Sabtu, November 28, 2009

KERAJAAN SELANGOR HARAMKAN BTN

25/11/2009
Utusan Malaysia

Selangor haramkan kursus BTN

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

SHAH ALAM 25 Nov. - Selangor hari ini mengeluarkan arahan melarang mana-mana pelajar institusi pengajian, kakitangan awam termasuk anak-anak syarikat yang terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri itu mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) berkuat kuasa serta-merta.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali berkata, arahan itu dibuat kerana menuduh kursus berkenaan merupakan antara usaha Barisan Nasional (BN) untuk melakukan proses doktrinisasi bagi memupuk sifat perkauman dan didakwa boleh memecahbelahkan rakyat di negara ini.

Katanya, antara institusi pengajian milik kerajaan negeri yang tertakluk kepada arahan itu yang diputuskan dalam mesyuarat Exco hari ini ialah Universiti Industri Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Antarabangsa Inpens serta Institut Kemahiran Yayasan Selangor (IKYS).

Selain itu katanya, anak-anak syarikat kerajaan negeri yang turut diarahkan tidak mengikuti kursus BTN itu antaranya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) serta Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB). -

ARKIB : 09/09/2009
1Malaysia komponen kursus BTN


MELAKA 8 Sept. – Konsep 1Malaysia akan menjadi salah satu program penting kursus Biro Tata Negara (BTN).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan berkata, ia akan digerakkan secara lebih meluas selepas Hari Raya Aidilfitri ini di 16 kem BTN serta 80 buah kem swasta.

Beliau telah menemui tenaga pengajar dan jurulatih BTN bagi menjelaskan mengenai kepentingan dan keperluan komponen gagasan 1Malaysia menjadi salah satu program untuk kursus anjurannya.

‘‘Kita sudahpun memulakan program ini di beberapa kem BTN cuma ia tidak diumumkan sebelum ini, namun pelaksanaan secara menyeluruh akan lebih rancak selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” ujarnya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Wacana 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di sini hari ini.

Kira-kira 500 peserta dari sektor awam, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghadiri wacana sehari itu yang berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

ARKIB : 23/11/2009
Biro Tata Negara bukan alat penyebar sentimen perkauman


KOTA KINABALU 22 Nov. - Kursus Biro Tata Negara (BTN) bukan dijadikan alat menyebar sentimen perkauman sebaliknya untuk menanam semangat patriotisme dan cintakan negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, peranan BTN adalah selari dengan gagasan 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan dan nilai-nilai patriotik.

"BTN adalah untuk memupuk semangat patriotisme dan cintakan negara. Ini bersamaan dengan konsep yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ia juga bertujuan untuk tanamkan nilai-nilai murni agar dijadikan amalan. Jadi fahamkan maksud dan dasar-dasar negara," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Penutupan Bengkel 1Malaysia di Hotel Tang Dinasti di sini hari ini.

Beberapa pemimpin pembangkang di Selangor sebelum ini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pengisian kursus BTN yang dikatakan cuba menanam sentimen tersebut.

Menurut pemimpin terbabit, program itu tidak berkaitan dengan usaha pemupukan nilai-nilai kenegaraan atau penyebaran ilmu tetapi menjurus kepada program politik UMNO.

Ahmad menjelaskan, kursus tersebut amat penting dalam menyemarak semangat untuk membina negara bangsa untuk jangka panjang.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menggesa rakyat agar menghayati lapan nilai yang menjadi teras 1Malaysia sebagai asas membina satu bangsa.

Katanya, persamaan yang ada perlu dikukuhkan dan pada masa yang sama mesti berlapang dada menerima perbezaan sesama mereka dalam mempertahan ciri-ciri kenegaraan.

"Inilah yang perlu kita akui, walaupun kita bersifat pelbagai, kita masih ada persamaan terhadap nilai-nilai yang kita kongsi bersama," katanya.

Musa berkata, negara ini sentiasa berdepan dengan cabaran-cabaran yang mungkin menggugat perpaduan rakyat berbilang kaum dan kewujudan itu umpama api dalam sekam.

"Kita perlu belajar daripada sejarah, malah ada ahli falsafah yang mengatakan jika kita tidak belajar daripada sejarah kita akan disumpah mengulanginya," katanya.


ARKIB : 27/11/2009
BTN: Dr. Halimah perlu tanya Anwar, Hassan layak menjawab


KUALA LUMPUR 26 Nov. - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali merupakan individu yang paling layak menjawab persoalan sama ada kursus Biro Tata Negara (BTN) itu relevan atau tidak kerana mereka pernah terlibat dalam menerajui kursus itu.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Mustapha Ishak berkata, Hassan Ali pernah menjawat sebagai Timbalan Ketua Pengarah BTN, manakala Ketua Pembangkang itu pula pernah terlibat dengan BTN ketika berada dalam kerajaan suatu ketika dahulu.

"Sehubungan itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali itu sepatutnya tanyalah sendiri mereka berdua, kalau mereka kata BTN perkauman bermakna mereka juga perkauman.

"Mereka dulu pun jalankan tanggungjawab yang sama iaitu membangunkan BTN, saya rasa BTN dulu dengan sekarang tiada beza, sama sahaja, suruh sahaja mereka jawab," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Kerajaan Selangor yang memutuskan untuk melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri Selangor daripada mengikuti kursus BTN kerana mendakwa kursus itu merupakan proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman.

Mohd. Mustapha berkata, beliau percaya kerajaan negeri sebenarnya mahu mewujudkan program mereka sendiri sebagai proses doktrinisasi berdasarkan selera pakatan pembangkang.

"Langkah mereka itu tidak bertanggungjawab dan bersifat liar, mereka sengaja mahu memburukkan agensi kerajaan dan bermotifkan politik semata-mata," kata beliau.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Selangor, Mohd. Faizal Mohd Salleh menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu seperti mahu menjadikan BTN sebagai 'kambing hitam' dalam menutup kelemahan mereka.

Kata beliau, pakatan pembangkang berharap dengan menimbulkan isu itu ia menagih simpati daripada masyarakat.

Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan pula berkata, Kerajaan Negeri Selangor takut kepada Kerajaan Persekutuan apabila mendapati BTN berjaya memberi kesedaran kepada kakitangan awam di Selangor.

TAMBAHAN :
Teringat satu ungkapan yang berbunyi.... seekor musang yang pergi menjaja kononnya buah anggur masam kerana musang itu tak dapat makan buah anggur tersebut.

Jumaat, November 20, 2009

SOALAN PEMAHAMAN 2(a)(b)

CADANGAN JAWABAN PERIBADI

Soalan 2(b)(i)
Berikan dua perlakuan Abang Awi yang menunjukkan dia ingin mengambil hati Zel.

ANALSIS : SOALAN KONTEKS : Isi jawaban diambil daripada petikan yang diberi.

Cadangan jawaban :
Dipetik daripada perenggan satu

1. Sempat mencium tangan mama
2. Berjanji untuk menghantar Zel pulang tidak lewat daripada jam 11.00 malam

Jawaban lengkap:
Dua perlakuan Abang Awi yang menunjukkan dia ingin mengambil hati Zel ialah dia sempat mencium tangan mama dan berjanji untuk menghantar Zel pulang tidak lewat daripada jam 11.00 malam.

Soalan 2(b)(ii)
Sekiranya anda Abang Awi, nyatakan tiga tindakan yang akan anda ambil untuk memujuk Zel supaya tidak terus memarahi anda.

ANALISIS : SOALAN KBKK : Isi jawaban melalui pembacaan dan pengetahuan sedia ada.

Cadangan isi :
1. Meminta maaf dengan segera.
2. Menjelaskan maksud sebenar (tersirat) daripada apa yang dikatakan supaya Zel tidak tersalah faham
3. Mengajak Zel minum atau makan untuk meredakan kemarahannya
4. Menasihati Zel supaya bertenang dan tidak beremosi tinggi
5. Mendengar penjelasan Zel dengan teliti/ tidak memotong cakap Zel/ beri peluang untuk Zel meluahkan emosi.
6. Menghubungi mama dan papa untuk meminta bantuan/ menjadi orang tengah

Dicatat oleh Cikgu Abd Razak Bin Hassan di 16:17 1 ulasan Pautan pada catatan ini

SOALAN PEMAHAMAN (2a)

CADANGAN JAWABAN PERIBADI

2(a)(i) Berikan maksud rangkai kata keadaan yang merimaskan.
Cadangan isi :

Keadaan - Suasana (di sekitar sesuatu tempat):

Yang merimaskan - menyebabkan tidak enak (tidak nyaman, tidak senang, dll), mengganggu (fikiran), merunsingkan: - Kamus Dewan Edisi Keempat

Jawaban cadangan :
1. Suasana yang menyebabkan tidak enak.
2. Suasana yang menyebabkan tidak nyaman.
3. Suasana yang menyebabkan tidak senang
4. Suasana yang menganggu fikiran
5. Suasana yang merungsingkan fikiran

Ayat lengkap :
Maksud rangkai kata keadaan yang merimaskan adalah suasana yang menyebabkan tidak enak.

Soalan 2(a)(ii)
Pengarang mengemukakan beberapa kesan yang dialami jika seseorang tidak mendapat tidur yang secukupnya. Nyatakan tiga daripada kesan tersebut.

Analisis : Soalan konteks (isi jawaban dipetik daripada petikan).


CADANGAN ISI YANG DIPETIK DARIPADA PETIKAN RUMUSAN.

Jika seseorang tidak mendapat tidur yang secukupnya :

1. Menyebabkan proses penyimpanan maklumat terganggu.
2. Mengakibatkan tumpuan seseorang dalam membuat keputusan dan perancangan terjejas.
3. Ada kaitan dengan kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan di jalan raya
4. Mengalami tekanan dan
5. Melemahkan ketahanan badan sehingga menyebabkan mudah dijangkiti penyakit.
6. Menjejaskan pusingan biologi seseorang.

Soalan 2(a)(iii)
Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan seseorang menghadapi masalah sukar tidur ?
Kemukakan empat punca.

Analisis : SOALAN KBKK. Isi jawaban berdasarkan pembacaan dan pengalaman. Tidak dibenarkan memetik apa-apa isi daripada petikan.

PUNCA MESTI DIBERI DARI SUDUT YANG BERBEZA.
1. Menghadapi masalah tekanan perasaan/ ketegangan di rumah/ di tempat kerja.
2. Perubahan hormon dalam badan
3. Faktor perilaku, seperti penggunaan yang salah terhadap kafein, alkohol,melakukan aktiviti pada waktu malam
4. Tidur berlebihan pada waktu siang atau petang.
5. Gangguan tidur secara berulang atau tidak teratur
6. Lingkungan yang bising seperti lingkungan lintasan pesawat jet, lintasan kereta api,
7. Gangguan makhluk halus
8. Persekitaran yang tidak selesa- rumah bersaiz kecil dengan ahli keluarga yang ramai.
9. Terlalu tekun bekerja/ kerja sebagai prioriti utama.

Dicatat oleh Cikgu Abd Razak Bin Hassan di 15:29 0 ulasan Pautan

Khamis, November 19, 2009

SPM 2009(N) KERTAS 2 : SOALAN 1

CADANGAN JAWABAN PERIBADI

SOALAN 1 :RUMUSAN

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melehihi 120 patah perkataan.

Pernahkah sekali-sekala anda berasa otak lebih lembap dan sukar untuk berfikir? Pernahkah anda mengalami keadaan yang merimaskan terutama apabila sukar memberikan tumpuan kepada kerja ataupun pelajaran? Kajian menunjukkan bahawa masalah sukar menumpukan perhatian dan kelembapan otak ini ada kaitannya dengan faktor tidur.
Setiap orang memerlukan masa tidur yang berbeza mengikut umur, tahap kesihatan dan aktiviti hariannya. Misalnya, golongan remaja memerlukan tidur antara enam hingga lapan jam sehari. Tidur yang paling berkualiti ialah tidur pada waktu malam. Tidur amat penting bagi melancarkan proses metabolisme karbohidrat di dalam badan. Melalui proses ini, badan seseorang mengeluarkan hormon pertumbuhan yang berfungsi untuk membaiki sel-sel yang rosak. Kajian mendapati bahawa tidur yang cukup mampu meningkatkankeupayaan untuk belajar dan membantu dalam memelihara daya ingatan seseorang. Selain itu, proses penyimpanan maklumat di dalam otak juga berlaku semasa tidur. Oleh itu, mereka yang sering tidur lewat, seperti murid yang mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam, akan menyebabkan proses penyimpanan maklumat terganggu. Kurang tidur juga mengakibatkan tumpuan seseorang dalam membuat keputusan dan perancangan terjejas. Menurut kajian, kebanyakan kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan di jalan raya ada kaitannya dengan tumpuan yang terganggu akibat faktor kurang tidur.
Tidur memantapkan sistem ketahanan dalam badan seseorang. Hal ini demikian kerana seseorang yang tidur kurang daripada kadar biasa akan mengalami tekanan dan melemahkan ketahanan badan sehingga menyebabkan mudah dijangkiti penyakit. Menurut pakar, badan kita mempunyai pusingan biologi yang tetap. Pusingan biologi ini aktif pada waktu siang dan kurang aktif pada waktu malam. Oleh itu, bagi memulihkan pusingan biologi dalam badan, kita perlu tidur secukupnya. Tidur yang tidak mencukupi akan menjejaskan pusingan biologi seseorang.
Selain tidur pada waktu malam, amalan tidur seketika pada waktu tengah hari dapat menyegarkan tubuh badan, sekali gus meningkatkan produktiviti. Kajian juga menunjukkan bahawa tidur secara rutin selama 30 minit pada waktu tengah hari dapat mengurangkan risiko sakit jantung. Walau bagaimanapun, seseorang tidak digalakkan tidur selepas matahari terbit dan pada waktu lewat petang. Hal ini demikian kerana menurut pakar, tidur pada waktu-waktu tersebut boleh menjejaskan kesihatan. Tidur yang cukup pada waktu yang sesuai merupakan komponen penting bagi mendapatkan kesihatan yang baik.

(Dipetik dan diubah suai daripada `Tidur dari Segi Saintifik' oleh Danial Zainal Abidin, Dewan Kosmik, Februari 2007)

Cadangan pengenalan rumusan

Petikan membincangkan kelebihan/ faedah/ kebaikan/ manfaat tidur dari segi saintifik.
Ulang perkataan kepentingan = 0 markah


Cadangan isi tersurat : kepentingan tidur dari segi saintifik.
[ Calon wajib mengambil semua isi daripada petikan ]

1.Tidur amat penting bagi melancarkan proses metabolisme karbohidrat di dalam badan.

2.Tidur yang cukup mampu meningkatkan keupayaan untuk belajar dan

3.Tidur dapat membantu dalam memelihara daya ingatan seseorang.

4.Tidur memantapkan sistem ketahanan dalam badan seseorang.

5.Tidur dapat memulihkan pusingan biologi dalam badan.

6.Tidur dapat menyegarkan tubuh badan,

7.Tidur dapat meningkatkan produktiviti.

8.Tidur dapat mengurangkan risiko sakit jantung..

9.Tidur merupakan komponen penting bagi mendapatkan kesihatan yang baik.

Cadangan isi tersirat : Cara-cara mengatasi masalah sukar tidur
[ Calon tidak boleh mengambil mana-mana isi daripada petikan ]

1.Jangan mengambil minuman yang mengandungi kafein seperti kopi.

2.Mendapatkan khidmat kaunseling daripada kaunselor profesional jika mengalami masalah stres.

3.Mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersukan.

4.Mendapatkan ubat-ubatan yang disyorkan oleh pakar perubatan.

5.Elakkan daripada menonton televisyen hingga larut malam.

Kesimpulan :
Semua orang perlu tidur secukupnya agar dapat melahirkan individu yang sihat dari segi fizikal dan mantap dari segi emosi dan mental.

Rabu, November 18, 2009

SEGALA PUJIAN UNTUK ALLAH S.W.T

Segala puji-pujian untuk Allah s.w.t yang memakbulkan doa kita semua. Alhamdulillah ada beberapa tajuk yang menepati seperti dianalisiskan. Iaitu :

1. Karangan rangsangan - faedah kegiatan unit beruniform
2. Peranan ibu bapa membentuk anak menjadi insan yang berguna
3. Pemanasan global
4. Ulasan karya (yang keluar adalah novel)- pengajaran

Tak sia-sia usaha saya pada hari Isnin (16/11/2009) membacakan senarai peribahasa dalam buku teks T4 dan T5 kepada anak buah saya (Tingkatan 5ICT) yang duduk bercerotok mengelilingi saya umpama mendengar hikayat seribu satu malam. Lalu saya tanyakan dan kemudian jelaskan maksudnya satu demi satu. Kemudian saya sebut lagi skop ulasan karya sastera belum masuk lagi..mungkin tahun ni ada. Dan..alhamdulillah ada anak buah yang beranikan diri jawab soalan itu. Yang lain-lain tu menjawab soalan nombor satu. Itupun sudah berbuih mulut saya menjelaskan..jika soalan bertanya peranan ibu bapa maka jawabnya ..ibu bapa perlu..ibu bapa perlu... selain ibu bapa jangan masukkan. Saya yakin dan optimis mereka akan dapat markah yang memuaskan dalam kertas 1. Petang ini perjuangan akan diteruskan. Mudah-mudahan apa yang dianalisiskan akan keluar. Dengar khabar angin (saya belum lagi lihat soalan sepenuhnya ketika menulis bahan ini), sajak ANAK LAUT yang dijangkakan keluar memang KELUAR PUN.. cuma soalannya mungkin sama atau tak sama dengan latihan yang diberi. Moga-moga tahun ini keputusan akan bertambah baik. Insyaalah.

PERIBAHASA YANG SESUAI.

KARANGAN BAHAN RANGSANGAN
SPM 2009 (N) - Faedah menyertai kegiatan unit beruniform

Berikut adalah peribahasa yang terdapat dalam buku teks tingkatan 4 dan 5 yang sesuai digunakan dalam penulisan karangan bahan rangsangan :

1. Bulat air kerana pembetung, bulan manusia kerana muafakat.
2. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
3. Meninggi diri.
4. Baik hati.
5. Tulang belakang.
6. Bara yang digenggam perlu jadi arang
7. Tangan kosong
8. Melentur buluh biar dari rebungnya
9. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
10. Rendah diri
11. Terang hati
12. Bagai aur dengan tebing
13. Indah khabar dari rupa.
14. Bukit sama didaki, lurah sama dituruni.
15. Memerah otak
16. kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
17. Cari jalan
18. Anak buah
19. Batu penghalang
20. Tuan rumah

Peribahasa ini boleh dimasukkan ke dalam mana-mana perenggan isi karangan iaitu :

1. Aktiviti fizikal dan lasak yang membentuk ketahanan fizikal dan mental
2. Pembahagian kerja dalam aktiviti perkhemahan yang membentuk hubungan interpersonal dan semangat kerjasama serta disiplin diri yang tinggi
3. Asas kemahiran memberi pertolongan cemas yang dapat memberi input atau pengetahuan asas untuk memberi bantuan pada waktu kecemasan.

BAHASA MELAYU (K1) SPM(N) 2009

KARANGAN BAHAN RANGSANGAN

Gambar di bawah menunjukkan sebahagian daripada aktiviti badan beruniform yang terdapat di sekolah serta faedahnya. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah yang diperoleh apabila kita menyertai badan beruniform



























KARANGAN RESPONS TERBUKA
Bahagian B
[100 markah]
[Masa dicadangkan : I jam 30 minit]


Pilih satu daripada soalan di bawah dan tulis sebuah karangan yang panjangnya lebih daripada 350 patah perkataan.

1 Ibu bapa sentiasa mengharapkan anak-anak mereka menjadi insan yang berguna.

Bincangkan usaha-usaha yang wajar dilakukan oleh ibu bapa untuk memastikan harapan mereka itu tercapai


2 Aktiviti bercucuk tanam untuk keperluan harian di sekitar kawasan rumah seperti
penanaman cili, serai dan sayur-sayuran perlu digalakkan dalam kalangan masyarakat.

Huraikan kebaikan-kebaikannya.

3 Pengetahuan tentang sejarah penubuhan negara kita amat penting difahami oleh setiap rakyat demi memupuk rasa cinta akan negara.

Jelaskan pernyataan di atas.

4 Pemanasan global telah menjadi isu antarabangsa. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah `Kesan Pemanasan Global terhadap Bumi dan Hidupannya'.

Tulis rencana itu selengkapnya.

5 Anda telah membaca sebuah novel yang mengandungi banyak pengajaran.

Berdasarkan novel tersebut, jelaskan pengajaran-pengajaran yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan kita.

BAHASA MELAYU SPM 2009

Soalan Bahasa Melayu SPM boleh dimuat naik apabila peperiksaan kertas tersebut tamat.

Soalan K1

Soalan K2

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN SPM

Saya mengucapkan selamat menjawab soalan peperiksaan kepada pelajar-pelajar dari seluruh negara. Semoga apa yang dipelajari daripada guru , dibincangkan dalam blog ataupun dari sumber apa sekalipun akan memberi manfaat kepada anda semua. SEMOGA APA YANG KITA SEMAI, MAKA ITULAH YANG AKAN KITA TUAI. Saya mendoakan kejayaan untuk seluruh anak murid di SMK Sri Tebrau, Johor Bahru dan di seluruh negara.

Rabu, November 11, 2009

PECUTAN AKHIR KOMSAS

Alhamdulillah setelah mempunyai kelapangan saya kembali menyiarkan bahan pecutan akhir KOMSAS untuk ulang kaji aktif menjelang peperiksaan SPM. Ditegaskan bahawa latihan ini BUKAN SOALAN RAMALAN. bahkan pelajar perlu mengulang kaji semua teks yang digunakan. Saya berharap bahan yang saya paparkan dapat memberi manfaat kepada rakan guru dan pelajar yang tidak pernah mengalah dalam perjuangan hingga ke titik terakhir. Semoga apa yang kita semai, maka itulah yang akan kita tuai. Bahan yang dipaparkan hanya untuk perkongsian ilmu dan diminta tidak mengambil/ menciplak untuk tujuan komersial/ peribadi.

Sila klik di sini untuk ke blog pecutan akhir.

Template by:
Free Blog Templates