Fenomena pemanasan global atau peningkatan suhu bumi telah lama mendapat perhatian pakar meteorologi dan pakar sains di seluruh dunia. Mereka telah membuat kajian tentang punca-punca fenomena alam ini dan kesan-kesannya. Dapatan kajian menunjukkan bahawa suhu bumi meningkat secara mendadak yang akan menyebabkan bongkah ais di kawasan kutub semakin mencair. Akibatnya, kawasan pinggir pantai di seluruh dunia akan tenggelam dan menyebabkan kemusnahan harta benda. Oleh itu, pelbagai ikhtiar dilakukan untuk menanganinya agar kesejahteraan hidup penduduk dunia tidak terjejas.
Pemanasan global turut menyebabkan cuaca dunia berubah di luar jangkaan. Buktinya, benua Eropah yang biasa dikaitkan dengan cuaca sejuk kini telah berubah coraknya menjadi panas. Fenomena ini juga diramal akan mengubah arah tiupan angin monsun yang pasti menjejaskan ekosistem bumi. Di samping itu, pemanasan melampau mengakibatkan tumbesaran tanaman dalam sektor pertanian terganggu sehingga menjejaskan produktiviti. Misalnya, beberapa tahun yang lalu negara kita pernah menganam kenaikan harga makanan yang mendadak berikutan banyak tanaman musnah akibat cuaca yang tidak menentu.
Antara punca utama pemanasan global ialah pelepasan asap kenderaan dan kilang serta pembakaran terbuka yang membebaskan gas karbon dioksida berlebihan ke atmosfera. Oleh itu, kita sewajamya berusaha mencari jalan untuk mengurangkan pelepasan gas-gas berbahaya ke udara dan mengelakkan pembakaran terbuka.
Peningkatan gas karbon dioksida akan menyekat pelepasan haba dari bumi ke angkasa lepas. Hal ini menyebabkan peningkatan tahap keasidan laut hingga menjejaskan hidupan marin terutamanya terumbu karang.
Menurut jurnal Nature, pemanasan global mempercepat kepupusan lebih daripada sejuta spesies hidupan darat dalam tempoh 50 tahun. Sehubungan dengan hal itu, penduduk dunia harus mengubah cara hidup agar alam kembali sihat. Sumbangan paling mudah adalah dengan mengurangkan penggunaan elektrik dan mengutamakan pengangkutan awam. Sekurang-kurangnya, sedikit sumbangan yang dilakukan mampu melambatkan kemusnahan bumi.
(Dipetik dan diubah suai daripada `Pemanasan Global' oleh Zurin M. Zain, Dewan Masyarakat, Julai 2007)
PENGENALAN :
Petikan membincangkan AKIBAT/ IMPLIKASI/ NATIJAH/ KEBURUKAN/ IMPAK pemanasan global.
ISI TERSURAT : Kesan-kesan pemanasan global.
[ Maklumat mesti dipetik daripada petikan yang diberi ]
S1. Akan menyebabkan bongkah ais di kawasan kutub semakin mencair menyebabkan kawasan pinggir pantai di seluruh dunia akan tenggelam dan menyebabkan kemusnahan harta benda.
S2. Menyebabkan cuaca dunia berubah di luar jangkaan.
S3. Akan mengubah arah tiupan angin monsun yang pasti menjejaskan ekosistem bumi.
S4. Mengakibatkan tumbesaran tanaman dalam sektor pertanian terganggu sehingga menjejaskan produktiviti.
S5. Akan menyekat pelepasan haba dari bumi ke angkasa lepas.
S6. Menyebabkan peningkatan tahap keasidan laut hingga menjejaskan hidupan marin terutamanya terumbu karang.
S7. Terdedah kepada pelbagai jenis penyakit
S8. Turut mengancam nyawa manusia hingga berlaku kematian di beberapa buah negara.
S9. Mempercepat kepupusan lebih daripada sejuta spesies hidupan darat dalam tempoh 50 tahun.
ISI TERSIRAT : Sebab-sebab masyarakat kurang mengambil berat terhadap fenomena ini.
[ Tidak boleh memetik apa-apa maklumat dalam petikan yang diberi ]
T1. Tidak menyedari implikasi negatif daripada pemanasan bumi / sikap tidak ambil peduli
T2. Kurang publisiti dalam media massa terhadap fenomena pemanasan global
T3. Kesan fenomena ini jarang dirasai secara langsung.
T4. Masyarakat tidak mempunyai ilmu pengetahuan tentang fenomena ini.
T5. Kesibukan bekerja/ menjalankan tugas harian.
T6. Sifat tamak/ mementingkan diri sendiri.
T7. Selesa dengan teknologi untuk mengurangkan kesan pemanasan global seperti alat pendingin hawa.
KESIMPULAN :
Kesimpulannya, setiap ahli masyarakat perlu bekerjasama untuk mengurangkan masalah pemanasan global agar kesejahteraan hidup masyarakat terjamin.
Jawaban ini hanya cadangan sahaja dan tidak semestinya diterima sebagai jawaban rasmi. Pihak LPM mempunyai kata putus untuk menetapkan isi jawabaan yang tepat.
