Khamis, Januari 28, 2010

KELAS KAWALAN DISKRIMINASI PELAJAR

PUTRAJAYA 20 Jan. - Seorang tokoh akademik hari ini menyuarakan rasa khuatir dengan peningkatan trend mewujudkan kelas-kelas kawalan atau rancangan khas di sekolah-sekolah kerajaan yang dibimbangi menjurus ke arah mendiskriminasikan pelajar.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr. Aminah Ayob berkata, trend yang bermula seawal tingkatan satu yang menempatkan pelajar-pelajar cemerlang lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu dikhuatiri boleh mencetuskan satu stigma yang tidak menepati konsep Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).

Bagaimanapun beliau menegaskan, sistem kelas kawalan itu tidak akan menimbulkan masalah atau stigma sekiranya pihak sekolah mampu 'meningkatkan prestasi pelajar lemah ke tahap lebih baik manakala yang cemerlang kepada terbaik'.

"Dalam konsep KBSR dahulu, pelajar-pelajar itu mestilah berada dalam kelas-kelas bercampur (yang cerdas dan lemah). Ini selaras dengan dunia hari ini yang menekankan pendidikan inklusif dan hak sama rata mendapat pendidikan berkualiti.

"Namun jika kelas-kelas rancangan khas ini dipraktikkan secara betul, ia sudah semestinya dialu-alukan, cuma dikhuatiri akan mencetuskan satu stigma di kalangan pelajar bahawa individu atau kelas tertentu menjadi anak emas guru atau guru besar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau ditanya pandangannya mengenai trend kebanyakan sekolah-sekolah menengah kebelakangan ini mewujudkan kelas-kelas kawalan seumpama itu yang antaranya bagi memastikan sekolah atau guru besar mendapat imbalan dari segi kecemerlangan atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Menurut Dr. Aminah, jika dinilai dari segi keterampilan pelajar dalam akademik, ia ada kalanya sukar dibuat perbandingan pada peringkat awal tingkatan satu.

"Dalam hal ini, saya amat berharap kelas-kelas kawalan yang diwujudkan itu tidak hanya menumpukan kepada pelajar cergas dan cemerlang, yang penting tidak ada bias," katanya.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan sebanyak tiga hingga empat peratus daripada pengetua atau guru besar dan guru di sesebuah sekolah bakal menikmati insentif istimewa sekiranya mereka berjaya memacu kecemerlangan sekolah bermula tahun depan.

Tawaran baru berbentuk pemberian insentif itu merupakan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2010 kepada pengetua atau guru besar.

Sumber: Utusan Malaysia

Sabtu, Januari 16, 2010

SUBSIDI MINYAK MASAK DIMANSUH

KUALA LUMPUR: Selepas pemansuhan subsidi roti dan pengurangan subsidi gula, kerajaan mungkin membatal atau menurunkan subsidi minyak masak.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Mohd Zain Mohd Dom, berkata kerajaan sedang menyemak kadar subsidi minyak masak yang dianggar menelan belanja kira-kira RM1 bilion setahun.

"Kita sudah mulakan perbincangan dengan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi mengenai subsidi minyak masak ini sejak akhir tahun lalu," katanya yang enggan mengulas sama ada subsidi minyak masak akan mengalami perubahan.

Harga minyak masak bergantung kepada harga komoditi itu di pasaran antarabangsa, yang mencatatkan purata RM2,500 satu tan berbanding RM2,800 satu tan tahun lalu tetapi tahun ini, penganalisis pasaran meramalkan peningkatan sehingga RM2,600 satu tan.

Sumber: Berita Harian 16/1/2010

TANGGANG MODEN RACUN MASYARAKAT

Oleh Fadzlena Jafar

KISAH tanggang moden yang sanggup meminggirkan keluarga khususnya ibu bapa bukan perkara baru. Jika pergi ke rumah kebajikan orang tua, anda akan mendengar 1,001 satu cerita sedih mengenai penghuninya yang rata-rata masih mempunyai anak atau waris, tetapi tiada yang sudi menjaga mereka.

Kenapa senario anak enggan menjaga ibu atau bapa berlaku pada zaman serba canggih ini yang kononnya lebih memberi tumpuan kepada kemanusiaan? Adakah kerana kealpaan, keangkuhan atau terlalu sibuk menjadi faktor sehingga ada anak yang sanggup melupakan jasa ibu bapa menjaga mereka sejak kecil?

Tanpa memihak kepada ibu bapa mahupun anak, saya pasti setiap persoalan ada jawapannya dan ini lazimnya berbalik kepada bagaimana cara seseorang itu dididik sejak dalam kandungan lagi.

Ada anak yang terbiar ketika kecil kerana ibu bapa terlalu sibuk dengan urusan masing-masing sehingga mereka membesar tanpa kasih sayang sebenar. Ini menyebabkan ada yang berasa jauh dengan ibu bapa mereka dan tiada rasa simpati apabila mereka besar kelak.

Tidak menghairankan jika satu hari kelak, apabila sudah mempunyai keluarga sendiri, ada yang enggan menjaga ibu bapa mereka.

Kita semua adalah anak, dan satu hari nanti kita juga bakal bergelar ibu atau bapa. Cuba letakkan diri kita dalam kedudukan kedua-duanya, dan tanya apa yang boleh menyebabkan seseorang itu sanggup melupakan kasih sayang terhadap ibu bapanya seolah-olah tiada jasa langsung yang ditaburkan.

Mungkinkah kuasa cinta terhadap pasangan, umpamanya cinta suami kepada isteri atau ketaatan isteri kepada suami menyebabkan ada yang sanggup meminggirkan ibu bapa sendiri dan melupakan kata-kata ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’.

Jika menjawab persoalan ini, ada pelbagai jenis jawapan yang akan kita dengar. Antaranya, ibu atau bapa tidak sebulu dengan menantu seperti yang pernah dipaparkan sebuah iklan tidak lama dulu. Ada juga yang berpunca daripada kurang keserasian tinggal di kota bersama anak menyebabkan mereka kembali hidup di kampung walaupun hidup sendirian terutama apabila pasangan sudah meninggal dunia.

Apapun, mungkin penyelesaian terbaik ialah jika anak perempuan yang menjaga ibu bapanya, bukan anak lelaki terutama yang sudah berkeluarga, kerana lazimnya orang tua mempunyai kerenah masing-masing, lebih-lebih lagi apabila sudah berusia. Orang kata, hidup umpama roda, jika ketika kecil keperluan diuruskan ibu, apabila sudah tua kita akan kembali menjadi ‘bayi’ dan diuruskan orang lain.

Justeru, biarlah anak perempuan yang menjaga mereka kerana keadaan akan menjadi sukar jika anak lelaki yang menggalas amanah itu. Suka atau tidak, kita perlu akui urusan rumah tangga dikendalikan isteri sepenuhnya dan jika menjaga ibu bapa suami, ini bermakna mereka perlu menjaga mentua.

Ada kalanya sukar berurusan jika dikurniakan mentua yang banyak ragam dan kerenah. Lebih-lebih lagi jika menantu perempuan itu tidak disukai, tentu ada saja hal yang boleh menjadi punca kepada perselisihan faham. Keadaan sama juga boleh berlaku jika anak perempuan yang menjaga, tetapi menantu lelaki pula tidak digemari.

Keadaan ini akan menimbulkan dilema kepada anak dan menantu. Siapa yang tahan jika setiap hari ada saja yang tidak kena, dan lama-kelamaan perkara kecil boleh menyebabkan pergaduhan besar.

Bagi menyelamatkan rumah tangga yang dibina, jalan terbaik ialah menghantar ibu atau bapa ke rumah anak lain, tetapi juga tiada yang sudi menjaga, akhirnya rumah kebajikan dituju.

Tetapi sanggupkah kita membiarkan ibu yang mengandungkan kita atau bapa yang sanggup berkorban apa saja bagi memastikan kita hidup selesa kelak, hidup di tempat yang tidak sepatutnya?

Sumber: Berita Harian

KEBUN KELAPA "DITELAN" LAUT

Oleh LUQMAN HAZIQ
utusanjohor@utusan.com.my

PONTIAN 15 Jan. - Sejak 15 tahun lalu, banyak kebun kelapa penduduk di kawasan Batu Pahat dan Pontian mula lenyap 'ditelan' laut.

Ini bukan sahaja menyebabkan pemiliknya hilang pendapatan, malah tanah milik mereka tidak lagi termasuk dalam peta negeri Johor.

Perkara itu berlaku akibat kejadian hakisan laut yang semakin hebat sejak kebelakangan ini.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

"Saya boleh katakan, tanah yang telah ditenggelami air laut ini melibatkan ratusan penduduk," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Parlimen Tanjung Piai di sini, semalam.

Pada lawatan itu, beliau turut melawat Pulau Pisang dan meninjau kesan hakisan di pantai Tanjung Piai dari laut.

Abdul Ghani berkata, hasil kajian Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapati, hakisan yang berlaku di Batu Pahat dan Pontian mungkin disebabkan ombak daripada kapal yang berlabuh di pelabuhan.

Katanya, sehubungan itu UTHM mencadangkan supaya dibina pemecah ombak untuk mengurangkan kesan hakisan berkenaan.

Namun menurutnya, kerajaan masih menunggu laporan dan cadangan yang terbaik daripada UTHM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang telah diberi tugas untuk menjalankan kajian terperinci mengenai masalah itu.

"Kita berharap mereka dapat memberikan cadangan terbaik bagi mengatasi masalah itu dalam masa empat hingga lima bulan ini," katanya.

Mengenai hakisan di pantai Tanjung Piai yang semakin ketara iaitu melibatkan kawasan kira-kira lima kilometer terutamanya di Kampung Serkat, Menteri Besar berkata, UTM juga telah diminta menjalankan kajian terperinci tentang kaedah terbaik bagi mengurangkan kadar hakisan di kawasan yang dikenali Penghujung Benua Asia itu.

Beliau berkata, ini kerana benteng penahan ombak dan 'Joe Tiub' yang digunakan sebelum ini tidak berkesan mengatasi masalah berkenaan.

"Joe Tiub yang dipasang pada 2005 dengan kos lebih RM2 juta tidak berkesan untuk mengatasi masalah hakisan ini. Jadi, kita akan cari kaedah lain untuk menanganinya," katanya.

Abdul Ghani berkata, beliau telah memaklumkan mengenai masalah itu kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi peruntukan bagi menanganinya dengan segera.

Tegas beliau, masalah hakisan pantai yang semakin ketara itu perlu diatasi segera supaya kawasan negara ini dapat dipertahankan daripada terus 'ditelan' laut.

Sumber: Utusan Malaysia 16/1/2010

LANGKAH TEPAT SPR PANTAU PILIHAN RAYA SEKOLAH

SUATU sejarah tercatat apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wilayah Persekutuan memantau pilihan raya di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 (SKTTDI1). Walau langkah ini dilihat sebagai jauh dari tugas hakiki SPR signifikan kepada komitmen badan bebas yang menjadi urus setia pilihan raya umum dan kecil ini adalah besar.

Anak-anak kita perlu didedahkan tanggungjawab kepada negara dan menyintai demokrasi yang telah merahmati kehidupan kita di negara ini semenjak 53 tahun yang lalu. Pemimpin kita memilih untuk merdeka dengan secara aman dan sebagai sebuah negara yang menggunakan sistem demokrasi berparlimen kita telah memilih Kerajaan Pusat sebanyak 12 kali melalui pilihan raya dan ia lebih dari cukup untuk membuktikan kewibawaan SPR yang cukup matang sebagai badan bebas.

Pilihan raya umum yang kita lalui pada tahun 2008 mengajar kita sebagai rakyat bahawa kita mempunyai 100 peratus hak untuk memilih siapa yang layak menjadi calon kita di Dewan Undangan Negeri dan Dewan Parlimen. Seperti yang diketahui majoriti kerajaan di Dewan Rakyat telah dikurangkan oleh pembangkang. Ini semua proses demokrasi secara pilihan raya.

Anak-anak kita masih jauh dari memahami situasi politik orang dewasa yang tidak sama dari segi kempen dan wawasan setiap pemimpin. Sebagai pelajar mungkin kempen untuk merebut jawatan ketua murid tidak akan ada serangan peribadi atau mengungkit sejarah lampau calon semasa menjadi pemimpin.

Sebaik-baiknya perkara begini tidak dididik kepada pelajar dalam memahami aspirasi sesuatu pilihan raya. Langkah pihak sekolah meminta kerjasama SPR memantau pilihan raya sekolah berkenaan perlu dicontohi. Ini kerana dewasa ini kita melihat proses pilihan raya banyak tercemar dek perbuatan penyokong parti bertanding yang bertindak di luar norma-norma ketimuran.

Ada kejadian yang berlaku membawa kecederaan kepada perayu undi dan ada juga insiden memaki hamun hanya kerana hati sudah menjadi panas dan emosi gagal dibendung oleh pihak terbabit. Perkara begini perlu menjadi perkara yang dilarang kepada pelajar-pelajar.

Sesungguhnya anak-anak kita perlu diajar nila-nilai murni sebagai pelajar yang masih hijau dalam soal berpolitik.

Suatu masa dulu pihak TV RTM mempunyai program "Sidang Dewan Rakyat bersama Yang Berhormat Kanak-Kanak" yang dipengerusikan oleh Jamal Mohammad (Jamal Kerdil) setiap kali Hari Kemerdekaan berlangsung. Elok program sebegini diadakan semula untuk mendedahkan anak-anak kita dengan proses demokrasi yang menjadi tonggak kepada sebuah negara demokrasi.

Walaupun program ini hanya untuk suka-suka tetapi impaknya ramai anak-anak pada era itu memasang niat menjadi ahli Yang Berhormat seterusnya menjadi menteri. Pendidikan melalui cara yang menghiburkan mampu memberi pendedahan kepada anak-anak kita bahawa inilah cermin demokrasi negara kita yang membuatkan kita berasa bangga menjadi rakyat negara bernama Malaysia ini.

Pilihan raya, sidang Dewan Rakyat serta pengucapan awam mampu mendidik anak-anak kita menjadi pemimpin pelapis masa depan. Kementerian pendidikan perlu mengadakan ko-kurikulum yang menggalakkan pelajar-pelajar kita memahami sistem demokrasi dengan cara yang lebih sistematik.

Seperti mana pelajar undang-undang di setiap negeri mengadakan sesi mahkamah moot pelajar-pelajar peringkat sekolah boleh mewujudkan sesi dewan Parlimen sendiri agar mereka lebih terdidik untuk menghormati dan menghayati peraturan parlimen sebagai tempat undang-undang digubal melalui kuasa yang diberi oleh rakyat sebagai wakil mereka melalui mandat pilihan raya umum atau kecil.

Justeru langkah melibatkan pelajar-pelajar dengan proses pilihan raya amat bermanfaat bagi jangkamasa panjang. Sebaik-baiknya dikembangkan kepada proses lain seperti lawatan ke Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri agar mereka boleh melihat sendiri bagaimana wakil yang dipilih oleh rakyat berucap di dewan yang mulia itu.

Usaha pihak sekolah terlibat dan SPR pada awal tahun 2010 ini menunjukkan profesionalisme yang tinggi untuk mewujudkan pilihan raya yang lebih telus dan berkesan. Sekalung tahniah atas iltizam dan wawasan anda semua.

ABDUL RAZAK IDRIS
BANTING, SELANGOR

Sumber: Utusan Malaysia 16/1/2010

PELAJAR RINDU PUJIAN GURU

Oleh ANUAR AHMAD

Penulis pernah ditanya oleh pelajar di dalam dewan kuliah, apakah asas penting di dalam membina hubungan guru dan pelajar di dalam sekolah atau bilik darjah dan bagaimanakah bentuk hubungan guru-pelajar yang seharusnya wujud di persekitaran sekolah dan bilik darjah.

Jawapan penulis ialah tahap hubungan kasih sayang. Elemen ini adalah asas dan nyawa kepada hubungan guru-murid terutama di dalam pendidikan sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah dan pendidikan tinggi, selain kasih sayang antara guru dan pelajar, tumpuan adalah pembinaan tanggungjawab merupakan elemen penting sebagai asas hubungan antara guru dan pelajar.


Jadi bagaimana kasih sayang ini dilaksanakan? Jawapannya dengan sentiasa memberikan pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar. Tentu sahaja guru juga boleh menerima pujian daripada pelajarnya.

Maka ucapan 'terima kasih', 'tahniah', 'bagus', 'saya bangga' dan pujian seumpamanya patut diamalkan secara ikhlas dan berterusan di sekolah. Kajian pendidikan membuktikan bahawa pujian merupakan kaedah utama dan berkesan untuk membina hubungan kasih sayang di sekolah.

Bagaimana jika pelajar melakukan kesalahan atau kesilapan. Maka mereka seharusnya diberikan nasihat yang tepat dan jelas oleh para guru. Apa yang pasti, memukul sesuka hati bukanlah amalan pendidikan yang sesuai untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah.

Sedih rasanya melihat bagaimana ada guru yang sanggup menyakiti tubuh anak-anak kecil yang kononnya dikatakan nakal, tidak mematuhi arahan atau membuat bising di dalam bilik darjah.

Sebenarnya, atas apa jua alasan guru tersebut, hukuman tidak sekali-kali boleh dilaksanakan sehingga membawa kesakitan kepada pelajar. Amalan 'memukul' dengan tujuan menyakiti tubuh anak-anak kecil terutama di bahagian badan yang sensitif dan lemah tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana agama dan kepercayaan.

Menyakiti pelajar seperti deraan adalah sesuatu yang keji dan tidak berperi-kemanusiaan. Biarlah apa pun kesalahan anak-anak di peringkat sekolah rendah, hukumannya sama sekali tidaklah boleh sampai kepada memukul, menumbuk atau menampar muka dan badan pelajar.

Saintis terkenal, Albert Einstein pernah berkata bahawa makna kepada pendidikan ialah sesuatu yang masih diingati oleh seseorang apabila beliau sudah terlupa tentang semuanya tentang zaman persekolahannya dahulu.

Maka apa yang masih terus diamalkan atau digunakan sebagai panduan hidup itulah ilmu hasil didikan daripada bekas guru-gurunya. Selama belasan tahun di sekolah, biasanya lebih banyak yang dilupakan oleh seseorang dan sangat sedikit sahaja yang diingati.

Penulis sendiri sudah tidak dapat mengingati banyak peristiwa semasa bersekolah dahulu secara jelas, tetapi masih dapat mengingati beberapa perkara baik semasa di sekolah dahulu.

Antara perkara yang tidak pernah dilupakan ialah pujian yang diberikan oleh beberapa orang guru kepada penulis. Pujian mereka bukan sahaja menyebabkan jasa dan nama mereka terus menjadi kenangan abadi penulis tetapi juga pujian ini banyak membina semangat dan keinginan penulis untuk cemerlang dalam pelajaran.

Sebab itu penulis sangat tidak percaya bahawa pujian boleh merosakkan pelajar. Mitos ini masih wujud di kalangan ramai guru-guru yang mengajar. Pada mereka, pujian akan menyebabkan seseorang atau sekumpulan pelajar menjadi bongkak, lupa diri dan akhirnya akan merosakkan pembelajaran mereka.

Maka tindakan seperti ugutan, memarahi serta memberikan amaran dikatakan lebih berkesan untuk memastikan pelajar belajar serta berjaya di dalam pelajaran mereka.

Mereka mungkin lupa bahawa pujian secara psikologinya jika dilakukan dengan cara dan gaya yang betul akan menjadi kaedah yang paling berkesan untuk mempengaruhi tindakan, pemikiran serta sikap pelajar.

Ramuan yang betul dalam memberikan pujian seperti pemilihan bahasa yang tepat, kesesuaian masanya dan dizahirkan dengan ikhlas dari hati guru akan membuatkan tingkah laku seseorang pelajar dapat ditingkatkan atau diperbaiki ke arah yang lebih positif.

Kadang kala pujian juga boleh menjadi tidak berkesan walaupun dilakukan berulang kali oleh guru. Sebagai contoh, memuji pelajar selepas beberapa lama perbuatan positif dilakukan tidak akan mengembangkan tingkah laku positif pelajar.

Misalnya adalah sangat berkesan jika guru memberikan pujian selepas seseorang pelajar berjaya menjawab dengan betul berbanding memberikan pujian beberapa lama selepas pelajar memberikan jawapannya.

Di luar kelas, adalah sangat berkesan guru memberikan pujian sebaik sahaja pelajar melakukan perkara yang baik misalnya membuang sampah ke dalam tong sampah atau pelajar berbaris semasa membeli makanan di kantin sekolah berbanding memberikan pujian secara umum semasa perhimpunan lama selepas tingkah lalu tersebut di lakukan.

Pujian yang tidak berkesan juga boleh berlaku apabila guru memberikan pujian yang berbentuk umum atau generalisasi sahaja kepada pelajar. Pujian seperti 'awak baik', 'awak pandai' atau 'awak bersih', sebenarnya kurang memberikan kesan kepada pelajar. Pujian seharusnya berbentuk khusus atau spesifik. Misalnya "Cikgu bangga dengan pencapaian markah kamu dalam ujian kali ini".

Ada juga pujian yang boleh dilakukan dengan menulis sesuatu di dalam buku atau kertas jawapan pelajar yang dapat dibaca atau difahami oleh pelajar tersebut sebagai satu pujian yang khususnya ditujukan kepada kebolehan atau pencapaiannya sama ada yang bersifat akademik, atau kerana tingkah laku atau sikap yang baik.

Malah lebih buruk lagi jika ramuannya tidak betul, pujian bukan sahaja boleh menjadi tidak berkesan tetapi boleh menyebabkan tingkah laku seseorang pelajar menjadi lebih buruk dari sebelumnya.

Misalnya apabila seseorang pelajar melakukan perkara yang baik dan diberikan pujian oleh guru tetapi dalam bentuk sindiran maka pujian seperti ini akan menyedihkan pelajar.

Sebagai contoh apabila seorang guru berkata kepada pelajarnya "awak ini bukanlah pandai sangat tetapi mungkin nasib anda baik mendapat markah yang tinggi dalam ujian ini kali ini, tahniahlah untuk awak".

Pujian seperti sindiran juga boleh berlaku dalam bentuk perbandingan, Misalnya, "tahniah kerana awak berjaya mendapat markah yang baik tetapi nampaknya markah awak masih rendah berbanding kawan awak si X". Usaha lagi nanti". Atau ada juga pujian seperti," Markah anda dalam ujian kali ini baik. Jadi jangan lagi seperti ujian-ujian yang lalu. Saya mahu setiap kali ujian markah anda akan baik daripada hari ini".

Perkara ketiga ialah pujian yang melibatkan soal kuantiti dan juga kualiti. Pujian merupakan kuasa positif yang jika selalu digunakan secara berkesan akan meningkatkan pembangunan positif pelajar.

Oleh itu lebih banyak pujian sebenarnya adalah lebih baik. Bagaimanapun kuantiti pujian seharusnya dilengkapi dengan pujian yang berkualiti. Jadi di sekolah rendah kualiti pujian yang baik seharusnya di ikuti dengan pelukan guru kepada pelajar (tentunya guru perempuan sahaja yang sesuai melakukannya, pada guru lelaki bolehlah melakukan dengan memberikan senyuman menunjukkan rasa bangga).

Pujian yang baik ialah yang dilengkapi dengan sentuhan atau tingkah laku senyuman yang menunjukkan rasa kasih dan sayang seorang guru pada pelajarnya.

Sebenarnya ada kajian yang menunjukkan kebanyakan guru kurang atau tidak suka memberikan pujian kepada para pelajar. Malah di kalangan guru yang mengakui mereka telah memberikan banyak pujian kepada pelajar, sebenarnya pujian yang mereka berikan masih kurang daripada apa yang diharapkan atau di rindu oleh pelajar.

Percayalah, pujian boleh mengubah pelajar. Jika guru dapat melakukan secara berterusan dengan penuh hikmah dan sabar maka akan lebih ramai pelajar yang akan mengubah sikap dan tingkah laku menjadi lebih positif.

Amalan pujian bukan sahaja paling berkesan mengubah tingkah laku pelajar tetapi sebenarnya berkeupayaan untuk membina persekitaran bilik darjah yang penuh motivasi, kasih sayang dan harmoni.

Disebabkan oleh persekitaran, minda pelajar sebenarnya lebih cenderung untuk memberikan super-respons kepada perkara negatif yang diasak keadaan mereka berbanding perkara positif. Misalnya pelajar akan lebih cepat sedih bila dimarahi oleh berbanding gembira bila mereka dipuji.

Mereka juga biasanya akan lebih cepat merasa malu apabila disindir berbanding merasa bangga apabila berjaya mencapai sesuatu. Oleh itu untuk membolehkan tingkah laku positif berkekalan dicapai, maka pujian secara berterusan, berkualiti serta ikhlas perlulah dilakukan oleh para guru.

Malah secara tidak sedar juga, kebanyakan guru juga lebih cenderung untuk cepat memberikan respons kepada tingkah laku negatif pelajar berbanding tingkah laku perbuatan positif pelajar lebih lagi bila guru berada di dalam tekanan kerja atau keadaan fizikal yang lemah atau letih.

Oleh itu jika para guru dapat memulakan pujian kepada pelajar secara berterusan maka satu hari nanti pelajarnya pula akan menjadi seorang dewasa yang akan pula sentiasa memberikan pujian kepada para rakan sekerja di tempat kerajaan atau anak-anak mereka di rumah. Semoga pelajar tidak akan lagi merindui pujian daripada guru-guru mereka.

Penulis ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber: Utusan Malaysia 16/1/2010

PELAJAR TAMPAR GURU DITAHAN POLIS

NIBONG TEBAL: Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di sini, menampar seorang guru wanita berusia 29 tahun di dalam kelas kerana tidak berpuas hati dengan tindakan guru terbabit menamparnya, Selasa lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari apabila tiga pelajar dari kelas lain masuk ke kelas yang sedang diajar oleh guru berkenaan sebelum bertindak mengganggu dan membuat bising.

Sumber memberitahu, guru wanita itu kemudiannya mengarahkan ketiga-tiga pelajar itu supaya keluar dan tidak mengganggu pelajar yang sedang belajar di dalam kelas berkenaan.

Bagaimanapun, seorang daripada tiga pelajar terbabit bercakap kasar yang berbunyi “kalau wa tak mau keluar, lu mau buat apa,” sehingga menyebabkan guru berkenaan hilang sabar dan bertindak menamparnya.

"Pelajar itu yang berang dengan tindakan guru wanita berkenaan, bertindak balas dengan menampar gurunya itu di depan pelajar lain dalam kelas itu.

“Seorang rakan pelajar itu yang tidak berpuas hati mengambil kerusi plastik dan membaling ke arah guru itu tetapi berjaya dielak. Selepas itu pelajar berkenaan beredar selepas ditarik seorang lagi rakan mereka,” kata sumber berkenaan.

Berikutan kejadian itu, guru terbabit memaklumkan kepada pengetua sekolah sebelum dinasihatkan membuat laporan polis pada jam 3.15 petang pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, ketika dihubungi Berita Harian, mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh guru berkenaan.

Katanya, pelajar yang menampar gurunya dibawa oleh keluarganya ke balai polis semalam, manakala dua lagi masih menghilangkan diri.

"Polis menahan pelajar itu semalam (kelmarin) sebelum membebaskannya hari ini (semalam) selepas memberi keterangan dan jaminan RM2,000 oleh bapanya," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 506 kerana menakutkan secara jenayah.

Sumber: Berita Harian

JANGAN PAKSA PELAJAR PULANG HUJUNG MINGGU

Sekolah perlu rangka langkah berjimat urus makanan asrama

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran mengingatkan pihak sekolah supaya tidak memaksa pelajar mereka untuk pulang ke rumah pada cuti hujung minggu atau cuti umum atas tujuan untuk menjimatkan perbelanjaan makanan asrama pada tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, berkata sebaliknya pengurusan makanan di sekolah perlu lebih cekap untuk memastikan berlaku penjimatan yang sewajarnya.

Dalam konteks ini, beliau berkata, pihak sekolah perlu menyediakan peraturan lebih kemas bagi memastikan pelajar yang ingin pulang pada hujung minggu memaklumkannya lebih awal supaya pesanan jumlah makanan dapat dikurangkan, sekali gus penjimatan dapat dilaksanakan.

"Sebagai langkah awal, sekolah sudah diberi peruntukan berasaskan perkiraan 200 hari dengan jumlah pelajar yang maksimum dan jika ini tidak mencukupi, kementerian akan mengambil tindakan bagi menampung keperluan itu.

"Sekolah tidak harus memaksa mana-mana pelajar untuk pulang pada cuti hujung minggu atau cuti umum, manakala mereka yang tinggal di sekolah tidak dikenakan apa-apa bayaran tambahan," katanya dalam kenyataan mengenai pindaan terhadap pelaksanaan bantuan makanan asrama di bawah Kementerian Pelajaran, tahun ini.

Zulkurnain berkata, kekangan peruntukan bajet mengurus bagi Kementerian Pelajaran, tahun ini, menyebabkan kementerian mengkaji semula pelbagai bentuk bantuan yang diberi kepada pelajar sekolah, termasuk Bantuan Makanan Asrama (BMA).

Tahun ini, katanya, kerajaan terpaksa menanggung kenaikan subsidi RM14 kepada RM16 sehari bagi setiap pelajar, sedangkan sebahagian daripada pelajar terbabit adalah dari kalangan keluarga berkemampuan.

Sekiranya kadar subsidi itu diteruskan sepenuhnya, beliau berkata, kerajaan akan membelanjakan antara RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion untuk menanggung BMA pelajar.

Sehubungan itu, Zulkurnain berkata, kementerian merangka beberapa langkah penjimatan yang tidak akan menjejaskan program kecemerlangan akademik, kokurikulum dan sahsiah pelajar.

Antaranya, beliau berkata, menaikkan bayaran makanan asrama daripada RM1 kepada RM3 sehari bagi pelajar yang ibu bapa mereka berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan, tetapi bayaran RM1 sehari dikekalkan bagi mereka yang ibu bapa berpendapatan kurang RM5,000, manakala pelajar dari keluarga miskin dikecualikan sepenuhnya seperti amalan sebelum ini.

"Bagaimanapun, peruntukan tambahan akan dibekalkan sekiranya peruntukan awal berasaskan perkiraan 200 hari tidak mencukupi. Sekolah juga boleh menggunakan baki peruntukan tahun sebelumnya untuk tujuan ini.

"Selain itu, kutipan yuran makanan asrama yang perlu dibayar oleh ibu bapa atau penjaga buat masa ini masih dikekalkan untuk 200 hari dengan kadar RM1 dan RM3 sehari," katanya.

Sumber: Berita Harian

TEMPOH PERIKSA KERTAS TAK SETIMPAL BAYARAN

SEBAGAI pemeriksa kertas soalan subjek kimia Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya berasa tertekan berikutan tindakan pihak bertanggungjawab meminta saya mempercepatkan proses menyiapkan penandaan kertas berkenaan.

Tahun lalu kami diberi masa hampir sebulan bagi menyiapkan 370 skrip jawapan pelajar. Namun, tahun ini, kami dikerahkan tenaga untuk menyiapkan hampir 270 skrip dalam masa 13 hari. Mungkin kami dapat menyiapkannya tetapi dalam keadaan tergesa-gesa kerana mengejar tempoh diberikan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Walaupun berlakunya penambahan kumpulan dan pemeriksa tetapi ini tidak dapat mengurangkan bilangan skrip jawapan yang diterima. Alasan penghantaran awal skrip, supaya tidak mengganggu musim persekolahan mulai minggu depan. Tetapi ada sesetengah subjek yang akan menyerahkan skrip jawapan pada minggu ketiga sekolah dibuka.

Dengan kadar bayaran RM4 senaskhah, adalah tidak berbaloi dengan kerahan tenaga dipergunakan. Sepatutnya kadar bayaran dinaikkan setimpal kerahan tenaga digunakan.

Bukannya wang jadi tujuan utama kami tetapi kami pertikaian kerahan tenaga dan kudrat kami.

PEMERIKSA LAMA,
Alor Setar, Kedah.

MAKLUM BALAS DARIPADA KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat dalam ruangan Surat Kepada Pengarang dalam akhbar Berita Harian bertarikh 2 JANUARI 2010 (TEMPOH PERIKSA KERTAS SOALAN TAK SETIMPAL BAYARAN).

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), KPM mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pemeriksa Lama, Alor Setar, Kedah yang telah menyumbangkan khidmat beliau untuk Lembaga Peperiksaan khususnya, dan Kementerian Pelajaran Malaysia umumnya, bagi memastikan calon-calon peperiksaan SPM memperoleh keputusan tepat pada masa yang ditetapkan selama ini. Sebagai pemeriksa lama beliau tidak jemu-jemu untuk berbakti demi masa depan anak-anak Malaysia dan juga mengakui bahawa wang bukan tujuan utama beliau menjadi pemeriksa.

Pihak LPM tidak pernah berhasrat untuk mempergunakan kerahan tenaga pemeriksa tanpa memikirkan bayaran yang setimpal. Namun untuk tahun 2009, tempoh peperiksaan SPM yang dimulakan pada 18 November 2009, iaitu seminggu lewat dari tahun lepas, masih mempunyai sasaran pengumuman keputusan yang sama dengan tahun-tahun sebelumnya, iaitu pada minggu kedua Mac 2010. Memandangkan kesuntukan masa untuk kerja-kerja memeriksa skrip calon SPM yang seramai 442,936 orang, yang mana kerja-kerja tersebut dilaksanakan sebaik sahaja peperiksaan itu berakhir, maka jadual pemeriksaan juga sangat ketat bagi membolehkan sasaran tarikh mengeluarkan keputusan peperiksaan SPM pada masa yang ditetapkan dapat dicapai. Oleh yang demikian, pihak LPM tiada pilihan melainkan memendekkan tempoh pemeriksaan supaya dapat memenuhi sasaran yang dihasratkan itu.

Pihak LPM telah menyusun jadual pemeriksaan supaya setiap pemeriksa tidak terbeban dengan bilangan skrip yang terlalu berlebihan. Untuk tahun peperiksaan SPM 2009, setiap pemeriksa diminta untuk menyiapkan penandaan 270 skrip dalam tempoh 13 hari dan secara purata, setiap pemeriksa harus menanda 20 hingga 21 skrip sehari. Situasi ini berbeza sedikit pada tahun 2008 di mana setiap pemeriksa SPM 2008 telah dibekalkan dengan 370 skrip dan tempoh pemeriksaan yang lebih panjang iaitu 20 hari. Secara purata, setiap pemeriksa harus menanda 18 hingga 19 skrip sehari. Ini adalah amalan yang telah dilaksanakan selama bertahun-tahun. Ini juga bermakna, secara bandingan, purata skrip yang perlu ditanda dalam sehari telah bertambah sebanyak 12%. Pertambahan ini telah dimaklumkan kepada semua pemeriksa yang dilantik supaya mereka menyedari keadaan tersebut dan merancang dengan baik tempoh pemeriksaan yang diberikan.

Pihak LPM amat prihatin terhadap aduan yang dikemukakan mengenai musim persekolahan yang sebaik-baiknya tidak diganggu dan pihak Lembaga Peperiksaan juga menyedari adanya skrip peperiksaan mata pelajaran yang disiapkan lewat sehingga menjangkau musim persekolahan 2010. Ini tidak dapat dielakkan memandangkan bahawa kertas peperiksaan berkenaan dijalankan pada pertengahan Disember 2009. Walau bagaimanapun, pemeriksa telah diberikan bilangan purata skrip yang sama seperti mata pelajaran yang lain.

Lembaga Peperiksaan sentiasa mengalu-alukan sebarang cadangan atau pendapat dalam usaha penambahbaikan pengendalian peperiksaan di Malaysia. Cadangan tuan untuk mengkaji semula kadar bayaran bagi pemeriksaan skrip akan diberi pertimbangan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
11 JANUARI 2010

Jumaat, Januari 15, 2010

KEMAHIRAN MENCARI ISI TERSURAT (2)

CARA-CARA MELAHIRKAN MASYARAKAT BERBUDI BAHASA.

Fokus : Cara-cara/ usaha-usaha/ pendekatan/ teknik

Arahan : Sila tandakan (/) di hujung ayat yang menyatakan/ menyebut cara-cara melahirkan masyarakat berbudi bahasa.

1. Sejak zaman-berzaman, generasi tua terasuh dengan budaya dan adat sopan yang menitikberatkan nilai-nilai budi dalam setiap perbuatan dan perbualan.
2. Mereka sentiasa meletakkan budi bahasa sebagai pelengkap kehidupan berhemah.
3. Budi bahasa lazimnya merujuk kepada tutur kata, kelakuan dan sopan santun yang meliputi akhlak mulia.
4. Untuk menyuburkan amalan yang mulia ini, kerajaan melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni.
5. Justeru, kesedaran sivik masyarakat umum mestilah ditingkatkan oleh semua pihak untuk melahirkan warganegara yang berhemah tinggi.
6. Sementara itu, amalan berterima kasih hendaklah disuburkan semula.
7. Alangkah eloknya tradisi dalam masyarakat silam ini diamalkan secara menyeluruh di mana-mana sahaja pada setiap masa.
8. Dalam kehidupan bermasyarakat, nilai kerjasama dan tolong-menolong tidak boleh diabaikan.
9. Amalan ini akan menyemai perasaan hormat-menghormati di samping mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat.
10. Antara amalan harian yang perlu kita lakukan untuk mengembalikan warisan silam itu termasuklah budaya berbahasa yang sopan dan berakhlak mulia.
11. lbu bapa bertanggungjawab dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak supaya membesar dengan akhlak yang terpuji.
12. Cabarannya hebat kerana ibu bapa kini terhimpit oleh tuntutan kerjaya masing-masing.
13. Pada peringkat sekolah pula, guru-guru perlu mendidik murid mereka supaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni kerana banyak masa murid dihabiskan di sekolah.
14. Satu langkah drastik yang dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.
15. Oleh sebab itu, amalan berbudi bahasa wajib kita laksanakan baik di sekolah atau di rumah.
16. Malahan amalan ini perlu dihayati dan diamalkan oleh seluruh rakyat.
17. Dengan perkataan lain, setiap orang bertanggungjawab dalam mengekalkan nilai budi bahasa itu.
18. Jika hal ini dapat diwujudkan, maka usaha untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 akan berhasil kerana nilai-nilai murni merupakan satu daripada ukuran kemajuan bangsa dan negara.
18. Budi bahasa dan amalan murni tidak dapat bercambah tanpa usaha untuk memupuknya.
20. Rakyat dan kerajaan mesti berusaha beruama-sama untuk mewujudkan masyarakat yang berhemah tinggi dan berbudi bahasa.
21. Untuk tujuan itu, kita perlu ingat-mengingatkan supaya amalan murni yang kian terhakis itu menjadi amalan pada setiap masa.
22. Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni merupakan kemuncak tindakan kerjaan untuk menerapkan amalan mulia ini dalam fikiran, perilaku dan hati budi warganegara Malaysia dalam pelbagai lapisan masyarakat.
23 Kempen ini diharapkan dapat meneguhkan keperibadian dan mempamerkan jati diri dan imej rakyat Malaysia yang positif kepada masyarakat antarabangsa.

KEMAHIRAN MENCARI ISI TERSURAT (1)

PANDUAN MENCARI ISI TERSURAT DARIPADA PETIKAN.

Isi tersurat dinyatakan pada kata kunci pertama soalan rumusan.
Isi tersurat menjawab arahan pertama soalan.
Isi tersurat diperoleh daripada petikan.
Isi tersurat tidak berselindung/ nyata/ jelas
Isi tersurat tidak memerlukan huraian
Isi tersurat tidak memerlukan contoh
Isi tersurat boleh digabungkan dengan isi tersurat lain
Isi tersurat dalam petikan antara 8-9 ( calon dikehendaki memilih 6 isi maksimum )


SOALAN CONTOH 1:

Baca petikan dibawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara melahirkan masyarakat berbudi bahasa dan kesan terhakisnya amalan berbudi bahasa dalam masyarakat. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak zaman-berzaman, generasi tua terasuh dengan budaya dan adat sopan yang menitikberatkan nilai-nilai budi dalam setiap perbuatan dan perbualan. Mereka sentiasa meletakkan budi bahasa sebagai pelengkap kehidupan berhemah. Budi bahasa lazimnya merujuk kepada tutur kata, kelakuan dan sopan santun yang meliputi akhlak mulia. Untuk menyuburkan amalan yang mulia ini, kerajaan melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni. Justeru, kesedaran sivik masyarakat umum mestilah ditingkatkan oleh semua pihak untuk melahirkan warganegara yang berhemah tinggi.
Sementara itu, amalan berterima kasih hendaklah disuburkan semula. Alangkah eloknya tradisi dalam masyarakat silam ini diamalkan secara menyeluruh di mana-mana sahaja pada setiap masa. Dalam kehidupan bermasyarakat, nilai kerjasama dan tolong-menolong tidak boleh diabaikan. Amalan ini akan menyemai perasaan hormat-menghormati di samping mengeratkan hubungan sesama anggota masyarakat. Antara amalan harian yang perlu kita lakukan untuk mengembalikan warisan silam itu termasuklah budaya berbahasa yang sopan dan berakhlak mulia.
lbu bapa bertanggungjawab dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak supaya membesar dengan akhlak yang terpuji. Cabarannya hebat kerana ibu bapa kini terhimpit oleh tuntutan kerjaya masing-masing. Pada peringkat sekolah pula, guru-guru perlu mendidik murid mereka supaya berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni kerana banyak masa murid dihabiskan di sekolah. Satu langkah drastik yang dilakukan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia adalah dengan memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Oleh sebab itu, amalan berbudi bahasa wajib kita laksanakan baik di sekolah atau di rumah. Malahan amalan ini perlu dihayati dan diamalkan oleh seluruh rakyat. Dengan perkataan lain, setiap orang bertanggungjawab dalam mengekalkan nilai budi bahasa itu.
Jika hal ini dapat diwujudkan, maka usaha untuk mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 akan berhasil kerana nilai-nilai murni merupakan satu daripada ukuran kemajuan bangsa dan negara. Budi bahasa dan amalan murni tidak dapat bercambah tanpa usaha untuk memupuknya. Rakyat dan kerajaan mesti berusaha beruama-sama untuk mewujudkan masyarakat yang berhemah tinggi dan berbudi bahasa. Untuk tujuan itu, kita perlu ingat-mengingatkan supaya amalan murni yang kian terhakis itu menjadi amalan pada setiap masa. Kempen Budi Bahasa dan Nilai Murni merupakan kemuncak tindakan kerjaan untuk menerapkan amalan mulia ini dalam fikiran, perilaku dan hati budi warganegara Malaysia dalam pelbagai lapisan masyarakat. Kempen ini diharapkan dapat meneguhkan keperibadian dan mempamerkan jati diri dan imej rakyat Malaysia yang positif kepada masyarakat antarabangsa.

Rabu, Januari 13, 2010

KECETEKAN IDEA KETIKA MENJAWAB

Pelajar tidak dapat mengemukakan alasan atau pandangan secara waras apabila ditanya soalan berkaitan satu isu. Hal ini demikian kerana kecetekan akal akibat kurang membaca dan mengikuti perkembangan semasa negara. Contoh kecetekan pendapat tersebut:

Soalan : Cara membantu golongan nelayan.

1. Nelayan kena turun ke laut awal pagi dan balik lambat sikit.
(Ada ke nelayan yang lambat turun ke laut dan balik awal ? . Ada juga nelayan yang sanggup turun ke laut pada musim tengkujuh walaupun berbahaya demi mencari rezeki untuk ahli keluarga.

2. Nelayan menangkap ikan pada hari minggu (Ahad).
(Ada ke nelayan yang bercuti pada hari tertentu? ). Walaupun nelayan bukan bekerja makan gaji, namun mereka amat berdisiplin ketika bekerja. Mereka tidak pernah menetapkan sebarang hari untuk berehat.

3. Nelayan harus menjaga sungai dengan bersih.
(Ada ke mana-mana nelayan yang mengotorkan sungai yang menjadi "periuk nasi" mereka?
(Kalau nelayan jaga sungai, ada ke mana-mana pihak nak beri upah?. Suara nelayan yang memprotes pencemaran sungai ibarat anjing menyalak bukit kerana mereka umpama mentimun dan pihak yang mencemarkan sungai itu umpama durian. Nelayan selalau kalah dalam mempertahankan hak mereka untuk mencari rezeki yang halal menyebabkan hidup mereka sekeluarga terhimpit.

4. Para nelayan harus dihantar ke sekolah agar reti membaca dan memahami situasi ekonomi.
( Ini satu penghinaan kepada golongan nelayan. Walaupun mereka tidak berpelajaran tinggi tetapi pengalaman mereka tidak dapat "dibeli" di sekolah. Pemancing yang terdiri daripada golongan cerdik pandai pun "melutut" kepada tekong laut yang "tidak bersekolah tinggi" dalam usaha mencari lubuk ikan.

5. Sentiasa bersikap maju ke hadapan.
( Ada ke golongan nelayan yang mahu mundur dalam kehidupannya?. Jika diberi peluang yang secukupnya, golongan nelayan tidak pernah menolak untuk mencari pendapatan tambahan. Yang menjadi masalah adalah mereka "dihimpit" dengan pelbagai syarat yang menjerut leher sendiri.

6. Memberi pengetahuan yang lebih mendalam tentang laut.
( Apa maksud "lebih mendalam tentang laut" ?. Ombak besar ke, tukun ke? )

7. Mengurangkan kadar bayaran cukai kepada nelayan.
( Ada ke golongan nelayan yang berpendapatan rendah membayar cukai pendapatan? Cukai yang dibayar memang ada dalam bentuk cukai tak langsung. Contoh: apabila membeli barang makanan, harganya termasuk cukai).

8. Kerajaan hendaklah memandang serius dalam meningkatkan taraf hidup nelayan.
( Bila pulak kerajaan melupakan tanggungjawab untuk membela golongan nelayan bahkan ada skim pencen untuk golongan nelayan ). Banyak agensi kerajaan yang telah menunjukkan kejayaan dalam membela nasib nelayan seperti LKIM, Persatuan Nelayan Kebangsaan dan lain-lain.

Saya mencadangkan agar pelajar jangan "hentam keromo" menjawab soalan berbentuk KBKK. Fikirkan logik dan kesesuaian walaupun kurang pengetahuan. Jangan terlalu menggunakan emosi untuk meluahkan apa sahaja jawaban yang terlintas di fikiran. Belajar berhujah dengan logik dan melihat realiti kehidupan. PELAJAR SEMUA BOLEH.

Isnin, Januari 11, 2010

ANALISIS SOALAN RUMUSAN (2001-2009)

SPM

SKOP SOALAN

NOV 2001

Tanggungjawab penulis

JUN 2002

Peranan Industri Kecil dan Sederhana dalam pembangunan ekonomi negara

NOV 2002

Langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dalam kalangan kakitangan kerajaan

JUN 2003

Langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran moral masyarakat.

NOV 2003

Kepentingan pelabelan makanan

JUN 2004

Masalah yang dihadapi oleh sektor perubatan awam di Malaysia.

NOV 2004

Faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik dan sebab-sebab penubuhannya.

JUN 2005

Cara-cara mengurus tekanan dan kepentingan pengurusan tekanan kepada individu

NOV 2005

Faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan

JUN 2006

Kelebihan kerja berpasukan dan cara-cara pemimpin membentuk kerja berpasukan.

NOV 2006

Cara-cara melahirkan masyarakat berbudi bahasa dan kesan terhakisnya amalan berbudi bahasa dalam masyarakat

JUN 2007

Kepentingan terumbu karang di Malaysia dan kaedah pemuliharaannya

NOV 2007

Tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu kepada negara.

JUN 2008

Faedah membaca dan cara-cara menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

NOV 2008

Faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara untuk menarik minat masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas

JUN 2009

Punca-punca keracunan makanan dan kesan-kesan keracunan makanan..

NOV 2009

Kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur



Sumber: Cikgu Shuhaimi

PENGENALAN RUMUSAN

Arahan rumusan :

1. Sebab/ punca
2. Kesan/ akibat/ implikasi/ natijah
3. Langkah/ cara/ tindakan/ strategi/usaha/ teknik/ modus operandi
4. Faedah/ kelebihan/ manfaat/ kekuatan/kepentingan/ kemaslahatan.
5. Peranan/ fungsi/ tanggungjawab/ tugas/ kewajipan
6. Kekangan/ halangan/ rintangan/batasan/masalah
7. Kelemahan/ keburukan/ kekurangan
8. Ciri-ciri/ sifat-sifat/ kriteria
9. Usul/cadangan/ pendapat/ pandangan


Cara menulis pengenalan rumusan :


1. Petikan memperkatakan......
2. Petikan menyentuh...
3. Petikan berkaitan...
4. Petikan membincangkan...
5. Petikan mengenai...
6. Petikan menerangkan..
7. Petikan menghuraikan..
8. Petikan menjelaskan
9. Petikan tentang.....

MENULIS PENGENALAN RUMUSAN

Banyak pelajar yang masih tidak dapat menulis pengenalan rumusan dengan betul. Terdapat dua cara yang biasa digunakan untuk menulis pengenalan rumusan iaitu :

1. Mengemukakan tema keseluruhan petikan rumusan. (Tema ialah persoalan pokok/ utama).
2. Menggantikan kata kunci/ arahan pertama soalan dengan perkataan sama erti/ sinonim.

Daripada kedua-dua cara tersebut, hampir 90 peratus pelajar menulis pengenalan dengan cara menukar arahan pertama soalan dengan perkataan sama erti.

Contoh :
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur.

Arahan tugasan dalam rumusan :

1. Kepentingan tidur dari segi saintifik ( Isi tersurat )
2. cara-cara mengatasi masalah sukar tidur ( Isi tersirat )

Untuk menulis pengenalan, hanya arahan isi tersurat sahaja digunakan.

Tema : Petikan membincangkan kebaikan tidur dari segi saintifik bagi menjamin kecerdasan seseorang.

Menukar kata kunci "kepentingan" menjadi :
1. Faedah
2. Kelebihan
3. Peranan
4. Keutamaan
5. Keperluan
6. Manfaat
7. Maslahat
8. Mustahak
9. Afdal

Dianggap salah jika menukar arahan menjadi : Kemestian, keistimewaan, fungsi. Jika pelajar mengulang kata kunci "kepentingan" juga mendapat markah 0.

Arahan kedua soalan iaitu cara-cara mengatasi masalah sukar tidur tidak perlu ditulis sebagai pengenalan rumusan.

Jumaat, Januari 01, 2010

DASAR PENGANGKUTAN JALAN PERLUKAN PENAMBAHBAIKAN

Oleh Rejal Arbee

Pengurusan tak seragam dikendalikan 13 agensi punca masalah berlarutan

SETIAP kali berlaku kemalangan ngeri di jalan raya yang mengorbankan banyak nyawa, ramai akan membuat pelbagai syor hingga ada tak munasabah dan boleh pula menyusahkan orang ramai kalau diikuti, hanya kononnya untuk mengelak kejadian serupa dari berulang.

Setiap kali berlaku kemalangan, pelbagai cadangan dibuat termasuk yang terakhir ini, mengharamkan operasi bas ekspres pada waktu malam dan ada pula mahu mengharamkan penggunaan bas dua tingkat. (Kemalangan itu membabitkan bas dua tingkat itu berlaku jam 1.30 pagi).

Elok juga cadangan itu tidak dilayan kerana ia tentu saja akan menyusahkan orang ramai yang bergantung kepada bas ekspres untuk pelbagai keperluan perjalanan mereka.

Dalam tempoh empat tahun sejak 2006, enam kemalangan besar berlaku membabitkan bas ekspres di Lebuh Raya Utara-Selatan yang mengorbankan 52 penumpang dan pemandu. Yang terburuk berlaku pada 15 Ogos 2007 dekat Bukit Gantang mengorbankan 21 orang penumpang dan pemandunya.

Berikutan kemalangan di Bukit Gantang itu, beberapa peraturan diputuskan dalam usaha mengelak berlakunya kemalangan bas ekspres, termasuk menetapkan setiap bas ekspres membawa dua pemandu dengan setiap mereka mesti berehat sekurang-kurangnya selama 15 minit selepas setiap dua setengah jam memandu. Setiap bas ekspres juga harus membawa dua pemandu dengan pemanduan berganti-ganti setiap empat jam memandu.

Selain itu, Kementerian Pengangkutan pula dikehendaki menyimpan rekod keselamatan setiap bas ekspres manakala semua syarikat bas ekspres pula perlu mematuhi kod keselamatan, kesihatan dan persekitaran. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula dikehendaki memeriksa tayar, brek dan enjin setiap bas ekspres di semua 32 terminal bas itu.

Walaupun peraturan ini sudah dikuatkuasakan, kemalangan ngeri terus juga berlaku seperti tragedi terakhir yang meragut nyawa 10 penumpang bas Sani Express pada Sabtu lalu. Jika diteliti, Sani Express Sdn Bhd mungkin satu-satunya syarikat bas ekspres yang mematuhi pelbagai peraturan yang ditetapkan termasuk mengunci had laju pada kadar 90 kilometer sejam dan mempunyai keupayaan keupayaan GPS (sistem pengesanan global) antara lain.

Biasanya pemandu bas akan menjadi sasaran utama kerana cuai, tidak bertanggungjawab dan sebagainya seperti dalam kes ini dengan pemandunya dihadapkan ke mahkamah dua hari lalu atas tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

Orang ramai mengharapkan tindakan terhadap pemandu itu bukanlah tanda segala masalah yang melanda pengangkutan awam sudah selesai. Banyak lagi hal lain yang perlu ditangani.

Sebenarnya setiap kemalangan itu adalah manifestasi terhadap apa yang tidak betul secara keseluruhannya dalam perjalanan sistem pengangkutan awam di negara ini. Selagi perkara ini tidak mahu dilihat dengan menyeluruh � termasuk melihat semula segala selok-belok pengangkutan darat baik perkhidmatan pengangkutan komersial, pelbagai jenis pengangkutan awam, bas, kereta dan kereta api, kenderaan peribadi dan sebagainya - apa pun bentuk tindakan tidak akan dapat menjamin kemalangan ngeri begini tidak akan berulang.

Jadi ia bukan setakat menuding jari kepada pemandu bas itu walaupun masalah ini juga perlu ditangani, khususnya pemandu bas dua tingkat.

Memandangkan nyawa dan keselamatan semua penumpang bas berada dalam tangan pemandu, mereka ini haruslah diberikan pengiktirafan sewajarnya walaupun tidak seperti yang diberikan kepada juruterbang penerbangan awam.

Apa pun mereka ini perlu diberikan latihan secukupnya supaya dilengkapi dengan kemahiran untuk menghadapi pelbagai kemungkinan dalam perjalanan. Ini juga bermakna setiap pemandu itu harus mempunyai segala kemahiran yang diperlukan dan dengan itu diberikan pula imbuhan yang setimpal.

Demikian pula dengan keadaan kenderaan. Ia mesti berada dalam keadaan terbaik dalam serba-serbinya termasuk keadaan enjin, tayar, brek selain menyediakan sistem kawalan termasuk GPS. Ini semua memerlukan kos dan dengan itu syarikat yang mengendalikan perkhidmatan pula perlu memperoleh pulangan sewajarnya supaya boleh terus beroperasi dengan baik.

Bagi menentukan syarikat dapat beroperasi dengan cekap dan baik, persaingan yang wujud harus juga munasabah, tidak sehingga mereka perlu menggunakan pelbagai helah seperti mendapatkan khidmat 'ulat' untuk mencari penumpang atau tidak menyelenggarakan bas dengan baik.

Ini bermakna permit untuk mengendalikan bas ekspres misalnya tidak boleh dikeluarkan secara berleluasa hingga wujud persaingan tidak sihat yang boleh memaksa syarikat mengambil jalan pintas bagi menentukan mereka boleh terus beroperasi dengan mendapat keuntungan.

Dalam pada itu, tambang bas pula ditentukan kerajaan dan ia harus ditetapkan pada kadar munasabah supaya syarikat mendapat pulangan yang membolehkan mereka terus beroperasi. Umum mengetahui pengendalian pengangkutan awam yang mana biasanya mendapat subsidi kerajaan bagi menentukan tambang yang dikenakan tidak melambung. Ini juga perlu mendapat pertimbangan.

Selain itu keadaan jalan raya juga mesti berada dalam keadaan terbaik dan mana-mana kawasan sering berlaku kemalangan dipantau dan kiranya kedudukan jalan boleh menyebabkan kemalangan berlaku ia perlulah segera dibaiki.

Ramai mengetahui bagaimana tidak bersepadunya pelbagai agensi dan jabatan yang dipertanggungjawabkan mengurus dan mengendali segala bentuk keperluan permit, lesen, pengawalan dan penguatkuasaan perjalanan pengang-kutan darat. Ada 13 jabatan dan agensi yang wujud sekarang ini untuk pelbagai macam keperluan pengangkutan darat. Maka tidak menghairankan kenapa tiada usaha atau tindakan bersepadu yang boleh menentukan kelicinan perjalanan pengangkutan jalan.

Juga dikatakan tiada keazaman serius pada peringkat kerajaan untuk menentukan segala macam kehendak pengurusan dan perjalanan pengangkutan jalan disatukan supaya sistem yang tidak bersepadu dan bercelaru ini boleh dimansuhkan.

Kini sebuah lagi agensi akan diwujudkan, iaitu Suruhanjaya Pengangkutan Jalan yang tugasnya ialah untuk menyelaraskan berbagai aspek keperluan pengangkutan jalan. Apa yang dikhuatirkan ialah wujudnya satu lagi rintangan yang boleh mengusutkan lagi pengurusan pengangkutan jalan.

Ramai mengetahui bagaimana bila adanya sesuatu peraturan tambahan ia seolah-olah memberikan satu lagi jalan untuk penjawat awam menyusahkan perusahaan pengangkutan dan orang ramai. Sepatutnya penjawat awam memberikan khidmat telus dan terbaik kepada orang ramai bukannya untuk menyusahkan hingga ada pihak terpaksa pula melakukan sesuatu untuk melicinkan usaha mendapat khidmat.

Apa yang dikehendaki sebenarnya ialah dasar menyeluruh merangkumi segala keperluan pengangkutan jalan baik di bandar mahupun luar bandar bagi me-nentukan rakyat boleh menikmati satu sistem pengangkutan jalan yang bersepadu baik untuk pengangkutan awam mahu pun pengangkutan peribadi.

Ia harus merangkumi segala aspek pengangkutan jalan termasuk usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas, menyediakan sistem pengangkutan awam yang berintegrasi lagi cekap, selamat dan boleh diharapkan.

Maknanya, dasar yang hendak diadakan mesti juga merangkumi Dasar Automotif Nasional. Tiada gunanya diadakan satu Dasar Pengangkutan Jalan tanpa melihat implikasi menggalakkan rakyat memiliki kereta sendiri.

Sumber: Berita Harian

MAHASISWA UiTM TAK WAJAR MERUNGUT HADAPI SUBJEK SUKAR

SAYA ingin merujuk kepada surat pembaca bertajuk, 'Ubah silibus CSC125 jejas gred pelajar' daripada seorang mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang disiarkan kelmarin. Sebagai seorang mahasiswa yang menuntut dalam bidang Kejuruteraan Awam, adalah terang-terangan beliau merungut apabila pihak UiTM mengubah sukatan subjek kod CSC125. Saya adalah bekas produk Universiti Malaya dalam pengkhususan kejuruteraan perisian dan sudah pun bekerja.

Bagi saya, adalah amat menjengkelkan bagi seseorang mahasiswa itu merungut apabila gagal dalam subjek tertentu ataupun mengalami kesukaran serta putus asa ketika menghadapi peperiksaan. Tambahan pula, adalah amat memalukan bagi seorang penuntut dalam bidang profesional seperti kejuruteraan awam yang memerlukan kefahaman mendalam dalam reka bentuk, pembinaan, geoteknikal, kejuruteraan struktur, hidrologi, sains material dan lain-lain lagi ilmu yang akan melayakkan beliau bergelar seorang jurutera.

Dalam usaha untuk bergelar negara maju setaraf dan mungkin lebih baik dari Amerika Syarikat, Jerman, Itali atau Jepun , negara kita tidak dapat menanggung risiko untuk menghasilkan graduan kejuruteraan yang tidak berpengetahuan, kurang kesungguhan, tidak berkredibiliti dan paling kita tidak mahu, adalah malas.

Pembinaan tamadun Malaysia bergantung kepada ilmuwan bergelar mahasiswa yang dihasilkan institusi pendidikan tinggi di negara ini. Bagi saya tidak perlu seseorang mahasiswa itu merungut dalam kesukaran dihadapi ketika menimba ilmu sehingga digembar-gemburkan dalam media kerana ia amat memalukan jurutera lain yang bertungkus-lumus memajukan Malaysia.

MOHAMMAD SHAFIQ SOHOT,
Kuala Lumpur.

MEMPERKUKUH SINAR BAHASA KEBANGSAAN

Oleh ARIF ATAN

PADA ketika kita teruja untuk memandang dan mara ke hadapan menjelang tahun baru 2010 tidak harus kita lupa untuk menoleh belakang. Memandang ke hadapan tanpa menoleh ke belakang hanya akan menyebabkan kita tersadung jatuh mengulang kesilapan silam.

Itulah sebabnya, dalam kita serius memperkatakan aspek ekonomi dan kemajuan negara, hal melestarikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa jiwa bangsa Malaysia tidak harus dipinggirkan.

Bermula dari Perdana Menteri hingga ke peringkat rakyat semuanya perlu sepakat meletakkan agenda mengangkasa bahasa kebangsaan sebagai keutamaan nombor satu.

Usaha rakyat Malaysia yang dikenali sebagai R. Malavzhi bersama suaminya, David Lear seorang rakyat Kanada mengendalikan Radio Kampungku dengan menyiarkan lagu-lagu dan temu bual bersama pendengar dalam bahasa Melayu amat dipuji dan patut dicontohi.

Malah, kepetahan David atau Daud berbahasa Melayu patut mencabar rakyat Malaysia yang masih lemah penguasaannya dalam bahasa kebangsaan. Tidak terkecuali segelintir perwakilan di Dewan Parlimen yang begitu lemah berbahasa kebangsaan!

Dalam masa yang sama, kemerosotan calon yang memperoleh gred A bagi subjek Bahasa Melayu dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diumumkan baru-baru ini juga perlu diberi perhatian serius.

Adakah penurunan daripada 26.3 peratus tahun 2008 kepada 25.6 peratus tahun ini hanya kemerosotan "tidak ketara" yang cuma dipandang sebelah mata?

Beralih pula kepada penerbitan filem tempatan sepanjang tahun 2009. Sebanyak 26 buah filem telah ditayangkan dengan jumlah penonton sehingga awal Disember mencecah lebih 5 juta orang dan kutipan tiket berjumlah kira-kira RM50 juta.

Persoalannya, sejauh mana kuantiti yang dikatakan oleh penggiat filem di tanah air ini sebagai memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya juga berkualiti dalam menyumbang kepada pemerkasaan bahasa kebangsaan?

Ini memandangkan filem adalah antara agen budaya popular yang membentuk pemikiran, budaya dan jati diri rakyat negara ini. Masyarakat boleh 'rosak' jika sebahagian filem tempatan sarat dengan nilai buruk dibumbui dengan bahasa rojak dan penggunaan bahasa Melayu rendah.

Begitu juga dengan amalan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan seperti mesyuarat, ucapan, perbincangan pentadbiran, surat-menyurat, minit mesyuarat, memo, laporan, kertas cadangan, pekeliling dan sebagainya.

Adakah Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 iaitu Langkah-langkah Memperkasakan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam benar-benar diterjemahkan dalam segala urusan rasmi di sektor awam sepanjang tahun ini?

Mengapa pula penggunaan bahasa asing di tempat awam seperti pada kain rentang, papan tanda, iklan dan premis perniagaan dilihat lebih menonjol berbanding bahasa kebangsaan dari segi saiz dan warna?

Adakah peranan membudayakan bahasa kebangsaan hanya terpikul di pundak Kementerian Pelajaran atau Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan semata-mata?

Tahun baru 2010 diharap menjanjikan sinar yang bergemerlapan buat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mengepalai ilmu, komunikasi dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia.

Sumber: Utusan Malaysia

BELAJAR DARIPADA PLUS

SERING diperkatakan bagaimana teruknya keadaan jalan raya dan tahap kebersihan termasuk di tandas-tandas awam di Kuala Lumpur.

Saya ingin syorkan supaya pihak pengurusan Dewan Bandararaya Kuala Lumpur (DBKL) dan majlismajlis perbandaran lain mempelajari daripada pihak pengurusan PLUS bagaimana mengurus jalan raya dan menjaga kebersihan di kawasan pengurusan mereka.

Selama bertahun-tahun kita menggunakan lebuh raya yang dikendalikan oleh PLUS. Kita dapati lebuh raya tersebut diselenggara dan diuruskan dengan cukup baik oleh pengurusan PLUS. Jarang kita lihat lebuh rayanya rosak.

Begitu juga dengan tahap kebersihan di lebuh raya, lereng bukit di kiri dan kanan lebuh raya, tandas dan tempat rehat semuanya indah dan bersih. Cara pengurusan gerai di RnR cukup teratur dan disiplin dengan pekerjanya sentiasa berunifom.

Saya mencadangkan kakitangan atau pengurusan PLUS dipinjamkan ke DBKL atau majlis perbandaran tempatan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mengenai sistem pengurusan, penyelenggaraan juga budaya kerja mereka.

WARGA KOTA PRIHATIN

Sumber: Utusan Malaysia

TARIKH PEPERIKSAAN AWAM 2010

KUALA LUMPUR 31 Dis. — Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan 21 hingga 23 Sept. tahun depan sebagai tarikh Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), manakala 5 hingga 12 Okt. tahun depan sebagai tarikh peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu kenyataan di sini berkata Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berlangsung pada 22 Nov. hingga 16 Dis. tahun depan dan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) pada 22 dan 23 Jun tahun depan.

Katanya, peperiksaan lisan Sijil Tinggi Pelajaran Agama Malaysia (STAM) akan diadakan pada 12 hingga 23 Julai, manakala peperiksaan bertulis pada 18 hingga 27 Okt. tahun depan.

"Tarikh tersebut mengambil kira keperluan cuti bagi perayaan-perayaan utama seperti Hari Raya Puasa, Hari Malaysia, Deepavali, Hari Raya Haji dan Awal Muharam sepanjang tempoh peperiksaan,” katanya. - Bernama

Template by:
Free Blog Templates