Isnin, Februari 28, 2011

BULAN BAHASA KEBANGSAAN

Sambutan bulan bahasa kebangsaan Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Tebrau, Johor Bahru bagi tahun 2011, telah disempurnakan oleh pengetua SMK Sri Tebrau, Puan Balwinder Kaur.

Puan Pengetua memotong riben banner menandakan perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan SMK Sri Tebrau


Puan Pengetua menyampaikan ucap utama merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan SMK Sri Tebrau.
 

Khamis, Februari 24, 2011

PERISTIWA BUKIT KEPONG 1950

Peristiwa serangan oleh pengganas kominis terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 tetap diingati sehingga ke hari ini. Berpegang kepada moto, "Biar putih tulang jangan putih mata" dan "Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung", anggota polis yang diketuai oleh Allahyarham Sarjen Jamil Md Shah telah mempertahankan balai polis daripada serangan sehingga mengorbankan banyak nyawa a dalam kalangan anggota polis. Baca cerita tentang keganasan kominis dan peristiwa Bukit Kepong tersebut di sini..  >>>>>

Rabu, Februari 23, 2011

PPD Pasir Gudang sila jawab

SAYA mendapat 4A1B dalam UPSR 2010 dan mendapat tawaran ke Tingkatan 1 kelas KRK tetapi ditolak kerana bapa saya bukan warganegara. Tetapi saya warganegara dan pemegang Mykad.
Yang hendak belajar adalah saya bukan bapa saya tetapi apabila berusia 18 tahun saya diwajibkan menjalani PLKN dan berusia 21 tahun dibenarkan mengundi.

Apakah motif sebenarnya PPD Pasir Gudang. Apakah maksud rakyat didahulukan pencapaian diutamakan dan di manakah arah masa depan pelajar-pelajar cemerlang seperti saya yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin satu hari nanti tetapi dinafikan hak saya sebagai warganegara semata- mata bapa saya bukan warganegara.

Diharap Menteri Pelajaran buat penilaian yang telus sedangkan ibu saya merupakan AJK UMNO cawangan yang aktif berpolitik.

MURID MYKAD
Pasir Gudang

Sumber: Utusan Malaysia, 22/2/2011

Ahad, Februari 13, 2011

PERMAINAN APAKAH INI

Kalau silat Si Tuah merebahkan Si Jebat
fahamlah hamba akan ceriteranya
kisah sahabat berebut cinta
Cinta Si Tuah kepada raja
Cinta Si Jebat kepada saudara

Kalau putera raja dahulu kala
sesama bersengketa di istana
merebut hati raja dan bunda
fahamlah hamba akan ceriteranya
masing-masing berebut takhta

Kalau Feringgi melanggar Melaka
Raja Mendeliar, Si Kitol dan yang sebangsa
membuat onar membawa petaka
fahamlah hamba akan ceriteranya
bangsa penjajah menanti leka

Kalau Raffles, Light dan yang sewangsa
diutus menembusi istana memperdaya raja
dengan gerak halus lulus jarum lulus kelindan semua
fahamlah hamba akan ceriteranya
kisah si lemah habuan si haloba

Namun kini hamba bertanya
Permainan apakah yang kami saksikan kini?
Air yang dicencang tampak biar sampai putus
Carik-carik bulu ayam sampai sungguh cariknya
Mandi bukan sampai basah tetapi sampai binasa bejana
Berdakwat bukan sampai hitam tetapi sampai patah pena
Menyeluk pekasam bukan sampai di pangkal lengan tetapi sampai di perdu hawa
Rotan biar terkerat, arang biar patah
Retak sudah menjadi belah
Mahu mati bergalang tanah
Mahu nasi biar menjadi bubur!
Sesat di hujung jalan tidak mahu kembali ke pangkal jalan
Yang keruh tidak dibuang yang jernih tidak diambil

Demkiankah suruhan Yang Esa?
Demikiankah ajaran Nabi junjungan kita?

Apakah sesungguhnya permainan yang kalian pamerkan kini?

~Kembara Bahasa~

BERPADA-PADALAH

Berpada-padalah
betapa besar citamu akan kuasa
tetaplah tiada upaya tuan hamba
menaklukkan alam semesta

Berpada-padalah
betapa besar citamu akan harta
tetaplah tiada upaya tuan hamba
memiliki sekalian isi buana

Berpada-padalah
betapa besar citamu akan sekalian permata hati
tetaplah tiada upaya tuan hamba kekal dikasihi
membawa mereka bersama di kediaman yang sepi

Berpada-padalah
betapa besar citamu akan puja dan puji
tetaplah tiada upaya tuan hamba berperi
sekalian itu belum pasti dikira bakti

Berpada-padalah
betapa besar citamu akan martabat yang tinggi
tetaplah tiada upaya tuan hamba mencari
justeru yang mengabsahkannya hanya Rabbul Izzati

Berpada-padalah
betapa besar luka di hati angkara manusia
tetaplah tiada upaya tuan hamba membalas kesumat di dada
kerana ada Pembalas yang adil lagi saksama

Berpada-padalah
betapa besar hilangnya laba angkara si lancung
tetaplah tiada upaya tuan hamba menghindari yang lampung
kerana di sana akan digantikan dengan yang tidak terhitung

Berpada-padalah
kerana tiadalah selamanya kita akan bermukim di sini
ke alam persinggahan yang pasti tidak dapat kita mungkiri
untuk kemudian diadili ke kediaman mulia atau hina yang abadi

~Kembara Bahasa~

Puisi: Kalau Memang Mahu


Kalau Memang Mahu

Kalau memang mahu
dulu kita bisa mengekalkan Tanah Melayu

Kalau memang mahu
dulu kita bisa beraliran pendidikan yang satu

Kalau memang mahu
dulu kita bisa memaktubkan perlembagaan berdasarkan wahyu

Kalau memang mahu
dulu kita bisa memutuskan citra negara berasaskan wangsa jitu

Lamun lakaran sejarah negara telah dirobah
atas cita dan tuntutan penjajah
kita sanggup memberi dan beralah
atas nama toleransi, integrasi, demokrasi dan muhibah
kita redha, akur dan pasrah
kendatipun kian sering jiwa kita menjadi gundah

Sekian lama satu demi satu
tuntutan demi tuntutan mengikut telunjuk nafsu
penghinaan demi penghinaan terbit dari jiwa yang kelabu
Masihkah kita atas nama peribadi yang syahdu
tunduk akur akan segala hawa yang palsu?

Kalau memang mahu
kita bisa dari dulu, kini dan waktu muka bersikap padu
mewaraskan nurani, memutuskan sesuatu atas pertimbangan kalbu
tidak menjual maruah, martabat dan harga diri atas laba kuasa sementara yang palsu
bermuka-muka di hadapan cauvinis yang keliru dan dungu

Kalau memang mahu
kita masih ada waktu
kita masih ada sesuatu
membetulkan yang semu
 
Oleh : Kembara Bahasa
http://kembarabahasa.blogspot.com/

Sabtu, Februari 12, 2011

SIASAT DAKWAAN MOKHTAR SABAH!

SAYA terpanggil untuk memberi reaksi tulisan Mokhtar Sabah dalam Forum Utusan Malaysia, 8 Februari 2011 dan menyokong tulisan Guru Tua dalam ruangan yang sama, bertarikh 10 Februari 2011.

Saya tertanya-tanya adakah betul Mokhtar Sabah ini seorang guru? Sekiranya apa yang dinyatakannya itu betul, saya cadangkan supaya Ketua Nazir Sekolah Sabah melakukan pemeriksaan terhadap dakwaan ini untuk ‘membersihkan’ keadaan yang didakwa itu termasuk cikgu Mokhtar Sabah.

Sebagai bekas Nazir Sekolah Sabah, apa yang didakwa oleh Mokhtar Sabah tidak benar. Tiada guru mengajar enam waktu seminggu! Pengalaman sebagai nazir melakukan pemeriksaan di sekolah menengah dan rendah di seluruh Sabah, tiada kes seperti ini. Saya amat meragui kenyataan Mokhtar Sabah. Saudara, jangan cuba menjatuhkan maruah guru-guru di Sabah.

OTHMAN AHMAD
(Bekas Nazir Sabah

MENYANGGAH DAKWAAN CIKGU MOKHTAR



KALAULAH benar seperti yang didakwa Cikgu Mokhtar Sabah bahawa purata guru hanya diberi waktu mengajar 16 waktu seminggu, maka memang patut malulah guru yang mengaku terbeban. Tetapi bagaimana pula dengan guru-guru yang mengajar 31 waktu x 30 minit = 930 minit dan 27 waktu x 40 minit = 1080 minit! Mereka patut malu kepada siapa?

Bagaimana pula dengan seorang guru memegang jawatan seperti guru kelas, ketua panitia, ahli jawatankuasa kewangan dan pengauditan sekolah, pengurus saham koperasi, ahli jawatankuasa kurikulum sekolah, ahli jawatankuasa pengendalian dan pengurusan PBS peringkat sekolah, guru rumah sukan, ketua guru kelab sukan dan permainan, guru penasihat kelab dan persatuan dan bendahari PIBG dalam masa yang sama.! Adakah guru ini perlu malu kepada Cikgu Mokhtar Sabah!

Mengenai tuduhan Cikgu Mokhtar bahawa guru teknik, guru vokasional dan guru Kemahiran Hidup mempunyai masa mengajar yang lebih senggang. Malah ada dalam kalangan mereka yang mengajar tiga hari sahaja dan dua hari akan bercuti daripada mengajar. Kes sedemikian saya tidak pernah temui dan mungkin hanya berlaku di sekolah Cikgu Mokhtar Sabah. 

Bagi ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang mengumpul kekayaan menerusi ceramah sehingga mengabaikan pelajar dan guru sukan yang kaki kelentong seperti yang dimaksudkan oleh Cikgu Mokhtar Sabah, tepuk dada tanyalah selera kerana masing-masing arif akan halal dan haram duit gaji masing-masing.

Yang lebih penting, perkara tersebut yang ditimbulkan oleh Cikgu Mokhtar Sabah jelas bukan sebahagian daripada beban tugas guru sebagaimana yang sering dirungutkan oleh para guru. Cikgu Mokhtar Sabah walaupun hampir 20 tahun menjadi guru dan pengurus sekolah, sebenarnya masih belum faham akan ‘beban tugas guru’ yang sering menjadi rungutan guru.

Cikgu Mokhtar Sabah harus faham bahawa situasi guru ‘makan angin’ di Sabah tidak boleh disamakan dengan nasib guru ‘tak malu yang terbeban’ di sesetengah sekolah di Semenanjung. Yang merungut ialah guru-guru yang betul-betul ingin menjadi guru tetapi terbeban dengan tugas-tugas bukan P&P terutama tugasan perkeranian!

Hakikatnya pengetahuan dan pengalaman Cikgu Mokhtar Sabah hanyalah dalam lingkungan tempurung pendidikan di Sabah atau lebih tepat lagi pengalaman pendidikan Cikgu Mokhtar Sabah lebih menepati konsep ‘melancong sambil mendidik’!

Saya ingin menasihati Cikgu Mokhtar Sabah agar melakukan sedikit ‘kerja rumah’ mengenai pendidikan di luar konteks tempurung sekolah Cikgu Mokhtar Sabah sebelum ‘membelah’ sesuatu isu pendidikan agar kredibiliti Cikgu Mokhtar Sabah sebagai seorang pengurus sekolah yang hebat tidak terjejas!

NORHISYAM MOHAMAD
Kuala Kedah

Sultan Johor murka tindakan sembahyang dua imam di DUN Tenang

KOTA TINGGI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim hari ini bertitah berasa murka dengan tindakan sekumpulan umat Islam yang bersembahyang dua imam di sebuah masjid, ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, bulan lalu.

Perbuatan tersebut, titah baginda, amat dikesali dan tidak seharusnya berlaku hanya kerana perbezaan fahaman politik.
"Ketika kempen PRK DUN Tenang baru-baru ini, ada kumpulan yang singgah di masjid untuk sembahyang fardu tetapi malangnya mereka tidak menyertai jemaah yang sedang bersolat jemaah.
"Kalau mereka terlambat mereka hanya perlu sertai jemaah yang ada dengan berimamkan imam di masjid itu. Sebaliknya kumpulan ini membentuk satu sembahyang jemaah yang lain di barisan belakang, sedangkan solat jemaah yang ada masih belum selesai," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, perkara seperti itu harus dihentikan supaya tidak timbul fitnah umat Islam di Johor telah berpecah-belah dan tidak bersatu-padu.

"Semua jemaah dalam masjid hendaklah hormati imam yang dilantik oleh saya. Tidak ada perbezaan bangsa, kedudukan atau fahaman politik dalam masjid.

"Kedudukan atau fahaman politik tidak harus ada dalam masjid kerana kita menyembah tuhan yang sama iaitu Allah yang Maha Esa," titah baginda selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al-Hadi Kampung Makam, di sini.
Baginda, sebelum itu, merasmikan masjid tersebut yang bernilai RM2.1 juta dan siap pada Julai 2007.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadot dan Exco kerajaan negeri.

Dalam titah itu, Sultan Ibrahim turut mengingatkan umat Islam di Johor supaya tidak menjadikan masjid sebagai medan berpolitik atau tempat memecah-belahkan masyarakat.

Baginda seterusnya menitahkan pihak berwajib mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang didapati berbuat demikian.

Pada masa sama, Sultan Ibrahim mengingatkan umat Islam supaya menjaga kebersihan masjid dan tidak menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak pengurusan masjid semata-mata.

Baginda juga tidak mahu pihak pengurusan masjid menambah atau membina bangunan baru sesuka hati di kawasan masjid melainkan dengan kebenaran dan kelulusan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) terlebih dahulu.

Titah baginda, langkah itu bagi mengelakkan sebarang kecacatan dan pembangunan yang tidak sistematik. - BERNAMA

Khamis, Februari 10, 2011

Wira-wira Bukit Kepong yang tidak dikenang?


JAMIL Mohd. Shah (duduk di tengah) bersama-sama anggota polis yang mempertahankan Stesen Polis Bukit Kepong sehingga titisan darah terakhir.


SAYA percaya ramai rakyat Malaysia, terutama mereka yang pernah mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mengetahui Peristiwa Bukit Kepong setelah menonton filem Bukit Kepong. Sudah pasti filem ini dapat menyemarakkan semangat patriotisme terhadap negara Malaysia tercinta ini selepas menontonnya.
Untuk mereka yang tidak berkesempatan menonton filem tersebut, secara ringkas, ia menceritakan satu insiden di mana Stesen Polis Bukit Kepong, Johor, telah diserang seramai lebih kurang 180 pengganas komunis pada pukul 0430, 23 Februari 1950. Pengganas komunis telah mengarahkan anggota polis yang berjumlah 22 orang untuk menyerah diri bagi membolehkan mereka menyelamatkan diri. Namun, anggota polis yang diketuai oleh arwah Sjn. Jamil Mohd. Shah dengan lantangnya enggan menyerah diri.
Wira-wira ini dengan penuh semangat telah berjuang sehingga ke titisan darah terakhir yang mengalir di dalam tubuh mereka. Malah para isteri turut memikul senjata berjuang bersama dengan suami mereka. Akhirnya, seramai 22 wira telah terkorban; 18 anggota polis dan empat tanggungan mereka. Salah seorang yang terselamat, arwah Sjn. Yusuf Rano, meninggal dunia pada 15 April 2005 ketika berusia 83 tahun. Dengan pemergian arwah, tiada lagi survivor peristiwa hitam ini.
Insiden ini adalah "Alamo" Malaysia.
Saya membangkitkan kisah ini kerana ingin mengetahui apakah pengiktirafan negara terhadap wira-wira Alamo ini? Difahamkan tiada seorang pun daripada mereka yang dianugerahkan dengan Darjah Perkasa seperti Seri Pahlawan (SP) atau Pingat Gagah Berani (PGB), malah Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) pun tiada. Sedangkan insiden Bukit Jenalik/Sauk pada tahun 2000 telah mencatatkan penganugerahan dua SP dan empat PGB kepada mereka yang terbabit. Sekiranya betul mereka (wira Bukit Kepong) tidak dianugerahkan dengan darjah-darjah kebesaran tersebut, mengapa? Adakah pengorbanan mereka tidak memenuhi kriteria anugerah berkenaan?
MEJAR NOR IBRAHIM SULAIMAN (TUDM (B))
http://xnuripilot.blogspot.com

Sumber : Utusan Malaysia

Guru Tua sanggah Mokhtar Sabah

SAYA ingin memberi reaksi berdasarkan tulisan Mokhtar Sabah dalam Utusan Malaysia bertarikh 8 Februari 2011. Saya ingin memberi pendapat berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pendidikan. Saya rasa ramai guru yang terkejut dengan tulisannya. Di sini ingin saya menyangkal beberapa pandangannya.

Siapa guru yang diberi tanggungjawab mengajar enam waktu seminggu? Hanya Guru Besar yang diwajibkan mengajar enam waktu seminggu kerana beban tanggungjawab yang digalas. ?Guru mana yang purata mengajar 16 waktu seminggu Rata-rata guru biasa di sekolah saya mengajar 32 waktu seminggu dengan beban tugas lain. Itu belum ganti guru bersalin yang tiada pengganti.

Contohnya Cikgu A.
- Masa mengajar 32 waktu x 30 minit seminggu.
- Guru Kelas
- Guru Data SDM
- Guru Disiplin
- Pengerusi Teknik Zon
- Guru Bertugas Mingguan
- Setiausaha Kelab Guru
- Penolong Ketua Rumah Sukan

(Banyak lagi tugas yang perlu diselesaikan seperti mengisi Data Sistem Maklumat Murid (SMM) yang berubah-ubah setiap tahun, majlis persaraan, Hari Kantin, Hari Sukan dan lain-lain.)

Kami tersinggung dengan kenyataan Cikgu Mokhtar yang menyatakan guru mengajar lapan jam seminggu bersamaan dengan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.

Wahai, Mokhtar Sabah, keluarlah dari bawah tempurung. Tugas guru bukan hanya mengajar di dalam kelas, tetapi mendidik murid dari lepas subuh sampai sebelum maghrib. Malahan ada guru yang ikhlas menabur bakti hingga 10 malam. Di padang waktu petang, kalau bukan guru, siapa agaknya?

Mokhtar Sabah menyatakan seorang guru diberi satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Lihatlah contoh Cikgu A di atas. Hanya guru bermasalah yang memegang jawatan minimum. Kalau cikgu tersebut seorang yang bagus, maka makin banyak beban kerja terletak di bahunya.

Kami tidak pernah mengeluh tentang tugas hakiki menanda buku kerja pelajar, kertas ujian dan menyediakan soalan. Kami tahu tanggungjawab kami. Cuma yang kami bincangkan kerja-kerja lain yang membebankan seperti mengisi data yang sepatutnya bukan kerja kami.

Agaknya Mokhtar Sabah tidak pernah bertugas seminggu selepas cuti dan seminggu sebelum naik sekolah semasa cuti sekolah hujung tahun. Cuti kami diambil, tapi kami akur dengan arahan tersebut.

Wahai Mokhtar Sabah, kalau murid sekolah cikgu tak ramai, bolehlah cakap besar. Cubalah mengajar di sekolah yang muridnya lebih 2,000 orang. Agaknya Cikgu Mokhtar datang sekolah bila jam berbunyi 7.20 pagi dan balik 12.50 tengah hari. Cikgu Mokhtar tak bertugas untuk mengawal disiplin murid awal pagi, waktu rehat dan waktu balik? Ingat ya, tugas guru bukan mengajar di kelas sahaja!

Hanya guru yang memahami masalah yang dihadapi oleh guru. Mokhtar Sabah, marilah datang ke Semenanjung, tukar angin untuk merasai apa yang kami rasa. Jangan dijolok sarang tebuan! Walaupun kami terbeban dengan tugas yang banyak, kami laksanakan dengan jayanya. Kami berjaya mengawal emosi dan tak perlu jumpa doktor sakit jiwa!

GURU TUA
Johor Bahru, Johor

Rabu, Februari 09, 2011

GURU TIDAK TERBEBAN KERJA

SAYA ingin memberi reaksi kepada pandangan saudara Norhisyam Mohamad dari Kuala Kedah di ruangan ini pada 3 Februari 2011 mengenai Jawatankuasa Khas mengkaji beban tugas guru.
Masyarakat Malaysia sering kali diperdengarkan dengan keluh-kesah warga guru yang mengatakan mereka banyak kerja, kerja sampai ke rumah, waktu cuti pun dipanggil bekerja dan seribu macam lagi. Namun tidak ada statistik sebenar yang menunjukkan bahawa warga guru ini adalah benar-benar dalam keadaan tertekan.
Saya telah berkhidmat sebagai guru mulai Disember 1992 sehingga kini. Saya berasa malu dan bersalah jika mengaku terbeban dengan kerja mendidik. Rasionalnya:
* Hampir setiap guru hanya akan diberikan tanggungjawab mengajar minimum dengan enam waktu seminggu dan maksimum 25 waktu seminggu. Secara purata ramai daripada di kalangan guru hanya diberi waktu mengajar 16 waktu seminggu. Satu waktu bersamaan 30 minit atau paling lama 40 minit. Secara purata kebanyakan sekolah rendah atau pun menengah menggunakan satu waktu bersamaan dengan 30 minit sahaja. Purata waktu mengajar guru ialah 16 waktu X 30 min= 480 minit atau lapan jam seminggu iaitu bersamaan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.
* Tugas-tugas khas selain daripada kurikulum akan diberikan dengan agihan saksama. Berdasarkan pengalaman saya sebagai pengurusan sekolah, seorang guru akan diberikan satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Misalnya, jika seorang guru diberikan tanggungjawab guru kelas atau tingkatan, ketua rumah sukan, ketua persatuan atau kelab dan jawatan berupa tanggungjawab ketua, maka guru tersebut tidak akan diberi tanggungjawab lain kecuali sekolah kekurangan guru.
* Tugas menanda buku kerja pelajar, menanda kertas ujian atau peperiksaan dan menyediakan kertas soalan adalah tugas hakiki guru.
* Guru-guru wajar mengetahui dengan jelas tugas hakiki mereka. Jika tidak mengetahui, sila rujuk kepada SPP [Panduan tugas hakiki Pegawai Perkhidmatan Pendidikan].Tolong rujuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Visi, Misi dan Objektif Kementerian Pelajaran. Lihat juga Tonggak 12 dan semua jenis Perintah Am, Pekeliling Perkhidmatan dan panduan-panduan perkhidmatan guru yang lain.
Guru sebenarnya tidak terbeban dengan tugas hakiki yang ada kecuali mereka sendiri yang membebankan diri mereka. Alasan saya:
* Ramai guru yang terlibat dengan pelbagai aktiviti ekonomi seperti jualan langsung, insurans, jualan runcit (kain tudung, baju, kain pasang, tuisyen, kedai burger dan seribu macam lagi). Cuba rujuk laman sesawang seperti Facebook, kita akan jumpa kebanyakan penjawat awam termasuk guru menguar-uarkan produk jualan mereka dalam Facebook.
* Masa mengajar bukanlah berterusan. Pihak pengurusan sekolah tidak akan berlaku kejam. Setiap guru ada masa senggang. Misalnya, jika guru A telah mengajar tiga waktu sebelah pagi, maka pada waktu empat dan lima, lazimnya beliau akan rehat. Ada juga yang tidak mengajar seharian.
* Guru teknik, guru vokasional dan guru Kemahiran Hidup mempunyai masa mengajar yang lebih senggang. Ada di kalangan mereka yang mengajar tiga hari sahaja dan dua hari akan bercuti daripada mengajar. Purata mereka mengajar tidak lebih daripada 14 waktu seminggu kecuali guru yang mengajar Kemahiran Hidup. Ada yang sempat mengambil projek membuat pagar, membaiki kenderaan luar, mengecat kereta luar, membuat pendawaian rumah dan bermacam kerja lagi dalam waktu kerja.
* Ustaz-ustaz juga tidak ketinggalan menyampaikan ceramah berbayar di merata tempat tetapi tugas hakiki mendidik pelajar terabai. Kalau tidak masakan ada pelajar yang masih tidak mengenal huruf jawi dan tidak boleh membaca al-Quran.
* Guru-guru juga sibuk dengan kejohanan sukan diri sendiri, bukan untuk pelajar. Ada yang terlibat dengan kejohanan sehingga semingu lamanya, sedangkan ia hanya peringkat dalaman sahaja. Jika peringkat kebangsaan hanya setakat itu sahaja kerana tidak ada kejohanan sukan dunia untuk warga pendidik. Masalahnya anak murid yang terabai maka berlakulah guru tidak habis silibus.
Saya meminta mana-mana pihak, terutama golongan guru, agar memberi dan menunjukkan bukti imperikal bahawa mereka (lebih kurang 126,171 guru lelaki dan 279,545 guru perempuan) adalah dalam keadaan tertekan. Tunjukkan juga berapa ramai guru yang dirujuk kepada Lembaga Perubatan kerana masalah mental disebabkan ‘Beban Tugas’.
Saya menyeru semua warga pendidik iaitu guru, Pensyarah Guru, Pensyarah IPTA & IPTS agar menilai diri dan memahami fungsi kita sebagai pendidik. Jika kita tidak boleh, maka ada pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk kita melepaskan jawatan kita dan carilah kerja yang sesuai dengan kita.

Mokhtar Sabah
Keningau, Sabah.

Sumber : Utusan Malaysia, 11/2/2011

Selasa, Februari 08, 2011

SISTEM PENGANGKUTAN AWAM MENJANA PEMBANGUNAN NEGARA


Oleh NOORZIHAN MOHAMED YIN

DI Stockholm, ibu negara Sweden, pemandangan warga kotanya yang tinggal dalam lingkungan 10 kilometer berbasikal ke pejabat adalah perkara biasa. Kenderaan persendirian hanya dilihat menghiasi garaj kerana rata-rata masyarakatnya - selain berbasikal lebih selesa menggunakan pengangkutan awam.

Di Shanghai, China pula, kerajaan tempatannya menerapkan elemen penggunaan secara maksimum pengangkutan awam di kalangan warganya. Namun di Malaysia, situasinya sangat berbeza, dengan pengangkutan awam dilihat sebagai sebuah sistem yang beroperasi dengan kurang cekap dan berkesan.

Kecekapan perkhidmatan pengangkutan awam bermula daripada kaunter tiket selain perkhidmatan yang pantas, maklumat yang baik, kemudahan tempahan, pilihan laluan serta ketepatan waktu, gagal dijadikan sebagai petunjuk penting bagi menjamin pengguna terus menggunakan pengangkutan awam.

Pelbagai isu dibangkitkan saban waktu, antaranya ketidakcekapan pengurusan operasi, keadaan kenderaan awam yang tidak selesa, ketiadaan khidmat pengangkutan awam di kawasan kepadatan penduduk tinggi dan mutu perkhidmatan yang tidak bersifat mesra pengguna, menjadikan kemudahan pengangkutan awam pilihan terakhir bagi pengguna.

Namun, dalam menghadapi tekanan akibat kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen yang berkuat kuasa 5 Jun lalu, rakyat terutamanya yang mendiami bandar-bandar besar, berusaha mencari pelbagai ruang alternatif untuk berjimat-cermat.

Keadaan ini tidak memberikan banyak pilihan kepada rakyat, apatah lagi menyedari kesan berantai seiring dengan kenaikan minyak yang secara langsung turut melonjakkan harga barang dan perkhidmatan dalam pasaran. Lantaran menyedari perlunya mengawal perbelanjaan waktu ini, mahu tidak mahu, penggunaan kemudahan awam yang sedia ada seperti bas, komuter, Transit Aliran Ringan (LRT), Express Rail Link Sdn Bhd (ERL), monorel, dan teksi, terpaksa diaplikasikan.

PERKHIDMATAN BAS

Semenjak perkhidmatan bas awam diperkenalkan secara sistematik pada tahun 1935 oleh General Transport Company milik British, operasi pengangkutan bas awam dibiayai sepenuhnya oleh pengusaha swasta. Tidak dinafikan, perkhidmatan pengangkutan bas awam di Malaysia telah melalui tahun-tahun yang cemerlang.

Namun kini, kecemerlangan tersebut tidak lagi dinikmati.
Sejarah pengangkutan bas awam yang pernah muncul dan lenyap di Kuala Lumpur seperti Sri Jaya, Toong Foong, Len Chee, Foh Hup, KL Klang, Naiela, Selangor Bus, Cityliner dan Park May, dahulunya dikendalikan oleh pengusaha persendirian tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

Malangnya, akibat daripada situasi yang menekan negara menyebabkan banyak syarikat bas terpaksa memberhentikan perkhidmatan mereka kerana kos operasi yang tidak lagi dapat ditanggung memandangkan kali terakhir tambang bas henti-henti dinaikkan ialah pada 2005, iaitu daripada 40 sen kepada 60 sen untuk dua kilometer.

Di Pulau Pinang, seluruh sistem pengangkutan bas menjadi lumpuh apabila syarikat Hin Bus, Yellow Bus, Lim Seng Bus, Kenderaan Juara, Kiara Tuah dan Kiara Melati menamatkan perkhidmatan. Nasib malang tersebut turut dialami syarikat-syarikat bas di Selangor seperti Foh Hup Omnibus, Toong Fong Bus dan Len Bus yang terpaksa gulung tikar.

Keadaan tidak kurang buruknya di Kedah dan Perlis. Syarikat perkhidmatan bas awam utama negeri-negeri tersebut iaitu Kubang Pasu Transport, Perlis Transport dan Kuala Kedah Transport mungkin terpaksa menamatkan perkhidmatan sekiranya situasi tidak menunjukkan sebarang peningkatan.

Pihak kerajaan pernah mengambil langkah pembaikan melalui konsortium pengangkutan sekitar lewat 90-an dahulu. Menerusi penggabungan beberapa syarikat bas di Lembah Klang di bawah Intrakota Consolidated dan Park May Berhad, langkah tersebut juga tidak membawa hasil yang menggalakkan.

Beban perbelanjaan modal yang terlalu besar akibat daripada kos pembelian bas daripada luar negara, kos alat-alat ganti yang terpaksa diimport dan kos penyelenggaraan kenderaan yang tinggi terpaksa ditanggung.

Bilangan bas yang tidak mencukupi selain sistem pemandu perseorangan yang tidak efektif, pemandu yang tidak mencukupi dan pelbagai masalah logistik, menyebabkan kelewatan perjalanan selain mampu mengundang bahaya ketika di jalan raya.

Semua kesulitan ini mengecewakan para pengguna yang bergantung kepada bas sebagai satu-satunya kaedah pengangkutan mereka. Mereka bukan sahaja perlu menanggung kadar tambang yang tinggi dan tidak berbaloi, tetapi juga terpaksa berhadapan dengan perkhidmatan bas yang tidak menentu.

Penggunaan bas yang telah berusia sebagai langkah pengurangan kos sebaliknya, menimbulkan masalah-masalah lain pula seperti keadaan bas yang usang dengan bumbung bocor, kerusi yang patah dan koyak, penghawa dingin yang tidak berfungsi, palang cermin yang patah dan pelbagai lagi.

Keadaan ini bukan sahaja mendatangkan situasi tidak selesa kepada pengguna tempatan tetapi juga memberikan tanggapan negatif kepada pelancong-pelancong asing. Tanggapan sedemikian sudah tentu tidak akan menyumbang kepada industri pelancongan negara yang sangat bergantung kepada sistem pengangkutan awam yang lancar dan selesa.

PERKHIDMATAN REL

Wujudnya Sentral Kuala Lumpur atau lebih dikenali dengan panggilan KL Sentral sebagai hab pengangkutan utama rel awam dilihat sebagai permulaan yang baik. Malangnya, sistem pengangkutan awam yang telah menjangkau usia antara 12 hingga 13 tahun ini masih lagi tidak menampakkan kematangannya.

Semenjak pelaksanaannya, masalah seperti tren lambat, tren yang tiba-tiba berhenti atau rosak, terlalu sesak, penghawa dingin yang tidak berfungsi dan masalah-masalah lain masih lagi berlaku.
Keadaannya yang bagaikan sardin, lebih-lebih lagi waktu puncak turut memberikan kesan negatif kepada tanggapan pengguna. Keadaan ini turut dikesali Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan rel di ibu negara.

Beliau yang meninjau dan merasai sendiri menggunakan kemudahan perkhidmatan rel ini pada 21 Ogos lalu mendapati bahawa perkhidmatan rel ini tidak sistematik, jadual ketibaan tidak teratur, gerabak tidak mencukupi dan liputan laluan tidak meluas.

Jadual waktu tren yang tidak tepat menyumbang kepada sikap negatif penumpang seperti berebut-rebut, tidak beratur ketika memasuki tren serta sikap kurang prihatin terhadap warga tua, warga kurang upaya dan wanita mengandung. Senario ini bukan sahaja menjengkilkan, malah turut memberikan pandangan buruk kepada pelancong-pelancong luar yang mana secara langsung akan turut menjejaskan industri pelancongan negara.

PERKHIDMATAN TEKSI

Bilangan teksi sebanyak 30,000 masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah pengguna yang ada. Daripada jumlah ini, sebanyak 21,000 buah teksi yang terdapat di Lembah Kelang masih tidak mencukupi. Dianggarkan 3,000 buah teksi diperlukan bagi menambah jumlah sedia ada.

Ironinya, dengan nisbah sebuah teksi bagi 500 orang penumpang, diburukkan lagi dengan perlakuan tidak bertanggungjawab pemandu teksi yang mengambil kesempatan mengenakan caj tidak munasabah selain tidak menggunakan meter, telah menimbulkan rasa tidak puas hati pengguna.

Rasa tidak puas hati pengguna terhadap caj teksi yang terlalu tinggi ini telah menjadi satu isu yang berlarutan sekian lama. Malah, situasi ini diburukkan lagi dengan tindakan tidak berdisplin dan tidak bermoral di kalangan sesetengah pemandu teksi yang menggunakan perkataan yang tidak sopan dan menghina penumpang yang meminta pemandu teksi untuk menggunakan meter.

Gesaan untuk menarik balik lesen pemandu teksi yang mengenakan caj tanpa menggunakan meter seolah-olah tidak pernah diambil berat. Malah, terdapat banyak kes di mana para pengguna terpaksa bertegang urat dengan pemandu teksi dalam menetapkan kadar tambang ke sesuatu destinasi. Sekiranya pemandu teksi tidak berpuas hati dengan kadar yang ditetapkan oleh penumpang maka akibatnya, pengguna terpaksa menunggu teksi yang lain pula.

Senario sebegini sukar dilihat di negara lain. Di Kaherah, Mesir misalnya, perkhidmatan teksinya tidak menggunakan sistem meter tetapi mengamalkan sistem tawar-menawar di antara penumpang dengan pemandu. Pemandu juga tidak pernah mengelak daripada mengambil penumpang. Pengguna tidak perlu menunggu lama lebih dari lima minit untuk mendapatkan khidmat teksi.

Masalah kewujudan ‘ulat-ulat’ teksi yang licik dan tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan turut mencemarkan imej pengangkutan awam ini. Kehadirannya di lokasi-lokasi tertentu terutamanya di lapangan terbang mampu memberikan mereka pendapatan lumayan sehingga antara RM6,000 hingga RM7,000 sebulan.

Masalah ini pula bagaikan tiada surutnya lantaran tiadanya pemantauan berterusan dalam penggunaan meter di kalangan pemandu teksi.

Ini juga ditambah dengan alasan-alasan pemandu teksi itu sendiri seperti pendapatan daripada teksi bermeter tidak mencukupi kerana terdapat pelbagai caj yang dikenakan terhadap pemandu teksi iaitu seperti sewa teksi, sewa permit, minyak, penyelenggaraan kenderaan, cukai jalan, insurans kenderaan, pemeriksaan kesihatan tahunan dalam usaha untuk memperbaharui lesen dan salah satu kewajipan dalam ujian Puspakom.

LANGKAH PENAMBAHBAIKAN

Saranan yang dilaungkan kerajaan bagi menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam untuk mengelakkan kesesakan jalan raya akan hanya menjadi laungan kosong jika sistem itu tidak diperhalusi dan diperbaiki terlebih dahulu.

Sebagai langkah permulaan, satu sistem yang berintegrasi, komprehensif dan tersusun di antara laluan terutamanya monorel, LRT, komuter dan bas perlu diusahakan. Langkah yang diaplikasikan oleh negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun ini telah terbukti kejayaannya. Melalui sistem ini, setiap penumpang dapat turun bas dan pada masa yang sama dapat menggunakan perkhidmatan LRT yang juga terletak di tempat yang sama.

Selain itu, pembabitan terlalu banyak badan yang menyelaras dan mengendalikan pengangkutan awam juga dilihat tidak membantu dalam menjamin kecekapan sistem perkhidmatan awam negara. Bidang kuasa yang bertindih berhubung pengeluaran lesen, pengesanan, pengujian kenderaan dan penguatkuasaan menimbulkan kekeliruan dan menjadi penyebab kepada pelbagai masalah yang timbul.

Di bandar-bandar utama seperti London, New York dan Singapura terdapat badan tunggal yang menguruskan pengangkutan awamnya. Malangnya keadaan itu tidak berlaku di Malaysia kerana 13 agensi dan jabatan kerajaan terlibat dalam soal pengangkutan yang akhirnya bukan menyelesaikan tetapi memburukkan lagi masalah.

Pengeluaran permit kenderaan komersial misalnya, diletakkan di bawah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Pengeluaran cukai jalan dan penguatkuasaan peraturan jalan raya, dipegang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), manakala perkhidmatan rel dan tren pula di bawah Jabatan Keretapi. Kedua-dua jabatan ini adalah di bawah Kementerian Pengangkutan. Kemudahan pengangkutan awam seperti perhentian bas, terminal bas, lorong bas pula di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Masalah ini turut ditegur Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mengakui penyelesaian kepada masalah lalu lintas negara sepatutnya memberikan kelegaan melangkaui tempoh 20 hingga 30 tahun. Tidak hanya sekadar untuk tempoh setahun dua sahaja.

Ironinya, sistem perkhidmatan pengangkutan awam sekarang tidak mempunyai data statistik keperluan sebenar bagi pengangkutan awam. Oleh hal yang demikian itu, suatu kajian menyeluruh mengenai operasi pengangkutan awam di negara ini juga menjadi suatu keperluan yang bertindak sebagai rujukan atau penanda aras kepada keberkesanan dan kecekapannya selama ini.

Menurut pakar pengangkutan awam, Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor, dengan maklumat yang diperoleh daripada kajian itu, kerajaan akan dapat membina sebuah pangkalan data indeks kualiti industri pengangkutan awam khusus untuk memantau sektor itu secara berterusan.

Pangkalan data ini akan mengumpul maklumat terperinci berkenaan sektor pengangkutan selain perlu dikemas kini secara tahunan sebagai rujukan kepada semua pihak termasuk pengguna, pengusaha dan kerajaan.

Melalui usaha itu, kerajaan dan syarikat pengusaha dapat memantau operasi perkhidmatan pengangkutan awam mengikut situasi semasa termasuk peningkatan kos ekoran kenaikan harga minyak seperti yang berlaku ketika ini. Menerusi hasil kajian yang sama juga, kerajaan dapat mengenal pasti punca peningkatan kos dan menyalurkan subsidi secara lebih tersusun dan sistematik seterusnya memuaskan hati pengusaha dan pengguna.

Sasaran penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus menjelang 2020 daripada hanya 20 peratus pada masa kini, dilihat sebagai langkah permulaan penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam negara. Langkah ini bertujuan mengikuti kejayaan negara-negara jiran mengaplikasikan sistem pengangkutan awamnya di mana Singapura sebanyak 56 peratus, Bangkok (30 peratus), Manila (54 peratus), Tokyo (49 peratus) dan Seoul (60 peratus).

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menerusi perbentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), dalam agenda pembangunan negara, telah membentangkan lima Teras Utama Misi Nasional yang mana antara strategi utama teras keempatnya adalah menambah baik kemudahan pengangkutan.

Penambahbaikan ini meliputi agenda meningkatkan liputan sistem rel transit bandar di samping memperbanyak terminal pengangkutan awam bersepadu meliputi perkhidmatan komuter, bas, teksi, LRT, ERL dan monorel bagi tujuan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian terutama di kawasan Lembah Kelang.

Bagi mencapai maksud tersebut, Suruhanjaya Pengangkutan Awam ditubuhkan bagi merangka Pelan Induk Pengangkutan. Usaha ini termasuk juga di negeri Sabah dan Sarawak yang mana rangkaian jalan rayanya akan diperluas terutama di kawasan pedalaman.

Perhatian yang sama turut diberikan di dalam perbentangan Belanjawan tahun 2009. Bertemakan kerajaan prihatin, belanjawan 2009 menumpukan kepada penambahbaikan pengangkutan awam dalam konteks meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup sekaligus membantu pembangunan negara.

Peruntukan sebanyak RM35 bilion disediakan bagi perbelanjaan dalam tempoh enam tahun bagi meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel sedia ada, membina laluan baru, menambah bilangan bas dan menyediakan kemudahan infrastruktur berkaitan.

Sistem LRT sedia ada di Lembah Klang akan dipanjangkan sejauh 30 kilometer (km), iaitu masing-masing sepanjang 15 km bagi aliran Kelana Jaya dan aliran Ampang. Dijangka siap pada 2011, seramai 2.6 juta penduduk di sepanjang Koridor Subang Jaya-USJ dan Koridor Kinrara-Puchong akan menikmatinya berbanding 1.9 juta orang pada masa ini.

Pembelian 35 set tren aliran Kelana Jaya baru yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal 2010 juga akan meningkatkan kapasiti penumpang lebih dua kali ganda. Daripada 160,000 penumpang sehari pada masa ini meningkat kepada 350,000 penumpang sehari. Aliran Ampang pula akan mempunyai kapasiti 280,000 penumpang sehari berbanding 150,000 penumpang pada masa ini.

Laluan baru dari Kota Damansara ke Cheras iaitu meliputi laluan sepanjang 42km akan turut ditambah. Laluan yang dijangka siap pada 2014, dengan kapasiti melebihi 300,000 penumpang sehari, akan memberi perkhidmatan rel bagi kawasan kediaman, perdagangan dan kewangan Koridor Kota Damansara-Cheras yang mempunyai bilangan penduduk lebih sejuta orang.

Pengambilalihan aset dan operasi KL Monorail daripada operator swasta pada akhir tahun 2007 turut meningkatkan jumlah penumpang lebih 10 peratus Langkah ini akan menyumbang kepada usaha menjadikan perkhidmatan rel bandar di Lembah Klang lebih berintegrasi.

Perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad turut dipertingkatkan. Langkah itu termasuk membaik pulih 20 set ´Electric Multiple Unit (EMU) sedia ada yang dijangka siap pada 2009. Sejumlah 13 EMU baru juga akan ditambah menjelang 2011. Bagi memperluaskan jaringan perkhidmatan rel komuter, laluan Sentul-Batu Caves sepanjang 7.5 km sedang dibina dan dijangka siap menjelang 2010.

Di samping itu, dua projek utama sedang dilaksanakan bagi meningkatkan perkhidmatan KTM, iaitu projek landasan berkembar elektrik Seremban-Gemas, yang dijangka siap pada 2012 dan Ipoh-Padang Besar pada 2013.

Terminal pengangkutan bersepadu bagi kemudahan teksi dan bas antara bandar juga akan dibina di Bandar Tasik Selatan. Terminal moden lima tingkat ini mempunyai kapasiti menampung lebih 130 teksi dan 100 bas, kemudahan letak kereta dan ruang komersial, selain berhubung dengan rel aliran Ampang, ERL dan KTM Komuter serta teksi dan bas bandar di Lembah Klang.

Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) telah menyaksikan kejayaan dengan pertambahan dalam purata jumlah penumpang bas dan Transit Aliran Ringan (LRT) sejak pengumuman kenaikan harga minyak oleh kerajaan pada 5 Jun lalu. Bagi operasi bas, purata jumlah penumpangnya meningkat sebanyak 7.5 peratus daripada 365,111 kepada 392,654 penumpang sehari manakala bagi LRT, puratanya meningkat sebanyak 3.9 peratus daripada 313,753 kepada 326,095 sehari.

Sebagai langkah membantu mengurangkan kos operasi operator pengangkutan awam, kerajaan telah meningkatkan kuota subsidi diesel selain kemudahan pinjaman mudah melalui dana pengangkutan awam. Sebanyak RM3 bilion diperuntukkan di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk membiayai perolehan aset bas dan rel.

Bayaran tol juga telah dikurangkan sebanyak 50 peratus bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan, iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam, untuk tempoh dua tahun bermula 15 September 2008. Pengecualian cukai jualan ke atas pembelian bas baru yang dipasang dalam negara dan perbelanjaannya diberi elaun modal turut dipercepatkan. Cukai jalan juga dikurangkan kepada RM20 setahun bagi semua bas dan teksi, termasuk kereta sewa pandu dan limousin.

Bagi memastikan perhatian khusus diberikan kepada usaha memajukan sistem pengangkutan awam bandar secara menyeluruh, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri, untuk merancang, mengintegrasi, mengawal selia dan memajukan sistem perkhidmatan pengangkutan awam. Suruhanjaya ini dijangka mula beroperasi pada pertengahan 2009.

Pengalaman penyelidikan oleh penyelidik dari negara-negara maju telah membuktikan bahawa pengangkutan boleh bertindak sebagai pra-syarat yang penting dalam membangunkan negara. Model yang terbina daripada penyelidikan menunjukkan pengaruh yang positif dan signifikan infrastruktur pengangkutan terhadap pembangunan sosioekonomi sesuatu kawasan, wilayah atau negara.

Di Malaysia, penelitian di kawasan luar bandar dan antara bandar, antara lain, oleh Lienbach (1971) dan Abd Rahim Md Nor (1996) menunjukkan perkaitan yang serupa. Menyedari hal ini, langkah kerajaan di dalam Belanjawan 2008 ini dilihat sebagai langkah yang bijak. Sistem pengangkutan yang baik dan komprehensif bertindak sebagai penjana bagi menarik pelabur asing serta pelancong. Kecekapan dan keberkesanannya, penentu pembangunan suatu bangsa dan negara.


Sumber : Laman Web Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia

Khamis, Februari 03, 2011

Apa jadi Jawatankuasa Khas?

TELAH hampir setahun penubuhan Jawatankuasa Khas bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung guru sekolah di seluruh negara, diumumkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengumuman ini merupakan perkhabaran gembira buat seluruh guru. Namun sehingga kini para guru masih menanti dengan penuh debaran kerana tiada sebarang perkembangan berkaitan penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut.
Apa yang para guru ingin tahu ialah apakah metadologi kajian yang akan atau telah digunakan oleh Jawatankuasa Khas tersebut? Sekiranya melalui kaji selidik, mengapa tiada sebarang borang soal selidik diedarkan kepada guru-guru? Sekiranya metadologi temubual digunakan, bilakah masanya para guru akan diberi peluang menyatakan masalah mereka?
Atau sekiranya kajian dilakukan menggunakan teknologi terkini, apakah nombor telefon khas atau emel jawatankuasa khas tersebut yang boleh para guru hubungi. Atau adakah jawatankuasa khas tersebut akan menggunakan teknologi paling terkini iaitu kaedah pemerhatian yang digabungkan dengan teknik remote control?
Namun sehingga kini nampaknya tiada sebarang penyelesaian terhadap permasalahan tersebut, sebaliknya yang timbul ialah ‘lebih kerja’ untuk guru.
Terbaharu, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan program 1Murid 1Sukan yang sememangnya bertujuan murni bagi mencungkil potensi pelajar. Namun malangnya pihak pentadbiran sekolah yang mahu cepat menjadi pengetua atau guru besar cemerlang barangkali, terus cuba mengimplementasi 1Murid 1Sukan seolah-olah Sekolah Kebangsaan (SK) adalah sekolah sukan!
Tidak ada satu garis panduan khusus untuk melaksanakannya. Segalanya bergantung kepada pihak pentadbiran sekolah. Mungkin lebih wajar sekiranya waktu pembelajaran sedia ada pada hari-hari tertentu dianjalkan bagi memberi ruang kepada satu atau dua waktu program 1Murid 1Sukan. Malangnya kebanyakan sekolah mengambil tindakan yang paling popular iaitu guru-guru kena datang waktu petang untuk menjayakan 1Murid 1Sukan.
Para guru sebenarnya sudah tidak kisah untuk pulang lewat setiap petang kerana selepas bersukan dan berko-kurikulum dengan murid-murid sehingga lewat petang, guru-guru akan menjadi semakin cergas. Pada sebelah malamnya ramai guru merasa amat bertenaga untuk menyemak buku nota dan buku latihan pelajar.
Anak-anak pula, kebanyakan guru tidak mempunyai anak untuk dididik. Bagi guru yang mempunyai anak pula, anak mereka akan diserahkan pula kepada masyarakat setempat untuk dididik sebagai balasan guru mendidik anak masyarakat pada sebelah siangnya.
Guru-guru amat mengharapkan sesuatu yang positif daripada jawatankuasa khas tersebut agar permasalahan beban kerja guru dapat diselesaikan dan guru kembali menjadi pendidik yang sebenar-benarnya. Permasalahan ini seharusnya diselesaikan dengan secepat mungkin kerana ia membazirkan masa para guru dan merugikan pelajar.
Justeru para guru seluruh negara amat mengharapkan agar satu transformasi dalam profesyen perguruan akan diumumkan.
NORHISYAM MOHAMAD
Kuala Kedah, Kedah

Sumber : Utusan Malaysia

Template by:
Free Blog Templates