
Yang turut serta dalam wacana ini ialah Yang Mulia Prof. Diraja Ungku Aziz, Y Bhg. Tan Sri Alimudin, Mantan Ketua Pengarah, KPM, Y Bhg Tan Sri Prof. Ismail Husin, Y Bhg Prof. Dr. Zainon Ismail, Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC kebangsaan, En. Mugilan dan banyak lagi.

Yang Mulia Prof. Diraja Ungku Aziz melahirkan kekesalannya kerana tindakan segelintir pihak yang membakar novel Interlok. Beliau berpendapat bahawa tindakan membakar buku tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia. Walau apa pun alasan yang dikemukakan, tindakan membakar buku merupakan satu tindakan yang membawa `sial' atau `sue' kepada bangsa.
Wacana Novel Interlok: Ulasan En.UthayasankarSB(sumber: http://uthayasb.blogspot.com/)
Panel pertama, Cikgu Abdul Ghalib Yunus, Guru Cemerlang Bahasa Melayu DG48 yang mempunyai pengalaman mengajar lebih 29 tahun memulakan bicara dengan mengetengahkan pelbagai hujah bernas dan profesional yang amat membantu saya menguatkan hujah apabila tiba giliran saya untuk bercakap.
.
Perkara 1
Misalnya, beliau yang bercakap dari perspektif guru mengingatkan hadirin bahawa bagi novel Interlok (1971), Hak Cipta dipegang oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah), manakala Hak Cipta bagi edisi murid (2010) dipegang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Penjelasan drp Cikgu Agy: Maklumat ini penting supaya setiap peserta memahami bahawa DBP mempunyai lessen atau kuasa untuk membuat penambahbaikan jika ada bahagian yang tidak sesuai dalam nobel ini. Persoalannya ialah kenapakah segelintir pihak membuat riuh supaya novel ini ditarik balik?
Perkara 2:
Cikgu Ghalib juga mengakui bahawa sekolah-sekolah sudah menerima buku teks itu pada Oktober 2010 dan sudah diedarkan kepada pelajar supaya mereka boleh membacanya semasa cuti sebelum masuk ke sekolah pada 3 Januari 2011. Maknanya, pelajar terbabit membaca tanpa bimbingan guru.
Penjelasan drp Cikgu agy:
Oleh sebab Sdr. Uthaya bukan guru Bahasa Melayu, pemahaman beliau terhadap perkara yang saya perkatakan tidak dapat difahami dengan jelas.
Murid membuat tugasan semasa cuti sekolah dengan tujuan mereka membaca dan memahami kandungan novel secara umum. Saudara Uthaya juga tidak mengetahui bahawa pelajar sekolah akan mengikuti P&P Novel sekurang-kurangnya sekali seminggu dengan bimbingan guru bermula bulan Januari hingga Oktober. Murid juga akan membuat pembentangan supaya mereka dinilai untuk berhujah dan mempertahankan hujah(Bidang Interpersonal). Oleh itu, tuduhan yang mengatakan murid mempelajari dan mengkaji novel tanpa bimbingan guru merupakan tuduhan yang melulu dan tidak berasas.
Perkara 3:
Beliau turut mengingatkan hadirin bahawa novel Interlok edisi murid yang sedang dibicarakan ini adalah teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) iaitu sebahagian daripada subjek Bahasa Malaysia, dan bukannya teks bagi subjek Sastera Melayu. Untuk makluman, Komsas adalah wajib manakala Sastera Melayu bukan wajib bagi semua pelajar.
Penjelasan drp Cikgu agy: Perkara ini saya beritahukan awal kerana terdapat banyak pihak yang mengatakan Novel Interlok digunakan sebagai kajian untuk Subjek Kesusasteraan Melayu.
.
Perkara 4:Cikgu Ghalib yang mengaku sudah membaca dan mengkaji Interlok edisi murid mengakui bahawa novel ini sebenarnya terbit dalam pelbagai edisi. Malah, apabila dijadikan edisi pelajar dan edisi murid, ada “penambahbaikan” maka edisi murid yang menjadi topik wacana diakui seorang Guru Cemerlang Bahasa Melayu DG48, bukan lagi asli seperti yang ditulis Pak Lah.
Penjelasan drp Cikgu agy:Semua novel yang dijadikan teks komsas di sekolah sememangnya telah dimurnikan supaya sesuai dengan objektif dan matlamat penggunaan bahan komsas dan bebas daripada unsur-unsur yang tidak sepatutnya.
.
Perkara 5:Katanya, tugas guru ialah membantu pelajar mengkaji teks, biodata, sinopsis dan pelbagai aspek lain mengikut objektif Komsas. Pengajaran dan pembelajaran (P&P) mementingkan aspek penerapan ilmu dan maklumat, serta mesej cerita.
.
Bagi Cikgu Ghalib, pemilihan novel Interlok edisi murid sebagai teks Komsas sangat tepat dan guru-guru boleh membimbing pelajar melihat peristiwa-peritiwa dalam novel berkenaan. Beliau memberikan sepuluh peristiwa yang sesuai dibincangkan dalam kelas.
.
Masalahnya, kalau setakat mahu membincangkan sepuluh peristiwa terpilih, tidak perlu ada novel Interlok. Malah, kalau dilihat pada pelbagai panduan yang tersebar khususnya di ruang siber, tumpuan guru-guru hanya pada Buku Empat dalam novel berkenaan. Maka, apa gunanya seluruh novel diterbitkan dan diberi kepada pelajar?
Penjelasan drp Cikgu agy: Maklumat yang diperkatakan oleh Sdr.Uthaya, iaitu “Beliau memberikan sepuluh peristiwa yang sesuai dibincangkan dalam kelas” tidak tepat. Saya mengatakan bahawa terdapat 10 persoalan penting yang menyokong tema berdasarkan beberapa peristiwa yang perlu diberikan perhatian dalam novel ini.
Sdr. Uthaya nampaknya kelihatan kekurangan pengetahuan tentang P&P Komsas. Dalam kajian novel, guru-guru akan membimbing murid tentang peristiwa penting yang berkaitan dengan tema. Sebagai contohnya, setiap bahagian plot mempunyai pelbagai peristiwa. Dalam sebuah novel pula, kadangkala terdapat beratus-ratus peristiwa dan mungkin beribu-ribu peristiwa? Adakah semua peristiwa perlu dikaji? Murid di sekolah hanya memberikan fokus peristiwa penting yang terdapat dalam novel. Hal ini dikatakan demikian kerana murid akan dapat mengetahui persoalan, perwatakan, nilai dan pengajaran melalui peristiwa tersebut. Daripada persoalan-persoalan yang terdapat dalam novel tersebut, murid akan dapat mengesan tema sesebuah novel. Dalam peperiksaan pula, murid perlu mengemukakan 3 persoalan sahaja untuk mendapat 7 atau 8 markah? Jadi, mengapakah guru menyuruh murid mengkaji peristiwa yang tidak penting yang terdapat dalam novel?
.
Perkara 6:Cikgu Ghalib juga mengakui bahawa dalam isu Interlok edisi murid, guru-guru memikul “tugas mempositifkan yang negatif”; sekali gus beliau mengakui bahawa ada pelbagai perkara negatif dalam Interlok dan guru perlu “positifkan” di kelas. Persoalan lain, bukankah buku sudah diedarkan pada Oktober 2010, pelajar diminta membaca dan membuat tugasan yang perlu dihantar sebaik penggal sekolah bermula pada awal Januari 2011, seperti beliau sendiri katakan?
.
Beliau yang bercakap mewakili guru ternyata memberi gambaran bahawa “matlamat menghalalkan cara”. Antara objektif Komsas diperkenalkan pada tahun 2000 adalah untuk menerapkan minat membaca pelbagai bahan sastera dalam kalangan pelajar, mempertingkatkan kemahiran berbahasa, merangsang kemahiran menilai dan mengkritik pelbagai karya sastera, serta memupuk semangat yakin diri. Bagi mencapai matlamat itu, nampak gayanya, Cikgu Ghalib rela membiarkan apa sahaja unsur negatif hadir dalam novel yang dijadikan teks Komsas, asalnya pelajar boleh belajar bahasa!
Penjelasan drp Cikgu agy:Hujah yang dikemukakan oleh Sdr. Uthaya dalam hal ini menunjukkan kedangkalan pengetahuan beliau tentang kandungan novel yang digunakan di sekolah. Semua novel yang digunakan di sekolah tidak semestinya mempunyai nilai positif kesemuanya. Namun demikian, terdapat juga peristiwa yang negatif tetapi kita boleh mengambil iktibar dari sudut yang positif. Sebagai contohnya, terdapat peristiwa dalam Novel Konserto Terakhir yang memaparkan Dato` Johari dan Datin Salmah yang tidak mengamalkan ajaran agama, malah minum arak pula. Berdasarkan peristiwa ini, apakah nilai yang dapat kita sampaikan kepada murid? Jawapannya ialah nilai taat akan ajaran agama. Apakah pula pengajarannya? Pengajarannya ialah kita mestilah mematuhi ajaran agama dalam setiap perkara yang kita lakukan dalam kehidupan seharian. Inilah yang saya maksudkan, iaitu perkara yang negatif mampu dipositifkan oleh guru. Inilah peranan guru sebagai pendidik. Tuduhan yang mengatakan bahawa `matlamat menghalalkan cara’ merupakan tuduhan yang melulu. Saya ulangi bahawa setiap novel yang dijadikan bahan komsas sudah pasti ada unsur negatif seperti penyertaan masyarakat dalam kegiatan komunis dalam Novel Bukit Kepong, pihak komunis yang bertindak ganas dengan membogelkan penduduk kampung yang sedang dalam perjalanan menaiki bas, dan sebagainya. Di sinilah kebijakan guru sebagai pendidik terserlah apabila guru akan mendidik pelajar supaya cerita atau peristiwa ini dijadikan iktibar atau teladan dan bukannya `matlamat menghalalkan cara’.
Perkara 7:Malah, kata beliau, setakat ini tiada apa-apa aduan atau rungutan daripada pelajar di sekolah beliau berhubung penggunaan buku ini. Beliau berkata, novel Interlok edisi murid sangat sesuai dengan suasana politik sekarang. Apakah maksudnya?
Penjelasan drp Cikgu agy:Suasana politik pada pada hari ini bermaksud suasana pemerintahan negara kita. Dalam hal ini, suasana yang saya maksudkan ialah hasrat kerajaan untuk meningkatkan perpaduan melalui Konsep atau gagasan 1Malaysia. Oleh itu, pemilihan novel ini untuk memperkukuh usaha kerajaan memantapkan perpaduan sangat tepat.
.
Perkara 8.Cikgu Ghalib juga menyentuh bahawa novel Interlok edisi murid ini sudah dicetak, dihantar ke sekolah-sekolah dan sudah diserahkan kepada pelajar. Amat malang jika perlu ditarik balik.
.
Maka, semasa saya berhujah, saya berkata, bayangkan perkara seperti ini [buku dengan kesalahan fakta serta perkara menyentuh sensitiviti kaum] berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW. Katakan berlaku kesilapan fakta seperti yang sedang kita perkatakan. Katakan berlaku keadaan di mana buku [seperti Interlok edisi murid dengan pelbagai kesalahan fakta yang sudah dibuktikan ini] sudah terbit dan kemudian disedari ada bahagian tertentu buku itu menyentuh sensitiviti kaum lain. Apakah agaknya reaksi Nabi Muhammad SAW yang merupakan tokoh Islam yang paling saya kagumi? Apakah Baginda akan membiarkan bahan itu [seperti novel Interlok edisi murid dengan pelbagai kesalahan fakta ini] diedarkan dengan alasan sudah dicetak, atau Baginda akan melakukan sebaliknya?
Penjelasan drp Cikgu agy:Saya berkata demikian kerana saya mengutamakan kepentingan negara. Jika penggunaan buku itu ditarik balik, hal ini sudah tentu menimbulkan kesusahan kepada banyak pihak.
Buku ini banyak kesalahan fakta? Banyakkah fakta yang salah? Kenapakah fakta yang benar tentang kewujudan perkataan `P...’ dinafikan? Lupakah bahawa novel ini merupakan karya atau hasil imaginasi pengarang berdasarkan fakta? Oleh hal yang demikian, jika berlaku sedikit kesalahan fakta, perkara ini sememangnya boleh berlaku? Cuba tonton Filem Bukit Kepong atau filem Leftenan Adnan. Filem tersebut juga didasarkan dengan fakta sejarah. Persoalannya ialah adakah semua perkara yang hendak dimasukkan dalam filem tersebut menepati 100% fakta sejarah?
Hujah yang dikemukakan oleh Sdr. Uthaya ialah Maniam yang digambarkan tidak mempunyai pegangan agama memalukan masyarakat India. Persoalannya ialah benarkah watak Maniam menggambarkan keseluruhan orang India di negara ini? Jika Sdr. Uthaya membaca Novel Konserto terakhir, adakah Dato` Johari dan Datin Salmah yang tidak mematuhi ajaran agama malah minum arak pula menggambarkan perwatakan masyarakat Melayu keseluruhannya? Dalam hal ini, belum ada seorang pun tokoh Melayu atau orang Melayu yang mempertikaikannya. Selain itu, terlalu banyak lagi bahagian atau karya lain yang dijadikan bahan KOMSAS seperti yang terdapat dalam antologi Anak Laut, Kerusi , Harga Remajda dan Dirgahayu bahasa yang menghina watak tertentu yang bernama `Melayu’ dalam karya tertentu yang kami orang Melayu boleh menerimanya. Kami boleh menerimanya kerana kami berfikiran rasional. Kami menerimanya kerana kami menganggap bahawa perkara itu sememangnya realiti dan wujud dalam masyarakat. Dalam novel Interlok, saya ingin menegaskan bahawa watak Maniam bukanlah gambaran Masyarakat India sebenar pada hari ini. Watak `Maniam’ ialah gambaran watak seorang daripada ahli kumpulan kecil yang menaiki kapal pada masa itu ketika datang ke negara Malaysia ini.
Penutup:
Tahukah Sdr. Uthaya bahawa terlalu banyak pihak yang menyokong penggunaan novel Interlok sebagai teks KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia di sekolah? Pelbagai lapisan masyarakat dan orang perseorangan yang menyokong novel ini baik Melayu, Cina atau orang India sendiri?
Tahukah Sdr. Uthaya tentang siapakah yang mula menaburkan kebencian masyarakat India terhadap novel ini? Saya juga akan marah jika saya berketurunan India `apabila pemimpin berketurunan India membuat tuduhan melulu bahawa penulis novel Interlok telah menghina kaum India di Malaysia dengan menuduh bahawa orang India di Malaysia berasal daripada keturunan paria”. Perkara yang dinyatakan ini amat bertentangan dengan kandungan novel tersebut. Mengapakah Sdr. Uthaya tidak membetulkan fakta yang tidak tepat ini?
Sebagai kesimpulannya, saya mendapati bahawa masyarakat India rasa terhina dengan novel ini kerana perkataan yang bermula dengan huruf P. Walaupun perkataan itu memang wujud dan diskriminasi dalam kalangan masyarakat India pernah berlaku pada zaman dahulu di India, mereka di Malaysia sukar untuk menerimanya. Perkataan yang bermula dengan huruf P tersebut sememangnya fakta. Namun demikian, kebanyakan masyarakat India yang menentang penggunaan novel ini memang sukar untuk menerima kenyataan. Sdr.Uthaya pula tambah menghangatkan kemarahan masyarakat India ibarat menyimbah minyak petrol ke arah api yang sedang marak dengan menyatakan bahawa terdapat beberapa perkara lagi yang digugurkan atau ditokok tambah dalam edisi murid. Persoalan tentang fakta yang dikatakan tidak tepat seperti `topeng’ yang dipakai oleh penari itu juga merupakan fakta yang terlalu kecil untuk dipertikaikan. Perkara yang penting dan menjadi tema dalam novel ini, iaitu perjalanan dan permulaan masyarakat Malaysia yang kemudiannya bersatu untuk mewujudkan perpaduan dan menyambut kemerdekaan dalam suasana yang hormoni dan penuh ceria langsung tidak diceritakan.
Akhirnya, saya amat berbangga kerana penggunaan novel Interlok tidak akan ditarik balik. Walaupun ada penambahbaikan, itulah keadaannya apabila sesebuah novel yang diangkat menjadi teks KOMSAS untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia. Yang peliknya ialah mengapakah mereka terlalu emosional untuk menarik balik penggunaan novel tersebut sedangkan pindaan terhadap bahan yang dituduh sensitif boleh dilakukan? Dalam hal ini, jika kita mendahulukan kepentingan negara, semua masalah akan dapat diselesaikan. Harapan saya ialah Sdr. Uthaya akan muncul sebagai jaguh kaum India di negara kita pada suatu hari nanti.
Sumber : Blog Cikgu Ghalib
http://agy7500.blogspot.com




