yang sama, KPM juga tidak boleh berkompromi terhadap sesuatu yang boleh mengganggu kelancaran proses pembelajaran murid-murid di sekolah serta kesan terhadap perlakuan negatif seperti yang disebutkan.
Isu penguatkuasaan larangan ini sebenarnya banyak berkaitan dengan sikap kedegilan murid, rungutan sesetengah ibu bapa serta penguatkuasaan yang banyak menimbulkan isu dan masalah kepada pengurusan sekolah. Sungguh pun KPM bertegas dalam hal penguatkuasaan ini, namun langkah-langkah seperti yang ditetapkan menerusi pekeliling tersebut perlu dipatuhi oleh pihak sekolah iaitu;
1. Peraturan larangan penggunaan telefon bimbit oleh murid di sekolah hendaklah dimaklumkan kepada semua ibu bapa murid.
2. Pihak sekolah hendaklah memaklumkan dan memberi kefahaman kepada ibu bapa perkara berkaitan larangan ini menerusi mesyuarat PIBG dan mesyuarat permuafakatan peringkat sekolah.
3. Jika sekiranya ada murid yang melanggar peraturan ini, maka pihak sekolah boleh mengambil dan menyimpan telefon bimbit murid berkenaan.
4. Semua telefon bimbit yang diambil oleh pihak sekolah akan direkodkan dan disimpan di tempat yang selamat oleh pihak sekolah.
5. Ibu bapa murid yang terlibat akan dimaklumkan dengan segera, sebaik-baiknya pada hari yang sama, akan tindakan yang telah diambil terhadap anak mereka.
6. Ibu bapa juga hendaklah dimaklumkan bahawa mereka boleh menuntut semula telefon bimbit anak mereka daripada simpanan pihak sekolah.
7. Dalam kes-kes kecemasan, murid-murid hendaklah mengguna kemudahan-kemudahan telefon yang disediakan oleh sekolah.
Membawa dan menggunakan telefon bimbit di sekolah dan asrama sekolah oleh murid-murid adalah merupakan satu kesalahan disiplin. Mereka yang melanggar peraturan ini boleh diambil tindakan disiplin dengan mengenakan hukuman;
Kesalahan Kali Pertama: Diberi Amaran (murid dan ibu bapa perlu menandatangani Surat Aku Janji tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut).
Kesalahan Kali Kedua:
Dilarang menggunakan kemudahan di sekolah atau asrama atau mengambil bahagian dalam program atau aktiviti sekolah untuk suatu tempoh tertentu.
Seperti mana yang disebutkan tadi, apa yang penting dalam hal ini adalah mendidik anak-anak kita agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan telefon bimbit mereka.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia.

Rabu, Mac 02, 2011

POLA KESELARASAN VOKAL ASRAF


Template by:
Free Blog Templates