Selasa, November 30, 2010

TIADA ULANGAN KERTAS BM2

 
PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran menafikan khabar angin bahawa calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 berkemungkinan perlu menduduki semula peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Dua yang dijalankan pada 23 November lepas.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abd Ghafar Mahmud berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia, peperiksaan subjek itu sah dan calon-calon yang menduduki peperiksaan itu tidak perlu menduduki semula kertas tersebut.

"Saya ingin menegaskan di sini supaya ibu bapa dan terutamanya calon-calon peperiksaan supaya tidak mempercayai khabar angin yang tidak berasas ini," katanya menerusi satu kenyataan di sini, Selasa.

Beliau meminta ibu bapa dan calon-calon peperiksaan supaya tidak risau ataubimbang kerana Kementerian Pelajaran sentiasa mengambil langkah-langkah untukmemastikan semua peperiksaan adalah sah serta memastikan kualiti atau standardpeperiksaan berada pada tahap yang baik.

Abd Ghafar berkata, sehingga hari ini, peperiksaan SPM yang bermula pada 23November lepas dan berakhir pada 20 Disember depan berjalan baik dan lancar seperti yang telah dijadualkan.

Sebarang kemusykilan atau pertanyaan mengenai peperiksaan SPM 2010 bolehdikemukakan kepada Bilik Gerakan SPM, Lembaga Peperiksaan Malaysia yang beroperasi setiap hari peperiksaan dari pukul 7 pagi hingga 6 petang ataumenghubungi talian 03-8889 3551, 03-8889 3601 atau 03-2889 3520. - BERNAMA

Khamis, November 25, 2010

Tidak peduli Bahasa Kebangsaan kian ketara

Oleh ROHANI IBRAHIM

rencana@utusan.com.my

DALAM mendaulatkan Bahasa Kebangsaan, semua pihak tidak kira pemimpin masyarakat, ahli korporat, para peniaga, pihak media, ahli sukan, orang ramai dan golongan pelajar perlu memainkan peranan proaktif demi merealisasikan matlamat berkenaan.
Namun, kebelakangan ini sikap tidak mempedulikan penggunaan Bahasa Kebangsaan dilihat semakin ketara dan ini dikhuatiri akan menjejaskan usaha mendaulatkan bahasa tersebut.
Bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad yang ditemui di ibu pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur semalam melahirkan rasa kesal dengan kurangnya inisiatif untuk memartabatkan bahasa Melayu oleh pelbagai golongan sejak akhir-akhir ini.
Bagi beliau, ini menggambarkan sikap pandang ringan dan tidak endah golongan terbabit terhadap Bahasa Kebangsaan.
''Stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar nasional juga perlu memastikan hanya visual dan audio pemimpin masyarakat yang menggunakan bahasa Melayu sahaja disiarkan dalam saluran mereka.
''Jika individu yang ditemu ramah tidak boleh langsung berbahasa Melayu maka perlulah disiarkan sarikata atau terjemahan dalam bahasa Melayu sahaja. Ini tidak, visual kenyataan menteri-menteri dalam bahasa Inggeris sering disiarkan dalam saluran nasional," katanya sambil menambah langkah ini menyukarkan usaha mendaulatkan bahasa Melayu.
Hussein berkata, beliau turut kesal apabila ada warga Malaysia bukan Melayu berusia lebih 60 tahun yang mendakwa mereka tidak boleh berbahasa Melayu.
''Macam mana jadi warganegara kalau cakap Bahasa Kebangsaan pun tidak tahu. Begitu juga dengan murid-murid yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Apabila berikan reaksi kepada pihak media cakap bahasa Inggeris. Mereka mampu dapat 5A, cakap bahasa Melayu sajalah," jelasnya.
Hussein turut mempersoalkan kurangnya penggunaan bahasa Melayu di kalangan atlet Malaysia yang ditemu ramah pihak media di Sukan Asia yang sedang berlangsung di Guangzhou, China pada masa ini.
''Tidak bolehkah atlet-atlet berkenaan cakap Bahasa Kebangsaan? Orang Malaysia mestilah gunakan Bahasa Kebangsaan kerana ia merupakan bahasa perpaduan.
''Ratu Squasy Negara, Datuk Nicol Ann David tidak pernah langsung bercakap dalam bahasa Melayu. Bila ditemu bual media biarlah bunyi Melayu sedikit supaya semua boleh rasa lebih bangga," jelasnya.
Tambah beliau, penggunaan Bahasa Kebangsaan perlu diterapkan dalam semua sudut tidak kiralah majlis rasmi dan tidak rasmi, temu bual bersama pihak media dan urusan surat-menyurat.
''Namun apa yang menyedihkan ialah saya sendiri pernah menerima surat dari agensi kerajaan dalam bahasa Inggeris," katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr. Firdaus Abdullah yang turut ditemui bersama Hussein berkata, beliau sedih dengan sikap orang ramai yang jelas meminggirkan dan mengabaikan Bahasa Kebangsaan.
''Sebagai contoh di kawasan Bangsar terdapat premis yang dinamakan Bangsar Shopping Complex, Bangsar Village Satu dan Dua, pusat membeli-belah Midvalley dengan bahagian yang dinamakan Gardens. Kini terdapat kawasan pembangunan baru dengan nama Bangsar South tidak jauh dari kawasan kediaman yang dinamakan Pantai Hillpark.
''Semua kawasan kediaman dan pusat membeli-belah ini mengabaikan Bahasa Kebangsaan. Saya juga hairan bagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh meluluskan pembangunan yang menggunakan nama-nama seperti itu. Ini tidak langsung menghargai bahasa Melayu," jelasnya.
Firdaus menambah, kalau hendak menamakan sesebuah projek dalam Bahasa Inggeris sekalipun perlulah ada imbangan dengan bahasa Melayu.
''Adakah mereka yang bertanggungjawab sengaja khianat atau ada perkara lain yang berlaku? Semua ini perlu diselidik. Sebagai orang lama saya turut sedih dengan sikap biadap dalam penggunaan Bahasa Kebangsaan.
''Ada orang muda yang memanggil orang lebih tua darinya dengan panggilan kamu. Ini adalah kegagalan pengajaran, penyebaran dan pemasyarakatan Bahasa Kebangsaan. Kamu merupakan panggilan yang patut digunakan oleh seorang yang lebih tua kepada mereka yang lebih muda," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 25/11/2010

56,203 calon di Johor duduki SPM



Sebahagian daripada 223 pelajar menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahum, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 23 Nov. - Seramai 56,203 calon di negeri ini menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melibatkan 376 pusat peperiksaan bermula hari ini hingga 20 Disember depan.
Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran berkata, daripada jumlah itu, seramai 49,409 pelajar adalah calon di sekolah kerajaan, 606 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan 109 calon Sekolah Agama Kerajaan Johor.
Menurutnya, turut menduduki peperiksaan yang berlangsung selama 15 hari itu ialah 633 calon Sekolah Agama Rakyat dan 2,493 calon sekolah swasta serta 2,950 calon persendirian.
"Bagi mengendalikan peperiksaan itu kami menyediakan 3,547 petugas, 94 penyelia kawasan, 376 ketua pengawas dan 2,701 pengawas peperiksaan.
"Untuk menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang peperiksaan, pihak kami telah melantik 21 ketua pengawas yang bertugas di 21 hospital kerajaan dan swasta di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Markom berkata, pada tahun ini seramai sembilan berbanding tujuh calon yang menduduki SPM sebagai calon tahanan di Penjara Simpang Renggam, Kluang.
Beliau berkata, pada tahun ini seramai 65 orang dikenal pasti sebagai calon berkeperluan khas iaitu golongan yang buta, rabun, pekak, bisu dan terencat akal.
"Calon-calon ini akan menerima pelbagai kemudahan semasa menduduki peperiksaan berkenaan, antaranya tambahan masa, soalan Braille, kertas soalan cetakan besar, menggunakan komputer, pemindah tulis dan bilik berasingan.
"Di Maktab Sultan Abu Bakar terdapat dua calon buta dan tiga calon rabun dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Vokasional Indahpura, Kulaijaya terdapat 12 calon pekak dan bisu," katanya.
Sebagai langkah kawalan dan keselamatan, Jabatan Pelajaran Negeri turut mengambil langkah perlu bagi menghadapi kes luar jangka semasa peperiksaan seperti banjir, wabak dan sebagainya dengan mengadakan bilik khas dan prosedur yang tersusun.
Bagi kemudahan calon dan ibu bapa, pihaknya turut menyediakan Bilik Gerakan Peperiksaan SPM yang boleh dihubungi di talian 07-2332205 atau 07-2332206 dan faks 07-2369084.

Sumber : Utusan Malaysia

Selasa, November 23, 2010

SOALAN BM2 TAHUN 2010 (N)



SOALAN BM2 TAHUN 2010 (N). Sila klik di sini >>>>>>>>
 

BM1 SPM TAHUN 2010 (N)

Seperti dijangka pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan SPM tahun 2010 ini dipercayai mendapat "durian runtuh" kerana beberapa soalan K1 yang dianalisiskan benar-benar "muncul" pada kertas soalan. Ini merupakan rezeki pelajar yang dianugerai Tuhan. Mudah-mudahan BM2 pada petang ini juga akan menampilkan soalan seperti yang dianalisiskan. Berikut disiarkan kertas soalan BM1 yang tamat pada jam 10.15 pagi tadi.



Isnin, November 22, 2010

DAULAT TUANKU

Raja Zarith Sofiah kini bergelar Tuanku

JOHOR BAHRU 21 Nov. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan gelaran Duli Yang Maha Mulia kepada isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda ke-52 esok.
Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, mulai esok Raja Zarith Sofiah perlu dibahasakan sebagai 'Tuanku' dalam semua persuratan dan majlis yang melibatkannya.
Beliau berkata, pada istiadat penganugerahan yang akan berlangsung di Istana Besar di sini, baginda turut berkenan mengurniakan gelaran 'Yang Amat Mulia Enche' Besar' kepada bonda baginda, Tuanku Puan Hajah Khalsom Abdullah.
"Mulai esok juga, bonda Sultan Johor itu perlu dibahasakan sebagai Yang Amat Mulia dalam sebarang urusan rasmi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, gelaran Yang Amat Mulia Enche' Besar pertama kali dikurniakan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar kepada suri baginda dan bonda kepada Almarhum Sultan Ibrahim iaitu Yang Amat Mulia Enche' Besar Zubaidah Abdullah.
Menurutnya, pada majlis itu Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Pangkat Pertama (DK1) kepada bonda baginda manakala Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dikurniakan Pangkat Pertama Dato' Seri Setia Sultan Ismail (SSIJ).
Beliau berkata, istiadat esok yang dijangka bermula pukul 9.30 pagi akan dimulakan dengan bacaan doa kesyukuran dan disusuli perbarisan tabik hormat oleh Askar Timbalan Setia sebelum Sultan Ibrahim masuk ke singgahsana.
"Semasa perbarisan kehormatan pasukan berkenaan, anakanda baginda, Tunku Abdul Rahman akan mengambil bahagian sebagai pegawai panji-panji yang akan membawa panji pasukan itu," ujarnya.
Abdul Rahim berkata, baginda bertitah supaya anakandanya belajar dan mewarisi adat istiadat diraja negeri Johor dengan itu Tunku Jalil akan dilantik sebagai Menteri bagi darjah Sultan Ismail Yang Amat Mulia Diberkati manakala Tunku Abdul Rahman pula dilantik sebagai Bentara bagi darjah tersebut.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman sambil diiringi Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar negeri, Tan Kok Hong serta Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan yang masing-masing mewakili kaum Cina dan India akan menyampaikan ucapan selamat bagi pihak rakyat dan kerajaan negeri Johor, katanya.
Katanya, ucap selamat Menteri Besar yang diiringi wakil kaum Cina dan India itu diamalkan oleh kerajaan negeri Johor suatu ketika dahulu selain menyokong gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Abdul Latiff Yusof berkata, pelbagai program dianjurkan di setiap daerah sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Johor.
Antara program itu adalah pertandingan memancing di Pantai Stulang dan pertandingan bola sepak dan bola jaring di Padang Seri Gelam di sini manakala konsert rakyat pada malamnya di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru.
"Selasa ini, Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli untuk bersama rakyat pada majlis jamuan teh di Dataran Bandaraya Johor Bahru manakala keesokannya diadakan jamuan makan malam anjuran kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Persada di sini," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia : 22 November 2010

Template by:
Free Blog Templates