Ahad, September 18, 2011

YANG BAIK JADIKAN TELADAN

Yang baik di Singapura
Oleh Mior Kamarul Shahid

2011/09/11

PERTAMA, pada kira-kira jam 11 pagi Sabtu 3 September 2011, kami berbincang mengenai ke mana hendak bersiar-siar di sekitar Singapura. Pada hari kelima Aidilfitri itu kami tidak bercadang bertandang berhari raya ke rumah saudara mara atau kenalan di situ kerana sudah pun berbuat demikian sehari sebelumnya. Sebelum pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah malamnya, kami bercadang untuk bersiar-siar sepanjang hari. Di Singapura, Sabtu itu suasana hari raya begitu dirasakan. Ia adalah hari mereka berkunjung berhari raya dengan baju berwarna warni. Pada hari raya pertama 30 Ogos, Singapura hanya memberi cuti umum sehari dan keesokannya mereka sudah bekerja atau bersekolah semula. Oleh itu, hujung minggu itu adalah hari mereka berkunjung sesama sendiri.

Untuk memandu di Singapura, setiap kereta perlu mempunyai kad autopass untuk membolehkan mereka masuk ke kawasan tol, tempat meletak kereta di kompleks beli-belah dan kawasan yang perlu berbayar, tanpa sebarang masalah. Fungsi kad ini sama seperti Touch n Go di Malaysia. Jumlah wang dalam kad itu boleh ditambah di kedai tertentu.
Bagi orang luar, kad itu biasanya dibeli di kaunter khas sewaktu memasuki Singapura, sebaik selesai urusan pemeriksaan imigresen. Apabila meninggalkan Singapura nanti, jumlah wang yang ada pada kad itu akan ditolak berasaskan penggunaannya sama ada bayaran tol, meletak kereta dan sebagainya. Jika tiada kad itu, pemilik kenderaan dilarang keluar Singapura kecuali selepas membayar denda yang agak tinggi.
Ketika masuk ke Singapura, kami terlupa membeli kad itu. Selepas bertanya kepada beberapa orang, kami dinasihatkan supaya pergi ke pejabat Sistem Pengangkutan Darat di republik itu yang mengambil masa perjalanan kira-kira setengah jam dari Woodlands. Disebabkan hari itu Sabtu, pejabat berkenaan akan tutup pada jam 12 tengah hari. Disebabkan sudah 11.30 pagi, kami terpaksa mencuba nasib bergegas ke pejabat berkenaan bersama seorang saudara yang menunjuk arah jalan.

Satu syarat untuk mendapatkan kad itu ialah menunjukkan dokumen kereta sama ada salinan geran atau insurans. Kedua-duanya tiada. Selepas melalui beberapa lampu trafik dan memotong mengikut jalan pintas, kami tiba di kaunter pada jam 11.59 pagi dalam hujan renyai, hanya seminit sebelum waktu pejabat tutup.
Selepas memberitahu pegawai berbangsa Cina itu yang saya tidak mempunyai sebarang dokumen, dia berkata memadailah dengan cukai jalan. Cukai jalan terlekap di cermin kereta yang diletakkan secara gopoh gapah di luar pagar pejabat itu. Agak memeranjatkan saya, dengan tersenyum dia mengajak saya ke kereta sambil menutup kepalanya dengan surat khabar dan kemudian mencatat maklumat yang diperlukan untuk mengisi borang yang diperlukan.

Kemudian dia mengajak saya kembali ke pejabat dan menyiapkan kad autopass berkenaan. Pada jam 12.20 tengah hari, saya sudah memiliki kad itu dengan bayaran S$20, walaupun sudah melebihi tempoh waktu bekerja. Terfikir juga, bagaimana keadaan yang sama berlaku di Malaysia. Silap-silap, 15 minit sebelum waktu pejabat bekerja berakhir, pejabat sudah ditutup. Ini adalah satu contoh baik yang ditunjukkan oleh pegawai kerajaan republik itu. Sikap disiplin yang tinggi diterapkan pada setiap pegawai dan kakitangan bagi melambangkan semangat nasionalisme rakyat negara itu.
KEDUA, di Singapura, saya berpeluang menemui, Nadira, anak sindrom down. Walaupun anak istimewa, Nadira yang berusia 16 tahun, tiada bezanya dengan anak biasa lain di republik itu. Dia boleh membaca, menulis, mengira dan sebagainya seperti anak normal lain. Hanya wajahnya yang jelas menunjukkan dia anak sindrom down. Nadira boleh bercakap hampir sama seperti kanak-kanak lain, malah lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu. Di republik itu, kanak-kanak seperti Nadira tidak memerlukan bantuan sesiapa juga untuk ke sekolah atau ke tempat tertentu yang dia sudah biasa. Pentadbir sekolahnya tidak membenarkan Nadira datang ke sekolah ditemani atau dihantar oleh sesiapa juga, walaupun ibu bapa. Mereka juga dilarang membawa telefon bimbit kerana ia adalah peraturan sekolah. Jika ada pun, nama dan alat rumah diletakkan di poket beg sekolahnya. Sekolah mahu meyakinkan ibu bapa bahawa anak sindrom down boleh hidup sendiri.

Setiap hari bersekolah, pagi-pagi lagi Nadira keluar rumah seperti anak normal yang lain. Dari rumah pangsanya, dia menuju ke lif dan berjalan kaki ke stesen MRT bersendirian. Dia diajar menaiki tren MRT yang menuju ke arah sekolahnya. Dia turun tren dan berjalan ke sekolahnya dengan selamat setiap hari. Pada mulanya keluarganya bimbang melepaskan Nadira ke sekolah bersendirian tetapi lama kelamaan mereka sudah begitu yakin bahawa Nadira tidak memerlukan pertolongan sesiapa pun. Cuma, pada suatu hari Nadira tidak pulang ke rumah pada waktu yang sepatutnya. Mengikut ceritanya, Nadira tertidur sewaktu berada dalam tren kerana keletihan.

Ini menyebabkan dia turun di stesen lain. Tetapi, sebenarnya, setiap anak sindrom down juga diajar bagaimana untuk pulang jika mereka tersesat. Bagi Nadira, dia diajar supaya tidak bertanya kepada lelaki. Dia diajar supaya meminta bantuan daripada wanita. Dia memberitahu yang dia tersesat dan meminta wanita itu menghantarnya ke rumah. Wanita itu menghantar Nadira pulang ke rumah dengan selamat kerana baginya itu satu tanggungjawab. Keadaan ini berbeza dengan keadaan di negara ini yang mana, ibu bapa tidak yakin melepaskan anak-anak seperti ini bebas seperti orang lain. Masyarakat juga tidak begitu prihatin terhadap anak seperti ini.
Sumber : Berita Minggu 18 September 2011

Template by:
Free Blog Templates