Peperiksaan percubaan SPM akan berlangsung mulai bulan Ogos hingga akhir September. SBP, Kedah, Perlis dan Terengganu akan melangsungkan peperiksaan tersebut pada bulan Ogos.
Tiada jawapan bagi soalan percubaan SPM akan disiarkan di blog ini. Rakan guru boleh memperolehnya melalui rakan-rakan di negeri berkenaan. Harap maklum.
Tahniah diucapkan kepada pasukan bola sepak Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi pihak warga Guru mengucapkan terima kasih dan menghormati serta menghargai Cuti Umum yang diberikan oleh Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat, 31 Disember 2010 sempena kejayaan pasukan bola sepak Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF.
Walau bagaimanapun memandangkan persiapan awal telah dibuat oleh banyak sekolah untuk sesi orientasi dan pendaftaran murid pada hari esok sebagai persediaan sesi persekolahan 2011. Maka demi kepentingan Pelajaran dan kemudahan kepada ibubapa, Kementerian menyarankan supaya aktiviti tersebut diteruskan.
Guru-guru yang terlibat boleh dipertimbangkan diberi Cuti Ganti.
Makkal Osai bertarikh 15 & 16 Disember 2010, Tamil Nesan bertarikh 13 Disember 2010 dan Malaysia Nanban bertarikh 15 Disember 2010 – BERKAITAN DENGAN NOVEL INTERLOK
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin mengucapkan terima kasih dan merujuk kepada Laporan Akhbar Makkal Osai bertarikh 15 & 16 Disember 2010, Tamil Nesan bertarikh 13 Disember 2010 dan Malaysia Nanban bertarikh 15 Disember 2010 – Novel Interlok.
Novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain adalah merupakan salah satu novel untuk komponen sastera dalam Bahasa Malaysia dan bukan buku teks komponen Sejarah. Isu yang diketengahkan adalah berkaitan sentimen kasta kaum India pada halaman 211 novel tersebut.
Pada dasarnya, jalan cerita novel Interlok berlatar belakangkan suasana sebelum kemerdekaan. Penulis menggabungjalinkan unsur-unsur sastera dan sejarah dalam penulisannya bagi menggambarkan dengan jelas suasana penduduk tanah air sebelum merdeka.
Novel ini telah dipilih oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM dan mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Kurikulum Pusat KPM. Bahagian ini hanya menguruskan penerbitan dan pembekalan novel versi murid ke sekolah-sekolah.
Untuk makluman, KPM tidak pernah menyatakan untuk menarik balik novel tersebut daripada dibekalkan kepada murid untuk sesi persekolahan mulai tahun 2011.
LAWAS 23 Dis. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa bangga berikutan dengan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang mencatatkan peningkatan sebanyak 0.65 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Keputusan peperiksaan itu yang diumumkan hari ini merupakan yang terbaik dalam tempoh empat tahun sekali gus menunjukkan prestasi pelajaran di negara ini semakin baik tahun demi tahun.
Muhyiddin yang diminta mengulas keputusan itu turut berasa bangga kerana pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Matematik dan Sains menunjukkan peningkatan.
''Apa yang membanggakan ialah antara lain pencapaian hampir semua pelajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Matematik dan Sains subjek teras mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena lawatan kerja dua hari di Limbang dan Lawas Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengulas keputusan PMR yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd.Ghafar Mahmud di Putrajaya.
Muhyiddin berkata, keputusan kali ini jika diterjemahkan menunjukkan satu pencapaian membanggakan untuk semua sekolah.
Beliau juga membangkitkan mengenai jurang prestasi pelajaran pelajar-pelajar luar bandar dengan pelajar-pelajar di bandar yang perlu dirapatkan.
''Kita juga nak lihat jurang prestasi luar bandar dan bandar dirapatkan. Walaupun sedikit sebanyak ada penambahbaikan, namun masih ada lagi jurang,'' jelas beliau.
Dalam hal ini, kerajaan katanya akan terus memberi perhatian supaya prestasi pelajar di luar bandar dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik lagi.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran turut mengingatkan sekolah-sekolah yang tidak mencatatkan keputusan yang baik supaya melakukan sesuatu.
''Kita (kementerian) nak lihat jika sekolah yang tidak mencatat kemajuan dan kita akan pergi lihat apakah sebabnya ia tidak berjaya,'' tegas beliau.
Tambah Muhyiddin, dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) terdapat program meningkatkan kejayaan sekolah dan sekolah yang didapati tidak berjaya, akan dikaji supaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan
Sumber : Utusan Malaysia .
Abd. Ghafar Mahmud menunjukkan laporan Pengumuman Keputusan Penilaian Menengah Rendah di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 23 Dis. - Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun dengan seramai 30,863 pelajar mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud ketika mengumumkan keputusan itu berkata, jumlah pelajar yang mendapat semua A meningkat sebanyak 2,675 orang atau 0.65 peratus berbanding 28,188 orang pada tahun lalu.
''Bilangan calon yang mendapat semua E pula menurun daripada 397 orang pada tahun 2009 kepada 386 orang pada tahun ini.
''Keputusan PMR secara keseluruhannya telah menunjukkan peningkatan dengan Gred Purata Nasional (GPN) yang bertambah baik iaitu daripada 2.78 pada tahun 2009 kepada 2.74 pada tahun ini," katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Seramai 479,675 orang calon telah menduduki PMR tahun ini dengan 93.17 peratus daripada mereka terdiri daripada calon sekolah kelolaan Kementerian Pelajaran.
Abd. Ghafar berkata, jurang keputusan PMR di kawasan luar bandar dengan kawasan bandar semakin rapat dengan lebih ramai calon luar bandar mendapat A dalam semua mata pelajaran.
''Seramai 5,825 pelajar luar bandar telah mendapat A dalam semua mata pelajaran pada tahun ini berbanding 4,775 orang pada tahun lalu," katanya.
Bagaimanapun katanya, pencapaian calon istimewa menurun sedikit dari segi bilangan yang mendapat semua A dan minimum semua D.
''Sebanyak lima calon istimewa mendapat A dalam semua mata pelajaran tahun ini berbanding tujuh orang pada tahun lalu," katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pelajaran buat kali kedua memperkenalkan Pendidikan Kesenian dalam empat bidang iaitu tari, muzik, teater dan seni visual di Sekolah Seni, Johor Bahru dan Sekolah Seni, Kuching.
''Kesemua mata pelajaran dalam Pendidikan Kesenian telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang.
''Bidang Tari menunjukkan pencapaian tertinggi dari segi peratusan calon yang mendapat gred tertinggi iaitu Band 4," katanya.
KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Beberapa isu kepenggunaan mencetus kegawatan pada tahun 2010, daripada kekurangan bekalan gula di awal tahun kepada kenaikan harga bahan pemanis itu serta bahan api termasuk petrol dan diesel.
Lazimnya juga setiap kali kerajaan mengumumkan kenaikan harga bahan api dan gula, pasti juga kedengaran rungutan kenaikan harga barang yang menjadikan kos sara hidup, terutama di bandar, semakin membebankan.
Di samping itu, ada juga pengguna yang tersungkur akibat tipu-helah diperdaya oleh sindiket penipuan atau scam yang melibatkan pelaburan.
Memang pahit untuk ditelan tetapi semuanya ini menuntut pengguna negara ini supaya lebih bijak dan berhemat dalam mengatur perbelanjaan dan tidak membiarkan diri terbelit dengan hutang.
Semestinya kita tidak mahu menambah statistik individu muflis yang dilaporkan setakat Oktober 2010 seramai 87,583 orang.
Daripada jumlah itu, 4,651 atau 5.1 peratus diisytiharkan bankrap kerana terbabit dalam hutang kad kredit termasuk generasi muda ekoran kadar faedah yang tinggi iaitu antara 12 hingga 18 peratus.
Dalam masa yang sama pengguna juga perlu lebih berwaspada supaya tidak termakan pujuk rayu pihak tertentu yang licik mempromosi pelbagai bentuk penipuan menerusi program penerangan pelaburan yang didakwa menguntungkan.
STRUKTUR SUBSIDI
Kenaikan harga bahan api dan gula yang dibuat kerajaan pada 2010 adalah selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan bajet 2010 pada 23 Okt 2009 mengumumkan cadangan menstruktur semula subsidi petroleum dan mensasarkan pelaksanaannya pada 1 Mei 2010.
Mengikut penstrukturan itu, kadar harga minyak adalah mengikut kapasiti enjin, manakala warga asing perlu membayar mengikut kadar pasaran semasa.
"Para pengguna ketika itu tertanya bagaimana mekanisme ini akan dilaksanakan. Antara kebimbangannya ialah apakah mereka termasuk dalam kategori yang tidak mendapat subsidi minyak.
"Namun kemudiannya pada Mac 2010, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengumumkan cadangan itu dibatalkan. Sebuah makmal rasionalisasi subsidi diwujudkan bagi mengkaji pemberian subsidi kerajaan termasuk untuk petrol.
"Pada 27 Mei 2010 Datuk Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) membentangkan cadangan makmal tentang penarikan subsidi secara berperingkat sehingga 2015.
"Ini memberikan sedikit kelegaan kepada pengguna, namun masih ramai yang sangsi kesan yang bakal mereka hadapi terutama peningkatan kos hidup apabila harga barang itu dinaikkan terutamanya bahan api," demikian menurut Mohd Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).
ANTARA SUBSIDI DAN PERUNTUKAN
Kerajaan ternyata serius melaksanakan rasionalisasi subsidi dengan mengumumkan pengurangan subsidi petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan gula (gelombang kedua) pada 4 Dis lalu.
Kadar kenaikan lima sen bagi setiap satu liter RON95 menjadikan harga pam petrol itu kini RM1.90 seliter.
Sebelum ini harga pam petrol RON95 dinaikkan sebanyak lima sen seliter pada 16 Julai 2010 daripada RM1.80 kepada RM1.85.
Subsidi untuk diesel turut dikurangkan dan harga pam bahan api itu selepas kenaikan lima sen pada 4 Dis ialah RM1.80. Harga LPG turut dinaikkan sebanyak lima sen sekilogram dan harganya kini RM1.90 sekilogram.
Mohd Yusof memberitahu Bernama, jika diambil kira kenaikan terbaharu harga bahan api, gula dan LPG, kerajaan sememangnya sedang melaksanakan cadangan yang dibuat Makmal Rasionalisasi Subsidi.
Tambahnya, tujuan pelaksanaan ialah untuk mengurangkan tanggungan subsidi kerajaan yang dikatakan hampir mencecah RM74 bilion.
"Biar pun begitu, jika dilihat daripada kategori subsidi yang dikeluarkan kerajaan iaitu bagi kategori tenaga dan bahan api adalah RM23.5 bilion bilion.
"Ini termasuk subsidi yang diberikan kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP) manakala subsidi untuk makanan ialah RM3.4 bilion. Selebihnya RM42.4 bilion untuk sosial dan RM4.8 bilion untuk infrastruktur.
"Jumlah subsidi yang dinyatakan Datuk Seri Idris Jala dipertikai oleh beberapa pihak kerana terdapat kekeliruan antara subsidi dengan peruntukan pembangunan.
"Peruntukan untuk sosial dan infrastruktur ialah untuk kesejahteraan rakyat bagi mendapatkan pembangunan. Ia bukan seperti subsidi untuk bahan api dan makanan kerana subsidi yang diberikan untuk menjadikan harga bahan api dan makanan lebih rendah daripada harga pasaran," tegasnya.
TIDAK BERKESAN
Kekurangan bekalan gula yang lazimnya berlaku di awal tahun 2010 sekali lagi mencetus krisis. Ia menjadi lebih gawat dengan sikap rakus segelintir pihak yang mengambil kesempatan menyorok dan menyeludup bahan pemanis itu ke negara jiran.
Harga gula di negara-negara jiran dilaporkan lebih tinggi berbanding harga tempatan iaitu RM3.50 sekilogram di Indonesia, RM3.80 sekilogram di Singapura dan RM2.80 sekilogram di Thailand.
Bagaimanapun Mohd Yusof berpendapat kenaikan 20 sen sekilogram bagi harga bahan pemanis itu yang kini dijual pada harga RM2.10 sekilogram (kenaikan 25 sen dibuat pada 16 Julai 2010 dan 20 sen pada Januari 2010) tidak akan memberi kesan kepada pengguna jika mereka mengamalkan pemakanan sihat.
"Pada masa ini rakyat Malaysia mengambil gula melebihi daripada jumlah yang sepatutnya. Jika mereka menggunakan gula pada kadar yang sepatutnya, kenaikan harga tidak akan memberi kesan kepada perbelanjaan mereka," tambahnya.
KESAN KENAIKAN
Kenaikan harga bahan api dan gula sering dikaitkan sebagai pencetus kenaikan sama ada peningkatan perbelanjaan dan kesan lingkaran kepada harga barang lain yang menggunakan kedua-dua bahan itu.
Beliau memberikan contoh seperti kesan kepada harga makanan dan minuman di restoran serta produk makanan dan minuman yang diproses kilang.
"Apa yang diharapkan kerajaan akan mengambil langkah mengurangkan kesan itu.
Pengalaman sebelum ini cenderung menunjukkan kenaikan harga kedua-dua bahan itu menyebabkan harga barang lain yang kadar kenaikannya hampir sama."
Bagaimanapun, Mohd Yusof memberitahu kerajaan boleh mengambil tindakan kepada peniaga yang menjual barang dengan harga yang keterlaluan pada tahun 2011 apabila Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan dikuatkuasakan.
PROSPEK 2011
Tahun baru 2011 dijangka melihat prospek yang lebih baik untuk kepentingan pengguna dalam jangkaan pelaksanaan beberapa akta baru dan pindaan akta berkaitan pengguna.
Mohd Yusof menarik perhatian kepada Akta Persaingan bertujuan memastikan wujudnya persaingan sihat dalam perniagaan.
Langkah berkenaan pastinya akan memberi manfaat kepada pengguna kerana sektor perniagaan akan bersaing untuk menarik pengguna dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Mengulas mengenai Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, beliau berkata ia membolehkan kerajaan mengambil tindakan ke atas peniaga yang meletakkan harga barang sesuka hati.
"Majlis Penasihat Harga Barang akan menetapkan kadar margin bersesuaian bagi sesuatu sektor perniagaan. Jika didapati ada sektor perniagaan yang menjual pada harga yang keterlaluan, tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan ke atas mereka," katanya.
Mengenai penubuhan Jawatakuasa Pengiklanan di bawah Akta Perlindungan Pengguna, Mohd Yusof berkata ia bertujuan memantau iklan yang disiarkan melalui media massa.
Jelasnya, tindakan penguatkuasaan boleh dilaksanakan jika terdapat iklan barang yang mengelirukan atau melanggar peraturan yang ditetapkan.
Turut akan dibuat pindaan, tambahnya ialah Akta Perihal Dagangan yang menjelaskan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam soal persijilan halal.
Menurut Mohd Yusof, kerajaan juga dijangka mengumumkan Dasar Pengguna Negara yang telah dikemaskini.
"Fomca berharap Dasar Pengguna Negara akan menjadi pelan perancangan kerajaan berkaitan kepenggunaan di negara ini. Ia perlu disepadukan dengan dasar-dasar kerajaan yang lain," tambahnya.
ISU HALAL
Isu halal atau logo halal sememangnya sering mendapat perhatian khususnya di kalangan pengguna beragama Islam.
Menurut Mohd Yusof, pindaan Akta Perihal Dagangan pastinya akan memperkukuhkan kedudukan Jakim dan JAIN sebagai pihak berkuasa pensijilan halal di negara ini.
Jelasnya, pada masa ini umat Islam rata-ratanya keliru dengan pelbagai logo halal pada produk termasuk logo halal Jakim dan JAIN, syarikat swasta serta label halal yang dibuat sendiri oleh pihak pengeluar.
"Fomca berharap pindaan ini nanti dapat mengurangkan kekeliruan kepada umat Islam.
"Dalam masa yang sama juga Fomca berharap semua syarikat yang mengeluarkan produk untuk dipasarkan kepada umat Islam di Malaysia perlu memohon pensijilan halal terlebih dahulu sebelum produk mereka boleh dipasarkan.
"Begitu juga dengan restoran dan hotel. Umat Islam perlu terus mewujudkan tekanan kepada pengeluar, restoran dan hotel dengan tidak membeli barangan atau menggunakan perkhidmatan yang tidak mendapat pensijilan halal," tegas Mohd Yusof.
KEADAAN SELESA
Walau apa pun cabaran yang bakal mendatangi kehidupan masyarakat pengguna negara ini, Mohd Yusof optimis pihak kerajaan akan memastikan mereka berada dalam keadaan selesa di tengah-tengah desas-desus Pilihan Raya Umum ke-13 bakal diadakan pada 2011.
Beliau merujuk kepada penangguhan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sebelum ini dilapor akan dilaksanakan pada pertengahan 2011.
"Mungkin juga pelarasan seterusnya subsidi bagi bahan api dan bahan makanan juga akan ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya," kata Mohd Yusof.
Fomca, katanya juga berharap kerajaan mempunyai perancangan dan strategi bagi memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak terpinggir dalam usaha kerajaan mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi serta penarikan balik subsidi.
"Peruntukan pembangunan bagi sektor kesihatan dan pendidikan perlu dipertingkat agar rakyat tidak terbeban dengan kos kesihatan dan pendidikan yang tinggi sebagaimana yang berlaku pada masa ini.
"Jika kerajaan memberikan perhatian kepada kedua-dua sektor ini, maka taraf pendidikan rakyat dapat dipertingkat supaya mereka menjadi tenaga mahir dan profesional. Ini membolehkan mereka memperoleh pendapatan yang tinggi.
"Sektor penjagaan kesihatan yang baik menjamin rakyat berada pada tahap kesihatan yang sejahtera agar produktiviti kerja mereka tidak terganggu dan menjana hasil kerja yang baik," kata Mohd Yusof.
Penggunaan bahasa Melayu betul, teratur lambang jati diri
PEMILIHAN hanya satu bahasa, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa negara perlu difahami lagi dihayati dalam konteks Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (disemak pada 1971). Begitu juga dengan pemupukan serta pelestarian jati diri, taraf dan citranya dalam semua bidang. Sehubungan ini, ia perlu juga dilihat dari dimensi muhibah ekoran daripada kontrak sosial yang dipersetujui bersama.
Namun, penggunaannya yang sejati dalam kuantiti banyak serta kualiti yang baik pada setiap masa oleh semua pihak, lebih-lebih lagi dalam semua kegiatan budaya tinggi adalah jauh lebih penting daripada perlindungan perundangan itu. Ini adalah untuk menjamin kelangsungannya, bukan saja dalam bentuk yang perkasa, tetapi juga sebagai bahasa bermaruah tinggi.
Sebetulnya semua ini memerlukan iltizam setiap rakyat. Setiap satu daripada kita perlu memupuk kecekapan berbahasa Melayu, di samping kesetiaan dan kebanggaan terhadap bahasa Melayu dalam jiwa pada setiap masa. Ini bertujuan antaranya untuk memastikan kedudukan bahasa Melayu sentiasa teguh, sejajar statusnya sebagai bahasa negara.
Pemilihan dan lebih penting lagi penggunaan hanya 1bahasa, iaitu bahasa Melayu untuk negara ini tidak dapat dinafikan, khususnya dalam menyatupadukan rakyatnya yang pelbagai kaum, boleh membentuk satu jati diri nasional yang sama. Ia juga mampu memupuk 1semangat kebangsaan yang sama, untuk dipamerkan setiap rakyat sebagai 1Bangsa Malaysia yang bersatu padu, selain sebagai 1Negara Malaysia yang bersekutu. Ini bertepatan sekali dengan idea perpaduan dalam Gagasan 1Malaysia, selain moto negara, iaitu Bersekutu Bertambah Mutu.
Dalam hal ini, satu isomorfi, iaitu hubungan kerakyatan dengan penggunaan bahasa negara perlu wujud. Selain kumpulan etnik Melayu/Bumiputera, rakyat Malaysia lain yang berasal daripada pelbagai latar budaya dan menggunakan bahasa etnik masing-masing perlu memperlihatkan hubungan lebih erat antara kerakyatan dengan bahasa Melayu. Dengan kata lain, kesetiaan sebagai rakyat Malaysia perlu juga diperlihatkan melalui penggunaan bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia, khususnya yang bukan asal selain perlu mementingkan, harus menggunakan bahasa Melayu selaku bahasa utama di negara ini pada setiap masa, dalam kadar yang banyak selain bentuk yang bermutu. Penggunaan begini bukan saja untuk komunikasi rasmi, iaitu dalam majlis rasmi/formal yang dituntut oleh perundangan, tetapi juga untuk tidak rasmi, iaitu interaksi tidak formal sesama kenalan atas inisiatif sendiri.
Isomorfi begini adalah satu fenomena yang bukan saja lumrah di seluruh dunia, tetapi mantap di beberapa negara. Antaranya Indonesia di rantau ini. Hal sama berlaku di Thailand. Malangnya, ia tidak di Malaysia.
Isomorfi antara kerakyatan Malaysia dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam kuantiti yang banyak, selain dalam bentuk yang baik dan betul, khususnya dalam aspek kehidupan nasional, adalah sesuatu yang belum wujud secara utuh di negara ini. Sebaliknya ia dalam keadaan masih tidak memuaskan.
Sehubungan ini, rakyat Malaysia daripada semua kelompok etnik, khususnya yang bukan asal perlu menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Dalam konteks ini, mereka perlu menganggap bahasa Melayu lebih daripada sebuah lingua franca. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dilihat lebih daripada hanya digunakan secara rutin dan selalunya dalam bentuk jelik pula. Ia tidak boleh hanya digunakan semata-mata dalam kegiatan budaya rendah, seperti urusan jual beli di pasar saja. Ia perlu disanjungi lebih daripada itu.
Bahasa Melayu selaku bahasa negara bukan saja ‘jiwa kepada Bangsa Malaysia’, dalam konteks pengertian ungkapan ‘bahasa jiwa bangsa’, tetapi sebetulnya adalah maruah negara dan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, khususnya dalam pengertian isomorfi yang diperkata itu, martabat serta kehormatan dan reputasi bahasa Melayu meliputi, antara penggunaannya yang baik dan betul pada setiap masa, lebih-lebih lagi dalam mandala rasmi/formal.
Taraf bahasa Melayu juga hendaklah selalu berada pada kedudukan teratas, yakni mengatasi mana-mana bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris, apatah lagi bahasa etnik. Meletakkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara di bawah, misalnya bahasa etnik tertentu, adalah satu tindakan yang bukan saja menghina bahasa Melayu, tetapi ikut mengeji negara dan rakyat. Bahasa Melayu selaku bahasa negara adalah simbol nasional, iaitu lambang keagungan negara yang berdaulat dan kemuliaan rakyatnya yang berwibawa, khususnya penduduk etnik Melayu yang menjadi penutur natif kepada bahasa Melayu.
Isomorfi ini juga perlu dikaitkan dengan satu jati diri nasional sama, yakni untuk kedua-dua negara dan rakyat, yang disalurkan melalui satu bahasa saja, iaitu bahasa Melayu selaku bahasa negara. Jati diri negara dan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini, melalui bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara, sebetulnya tidak menjadi masalah lagi, kepada sesiapa pun selaku rakyat Malaysia yang setia, lebih-lebih lagi selepas negara ini mencapai kemerdekaannya 53 tahun yang lalu.
Dalam konteks ini, isomorfi ini jati diri negara dan rakyat menerusi bahasa Melayu sebagai bahasa negara perlu bertitik tolak daripada penggunaan yang banyak selain baik dan betul, khususnya dalam mandala rasmi/formal oleh semua rakyat pada setiap masa.
Bagi bukan Melayu, jati diri nasional sama serta semangat kebangsaan yang juga sama ini, melalui bahasa Melayu selaku bahasa Melayu perlu bermula dengan penyebutan dan intonasi yang terlepas daripada pengaruh dan gangguan bahasa ibunda masing-masing, khususnya ketika bertutur dalam bahasa Melayu pada setiap masa.
Citra negara dan rakyat Malaysia, yakni gambaran yang ingin ditonjolkan mengenai Malaysia sebagai satu entiti politik, sosial dan budaya, khususnya kepada masyarakat luar, adalah juga melalui bahasa Melayu. Penggunaan bahasa Melayu yang kurang dan tidak baik pula dengan segala macam kesalahan dalamnya, adalah contoh yang boleh merosakkan imej negara dan rakyat. Begitu juga dengan bahasa rojak, yakni percampuran bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris misalnya dan segala macam lain yang negatif.
Imej positif bahasa Melayu antaranya perlu dibina dan dipupuk melalui penggunaannya sebagai satu-satunya bahasa pengantar dan/atau bahasa ilmu dalam sistem pendidikan nasional. Ini perlu dilakukan melalui sekolah satu aliran saja, daripada peringkat prasekolah sehingga ke peringkat institusi pengajian tinggi dalam semua bidang ilmu/pengetahuan lebih-lebih sains dan teknologi.
Bahasa negara adalah sebahagian yang penting dalam mana-mana kerakyatan. Sehubungan itu, bahasa Melayu adalah komponen penting dalam kerakyatan Malaysia. Justeru, adalah amat malangnya sekali untuk negara ini jika masih ada dalam kalangan kita, walaupun seorang yang tidak boleh berbahasa Melayu. Di manakah kesetiaan mereka ini kepada negara dalam konteks isomorfi yang diperkata itu?
Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM Sumber : Berita Harian 22/12/2010
KUALA LUMPUR: Polis menahan pemilik akaun facebook "Sultan Yang Setan" yang diburu sejak Ogos lalu kerana menyiarkan komen menghina institusi diraja Johor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Wira Syed Ismail Syed Azizan, berkata lelaki berumur 40 tahun itu yang dipercayai mewujudkan akaun itu selepas kemangkatan Sultan Johor Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail pada Januari lalu, diberkas di ibu negara pada 29 November lalu.
Turut dirampas ialah lima telefon bimbit dan PDA pelbagai jenis, empat komputer riba, dan perkakas komputer, katanya kepada pemberita di Bukit Aman hari ini.
Satu pasukan petugas telah menyiasat kes itu selepas lima laporan polis dibuat tentang kewujudan laman itu.
Syed Ismail berkata siasatan mendapati lelaki yang berasal dari ibu negara dan bergerak sendiri itu menyiarkan komen-komen yang mempunyai unsur menghina institusi diraja.
Akaun berkenaan menggunakan alamat e-mel ''pendekar.bentan@gmail.com'' namun identiti yang digunakan adalah kepunyaan individu lain, katanya.
Syed Ismail berkata lelaki itu adalah bekas pelajar sebuah universiti tempatan.
"Motif suspek mewujudkan akaun itu adalah untuk memperjuangkan idealisme sendiri kerana siasatan mendapati beliau tidak terlibat dengan mana-mana politik," katanya.
Syed Ismail berakta lelaki mendapat pengetahuan untuk menggunakan internet melalui pembelajaran sendiri selain menggunakan perisian tertentu yang boleh menyembunyikan identitinya.
Katanya tiga orang sudah ditahan berhubung kes seumpamanya.
"Kertas siasatan telah diserahkan kepada pendakwa raya untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948," katanya.
Beliau menasihati pengguna internet supaya menjaga keselamatan alat-alat yang digunakan untuk membuat capaian internet seperti ''wireless router'' supaya mendaftar keluar jika tidak lagi digunakan.
"Jika tidak mahir dalam penggunaannya dapatkan nasihat pakar cara untuk menggunakannya selain berhati-hati jika ada orang yang tidak dikenali menggunakan capaian internet di rumah," katanya.
Bagi pengguna laman sosial seperti Facebook, Myspace dan Friendster, Syed Ismail menasihatkan mereka supaya tidak mendedahkan maklumat diri dan gambar kepada individu tidak dikenali.
"Jangan tulis sebarang unsur fitnah dan hasutan yang boleh menggugat ketenteraman awam dalam laman-laman sosial kerana polis mampu mengesan sebarang hebahan yang salah," katanya. -
Lautan merah bikin gentar
GEMPITA...penyokong Indonesia meraikan kejayaan mengalahkan Filipina di Jakarta, minggu lalu.
INDONESIA cuba menyematkan rasa gerun terhadap penyokong dan pasukan negara apabila menyeru lebih dua juta pekerja negara itu - sah dan haram - agar menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai ‘lautan merah’ ketika menentang Malaysia pada perlawanan akhir pertama bola sepak Piala AFF, Ahad ini.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono sendiri menyeru rakyat negara itu supaya bersatu padu menyokong pasukan kebangsaan mereka menentang Malaysia dalam dua pusingan perlawanan akhir Piala AFF yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Rabu depan.
“Mari kita semua menyokong pasukan kebangsaan kita,” Susilo dilaporkan berkata dalam Jakarta Post, semalam. Seperti dalam perlawanan sebelum ini membabitkan kedua-dua negara di Kuala Lumpur, bilangan penyokong Indonesia dijangka menyamai jumlah penonton Malaysia.
Malaysia dan Indonesia mara ke final selepas menewaskan lawan - Vietnam dan Filipina - di separuh akhir, masing-masing dengan agregat 2-0.
Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Andi Mallarangeng pula melahirkan rasa yakin yang penyokong Indonesia akan mendominasi Stadium Nasional. Beliau turut menekankan perlunya keselamatan pasukan kebangsaan Indonesia itu diberi perhatian sepanjang berada di Kuala Lumpur.
“Saya ingin segala persiapan berjalan lancar, termasuk keselamatan dan kemudahan pengangkutan,” katanya.
Menteri itu berharap pemain merah-putih akan mengulangi kecemerlangan membolosi gawang Malaysia seperti ketika pertemuan pertama Kumpulan A, di Jakarta, awal bulan ini. Ketika itu, Indonesia menang besar 5-1 ke atas Malaysia.
“Bagaimanapun, jangan memandang rendah pasukan Malaysia. Mereka sudah mula menunjukkan skil dan sedang bermain baik,” kata bekas jurucakap presiden itu.
Pasukan kebangsaan negara itu yang dikendalikan Alfred Riedl dari Austria dijadualkan terbang ke Malaysia, Jumaat ini.
Ahli perniagaan dan Pengerusi Parti Golkar, Aburizal Bakrie yang juga penyokong kuat Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) sejak kebelakangan ini, dilaporkan akan menyediakan jet peribadi untuk mengangkut pasukan negara itu ke Malaysia.
“Kita mempunyai tiga juta pekerja di Malaysia. Saya harap mereka boleh dapat menukar stadium itu menjadi warna merah,” kata Aburzial yang dipetik agensi berita, Antara sebagai berkata ketika pertemuan dengan pasukan kebangsaan di kediaman peribadinya di Menteng, Jakarta Tengah.
Dalam pertemuan itu, Aburizal menyerahkan Rp 2.5 bilion (RM867,648) dalam bentuk bonus kepada pasukan negara itu kerana mara ke final. Sejumlah Rp3 bilion (RM1.04 juta) lagi menanti mereka jika menjulang trofi itu buat kali pertama.
Sumber : Harian Metro.
KOMEN BLOGGER :
Suatu masa dahulu ribuan peminat Rhoma Irama membanjiri Stadium Tan Sri Hassan Yunus Johor Bahru untuk menyaksikan penyanyi pujaan tersebut. Setelah puas bergoyang dan gelek, akhirnya apabila mahu keluar dari stadium didapati pasukan FRU telah bersiap sedia mengepung stadium. Khabarnya ada pendatang asing yang terjun untuk menyelamatkan diri. Kini setelah bertahun-tahun peristiwa itu berlalu diharapkan pasukan keselamatan terutama FRU dan pasukan RELA siap sedia menunggu di pintu masuk untuk menapis antara "yang halal dan haram" dalam perlawanan akhir Piala Suzuki Ahad ini. Ini tidak bermaksud kita tidak bersemangat kesukanan..tetapi ingatlah ini tetap BUMI MALAYSIA yang MERDEKA dan BERDAULAT. Sesiapapun yang datang ke sini WAJIB patuh kepada undang-undang di sini. Jangan menimbulkan kekacauan semata-mata kerana menyangka mereka ramai di sini. Datanglah baik-baik..sokonglah baik-baik. Tiada siapa yang rugi. Kepada yang "tak halal" tu baik tak usah datang kerana percayalah tindakan ini merugikan anda. SEMOGA MALAYSIA BERJAYA...MALAYSIA BOLEH.
Bahasa Melayu penghalang?
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2010/12/21
BAHASA Melayu dan budaya tempatan berupaya dijadikan aset dalam memasarkan produk animasi tanah air ke pentas global seperti dibuktikan Upin & Ipin yang berjaya menembusi pasaran negara luar meskipun ia membawa imej lokal ekoran ia dipakej dalam bentuk cerita yang baik.
Perkara ini disimpulkan pada Wacana Bahasa Kebangsaan: Isu Bahasa Kebangsaan anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) di Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini. Pengarah Urusan, Les’ Copaque (Upin & Ipin) Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, berkata kelemahan industri animasi di negara ini ialah penyediaan cerita dan jalan cerita bermutu, sekali gus berupaya memikat pasaran tempatan dan luar negara.
“Masalahnya pembuat filem tanah air tidak pandai bercerita dan institusi pengajian tinggi (IPT) pula lebih menekankan aspek teknikal dalam bidang pengajian mereka.
“Sepatutnya IPT seperti Universiti Multimedia (MMU) dan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) dibiarkan memberi tumpuan kepada soal teknikal, manakala universiti lain pula menghasilkan graduan dengan kebolehan menghasilkan cerita dan mengarah filem,” katanya pada wacana yang dipengerusikan Felo Penyelidik Utama ATMA, Datuk Zawiyah Baba.
Burhanuddin berkata, Perbadanan Multimedia Malaysia (MDEC) yang diamanahkan kerajaan untuk penyaluran geran animasi kini mungkin berjumlah RM300 hingga RM400 juta, menganggap animasi sebagai bidang pertumbuhan ekonomi masa depan.
“Apabila kami mula-mula masuk ke industri animasi, kami mencari MDEC tetapi perbadanan itu sebenarnya diterajui mereka yang berpelajaran dari luar negara dan membawa masuk orang putih lalu menyarankan kami mengangkat imej global tanpa penjelasan lanjut mengenai kriteria berkenaan.
“Pada 2006, saya mengunjungi Festival Cannes di Perancis dan mendapati produk mirip Barat tidak mendapat sambutan sehingga saya mengambil keputusan kriteria terbabit tidak boleh jadi,” katanya.
Sebagai pembuat animasi Malaysia, kata Burhanuddin, mereka akhirnya memutuskan membina imej lokal dan berunsur Islam yang disampaikan dalam bahasa Melayu kerana sasaran penonton tempatan adalah bangsa Melayu.
“Mula-mula kita letak nama U & I pada watak kami dan menambah Pin di belakang yang sebenarnya masyarakat luar termasuk Barat pun mudah untuk menyebut Upin & Ipin.
“Awalnya masalah yang kami hadapi ialah pekerja kami bukan berasal dari kampung dan menggunakan bahasa khidmat pesanan ringkas (SMS), lalu saya dan isteri mengambil keputusan menulisnya dengan mengekalkan budaya kita,” katanya.
Antara ciri bahasa yang digunakan ialah bahasa mudah yang sesuai dengan bahasa kanak-kanak dan tidak mencampur-adukkan bahasa Inggeris, sebaliknya pendek dan padat.
“Bahasa yang pendek itu sesuai dengan gaya perbualan kanak-kanak sehingga kami mengehadkan tidak lebih daripada empat perkataan untuk dialog Ipin dengan memotong dialog watak lain melalui kata ‘betul, betul, betul’.
“Ia juga mesti membawa nilai positif termasuk ‘betul, betul, betul’ dan kami tidak berani membuat adegan yang berbahaya kepada kanak-kanak termasuk melompat tangga, selain tidak bersifat menyogok, sebaliknya lebih menunjukkan nilai yang menjadi ikutan seperti Upin & Ipin rajin berpuasa,” katanya.
Burhanuddin turut meluahkan kekecewaan dan kebimbangan produk Upin & Ipin lebih dihargai di negara luar termasuk Indonesia berbanding penerimaannya di kalangan masyarakat korporat di negara ini.
“Syarikat penerbangan Indonesia, iaitu Garuda melahirkan minat untuk memasukkan pejabat kami ke dalam butiran mereka, tetapi kami tidak mempunyai keupayaan kerana masalah ruang dan kemampuan. Syarikat penerbangan kita tidak pula menunjukkan minat sehingga saya merumuskan kita kurang berbangga dengan barangan sendiri,” katanya.
Burhanuddin menyarankan drama dan filem termasuk animasi dijadikan wadah ‘menjual’ budaya tempatan seperti yang dilakukan Korea Selatan apabila berjaya berbuat demikian di negara luar termasuk Malaysia.
“Bahasa Melayu sebenarnya bukan penghalang untuk produk kita maju dan mendapat sambutan di luar negara kerana kita sendiri boleh lihat anak-anak kita gila dengan animasi Jepun atau drama Korea, meskipun ia menggunakan bahasa ibunda mereka.
“Masalahnya kita tidak pandai memanfaatkan budaya kita dalam drama dan filem sehingga tidak hairanlah apabila watak dalam sesebuah drama masuk ke hotel, dia akan memesan steak dan bukannya nasi goreng atau sate,” katanya.
Pengarah Pusat Bahasa Bijak Bestari, Ismail Dahaman, menegur rancangan televisyen di RTM seperti Laxamana yang tidak memperlihatkan fungsi sewajarnya dimainkan oleh media rasmi milik kerajaan dalam konteks mengutamakan bahasa kebangsaan.
“Rancangan itu sepatutnya dijadikan wadah untuk memperkenalkan institusi dan konsep Raja Berperlembagaan kepada rakyat di negara ini, sebaliknya maksudnya tidak sampai dan budaya hancur sama sekali.
“Bayangkan ada adegan mamak nasi kandar yang menjual nasi kandar kepada permaisuri, tetapi baginda tidak mempunyai wang sehingga terpaksa berhutang dengan peniaga terbabit,” katanya yang juga bekas Pengarah Perancangan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ismail turut menegur rancangan remaja di stesen televisyen itu seperti Xpresi Remaja yang bukan saja menggunakan ejaan yang silap, bahkan bahasa dalam rancangan terbabit juga lintang-pukang.
“Hari-hari menjatuhkan nilai dan maruah bahasa yang sekiranya hal terbabit tidak dihalang, mereka sebenarnya tanpa sedar merendahkan nilai media itu sendiri.
“Sebenarnya perancangan bahasa tidak hanya dipertanggungjawabkan kepada institusi seperti DBP, sebaliknya semua agensi kerajaan perlu menyumbang secara aktif dalam memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Felo Penyelidik Utama ATMA, Prof Dr Teo Kok Seong, meminta pemimpin bukan Melayu untuk menyelesaikan masalah ramai di kalangan rakyat bukan Melayu yang tidak boleh berbahasa kebangsaan dengan baik.
“Ini kerana bahasa kebangsaan adalah jati diri dan identiti kerakyatan yang mesti dikuasai oleh rakyat di sesebuah negara itu sehingga penguasaannya diuji dalam proses untuk mendapatkan kerakyatan negara terbabit.
“Kita tidak mahu insiden yang memaparkan kejahilan rakyat terhadap keperluan untuk menguasai bahasa kebangsaan berulang pada masa depan khususnya yang berkait dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.
Penarikan "Interlok" Dibincang Bersama Kementerian Pelajaran, DBP - Murugiah
KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Penarikan buku teks sastera tingkatan lima bertajuk "Interlok" yang didakwa mengandungi unsur sensitif serta boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India, dibuat selepas perbincangan dengan pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah berkata Biro Pengaduan Awam (BPA) menerima banyak aduan mengenai beberapa perkataan sensitif dalam buku itu, dan selaku Pengerusi BPA, beliau berpendapat tindakan segera perlu diambil.
"Saya sebagai Timbalan Menteri, memanggil Kementerian Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka, serta semua yang berkaitan hadir dan berbincang, dan kami telah membuat keputusan secara musyawarah.
"Saya tidak boleh memberi sebarang keputusan, cuma saya boleh mencadangkan tindakan yang boleh diambil, dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan itu adalah Kementerian Pelajaran," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Isnin ketika mengulas surat pembaca yang tersiar di sebuah akhbar berhubung pengumumannya mengenai penarikan buku itu pada 15 Dis lalu.
Pembaca yang dikenali sebagai M. Hanafiah A. Samad dari Muar, Johor itu menyifatkan tindakan Murugiah sebagai melatah dan berpendapat pengumuman tersebut sepatutnya dilakukan Kementerian Pelajaran.
Murugiah berkata isu penarikan buku tersebut telah disalah tafsir dan berharap ia tidak terus diperbesarkan kerana bimbang mencetuskan masalah.
"Orang salah tafsir benda ini, sebab itu saya mahu jelaskan. Dia bagitau dalam ini (surat pembaca), beliau menulis berdasarkan kajian sejarah dan pengalamannya, saya faham, tapi ini bukan buku sejarah, ini buku sastera.
"Apabila buku sastera, dia boleh tukar bahasa-bahasa tertentu, atas dasar itu kita mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran dan terpulang kepada mereka, kalau mahu kekalkanpun, boleh kekal, tapi mereka ambil cadangan BPA (untuk tarik balik)," katanya.
Buku "Interlok" karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka, telah dipilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan Lima, sebelum ditarik balik pada 15 Dis lalu.
Ia didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap kaum Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis di beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan kaum India.
-- BERNAMA
Berita yang dilaporkan oleh BERNAMA pada 15 Disember, 2010 19:30 PM
Buku Teks Sastera "Interlok" Ditarik Balik - Murugiah
KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Buku teks sastera tingkatan lima bertajuk "Interlok" karya Abdullah Hussain, akan ditarik balik kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang boleh menyinggung perasaan kaum Melayu dan India.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah ketika mengumumkan perkara itu meminta semua pihak terlibat termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), mengambil tindakan segera agar semua buku berkenaan yang telah diedarkan, ditarik semula.
Beliau berkata buku memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1990-an hingga merdeka itu, mengandungi beberapa perkataan yang boleh menyinggung perasaan kedua-dua kaum, selain menyentuh isu ketuhanan orang India.
"Wakil DBP dan KPM sudah bersetuju untuk menarik balik semua buku teks itu serta-merta sebelum sesi persekolahan tahun depan bermula.
"Kita mengakui kesilapan telah berlaku dan saya sudah mengarahkan perkara ini diselesaikan segera," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkaitan perkara itu pada hari Rabu.
Hadir sama Pengarah Jabatan Penerbitan DBP Abd Khalik Sulaiman dan Penolong Pengarah Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM Sairi Adenan.
Murugiah berkata sehubungan itu, buku berkenaan akan ditukar sama ada dari segi penulisan atau diganti dengan buku sastera lain secepat mungkin.
Selain itu, beliau meminta bahagian buku teks KPM menyiasat pihak yang terlibat dalam proses pemilihan buku tersebut agar tindakan disiplin boleh diambil kerana bersikap sambil lewa sewaktu bertugas.
"Keputusan siasatan harus diserahkan dalam tempoh seminggu kepada Biro Pengaduan Awam sebelum kita majukan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam untuk diambil tindakan disiplin," katanya.
Beliau juga menggesa pihak lain supaya tidak lagi membangkitkan isu itu kerana ia sudah diselesaikan.
SAYA sangat terperanjat apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T Murugiah mengumumkan novel Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang menjadi buku teks subjek Sastera Bahasa Malaysia tingkatan lima sekolah menengah tahun depan akan ditarik balik kerana didakwa menyentuh sensitiviti kaum, selain mengkritik dan menghina orang Melayu serta India.
Persoalan yang timbul mengapa Murugiah memandai mengumumkannya?. Sepatutnya kementerian pelajaran atau menteri pelajaran sendiri yang melakukannya.
Mustahil Murugiah tidak tahu bidang kuasanya. Kalau begitu beliau tidak layak memegang jawatan Kabinet.
Yang ditimbulkan masalah novel Interlok ditarik balik sebagai buku teks. Penolong Pengarah Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Sairi Adenan dan juga Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Khalik Sulaiman, juga tidak berhak menarik balik novel ini sebagai buku teks tanpa merujuk terlebih dulu kepada menteri dan kementerian pelajaran.
Soalnya, kenapa novel yang memenangi hadiah Sayembara Novel 25 Tahun Merdeka ini mahu ditarik balik?
Alasan yang diberikan kononnya novel ini mempunyai unsur penghinaan kepada orang Melayu berdasarkan kepada ayat dalam beberapa halaman mengatakan orang Melayu bodoh dan malas, selain ada perkataan paria yang ditujukan kepada kaum India.
Terus-terang sebagai orang Melayu saya langsung tidak tersinggung dengan kata-kata Melayu bodoh dan malas. Memang hakikatnya itulah Melayu dulu.
Harus difahami novel ini ditulis berdasarkan kepada sejarah. Apakah kita hendak menafikan sejarah? Jika begitu kita kena menulis semula sejarah supaya sesuai dengan selera semua kaum di negara ini.
Begitu juga perkataan 'paria' yang sering jadi panggilan kepada orang India dulu. Ini bukan penghinaan. Lainlah jika sekarang kita memanggil kaum India sebagai paria.
Ini kerana cari hidup moden dan sistem pendidikan yang mereka terima maka tidak wajarlah panggilan seperti itu. Ini realiti yang boleh memberi iktibar kepada generasi muda.
Murugiah janganlah mengheret sama orang Melayu menyertai polemik ini. Saya tahu sangat bangsa saya yang pemaaf, bersikap toleransi, berfikiran rasional dan tidak mudah melatah.
Bukan baru Melayu dikata bodoh dan malas. Tetapi mereka lebih tahu di mana harus marah.
Sebenarnya masyarakat kita tak kiralah Melayu, Cina atau India terlalu mudah sensitif kadangkala pada hal-hal yang remeh-temeh dan tidak masuk akal.
Misalnya ada beberapa perkataan paria dalam novel itu kita terus buat kesimpulan sebagai penghinaan. Kenapa Murugiah tidak membaca perkataan paria dalam konteks keseluruhan novel itu?
Interlok adalah sebuah novel yang baik, bersifat kenegaraan dan bertepatan dengan konsep 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan nasional dan menanamkan ciri-ciri kerjasama antara kaum.
Baca dan fahami falsafah yang terkandung di dalamnya, nescaya kita menjadi lebih insaf dalam hidup bernegara.
Jika kita berfikiran waras dan positif tidak mungkin kerana satu perkataan paria maka kita membuat kesimpulan yang negatif. Abdullah Hussein tidak mungkin mahu menghina sesiapa.
Beliau menulis berdasarkan kajian sejarah dan pengalaman yang dilaluinya. Murugiah belum lagi lahir.
Malah buku itu ditulis sempena sambutan kemerdekaan negara.
Abdullah Hussein menulis atas kesedaran nasional yang tinggi dan mahu mengingatkan generasi muda bagaimana semestinya hidup bernegara.
Bacalah sendiri. Jangan dengar cakap orang. Murugiah tidak usahlah mengugut hendak membakar buku berkenaan di depan kementerian pelajaran. Kalau nak bakar, bakarlah semua naskhah yang sudah dicetak.
Jika setakat dua tiga naskhah itu tak berguna. Bakar semua jika buku itu dianggap membakar masa depan rakyat kita.
Interlok: Tidak Patut SN Abdullah Hussain Sampai Perlu Memberikan Penjelasan
Dalam akhbar Berita Minggu hari ini (Ahad, 19 Disember 2010), ada laporan tentang novel Interlok. Tajuknya, “Penulis Interlok diarah(kan) beri(kan) penjelasan”. Isi berita itu menyentuh kata-kata Dr Mohd Puad Zarkashi tentang Interlok apabila dihubungi oleh pihak Berita Harian.
Antara lain, beliau (Dr Mohd Puad) berkata bahawa Kementerian Pelajaran belum membuat keputusan untuk menarik balik novel Interlok untuk kegunaan pelajar Tingkatan Lima. Beliau juga berkata kandungan buku itu akan diteliti sama ada wujud unsur yang menyentuh isu sensitiviti kaum selain mengkritik dan menghina orang Melayu serta India.
Beliau juga berkata bahawa Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri sudah mengarahkan Datuk Abdul Ghaffar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran untuk meminta penulis Interlok, Datuk Abdullah Hussain, supaya memberikan penjelasan berhubung isu yang didakwa sensitif itu selain mendengar penjelasan daripada jawatankuasa yang memilih judul itu sebagai teks KOMSAS.
Kata Dr Puad lagi, buat masa ini, Interlok tetap akan digunakan sebagai salah satu subjek dalam KOMSAS untuk Bahasa Malaysia.
Saya sedih kalau Datuk SN Abdullah Hussain sampai terpaksa menjelaskan kepada pihak Kementerian Pelajaran tentang dakwaan itu. Sangat sedih! Seperti yang ditegaskan, novel itu pemenang sayembara. Sebagai pemenang sayembara, sudah barang tentu karya itu sudah “masak” dinilai oleh panel penilai yang bukan calang-calang orangnya.
Kalau sampai demikian pendirian pihak Kementerian Pelajaran, wajar jugalah pandangan panel penilai yang memilih karya itu sebagai pemenang sayembara diminta juga. Dalam hal ini, para panel penilai karya itu sebagai pemenang sayembara pada tahun 1967 dahulu, jika ada yang masih berhayat, eloklah membantu menjelaskan hal ini. SN Datuk Abdullah Hussain hanyalah pencerita yang menceritakan realiti dengan jujur dan benar. Tidak wajar beliau diminta melakukan demikian.
Tanggapan serong itu hanya dimunculkan oleh entah berapa kerat pembaca, yang pemahaman mereka tentang sastera entah bagaimana, yang kesungguhan mereka untuk membentuk perpaduan barangkali harus diselidik juga.
Sedih juga saya kalau penulis yang tidak meminta karyanya dipilih sebagai teks sekolah terpaksa menjelaskan sesuatu tentang karyanya walhal karyanya itu sudah lebih 40 tahun mencantikkan dunia sastera tanah air.
Saya berdoa kepada Allah SWT agar Interlok tetap akan digunakan sebagai salah satu subjek dalam KOMSAS untuk Bahasa Malaysia. Saya juga berdoa agar Allah SWT menabahkan hati penulis Interlok dan Allah SWT sentiasa merahmati beliau.
Jawatankuasa pemilih yang dilantik KPM untuk memilih judul-judul teks KOMSAS tidak silap apa-apa dalam memilih judul itu. Saya yakin, mereka memilihnya kerana 1Malaysia. Semoga Allah SWT memihak kepada kalian.
Norziati Mohd Rosman : Novel in sudah berusia 43 tahun dan mereka masih gagal menafsirnya dengan tuntas. Sungguh kasihan kepada mereka yang tidak tahu membacanya dengan baik
Tarik balik Interlok keputusan terburu-buru - Gapena
KUALA LUMPUR 17 Dis. - Kementerian Pelajaran digesa mengkaji semula keputusan menarik balik novel komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia bertajuk Interlok karya Abdullah Hussain.
Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, sebarang keputusan perlu dibuat selepas rundingan dan kajian yang terperinci melibatkan pelbagai pihak termasuk tokoh-tokoh sastera dan akademik.
Malangnya dalam isu tersebut, katanya, pihak kementerian membuat keputusan terburu-buru tanpa memperhalusi mesej yang ingin disampaikan oleh penulis buku itu.
"Saya sudah baca dan teliti novel itu. Tidak ada cacat cela, malah saya puji dan anggap ia satu karya yang bagus. Unsur-unsur yang menyentuh sensitiviti seperti didakwa hanyalah tafsiran dangkal segelintir pihak.
"Apa yang ingin disampaikan adalah realiti masyarakat. Saya percaya ia mampu membantu proses pembelajaran kerana nilai-nilai murni seperti sikap toleransi, tolong-menolong dan hormat-menghormati antara satu sama lain banyak ditekankan dalam novel ini.
"Sehubungan itu, Gapena menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan yang dibuat supaya kita tidak rugi dan menyesal di kemudian hari kerana tidak menghargai karya yang baik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas persetujuan Kementerian Pelajaran dan Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menarik balik serta-merta novel bertajuk Interlok yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum termasuk mengkritik serta menghina orang Melayu dan India.
Isu tersebut didedahkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Tamil Rabu lalu selepas mendapat aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kandungan buku itu.
Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Media Fakulti Seni dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah menyifatkan tindakan menarik balik novel Interlok adalah keputusan yang kurang bijak.
"Novel ini hasil karya Sasterawan Negara yang dipenuhi dengan mesej dan kritikan yang membina.
"Justeru, saya ibaratkan tindakan menarik balik novel itu sebagai tidak logik dan agak biadab terhadap dunia sastera sedangkan kita tahu, sastera merupakan asas kepada peradaban manusia pada masa depan," katanya.
Interlok yang diterbitkan oleh DBP telah diedarkan kepada semua sekolah menengah untuk diagihkan kepada pelajar Tingkatan Lima yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi persekolahan tahun depan.
Guna kaedah tampal baiki masalah dalam novel Interlok 2010/12/18
BERITA disiarkan Berita Harian pada 16 Disember 2010 mengenai penarikan balik Novel Interlock hasil karya Abdullah Hussain, Sasterawan Negara amat mengejutkan. Berita ini mengejutkan guru, murid dan juga penerbit buku.
Setakat ini, semua sekolah di Zon Tengah, iaitu di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan sudah menerima buku itu dan siap sedia untuk diedarkan kepada murid.
Bagi guru pula, mereka sudah membacanya dan menyediakan bahan untuk diajarkan kepada murid bermula 3 Januari 2011.
Untuk mengeluarkan buku ini, panel penilai sudah mengikut segala prosedur ditetapkan. Kementerian Pelajaran membelanjakan berjuta untuk menerbit dan mengedarkan buku ini ke sekolah kerana buku ini diberikan percuma kepada murid di bawah Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).
Persoalannya ialah mengapakah penarikan buku ini tidak dibuat Menteri Pelajaran? Saya berharap supaya berita dapat disahkan pihak bertanggungjawab, iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia.
Jika masalah itu benar-benar menyinggung perasaan kaum tertentu, tindakan yang perlu diambil ialah langkah pembaikan atau pembetulan. Caranya adalah dengan menggunakan kaedah tampal. Melalui kaedah tampal, penerbit akan membuat pembetulan halaman yang dikatakan bermasalah atau menimbulkan masalah. Kemudian, halaman yang berkenaan diedarkan ke sekolah.
Jika novel itu ditarik balik, kerajaan akan rugi berjuta ringgit, malah nama Sasterawan Negara kita akan dipandang rendah dan hina dalam kalangan masyarakat. Setelah saya membaca novel itu dan mendapati bahawa tiada perkara yang boleh menimbulkan sensitiviti kaum tertentu.
Hal ini dikatakan demikian kerana novel ini adalah hasil kreativiti dan imaginasi pengarang berdasarkan fakta sejarah menggambarkan proses integrasi yang berlaku di negara kita zaman sebelum kemerdekaan.
Buku teks Sastera ditarik balik Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
Berita Harian 2010/12/16
KUALA LUMPUR: Buku teks subjek Sastera Bahasa Malaysia yang akan digunakan pelajar Tingkatan Lima sekolah menengah tahun depan bakal ditarik balik berikutan dakwaan kandungannya menyentuh sensitiviti kaum, selain mengkritik dan menghina orang Melayu serta India.
Persetujuan menarik balik serta-merta buku teks bertajuk Interlok karya Abdullah Hussain itu dipersetujui Penolong Pengarah Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Sairi Adenan dan Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Khalik Sulaiman, selepas pertemuan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah semalam.
Intelok, novel komponen sastera dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia terbitan DBP itu sudah diedarkan kepada semua sekolah menengah baru-baru ini untuk diagihkan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebaik sesi persekolahan dibuka awal bulan depan.
Buku teks berkenaan didapati mempunyai unsur penghinaan kepada orang Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis dalam beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta ada unsur menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan bagi kaum India.
Murugiah yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA), berkata pihaknya menerima aduan orang ramai dari seluruh negara yang meminta BPA mengambil tindakan sebelum orang ramai membuat tindakan drastik dengan membakar buku berkenaan di hadapan Kementerian Pelajaran.
Katanya, isu itu didedahkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Tamil semalam selepas mendapat aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kandungan buku itu.
KOMEN BLOGGER :
Novel Interlok Hendak Ditarik Balik? Siapa yang Suruh?
Rasa pelik pula saya, tiba-tiba Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah, mengumumkan bahawa novel Interlok yang menjadi salah satu novel dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan 5, akan ditarik balik penggunaannya. Novel yang sudah diterbitkan dan diedarkan di sekolah-sekolah di Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya itu dikatakan sebagai tidak sesuai untuk didalami oleh para pelajar kerana kandungannya menyentuh sensitiviti kaum, khususnya kaum Melayu dan India.
Menurut beliau, persetujuan menarik balik serta-merta novel Interlok karya Datuk Abdullah Hussain itu telah dipersetujui oleh Penolong Pengarah Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Sairi Adenan dan Pengarah Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Khalik Sulaiman.
Novel yang telah terpilih sebagai buku teks itu didakwa mempunyai unsur penghinaan kepada orang Melayu berdasarkan perkataan yang ditulis dalam beberapa halaman, seperti orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta ada unsur menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan bagi kaum India.
Isu itu kata beliau didedahkan oleh sebuah akhbar berbahasa Tamil tempatan selepas mendapat aduan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kandungan buku itu.
Murugiah yang juga Pengerusi Biro Pengaduan Awam (BPA), berkata pihaknya menerima aduan orang ramai dari seluruh negara yang meminta BPA mengambil tindakan sebelum orang ramai membuat tindakan drastik dengan membakar buku berkenaan di hadapan Kementerian Pelajaran.
Saya pernah membaca novel ini. Kemudian, saya membaca Edisi Muridnya pula. Saya berpendapat bahawa novel yang terhasil daripada sayembara penulisan bersempena dengan 25 tahun negara merdeka ini memang dapat dikategorikan sebagai novel perpaduan. Orang yang mengaku dirinya sebagai rakyat Malaysia tidak harus melatah apabila membaca novel yang sedemikian kecuali jika dalam dirinya masih ada rasa cinta pada negara asal nenek moyang mereka.
Jadi, seharusnya karya itu dibaca dengan hati yang lapang dan fikiran yang lapang juga oleh semua lapisan rakyat yang pelbagai kaum di negara ini. Jangan jumudkan fikiran. Tidak perlu sampai hendak mengugut-ugut untuk membakar novel itu. Lagak samseng bukan cara yang sesuai untuk mengatasi masalah!
Kalaulah penulisnya sihat dan kuat upaya, barangkali beliau akan mengajak pihak-pihak yang sensitif itu berdebat – tunjukkan apakah yang sensitifnya, mengapakah yang itu atau yang ini dianggap sebagai sensitif, dan sebagainya.
Memang ada disentuh perihal orang Melayu malas dalam novel itu. Melayu malas dalam novel itu pula diketengahkan daripada perspektif bangsa Cina. Memang ada diketengahkan orang India minum tuak dalam novel itu, memang ada disentuh orang India mengamalkan kasta dalam novel itu. Menceritakan hakikat (realiti) tertentu dalam satu bahagian kecil daripada keseluruhan cerita yang murni dan positif apakah salahnya? Bacalah keseluruhan cerita, betapa bangsa Malaysia itu sangat bersatu padu.
Contohnya, bangsa India bernama Ramakrisynan yang berbapakan bangsa India bernama Maniam yang asalnya berkasta rendah, menjadi Inspektor Polis di Tanah Melayu! Alangkah positifnya. Banyak lagi, sangat banyak yang positif dalam novel ini. Hanya melalui watak Maniam, kita sudah dapat menghuraikan yang positifnya.
Satu perkara yang saya tidak faham ialah Datuk T. Murugiah, sebagai seorang anggota kabinet, terus melatah dengan laporan akhbar berbahasa Tamil itu tanpa mahu menyebelahi seketika pihak Kerajaan (Kementerian Pelajaran). Dia harus meredakan keadaan (kalau benar memang ada orang yang hendak berhimpun untuk membakar novel itu).
Seperkara lagi yang saya tidak faham ialah siapakah yang lebih berkuasa untuk berbincang dengan pegawai PPK dan DBP bagi memutuskan sama ada hendak menarik balik novel itu atau sebaliknya? Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau Menteri Pelajaran?
Sumber : http://sigapsiaga.blogspot.com/
KENAPA TAKUT INTERLOK?
Aku lupa la kat akhbar mana aku baca isu ni pagi tadi..pasal bantahan novel Interlok sebagai buku teks sastera di sekolah.
Seingat aku dah hampir sepuluh kali aku baca novel Interlok karya Abdullah Hussein ini, sejak dari aku darjah 6 lagi. Kalau ambik periksa, sure boleh dapat A+, pasal aku dah hapal dari A sampai Z jalan ceritanya, termasuklah tema dan moral value yang terkandung di dalamnya. Sayangnya masa aku SPM dulu aku budak kelas Sains...tak merasalah aku belajar sastera walaupun aku minat gila subjek tu..
Pasal Interlok ni aku dengar YB T.Murugiah meroyan suruh DBP tarik balik edarannya sebagai buku teks di sekolah. Lu apa hal? Lu sudah baca habis ka novel ni?
Interlok ni mengesahkan 3 kaum terbesar di Tanah Melayu. Ada sikit-sikit unsur romantik, patriotik dan semangat perpaduan antara kaum.
Lokasi pertemuan 3 watak utamanya ialah di Pekan Simpang Empat, Kedah. Ia mengisahkan bagaimana kaum Cina dan India dibawa oleh Inggeris sebagai pekerja lombong dan estet pada zaman sebelum merdeka.
Orang-orang Melayu menerima imigran-imigran ini dengan ikhlas dan senang hati. Aku masih ingat watak Musa menyelamatkan Maniam dari dibunuh oleh samseng India di estet.
Ia juga menceritakan bagaimana kesungguhan orang Cina menimba kekayaan walau dengan cara apa pun. Watak Cing Huat menindas orang kampung yang buta huruf tapi akhirnya kesal bila diancam komunis, anaknya sendiri diselamatkan oleh Seman (anak Musa).
Bagi kaum Cina dan India, ini memberi peluang kepada golongan mudanya mengenali asal-usul nenek moyang mereka dan kehidupan tanah leluhur dari mana mereka berasal.
Nilai moral dalam cerita amat baik dijadikan tauladan dalam usaha kerajaan mempopularkan konsep 1Malaysia. Ianya menyemai perpaduan yang erat serta kesedaran betapa pentingnya hidup tolong menolong dalam membangunkan negara dan bangsa yang kuat.
Seingat aku, takda perkataan atau ungkapan yang boleh mengecilkan hati mana-mana pihak kaum. Kecuali kalau T.Murugiah ni sengaja nak besar-besarkan cerita, sengaja kasi hangat orang Cina dan India.
Korang nak tau keindahan cerita ini, korang bacalah sendiri. Jangan baca yang abridged version, baca yang original. Novel ini amat menyentuh hati dan aku rasa amat berkualiti untuk dijadikan kajian sastera pelajar sekolah menengah.
Jadi apa yang T.Murugiah ni heboh sangat. Kecoh sampai suruh ambil tindakan terhadap pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran yang bertanggungjawab memilih novel ini sebagai buku teks.
Buku ini telahpun diedarkan ke sekolah-sekolah. Kau tau berapa banyak kerugian kalau nak tarik balik atau nak gantikan dengan buku lain yang belum tentu boleh menyemai semangat perpaduan kaum? Atau pun sebab penulisnya Melayukah? http://ujangranggi.blogspot.com/