Isnin, Ogos 22, 2011

KAMI MENITIPKAN BELASUNGKAWA



SELAMA berada di katil R/N 838715 wad CRW Hospital Pulau Pinang dan masuk minggu keempat iaitu pada 15 April 2011 semasa beliau hendak menjalani pembedahan jantung, Azizi Abdullah sempat melakar catatan di dalam blognya.
"Sungguh-sungguh amat terasa doa kawan-kawan melalui pengakuan lewat Facebook, e-mail, blog dan SMS. Kudusnya seperti angin malam membisik ke telinga memberitahu bagaimana mereka bermunajat memohon seorang hamba yang terlantar ini kembali sembuh seperti mereka.
"Saya sangat sedar bagaimana kawan-kawan, peminat mengharap saya dipanjangkan umur untuk terus menulis."
Demikian antara baris-baris tulisan terakhir di dalam blognyanya. Namun, Azizi menghembuskan nafas terakhirnya pagi semalam.

Novelis yang terkenal dengan novel Seorang Tua di Kaki Gunung ketika naskhah itu dijadikan teks wajib pelajar Tingkatan Lima kira-kira 20 tahun lalu, meninggal dunia selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang sejak 11 Ogos lalu.
Sebelum itu pun Allahyarham telah dimasukkan ke hospital berkenaan pada Mac tahun ini dan menjalani pembedahan jantung April lalu.

Namun menurut rakan-rakannya, keadaan Allahyarham tidak stabil akibat komplikasi serangan kuman, kencing manis dan masalah buah pinggang.
Bekas guru Pendidikan Islam adalah antara aktivis yang gigih, berani dan cekal untuk menyatakan kebenaran terutama dalam penulisan beliau.
Pemikiran, falsafah, hasil karya dan pemikiran Azizi dalam berkarya sangat dihormati. Gaya penulisan dan persembahan tulisannya cukup meresap ke sanubari sesiapa yang membacanya.
Sejarah bakat menulis Azizi bermula ketika di sekolah agama, kira-kira dalam tahun 1960-an. Sepanjang bergelumang dalam dunia sastera, Azizi telah menghasilkan lebih 30 buah novel, tidak kurang 300 cerpen, ratusan artikel sastera dan kritikan sosial, 5 antologi cerpen, penulis drama radio, drama TV dan empat buah buku sosial.
Allahyarham juga dianggap oleh sesetengah penulis sebagai 'Penulis Sayembara' kerana sering memenangi anugerah.
Walaupun semasa bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, Kedah, Allahyarham banyak menghasil cerpen dan dimuatkan dalam akhbar-akhbar tempatan terutamanya Utusan Melayu dan Mingguan Malaysia.

Antara hasil karya sayembara Azizi yang terkenal ialah Wi & William (Hadiah Sako), Jati Diri(Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1995); Di Qalaah Salehuddin (Hadiah Sastera Utusan Public Bank 1998).
Sebagai pesara guru, cerpenis, novelis dan penyajak, Azizi diterima sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (Januari 2005 - Disember 2005) untuk penulisan novel bertajuk "Sangeetha."
Selepas bersara sebagai guru, Azizi menjadi Editor Utusan Pengguna terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan terus aktif berkarya menghasilkan novel serta kritikan politik berunsur satira.

Dua novel terbarunya "Anak Belantera" dan "Badai Cinta", baru sahaja memasuki pasaran bebeberapa bulan lalu.
Sumbangan Azizi dalam dunia sastera Malaysia amat besar. Untuk menghargai jasa-jasanya itu Allahyarham adalah antara 10 penerima awal Anugerah Penulis SEA (SEA Write Award) - anugerah yang diberikan setiap tahun semenjak 1979 kepada penyair dan penulis di Asia Tenggara oleh kerajaan Thailand.
Azizi menerima anugerah itu pada 1988. Anugerah ini meletakkan Azizi sebaris dengan sasterawan dan karyawan tanah air seperti A. Samad Said, Baharuddin Zainal (Baha Zain), Abdullah Hussein, Usman Awang, Adibah Amin, A. Latiff Mohidin, Arena Wati (Muhammad Dahalan Abdul Biang), Kemala (Ahmad Kamal Abdullah) dan Noordin Hassan.

Al-fatihah buat Allahyarham Azizi Abdullah.

Sumber : Utusan Malaysia

Template by:
Free Blog Templates