Khamis, Februari 26, 2009

TIADA BUDI BAHASA

INILAH PENULISAN ORANG ISLAM BALIK SANA (BUDAK IPOH TIMUR).
2 comments
kebiNet BaruAaa mAmAk paSemboQ…
Posted in politik by shamsuleffendey on February 11th, 2009

Smalam dh berlangsung acara angkat sumpah Exco baru kerajaan haram BN Perak. Kesian org Perak ni. Dapat mamak jadi MB. Kontra betul bila bersama Sang Sultan. Sorang putih melepak, sorang hitam berkilat. Cam taik cicak jek. Hua hua huaaaa.. Padankan muka kome. Dah itu yang kome nak. Lantakkann. Lagipun yang nak dapat malu nanti bukan patik, tapi tuanku sultan jugak kan?

Hanya 6 je yang sangkut jadik Exco. 3 lagi dilantik jadi penasihat Mamak Barua (MB). Yang peliknya ada nama feberet sepatutnya sangkut x sangkut, yng x disangka sangkut lak naik. Memang bergegar la nanti kerajaan haram ni nanti. Aku menjangkakan Najmuddin Elias naik jadi Exco Agama haram, melihatkan keilmuannya cenderung kearah itu. Tapi rupa2nya disapu bos sendiri. Mungkin nk bersihkan pengaruh Tajol dalam kerajaan haramnya tu kot. Kan Najmuddin pernah jadi setpol Tajol dulu.

La ni aku dapat tahu dia dah majuk. Dak mau kene pujuk dek sesapa. Dok caye kat sesapa. Hanya ALlah je yang dia caya skang nih kata kenalan aku. Ntahlah kot dia nak Hj Nizar, MB Perak yang pujuk. InsyaALlah stakat Exco Agama leh diberikan ruang rasanya. Lagipun dia memang layak berbanding mamak pangkor tu dalm menguruskan hal-hal berkaitan agama ni. Tup-tup arinih dia dilantik jadik penasihat kepada Mamak Barua (MB) berkaitan hal-hal agama. Haha setarap HAMAN (mid osman) je la ko ni Najmuddin. Ada x menambah, xde pun x mengurang. Lagipun leh ke ko nak lawan power tok peti Harus sesaja tu? Dia lagik power beb. Dapat cium pipi lagik ngan mamak barua (MB) tu. Kompom masa bercium pipi tu Mamak Barua(MB) tu bisik kontrak tok peti dia sambung lagi. Kompom la. Bukan x tau tok peti kaki penjilat tu. Kalau ada maruah, ko tolak je la. Buat malu kume jeeee… tapi ape nak heran kan? Tuanku yang berminat. Lagipun yang dapat malu nanti bukan patik, tapi tuanku sultan jugakkan?

Hamidah pun nama yg x disangka2 naik. Dia menjadi ketua wanita UMNO Gopeng pun hasil dari tipu muslihat. Dia ni dah ditolak oleh warga Rapat Setia. Dengar kata dia dapat tau dilantik jadi Exco jam 2.30 pg smlm. Means lum tido lagi. Menanti tilikan tok nujum. Korang tunggu je la. Ntah camne mamak barua (MB) tu leh lantik dia jadik Exco kanan x tau la. Jaga hal ehwal pelaburan lak tu. Tapi apa sangat yang dia boleh buat utk tarik pelaburan masuk ke Perak? Nak mtk tlg Opah Pidah ke? Iskkk x gunala hang duk situ. Opah Pidah tu pun nunggu hari nak kena tendang dari kebinet Najis tuh. Hua hua huaaaa… memang cantekkkk. Yang aku leh kompom, xkn ada pelaburan yang masuk dari negara India hasil dari pepatahnya dalam sidang DUN dulu. Biarkan. Lagipun yang dapat malu nanti bukan patik, tapi tuanku sultan jugak kan?

Ramly Zahari sekadar mencukupkan kuota Exco haram Mamak Barua (MB). Pertamanya dia nih ADUN Manong, dalam Parlimen Kuala Kangsar. Nak jaga hati tuanku Sultan la. Kan Kuala Kangsar tu terletaknya singgahsana sultan. Yang keduanya dia nih orang lama dalam pentadbiran. Kalau korang lihat, Exco lain tu suma budak hingusan. Mana boleh Mamak Barua (MB) ni nak bertahan dalam sidang DUN akan datang. Selain dari kedua-dua sebab tu, aku yakin Mamak Barua (MB) tu xkan pilih Ramly nih. So no hal la kalau dia x terlantik duduk dalam Exco Kanan kerajaan haram ni. No wonder la time sidang media selepas perlantikan Exco ni dia menghilangkan diri. Sedih la kot. Hik hik hik… Lantak tuanku la. Lagipun yang malu nanti bukan patik, tapi tuanku sultan gak kan?

Paling menarik hari ini bila kabinet Mamak Barua (MB) ni melantik 4 orang penasihat MB. 2 ekoq UMNO tu ok la kot sbb menang PRU aritu. Ni hat yang kalah pn kena lantik gak. Setaraf Exco lak tu. Dapat kete baruaaaa suma. Haha… Apela yang orang kalah ni leh nasihatkan Mamak Barua (MB) ni melainkan untuk menerima hakikat akan kalah sikit masa lagik.

Pastu MIC mintak jawatan speaker lak sbb xde calon diorang dalam kabinet haram Mamak Barua ni. Haha UMNO menang semua, tapi leh kongsi2 kuasa lak ngan india? Kata kuat sangat kemelayuannya. Aritu masa Hj Nizar, MB Perak lantik Exco termasuk speaker dari bangsa lain, kome melompat cam beruk kena belacan. Kutuk MB kume tu pentingkan kaum lain. Jadi boneka. La ni apa dah jadi?

So kesimpulannya aku memang malu sangat ada orang yang kalah, orang yang melompat, orang yang kena tuduh rasuah dalam kerajaan haram BN Perak ni.

Idakke tuanku sultan malu mempunyai kerajaan camtu??? Ke tuanku sultan dah hilang kemaluannya???

Dicatat oleh TAIPINGMALI di 2/24/2009 10:09:00 PM 5 ulasan Pautan pada catatan ini

Komen penulis blog :

1. Bahasa penulis e-mel ini sangat tidak bersopan.
2. Tidak salah meluahkan pendapat tetapi secara santun berbahasa.
3. Lihat ayat terakhir e-mel tersebut - jelas menghina dan mengaibkan Duli Tuanku
Sultan.
4. Kenapa budaya membiarkan "penghinaan" sedemikan berlarutan sampai kini ?

PPSMI: A. Samad Said sedia hilang gelaran

KOTA BHARU 25 Feb. - Datuk A. Samad Said sedia kehilangan gelaran dan penghormatan sebagai Sasterawan Negara dalam memperjuangkan pemansuhan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, gelaran tersebut tidak penting bagi dirinya kerana perjuangan untuk memartabatkan bahasa Melayu lebih utama bagi kelangsungan anak bangsa pada masa depan.

"Kalau hendak ambil (gelaran), ambillah sekarang, perjuangan mesti diteruskan, ia langsung tidak menyentuh saya, kalau fikir itu besar sangat ambil dan simpan sajalah.

"Saya sudah umumkan dulu, saya bukan Sasterawan Negara, saya lebih senang dipanggil sasterawan rakyat," katanya pada sidang akhbar bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di sini hari ini.

Sidang akhbar tersebut diadakan sempena 'road show' anjuran GMP di negeri ini untuk menghimpunkan 100,000 rakyat bagi mendesak kerajaan menghapuskan PPSMI di depan Istana Negara, Kuala Lumpur, 7 Mac ini.

A. Samad yang juga merupakan penasihat GMP berkata, beliau tidak akan berhenti menegur semua pihak terutama dalam isu bahasa walaupun mengetahui kebenaran itu perit.

"Memang dulu, saya seorang sasterawan yang 'berkira-kira' oleh kerana golongan elit yang berkuasa adalah rakan-rakan saya, semuanya saya kenal, kalau bercakap saya tidak mahu sentuh kecuali ada pemimpin yang inginkan fikiran saya secara jujur dan total.

"Sebelum saya pergi haji, sikap saya terlalu menjaga hati walaupun benda itu salah, saya tidak berani menegur tetapi semenjak saya pulang, saya sudah bersedia untuk berkata benar walaupun memeritkan, kalau betul saya sokong," katanya.

Katanya lagi, Kementerian Pelajaran yang masih mempertahankan PPSMI seolah-olah tidak yakin dan percaya dengan bahasa sendiri untuk menjadi medium bagi rakyat menimba ilmu.

Justeru itu, jelas beliau, perjuangan untuk meyakinkan kerajaan akan diteruskan dan semua pihak tidak perlu memandang serong tindakannya berada di atas pentas Pas bagi mempertahankan bahasa Melayu.

"Saya hanya mencari pentas, kalau ada orang yang sediakan pentas, apa salahnya saya berada di sana untuk memperjuangkannya supaya tidak nanti anak cucu kata kita tidak pertahankan bahasa ibunda, tidak nanti mereka kata nenek moyang kita buat.

"Perjuangan saya hanya mendaulatkan bahasa, saya bukan orang politik dan saya tidak fikir akan jadi orang politik, barangkali saya akan menyertai mana-mana parti secara bukan orang politik, tetapi ikut isu yang mesti diperjuangkan," katanya.

Sekiranya kerajaan masih berdegil, beliau meminta rakyat supaya menggunakan kuasa untuk menterjemahkan ketika pilihan raya dengan mengundi menolak pihak yang tidak mendaulatkan bahasa Melayu.

Sumber : Utusan Malaysia, Khamis 26 Februari 2009

AKIBAT SAMPINGAN PPSMI

Oleh DR. FIRDAUS ABDULLAH
firdausabdullah44@gmail.com

Akibat sampingan PPSMI
Pembangkang dapat senjata tambahan
Jika tak pasti yang hendak dicapai
Eloklah kembali ke pangkal jalan
SEKURANG-KURANGNYA ada dua akibat sampingan PPSMI yang telah membawa 'padah politik' (jika tidak mahu menggunakan perkataan 'musibah politik') kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Pertama, isu itu telah memberi platform tambahan kepada parti-parti pembangkang untuk bersatu menggodam BN.

Kedua, dalam kalangan pemimpin dan penyokong BN sendiri telah terjadi perpecahan akibat perbezaan pendapat mengenai isu PPSMI itu. Perbezaan pendapat ini berlaku di kalangan sesama menteri dan Ahli-Ahli Dewan Rakyat UMNO dan juga antara menteri-menteri BN.

Itu adalah antara akibat-akibat jangka pendek dari segi politik. Kesan jangka panjang dari segi pendidikan dan pembinaan negara bangsa, masih berterusan menjadi punca pertelingkahan di kalangan pelbagai pihak. Kita belum lagi menyebut kesan ekonominya terhadap kewangan negara dari segi pembiayaan infrastruktur tambahan dan elaun guru-guru yang terlibat dalam pelaksanaan PPSMI itu.

Kerana itu, di tengah-tengah hiruk-pikuk suara-suara menentang dan mempertahankan PPSMI sekarang, saya ingin menyarankan supaya kita menanyakan kembali beberapa soalan asas. Pertama, mungkin ramai yang tidak tahu atau sudah lupa apakah ayat penuh daripada singkatan PPSMI itu?

PPSMI adalah akronim atau singkatan daripada ayat "Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris" Ini adalah satu kaedah atau cara mengajarkan mata pelajaran sains dan matematik dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya dalam sistem persekolahan di negara ini.

Kaedah ini diputuskan secara mengejut dalam satu sidang kabinet khas pada bulan Julai 2002 dan dipaksakan kepada guru-guru dan murid-murid darjah satu (Sekolah Rendah), tingkatan satu dan tingkatan enam (Sekolah Menengah) mulai tahun pengajaran 2003. Sebelum itu, untuk selama hampir 30 tahun kedua mata pelajaran tersebut diajarkan dalam bahasa Melayu.

Perubahan ini (dari pada menggunakan bahasa Melayu kepada menggunakan bahasa Inggeris) boleh dikatakan berlaku dalam keadaan tergesa-gesa. Kerana itu dapat diduga bahawa pelaksanaannya dipaksakan tanpa persiapan yang sungguh-sungguh dan tanpa perbincangan yang menyeluruh di kalangan pakar pendidikan dan profesional perguruan. Tetapi bantahan masyarakat awam sejak awal lagi sudah cukup meluas walau tidak dapat liputan media yang wajar.

Hanya sejak akhir-akhir ini, liputan media massa mulai meluas dengan bertambah meluasnya bantahan dan sokongan pelbagai pihak. Tetapi liputan meluas oleh media massa itu adakalanya menambah kekeliruan kerana terdapat kecenderungan melemparkan tuduhan-tuduhan yang tak tepat seperti "anti bahasa Inggeris" atau "emosional" atau "tak sayang anak bangsa."

Satu lagi akibat sampingan polemik PPSMI ini ialah terpinggir dan tersingkirnya dari aliran perdana tokoh-tokoh bahasa dan budaya yang selama ini kelihatan "bersahabat" dengan parti pemerintah.

Umpamanya, Sasterawan A. Samad Said yang selama ini kelihatan rapat dengan "aliran perdana" atau pihak establishment tetapi sekarang sudah mulai menampilkan dan menampakkan diri dalam acara-acara dan demonstrasi menentang PPSMI.

Begitu juga dengan Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Profesor Ismail Hussein sekarang sudah secara terbuka memperlihatkan tentangan dan bantahan walau pun selama ini sesetengah pihak menganggap beliau mempunyai sikap yang akamodatif dan pro-establishment.

Satu lagi akibat sampingan yang saya anggap mendukacitakan ialah semakin meluasnya budaya "bermuka-muka" atau "berpura-pura" dalam kalangan sesetengah pegawai tinggi kerajaan. Mereka memperlekeh dan mencemuhkan PPSMI secara berbisik-bisik di warung-warung teh tarik atau semasa kudapan di majlis-majlis kerajaan. Tetapi mereka memberi sokongan secara terbuka di hadapan menteri atau di hadapan pemimpin-pemimpin politik yang pro-PPSMI itu.

Saya percaya polemik dan kontroversi PPSMI ini akan berterusan sehingga satu keputusan muktamad diambil dan dilaksanakan. Atau konflik ini mungkin akan menjadi lebih buruk jika keputusan muktamad itu nanti tidak dapat diterima oleh pihak-pihak berkenaan. Kalau itu berlaku, akibat sampingannya bukan sahaja membawa "padah" malah mungkin membawa "musibah."

Satu lagi soalan asas yang telah berulang kali ditanyakan dengan berbagai-bagai cara dan ungkapan ialah: Apa sebenarnya yang hendak dicapai oleh PPSMI? Sesetengah pihak menjawab untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Sesetengah pihak yang lain untuk memudahkan generasi baharu Malaysia mengikuti kemajuan sains dan teknologi.

Tetapi setakat ini, pada hemat saya, belum ada satu huraian yang lengkap dan sistematik mengenai matlamat sebenar yang hendak dicapai oleh PPSMI itu. Ini mungkin boleh juga dianggap sebagai satu lagi akibat sampingan daripada PPSMI itu, iaitu semakin berleluasanya sikap evasive, iaitu kecenderungan mengetepikan persoalan dan menangguhkan penyelesaian.

DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah Felo Penyelidik Kanan (Pelawat) di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

TEMA HARI GURU TAHUN 2009

Tema hari guru yang dipilih untuk Perayaan Hari Guru 2009 ialah

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA.

Rasional pemilihan tema tersebut ialah:

* Guru sebagai pendidik terbukti telah memainkan peranan utama dalam memperjuang dan mengekalkan kemerdekaan serta kedaulatan negara melalui sIstem pendidikan dan seterusnya membangunkan negara sehingga dikagumi oleh dunia luar.

* Guru menjadi harapan bagi memastikan pembentukan jati diri murid yang kukuh, berdaya saing, berkeyakinan tinggi dan berpegang teguh kepada agama dan nilai sejagat seterusnya menjadi warganegara glokal yang mampu bersaing dengan kepesatan dunia luar.

* Kecekapan dan keberkesanan guru menerusi sIstem pendidikan membina negara bangsa yang berjaya.

* Peranan guru dalam mewujudkan pembangunan dan modal insan.

Sumber Laman Web Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ahad, Februari 22, 2009

TEONG KIM MINAT

Oleh SUFIAN THAURI MUHAMMED
(Dipetik daripada Harian Metro Ahad 22 Februari 2009)

“SAYA berminat menjadi jurulatih negara, tapi FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) tidak pula menghubungi saya,” kata bekas pemain tengah negara, Lim Teong Kim.

Dia yang kini menjadi jurulatih skuad bawah 19 tahun kelab gergasi Eropah, Bayern Munich, sudah lama menyimpan hasrat menabur bakti kepada bola sepak negara.

Dalam temuramah dengan Metro Ahad pada 2004, Teong Kim yang memegang lesen kejurulatihan tertinggi Persekutuan Bola Sepak Jerman, fusball lehrer, pernah menyatakan impiannya untuk mengendalikan skuad kebangsaan.

Justeru, apabila jawatan jurulatih kosong susulan pemecatan B Sathianathan, dia yang dihubungi di Munich, kelmarin, terpanggil menyatakan minat bagi mengisi kekosongan itu atas dasar ingin berbakti kepada negara meskipun kehidupannya di Jerman selesa.


“Tugas itu berat, tapi di mana-mana pun tanggungjawab selaku jurulatih memang besar. Di Bayern juga, tanggungjawab saya besar, tambahan pula mereka antara kelab paling berjaya di dunia,” katanya.

Setakat ini, antara nama yang dikaitkan mengisi kekosongan ditinggalkan Sathianathan ialah jurulatih Kedah, Azrai Khor Abdullah, Dollah Salleh (Shahzan Muda), Wan Jamak Hassan (Negeri Sembilan), K Rajagobal (Harimau Muda) dan K Devan (Selangor).

Dibandingkan dengan Teong Kim, tiga calon itu mempunyai kelebihan mengenali lebih rapat bola sepak tempatan, tapi bekas pemain Kuala Lumpur berkenaan memiliki kelebihan daripada pengalaman bola sepak bertaraf tinggi susulan kerjayanya sebagai bekas pemain dan jurulatih di Jerman.

Mengulas kemerosotan pasukan kebangsaan, Teong Kim berkata, pemain sepatutnya menjadi aspek terakhir dipersalahkan.

“Saya tahu ramai yang salahkan pemain, tapi dalam hal ini mereka bukan pesalah nombor satu. Banyak lagi aspek yang perlu dipersalahkan terlebih dahulu daripada aspek infrastruktur, jurulatih, pentadbiran dan akhir sekali barulah pemain.

“Perkara ini ibarat mendidik anak. Siapa yang perlu dipersalahkan jika anak tidak mendapat asuhan yang betul?

“Pastinya ibu bapa kerana itu tanggungjawab mereka,” katanya yang menjadi kelompok pemain negara terakhir memenangi pingat emas Sukan Sea pada 1989.

Perubahan Jadual Waktu SPM

Pihak LPM telah membuat satu draf perubahan jadual waktu bagi peperiksaan SPM 2009. Hal ini mungkin berkaitan dengan aduan seorang pelajar yang tidak dapat mendaftar mata pelajaran Sains kerana jadual waktu mata pelajaran tersebut didapati bertembung dengan mata pelajaran sains tulen. Dalam draf pindaan tersebut didapati bahawa mata pelajaran Sains ( Kod 1511 ) telah diasingkan daripada kumpulan mata pelajaran Sains Tulen. Hal ini akan merupakan berita gembira kepada pelajar tersebut. Bagaimanapun kes-kes seperti ini jarang berlaku dimana amat jarang bagi pelajar aliran Sains Tulen mengambil mata pelajaran Sains Teras (1511). Tindakan segera LPM ini dipuji berdasarkan rekod cemerlang pengendalian peperiksaan awam selama ini.

Mempertahankan warisan Inggeris

Oleh Zin mahmud
Dipetik daripada : Mingguan Malaysia

Atas nama mengekalkan warisan, akhirnya Sekolah Menengah Victoria kembali dipanggil Victoria Institution (VI). Nama sekolah yang diasaskan pada tahun 1891 ini mengambil sempena Sambutan Jubli Emas Queen Victoria ketua negara Britain yang pada zamannyalah, empayar British berada di puncak.

Penubuhannya dibuat untuk mengikut jejak Raffles Institution di Singapura yang diasaskan oleh Stamford Raffles pada tahun 1823. Sehingga hari ini, namanya tidak berubah.

Antara lulusan Raffles Institution adalah tokoh-tokoh di Kuala Lumpur pada akhir abad ke-19. Mereka ialah Kapitan Cina, Yap Kwan Seng dan Loke Yew yang merupakan ketua bagi orang Cina di kota itu. Maka mereka dengan sokongan ketua kaum India, Thamboosamy Pillay percaya sebuah sekolah seperti Raffles Institution patut diwujudkan di Kuala Lumpur.

Maka cadangan mereka diterima oleh Residen British bagi Selangor ketika itu, William Hood Treacher. Pada zaman itu Residen British itu adalah de facto Menteri Besar.

VI dapat diwujudkan hasil daripada bantuan derma Sultan Selangor ketika itu, Sultan Abdul Samad. Maknanya penubuhan VI adalah atas usaha bersama Raja Melayu, penjajah Inggeris dan ketua-ketua kaum. Patutnya sekolah itu dinamakan Sultan Abdul Samad Institution. Queen Victoria pula dapat nama.

Namun begitu, sejarah wajar dihormati dan peninggalan penjajah British di negara ini juga merupakan warisan yang elok dipertahankan.

Kalaulah orang dahulu mengambil berat mengenai warisan, sudah tentu mereka tidak akan tergesa-gesa menukar nama VI kepada Sekolah Menengah Victoria yang tidak begitu klasik, apatah lagi glamor.

Maka lepas ini sekolah lama penulis iaitu Sekolah Menengah St. John's patut dikembalikan namanya kepada St John's Institution (SJI). Tetapi bukan saja sekolah-sekolah yang terkenal patut dikembalikan nama warisannya. Apa kata sekolah-sekolah biasa seperti sekolah rendah penulis iaitu Sekolah Rendah Jalan Padang Tembak kembali kepada nama dahulu iaitu Rifle Range Road School (RRRS).

Nama jalan ini menjadi demikian kerana ia melalui lapangan sasar menembak di Mindef, kependekan daripada perkataan Ministry of Defence atau Kementerian Pertahanan. Pada zaman British, di sinilah markas tentera utama mereka. Bermakna di sinilah British menguasai Tanah Melayu.

Jalan Padang Tembak ini melalui Jalan Semarak, dahulunya bernama Gurney Road. Namanya begitu klasik. Gurney Road mengmbil sempena nama bekas Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu, Sir Henry Gurney. Masa itu kedudukannya adalah seperti Yang Dipertua bagi Tanah Melayu, maklumlah beliau mewakili Raja England yang mana negaranya menjajah Tanah Melayu. Gurney ditembak mati di Bukit Fraser.

Nama Fraser's Hill dan Cameron Highland tidak diubah sehingga kini. Ia terus menjadi warisan. Boleh pula nama bersejarah ini dikekalkan. Yang telah berubah ialah Maxwell Hill di Taiping yang kini dikenali sebagai Bukit Larut. Namun Sekolah Menengah Maxwell di Kuala Lumpur mengekalkan nama asalnya.

Apa salahnya mengekalkan nama-nama asal supaya ciri sejarah dapat dipertahankan. Sebarang nama baru biarlah diberikan kepada jalan atau tempat baru.

Begitu juga dengan nama negara ini sendiri. Asalnya Tanah Melayu tetapi dalam bahasa Inggeris ia menjadi Malaya. Sepatutnya biarlah begitu tetapi apabila Malaysia diwujudkan, Tanah Melayu menjadi Malaysia Barat. Kemudian ia bertukar menjadi Semenanjung Malaysia.

Apa yang nyata, nama Melayu itu sudah hilang. Pada masa ini katakan hendak dikembalikan nama Tanah Melayu, sudah tentu dirasakan seperti ada unsur-unsur perkauman.

Maka tidak hairanlah Keretapi Tanah Melayu bertukar namanya kepada KTM Berhad. Hilanglah nama Melayu pada perkhidmatan keretapi ini. Ada ura-ura akan ditubuhkan sebuah lagi syarikat keretapi nasional, jangan harap akan digunakan perkataan Melayu.

Malah perkhidmatan LRT yang dahulunya dikenali sebagai Putra sudah hilang nama Melayunya untuk menjadi RapidKL. Ingatlah bahawa satu masa dahulu, perkhidmatan bas utama di Kuala Lumpur bernama Seri Jaya. Namanya ditulis dalam jawi di atas badan bas. Kemudian ia bertukar menjadi SJ saja. Tidak lama kemudian, ia diambil alih dan ditukar namanya kepada Intrakota. Perkataan itu separuh Melayu, separuh Inggeris. Lepas itu, bertukar menjadi RapidKL. Hilang langsung perkataan Melayu. Begitu juga dengan syarikat bas lain di Kuala Lumpur seperti Cityliner.

Ketika kereta nasional mula diperkenalkan, tentunya rakyat negara ini berbangga dengan nama Saga, Iswara, Satria, Waja dan Juara. Begitu juga dengan Perodua yang memiliki nama seperti Kancil, Rusa, Kelisa dan Kenari. Lepas itu nama Melayu pun hilang.

Nasib baik Naza memperkenalkan nama seperti Citra, Ria dan Sutra. Kadang kala rakyat negara ini sudah tidak berbangga dengan nama ibunda, kononnya tidak sedap didengar.

Ada satu masa dahulu atas nama nasionalisme, maka ditukar nama-nama bersejarah. Maka hilanglah Jalan Batu, Jalan Mountbatten, Jalan Travers, Jalan Brickfields, Foch Avenue, Jalan Parry, Circular Road dan pelbagai nama jalan.

Tetapi setelah lama merdeka, suka pula mengguna nama asing. Sedangkan banyak nama Melayu yang sedap didengar. Lihatlah Damansara, Melawati, Menjalara, Maluri dan Hartamas, ia menjadi tempat glamor walaupun namanya bukan daripada bahasa Inggeris.

Nampaknya, sudah lupa tentang perkataan-perkataan indah daripada bahasanya sendiri. Mungkin kerana terlampau mengejar mata pelajaran sains hinggakan sastera dipandang lekeh, sedangkan kedua-duanya adalah perlu. Kini orang sudah kurang menggunakan istilah barah, kencing manis, angin ahmar dan lelah. Ia telah digantikan dengan kanser, diabetes, strok dan asma. Lagipun jabatan kajicuacapun sudah bertukar menjadi Jabatan Meteorologi. Maklumlah pengajaran sains sudah pun dalam bahasa Inggeris.

Sabtu, Februari 21, 2009

PENANDA WACANA DALAM KARANGAN

PENANDA WACANA UNTUK MEMULAKAN AYAT PENDAHULUAN KARANGAN

· Sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu …
· Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah ….
· Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.
· Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronal yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri.
· Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …
· Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan …

PENANDA WACANA UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN

· Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.
· Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
· Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.
· Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….
· Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

PENANDA WACANA UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN

· Kita dapat menyaksikan betapa…
· Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana…
· Lazimnya, dalam keadaan …
· Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah …
· Pada hemat saya …
· Pada pandangan saya …
· Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa …
· Sebagaimana yang kita ketahui
· Sebagaimana yang kita maklumi
· Sejak awal lagi
· Sejak kebelakangan ini
· Selain itu, pada masa ini juga
· Seperti yang telah dinyatakan
· Umum mengetahui bahawa
· Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas

PENANDA WACANA UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN

· Bagi sesetengah orang …
· Begitu juga dengan …
· Begitu juga halnya dengan …
· Bertitik tolak daripada itu …
· Bukan itu sahaja …
· Dalam hal ini …
· Dalam konteks ini ..
· Dalam zaman yang serba canggih ini …
· Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …
· Dengan adanya …
· Dengan berbuat demikian …
· Dengan perkataan lain ..
· Disebabkan hal itu
· Disebabkan keistimewaan inilah kita ..
· Hal ini berlaku disebabkan
· Hal ini penting dalam
· Hal ini serupa dengan
· Hal yang serupa berlaku apabila
· Ini disebabkan
· Ini membuktikan bahawa
· Ini menggambarkan bahawa
· Ini secara tidak langsung akan
· Ini semua meninggalkan kesan kerana
· Ini tentu sekali membuatkan
· Jadi kita perlu
· Jadi kita hendaklah
· Keadaan ini tentunya
· Lantaran itu sehingga kini
· Kesemua ini menyumbang kepada
· Kita mengakui hakikat bahawa
· Kita sering menonton di kaca televisyen
· Kita sering membaca di dada-dada akhbar
· Memandangkan keadaan yang sedemikian
· Namun sejak kebelakangan ini
· Oleh itu, bolehlah dikatakan
· Secara logiknya masa yang
· Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita
· Keadaan ini seharusnya boleh
· Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini
· Kendatipun demikian, kita masih
· Yang paling nyata ialah
· Yang perlu kita pastikan ialah

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN STATISTIK

· Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak
· Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan
· Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian ….. pada tahun …… menunjukkan bahawa sebanyak …………

PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN CONTOH

· Sebagai contohnya
· Biar kita lihat
· Biar kita ambil contoh
· Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah
· Sebagai analoginya,
· Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah

PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN

· Intihanya,
· Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas
· Konklusinya,
· Dengan ini diharapkan
· Bukan itu sahaja
· Mudah-mudahan perkara ini
· Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa
· Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perkara ini akan …
· Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama

KATA-KATA HIKMAT DIGUNAKAN DALAM KARANGAN

01. baik kaya ialah kaya hati,sebaik-baik bekal ialah takwa,seburuk-buruk buta ialah buta hati dan sebesar-besar dosa ialah berdusta.
02. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).
03. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. ~Horne
04. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.
05. Kalau hidup ingin merdeka, Tiada tercapai hanya berkata, Ke muka maju sekata, maju kita, Melemparkan jauh jiwa hamba. ~Usman Awang
06. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." ~Surah al-Hajj:77
07. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan" ~Surah Yusuf:18
08. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.
09. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. ~Davey John Schwartz
10. "Peristiwa itu memberi pengajaran kepada saya mengenai bagaimana guru besar perlu bersikap profesional dan tidak menggunakan emosi dalam melakukan tindakan." ~Tengku Habsah Tengku Petera (Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan)
11. "Satu perkara yang menakutkan saya pada masa ini ialah peningkatan gejala rasuah. Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki." ~Profesor Diraja Ungku Aziz
12. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.
13. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.
14. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.
15. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.
16. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. ~ Saidina Ali Abu Talib
17. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."
18. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.
19. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (surah Al-Baqarah:214)
20. Kekitaan yang erat tiada yang berat.
21. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.
22. Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu; dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya. - SAIDINA ABU BAKAR
23. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kesihatan yang hilang boleh diperolehi dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.
24. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.
25. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.

Sumber:
Cikgu Zulkarnain (SMK Sacred Heart Sibu) di http://forum.engkabang.net/index.php/topic,18218.0.html

Dipetik daripada : Blog Cikgu Bukharis
http://bukharis.blogspot.com/

Isnin, Februari 16, 2009

GURINDAM PETUA SEORANG GURU

Kalau seorang guru mengajar sambil duduk
Murid belajar sambil mengantuk.

Kalau seorang guru mengajar sambil berlakon,
Murid belajar dengan tekun,

Kalau seorang guru mengajar tanpa alat
Murid belajar dengan ralat.

Kalau seorang guru mengajar banyak bercakap
Ada murid bertambah gagap.

Kalau seorang guru pemudah cara
Ramai murid pandai berbicara.

Kalau seorang guru mengajar tanpa menilai
Tak akan tahu murid bodoh dan pandai.

Kalau seorang guru berbudi bahasa
Dikenang murid sepanjang masa.

Kalau guru berinovatif
Pengajaran akan lebih efektif.

Kalau guru tidak belajar
Samalah taraf dengan pelajar.

Nukilan:
Encik Jaapar Yusof (GB, SK Palong 12, Gemas)

Dipetikk daripada blog Cikgu Ghalib.

Sabtu, Februari 14, 2009

PAKU DULANG PAKU SERPIH

ARKIB : 13/02/2009 Akhbar Utusan Malaysia.

Luahan seorang pelajar

SAYA adalah seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi awam. Saya sedang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, berumur 22 tahun dan kini di semester empat.

Saya ingin meluahkan pendapat saya mengenai suasana politik di Malaysia dari sudut pandangan sebagai seorang pelajar.

Apa yang saya dapat lihat, suasana politik di Perak yang semakin teruk. Seperti yang kita lihat pihak pembangkang tidak dapat menerima kenyataan yang mereka telah hilang kuasa sebagai pemerintah di negeri tersebut.

Saya bukanlah hendak membincangkan isu politik yang keterlaluan di forum ini. Cuma saya hendak meluahkan rasa malu dengan sikap dan tindakan penyokong-penyokong pembangkang di Perak yang kebanyakan adalah orang berumur yang hampir sebaya dengan ibu bapa saya.

Adakah patut selepas bersolat Jumaat, merusuh pula?

Sepatutnya solat itu dilakukan bagi menghindarkan kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak elok dan mengganggu ketenteraman.

Sebagai rakyat Malaysia saya berasa malu kerana selama ini kita telah hidup dalam sebuah negara yang aman dan damai. Mengapa pula perlu merusuh?

Di masa kaum lain sibuk menguasai ekonomi dan mengukuhkan penguasaan pendidikan di negara ini, kita pula sibuk dengan perjuangan untuk menegakkan benang yang basah.

Saya mempunyai rakan-rakan sepengajian yang menyebelahi pihak pembangkang. Ibu bapa mereka juga merupakan penyokong kuat pembangkang. Tetapi saya amat terkejut apabila mereka juga bercita-cita hendak mendapat pekerjaan dengan kerajaan selepas tamat pengajian kelak.

Saya cukup pelik, sokong pembangkang, segala apa yang dilakukan kerajaan tidak betul, tetapi hendak bekerja dengan kerajaan. Cukup ironis mereka turut memohon bantuan kerajaan.

Saya adalah penduduk di negeri sebelah Selatan tanah air dan rakan-rakan saya yang lain itu di sebelah Pantai Timur.

Apa yang saya dapat lihat rakan-rakan saya terlalu mudah mendapat segala kemudahan dan keutamaan daripada pihak kerajaan.

Seperti kata rakan-rakan saya, balik mengundi dapat duit, biar pun kita menyokong orang lain.

Macam-macam ragam yang saya dapat lihat dari rakan-rakan saya itu. Sebagai pelajar, saya diajar oleh ibu bapa saya supaya hidup berdikari dan tidak cepat melatah.

Walaupun ada rasa tidak puas hati tapi apa yang saya harapkan janganlah kita sibuk hendak menegakkan benang yang basah sedangkan negara dan bangsa kita semakin layu.

Sebagai generasi masa akan datang, saya tidak mahu hidup seperti di negara di mana mereka terpaksa merempat di negara sendiri.

Fikir-fikirlah.

ROSALIZA IDRUS


Pandangan Penulis Blog :
Kolam yang bersih akan menghasilkan air yang jernih. Kalau jernih air di hulu, maka akan jernih air di hilir. Melentur buluh biar dari rebungnya. Kalau bapa borek maka anak pasti rintik. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Kalau hendak bunga ros esok mulalah menanam hari ini. Dalam hal di atas, saya mempunyai pandangan bahawa jasmani, emosi, rohani dan daya intelek anak-anak merupakan hasil didikan ibu bapa. Pemikiran anak-anak yang diracun dalam usia muda menyebabkan anak menjadi manusia yang prejudis kepada kebaikan orang lain dan taksub terhadap ketokohan seseorang yang belum tentu dapat dibuktikan dengan fakta yang sahih. Anak-anak umpama kain putih yang tidak tercemar. Ibu bapanya yang memegang pensel warna dan alat tulis yang akan mencorakkan hasil lukisan tersebut. Jika anak-anak tersesat jalan, ibu bapalah yang bertanggungjawab terhadap hal tersebut. Para ibu bapa perlu mendidik anak-anak dengan didikan agama dan duniawi yang seimbang. Mendidik anak ketika kecil umpama mengukir atas batu, sebaliknya mendidik anak-anak setelah dewasa umpama mengukir atas air. Kalau anak-anak asyik disogokkan dengan bahan media bercorak hiburan melampau dan berita politik yang taksub kepada satu parti, tidak hairan apa yang terjadi seperti yang Saudari Rosaliza ceritakan. Pada ketika menuduh kerajaan yang ada sebagai zalim dan sesat, mereka masih ada cita-cita nak bekerja dengan kerajaan yang dikatakan sesat. Bimbinglah anak-anak dan galakkan mereka membaca artikel bersifat akademik dalam akhbar waima bahasa apa sekalipun termasuk Berita Harian, Utusan Malaysia, Star, akhbar berbahasa Cina, Tamil dan Inggeris yang lain. Selain memperoleh pengetahuan untuk menjawab soalan peperiksaan, jiwa mereka dapat dididik untuk menjadi seorang pemerhati umpama burung helang. Jangan semai bibit benci-membenci bahkan semailah perasaan muhibah dan berkasih sayang walaupun berlainan agama, bangsa dan negara. Tahniah kepada ibu bapa saudari yang berjaya mendidik saudari menjadi manusia yang boleh berfikir baik dan buruk. Negara kita tanggungjawab kita. MALAYSIA BOLEH.

FRASA MENARIK YANG BOLEH DIGUNAKAN UNTUK MENULIS KARANGAN

Dipetik daripada : Blog Cikgu Rubiyah
http://www.rubiyah.net

-mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang
-mendukung kebenaran yang kita sepakati
-mengamalkan sikap dan perwatakan yang murni
-mengambil langkah sederap
-menghirup udara hasil kemerdekaan
-mengikut acuan sendiri
-mengundang kontroversi
-menjadi cerucuk utama pembangunan
-menjulang negara ke puncak jagat
-menuntut setiap anak watan mengotakan aspirasi
-menyambut gamitan menara impian
-menyebabkan imej negara tercalar
-menyediakan kursus dan latihan yang relevan
-menyembunyikan masalah utama masyarakat
-mereka lebih cenderung kepada keseronokan dan berpeleseran
-mewujudkan masyarakat yang bermaklumat dan berpengetahuan
-milineum baru ini pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran reformasi
-muafakat merupakan inti kepada perpaduan
-negara kita akan bersih daripada unsur sosial yang tidak sihat
-nilai keinsanan yang syumul
-nilai-nilai material semakin memberkas dan meluas dalam masyarakat
-pandangan pro dan kontra yang dipaparkan
-pelbagai cabaran yang bakal menghambat
-pelbagai masalah sosial sedang menghinggapi masyarakat
-pembentukan masyarakat sakinah
-pembudayaan ilmu perlu dipupuk dan dibajai oleh generasi muda masa kini
-pendedahan oleh pihak media massa menghangatkan senario ini
-perlu dibaja kembali
-perubahan yang diharap masih belum menjelma
-petanda kehancuran generasi
-pewujudan masyarakat madani-propaganda negatif terhadap negara kita dapat ditepis

-kita perlu mengorak langkah
-kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang songsang ini
-komitmen menyeluruh agensi yang terlibat
-kongkongan yang selama ini dianggap membelenggu
-Masalahnya, kita mahu memberi pendapat tetapi tidak rela dikritik
-makmur dari segi ekonomi tetapi muflis nilai kekeluargaan
-mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang cukup padu
-manifestasi kesanggupan bangsa
-manusia bukanlah `haiwan robotik’ yang tidak mempunyai rasa dan jiwa
-masa depan menjanjikan cabaran di luar jangkaan
-masalah putusnya komunikasi dan jurang generasi
-masalah sosial dan susila yang meruncing
-masih terbelenggu dengan cara berfikir yang sempit
-masyarakat yang naif dengan mata kebendaan yang melalaikan
-melangkah dengan seribu kekuatan
-melontarkan soalan yang cukup penting
-melupakan cita-cita yang lebih luhur
-membangunkan generasi yang berketerampilan, bersahsiah mulia dan berilmu
-membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan
-membenam budaya hedonistik yang tidak berfaedah
-membetulkan ketidaktepatan fakta
-membimbing mereka memenuhi impian
-membina impian masa depan yang lebih gemilang
-membongkar kepincangan
-membuktikan sensitiviti, kepekaan dan keprihatinan mereka
-mempengaruhi minda generasi muda
-mempertahankan perasaan saling bersefahaman
-mempertingkat dan memperteguh kefahaman
-mempraktikkan elemen tolak ansur
-memudaratkan kesejahteraan rakyat
-menabur bakti kepada mereka yang kurang beruntung
-menaburkan nilai kebendaan yang tidak bertahan lama
-menagih komitmen dan pengertian serius semua pihak
-menampilkan wajah baru yang disulami tekad
-menangkis tuduhan yang tidak berasas
-mencapai tahap yang mencemaskan
-mencerminkan dengan jelas akan hakikat ini
-mencerminkan generasi yang muflis dan tercabut daripada akar tradisinya
-mendapat perhatian dan liputan media massa
-mendepani masa depan yang tidak menentu

Jumaat, Februari 13, 2009

NASIHAT

Dipetik dari blog : http://teratakaleen.blogspot.com/


Di dalam hidup manusia, yang penting ialah BERKAT.
Bila hidup kita berkat, diri ini akan selamat.
Apabila diri selamat, rumahtangga jadi sepakat.
Apabila rumahtangga jadi sepakat, masyarakat jadi muafakat.
Apabila masyarakat jadi muafakat, negara kita menjadi kuat.
Apabila negara menjadi kuat, negara luar jadi hormat.
Apabila negara luar jadi hormat, permusuhan pun tersekat.
Apabila permusuhan tersekat, pembangunan pun meningkat.

Apabila pembangunan pun meningkat,
kemajuan menjadi pesat.
TETAPI AWAS, apabila pembangunan meningkat, kemajuan menjadi pesat,
kita lihat bangunan naik bertingkat-tingkat.

Ditengah-tengah itu, tempat maksiat tumbuh macam kulat.
Apabila tempat-tempat maksiat tumbuh macam kulat, KETIKA ITU manusia mula mengubah tabiat.

Apabila manusia telah mengubah tabiat,
ada yang jadi lalat ada yang jadi ulat.
Apabila manusia dah jadi ulat, sembahyang makin hari makin liat.
Apabila sembahyang jadi liat, orang baik ada yang bertukar jadi jahat.

Apabila orang baik bertukar jahat, orang miskin pula nak kaya cepat.
Apabila orang miskin nak kaya cepat, orang tua pula nak mati lambat.
Apabila orang tua nak mati lambat, tak dapat minum madu telan jerla minyak gamat.

Yang lelaki, budak budak muda pakai seluar ketat.
Semua nak tunjuk kuat.
Bila berjudi, percaya unsur kurafat.
Tapi hidup pula yang melarat.
Tali kasut dah tak berikat.
Rambut pun jarang sikat.

Yang perempuan, pakai mini sekerat.
Suka pakai baju ketat..

Suka sangat menunjukkan pusat.
Hingga tak pedulikan lagi batasan aurat.
Pakai pulak yang singkat-singkat.
Kadang-kadang ternampak benda ' bulat ' .
Bila jadi macam ini, siapa lihat pasti tercegat.
Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat.
Duduk jauh berkirim surat .
Bila berjumpa, tangan berjabat
Kemudian pakat lawan peluk siapa erat.
Masa tu, nafas naik sampai tersekat-sekat.
Usah peduli agama dan adat.
Usah takut Allah dan malaikat.
Yang penting apa kita nak buat?
Kita ' bukti ' lah kita buat.
Akhirnya perut kempis dah jadi bulat.
Apabila perut kempis dah jadi bulat, maka lahirlah
pula anak-anak yang tak cukup sifat.
Bila anak-anak tak cukup sifat, jam tu kita tengok bayi dibuang di
merata tempat.

MAKNANYA KETIKA ITU, IBLIS MULA MELOMPAT.
Dia kata apa? Habis manusia dah masuk jerat.
Habis manusia telah tersesat.

Inilah dia fenomena masyarakat.
Oleh itu wahai saudaraku dan para sahabat,
Marilah kita pakat mengingat,
Bahawa dunia hari ini makin singkat,
Esok atau lusa mungkin kiamat,
Sampai masa kita semua akan berangkat!
Berangkat menuju ke negeri akhirat.
Di sana kita akan ditanya apa yang kita buat.
Masa tu, sindri mau ingat.
Umur mu banyak mana mu buat ibadat...?
Zaman muda mu, apa yang telah mu buat...?
Harta benda anta, dari mana anta dapat...?
Ilmu anta, adakah anta manafaat...?

Semoga ianya dapat mengingatkan kita supaya segera meninggalkan maksiat
dan memperbanyakkan ibadat.

Rabu, Februari 11, 2009

PANDUAN PEMANTAPAN TATABAHASA

Oleh : Cikgu Abdul Ghalib Yunus
Blog : http://agy7500.blogspot.com

Siri 124 – Objek Tepat dan Objek Sipi

Soalan:
Apakah maksud objek tepat dan objek sipi? Bagaimanakah kedua-dua objek ini digunakan dalam ayat yang mempunyai pasangan apitan meng—kan dan meng---i?
Drp:
Murid Baru Belajar.

Jawaban:
Objek Tepat dan Objek Sipi hadir dalam ayat yang mempunyai dua objek seperti yang di bawah ini:

1.Ibu sedang membacakan adik buku cerita yang menarik.
2. Baginda akan menganugerahi beliau bintang kebesaran.

Dalam ayat (1) di atas, `adik’ ialah objek tepat, manakala `buku cerita yang menarik’ ialah objek sipi. Dalam bahasa Melayu, objek tepat boleh mengalami penjudulan, manakala objek sipi tidak boleh mengalami penjudulan atau pendepanan. Lihat ayat yang berikut di bawah ini:

(1a) Adik sedang dibacakan oleh ibu buku cerita yang menarik. [ Gramatis]
(1b) Buku cerita yang menarik sedang dibacakan oleh ibu adik. [Tidak gramatis]

Begitu juga halnya dengan ayat (2) di atas. Dalam ayat (2) tersebut, `baginda’ ialah objek tepat, manakala `bintang kebesaran’ ialah objek sipi. Objek tepat, iaitu `beliau’ boleh dikedepankan untuk membentuk ayat pasif seperti yang di bawah ini:

(2a) Baginda akan dianugerahi oleh baginda bintang kebesaran. [ Gramatis]
(2b) Bintang kebesaran akan dianugerahi oleh baginda beliau. [Tidak gramatis]

Dengan berdasarkan huraian ringkas di atas ini, saya berharap agar pengguna bahasa tidak lagi keliru tentang objek tepat dan objek sipi yang terdapat dalam bahasa Melayu.

Selasa, Februari 10, 2009

PANDUAN TATABAHASA

Tulisan Cikgu Abdul Ghalib Yunus,
Munsyi Dewan

Blog : http://agy7500.blogspot.com

Sila dapatkan buku berikut untuk panduan yang terperinci berkaitan tatabahasa :

1. Siri Super Skor Bahasa Melayu T1, T2, T3, T4 dan T5 terbitan Longman
2. Esensi Bahasa Malaysia PMR terbitan Longman
3. Esensi Bahasa Malaysia SPM terbitan Longman

Siri 123 - Objek bernyawa dan objek tidak bernyawa

Objek bernyawa ialah objek yang hidup seperti manusia atau binatang. Petua objek bernyawa dan tidak bernyawa sesuai digunakan selepas pasangan kata kerja apitan me-kan yang berpasangan dengan kata kerja yang berawalan me- dalam ayat yang mempunyai dua objek. Lihat contoh yang di bawah ini:

1. memasakkan ayah gulai ikan patin.
2. memasak gulai ikan patin untuk ayah.

Dalam kedua-dua frasa kerja di atas, penanda –kan dalam apitan `me—kan’ membawa maksud benefaktif, iaitu membuat pekerjaan `memasak’ untuk orang lain. Frasa tersebut boleh ditranformasikan daripada ayat (1) kepada ayat (2). Contoh lain adalah seperti yang berikut:

3. membacakan anak bongsunya buku cerita tentang Pak Pandir.
4. membaca buku cerita tentang Pak Pandir untuk anak bongsunya.

5. mengambilkan Tuan Puteri sekuntum bunga.
6. mengambil sekuntum bunga untuk Tuan Puteri.

7. melukiskan adik gambar pemandangan yang cantik.
8. melukis gambar pemandangan yang cantik untuk adik.

9. mencarikan nenek ubat akar-akar kayu di hutan.
10. mencari ubat akar-akar kayu di hutan untuk nenek.

11. membelikan kami cenderamata yang cantik.
12. membeli cenderamata yang cantik untuk kami.

Pasangan yang mengelirukan pengguna bahasa ialah pasangan apitan `memberikan’ dan `memberi’ dengan pasangan apitan `mengajarkan’ dengan `mengajar’ dan juga pasangan perkataan `mengirim’ dengan perkataan `mengirimi’. Ketiga-tiga pasangan ini tidak termasuk dalam golongan pasangan yang menerima objek bernyawa atau tidak bernyawa seperti ayat (1) hingga (12) di atas. Hal ini dikatakan demikian kerana perkataan `memberi’ sebenarnya berasal daripada perkataan `*memberii’, manakala perkataan `mengajar’ sebenarnya berasal daripada perkataan `*mengajari’ dan seterusnya perkataan `mengirim' sebenarnya berasal daripada perkataan `*mengirimkan’ . Oleh sebab dalam bahasa Melayu tidak wujud perkataan `*memberii’, `*mengajari’ dan `*mengirimkan’, maka ketiga-tiga pasangan perkataan tersebut menerima objek bergerak atau objek tidak bergerak.

Selain itu, berdasarkan proses tranformasi, kita akan dapat melihat perbezaan perkataan ini dengan jelas. Sila perhatikan ayat-ayat di bawah ini dengan teliti:

13. Saya memberikan seekor kucing kepada anak Pak Sahak.
14. Saya memberi anak Pak Sahak seekor kucing.
15. Saya mengajarkan mata pelajaran Matematik kepada pelajar Kelas 5 Cengal.
16. Saya mengajar pelajar Kelas 5 Cengal mata pelajaran Matematik.
17. Saya mengirim sepucuk surat kepada ibu pada minggu lepas.
18. Saya mengirimi ibu sepucuk surat pada minggu lepas.

Jika kita perhatikan ayat (13), (15) dan ayat (17), kita akan mendapati bahawa objek yang hadir selepas apitan me---kan, iaitu memberikan, mengajarkan dan mengirim(kan) merupakan objek yang bergerak. Selain itu, kata sendi nama yang wujud dalam ayat tersebut ialah kata sendi nama `kepada’. Jika kita bandingkan ayat (13) hingga (18) dengan ayat (1) hingga (12), sudah tentu kita akan dapat melihat perbezaannya. Ayat (2), (4), (6), (8), (10) dan (12) mempunyai kata sendi nama `untuk’ . Walaupun kata sendi nama `kepada’ dalam ayat (13), (15) dan (17) kelihatan boleh bertukar ganti dengan kata sendi nama `untuk’, namun kata sendi nama `untuk’ dalam ayat (2) hingga (12) di atas, tidak boleh bertukar ganti dengan kata sendi nama `kepada’.

Dengan penjelasan ini, diharapkan semua pengguna bahasa yang membaca tulisan ini sudah memahami konsep objek bergerak atau objek tidak bergerak dan juga objek bernyawa atau objek tidak bernyawa dalam bahasa Melayu. Pengguna bahasa juga perlu memahami bahawa penggunaan petua tentang objek bernyawa atau objek tidak bernyawa ini hanya sesuai untuk pasangan apitan me---kan dan awalan me- yang mempunyai dua objek


Siri 122 – Objek Bergerak (OB) dan Objek Tidak Bergerak (OTB)

Masih banyak pengguna bahasa Melayu yang keliru tentang objek bergerak dan objek tidak bergerak yang terdapat dalam bahasa Melayu. Objek bergerak ialah objek yang berubah tempat sama ada objek itu bersifat konkrit (dapat dilihat) atau bersifat abstrak (tidak dapat dilihat). Contoh objek bergerak ialah buku dalam frasa menghadiahkan buku. Kebanyakan objek bergerak hadir selepas kata kerja yang berapitan men—kan seperti menganugerahkan, menjatuhkan, memberikan, menghutangkan, dan sebagainya. Objek bergerak yang bersifat konkrit ialah bendera, jenazah, pesalah, batu, dan air seperti yang di bawah ini:

1. menaikkan bendera (Bendera akan bergerak dari bawah ke atas)
2. menguburkan jenazah (jenazah dimasukkan ke dalam kubur)
3. memenjarakan pesalah (pesalah dibawa masuk ke dalam penjara)
4. melontarkan batu (batu bergerak selepas dilontarkan)
5. menyiramkan air (air bergerak selepas disiramkan)

Objek bergerak yang bersifat abstrak pula ialah ilmu, nasihat, perkara, perhatian, dan sebagainya seperti yang di bawah ini:

6. menyampaikan ilmu (Ilmu yang ada pada guru bergerak secara abstrak masuk ke dalam minda anak muridnya)
7. memberikan nasihat (Nasihat daripada guru bergerak secara abstrak kepada anak muridnya)
8. menasihatkan perkara (Perkara yang dinasihatkan bergerak secara abstrak daripada guru kepada anak muridnya)
9. memberikan perhatian (Perhatian seseorang akan bergerak secara abstrak kepada orang yang menyampaikan sesuatu seperti penceramah, penyanyi, atau pelawak)
1o. memberikan pendidikan (perkara yang disampaikan oleh guru bergerak secara abstrak kepada muridnya)

Dengan berdasarkan contoh-contoh yang diberikan di atas, objek bergerak kebanyakannya hadir selepas apitan me---kan. Namun demikian, terdapat sebilangan perkataan awalan men-... yang diikuti oleh objek bergerak seperti mengirim dalam frasa mengirim surat, dan sebagainya. Sebenarnya, pada masa dahulu, pengguna menggunakan frasa `mengirimkan surat’. Perkataan lain ialah mengepos dalam frasa mengepos surat.
Petua ini digunakan bagi memudahkan pengguna bahasa Melayu memahami maksud penanda kausatif dalam bahasa Melayu.

Objek yang tidak bergerak pula ialah objek yang tidak mengalami perubahan tempat. Contoh objek yang tidak bergerak ialah ibu dalam frasa menghadiahi ibu, dan sebagainya.


Sila lihat contoh yang lain:

11. mengirimi Suhaina (Suhaina tidak bergerak atau berada di tempat lain untuk menerima surat yang dikirimkan oleh seseorang. Walaupun Suhaina bergerak masuk dan keluar dari rumah, pada hakikatnya Suhaina masih berada di rumah)
12. menghadiahi Encik Hamid (Sesuatu benda yang dijadikan hadiah akan berpindah tempat daripada pemberi kepada penerima, iaitu Encik Hamid)
13. mendekati pokok (Pokok tidak bergerak. Yang bergerak ialah orang yang berjalan kaki ke arah pokok itu)
14. menenggelami rumah (Air yang naik (bergerak) lalu menyebabkan banjir besar)
15. menaiki tangga (Tangga tidak bergerak. Walaupun tangga itu kelihatan berpusing seperti eskalator, sebenarnya yang bergerak dari bawah ke atas ialah pengguna yang menggunakan tangga atau eskalator itu)
16. menaiki bas. (Bas tidak bergerak atau berhenti ketika penumpang menaikinya)

17 mengajar mereka (Mereka tidak bergerak atau berada di tempat duduk masing-masing. Yang bergerak ialah ilmu yang disampaikan oleh guru)

Petua Objek tidak bergerak ini sebenarnya dipadankan dengan konsep penanda lokatif. Lokatif bermaksud tempat menerima atau berlaku sesuatu.

Kesimpulannya, penanda kausatif dalam bahasa Melayu dapat difahami dengan menggunakan petua objek bergerak, manakala penanda lokatif dapat difahami dengan menggunakan petua objek tidak bergerak. Kebanyakan objek bergerak hadir selepas apitan men----kan, manakala objek tidak bergerak hadir selepas apitan me---i atau awalan me--- (Perkataan mengajar sebenarnya berasal daripada perkataan mengajari. Begitu juga halnya dengan perkataan memberi yang asalnya ialah perkataan memberii. Oleh hal yang demikian, kedua-dua perkataan ini termasuk dalam apitan me---i walaupun bentuknya dapat dilihat sebagai awalan me-.... Melalui penjelasan ini, semua pengguna bahasa Melayu dapat menggunakan apitan me—kan dan me—i dengan tepat.


Siri yang berikutnya ialah Objek Bernyawa dan Objek Tidak Bernyawa.
Siri 121 - Ayat contoh atau contoh ayat?

Soalan:
Mengapakah frasa contoh ayat salah? Yang betul ialah ayat contoh, karangan contoh, jawaban contoh. Bagaimanakah pula dengan frasa contoh karangan cemerlang, contoh karangan gred A? Adakah frasa-frasa ini salah?
Drp:
Cikgu J

Jawaban: Dari segi Hukum DM, frasa yang tepat ialah `ayat contoh’. Perkara yang diterangkan ialah ayat, bukan contoh. Oleh sebab itu, ayat mestilah didahulukan. Oleh sebab itulah dikatakan `ayat contoh’. Penggunaan ungkapan `contoh ayat’, `contoh karangan cemerlang’, `contoh karangan gred A’ sebenarnya kebiasaaan pengguna bahasa. Apabila hal ini sudah menjadi biasa dan mantap, penggunaan ungkapan ini dianggap betul. Satu soalan yang menarik: Anda ingin melihat rumah contoh atau contoh rumah? Tepuk dada, tanyalah selera. Oleh itu, sebagai pengguna bahasa, kita mestilah berpegang pada ungkapan, “Betulkan yang biasa, biasakan yang betul.”

Sebagai guru atau pemeriksa pula, kita janganlah menghukum pelajar yang menggunakan frasa `contoh karangan’, `contoh ayat’, dan sebagainya kerana penggunaan frasa ini sudah mantap. Sebagai guru bahasa, peranan kita ialah mendidik mereka bahawa jawaban yang tepat ialah `karangan contoh’, `ayat contoh’, dan sebagainya. Melalui cara ini, pada suatu hari nanti, masyarakat akan faham tentang Hukum DM yang terdapat dalam bahasa Melayu.

Siri 120 - Sementelahan dan tambahan pula

Soalan:
Assalamualaikum, Cikgu Ghalib, saya masih mempunyai beberapa kemusykilan lagi.
Diharapkan cikgu dapat memberikan penjelasan.

1. Bolehkah kata sementelahan itu digunakan sebagai ganti kepada tambahan pula?
Drpd Kamus Dewan Edisi Ke-4 (KD4) m/s 1439, saya mendapati hanya perkataan
Sementelah dan sementelahan bermaksud tambahan pula.

Jadi sementelahan itu = tambahan pula itu. Salahlah kan??

Ayat contoh dalam KD4 juga mempunyai sementelahan pula. Manalah betul?

2. Kerap kali juga saya lihat pelajar menggunakan penanda wacana sementelahan itu untuk maksud selain itu. Yang ini pun salah bukan? Jadi, apakah ayat contoh yang betul?

Drp:
Cikgu J

Jawaban:
1. Sementelahan bermaksud lebih-lebih lagi atau tambahan pula. Kita tidak perlu menambah kata ganti nama tunjuk itu supaya menjadi sementelahan itu. Kesilapan yang dilakukan oleh pengguna bahasa pada hari ini ialah mereka menggunakan perkataan sementelahan atau tambahan pula sebagai penanda wacana. Sebenarnya, sementelahan dan tambahan pula tergolong dalam kata tugas, iaitu kata hubung gabungan. Ayat contohnya adalah seperti yang berikut:

1. Beliau tidak jadi mengikuti rombongan itu ke luar negara kerana mengalami sakit mata, sementelahan keadaan di luar negara kacau-bilau.
2.Beliau tidak jadi mengikuti rombongan itu ke luar negara kerana mengalami sakit mata, lebih—lebih lagi keadaan di luar negara kacau-bilau.
3. Beliau tidak jadi mengukuti rombongan itu ke luar negara kerana mengalami sakit mata, tambahan pula keadaan di luar negara kacau-bilau.
4.Kita mesti bertolak sekarang juga kerana hari semakin gelap, sementelahan tempat perkehemahan itu masih jauh lagi.
5.Kita mesti bertolak sekarang juga kerana hari semakin gelap, lebih-lebih lagi tempat perkehemahan itu masih jauh lagi.
6.Kita mesti bertolak sekarang juga kerana hari semakin gelap, tambahan pula tempat perkehemahan itu masih jauh lagi.

Kesilapan yang sering dilakukan oleh pelajar dalam penulisan karangan ialah mereka menggunakan perkataan sementelahan atau tambahan pula sebagai penanda wacana seperti yang berikut:

7. *Tambahan pula, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.
8. *Sementelahan, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.

Kesilapan yang paling teruk ialah kesalahan dari segi kelewahan bahasa seperti yang berikut:

9. Sementelahan pula, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.

Ayat ini akan menjadi lebih kacau apabila digantikan dengan tambahan pula. Lihat ayat tersebut di bawah ini:

10. Tambahan pula pula, pihak kerajaan mestilah mengambil tindakan yang tegas terhadap pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.

Hal ini terjadi demikian kerana sementelahan bermaksud tambahan pula. Jadi, ayat contoh yang terdapat dalam KD4 menggunakan rangkai kata sementelahan pula sebenarnya tidak tepat. Inilah salah satu kelemahan Kamus Dewan yang memberikan ayat contoh yang tidak gramatis.


2. Ungkapan sementelahan itu tidak boleh menggantikan penanda wacana selain itu. Hal ini ini dikatakan demikian kerana sementelahan itu bukan penanda wacana. Jika kita memberikan maksud sementelahan sebagai lebih-lebih lagi atau tambahan pula, frasa yang wujud akan menjadi celaru seperti lebih-lebih lagi itu atau tambahan pula itu, Penanda wacana selain itu sebenarnya berasal daripada frasa sendi nama selain perkara itu yang bermaksud perkara yang sama telah dibincangkan sebelum perkara itu.


Siri 119 - Hal ini demikian kerana ...

Dalam satu perbincangan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang lalu, iaitu semasa sesi pemurnian Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga kali kedua, panel penulis telah membuat persetujuan bahawa ungkapan `Hal ini demikian kerana...’ tidak lagi gramatis. Ketidakgramatisan ini berpunca daripada keputusan untuk memasukkan unsur adverba dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Oleh sebab adverba dimasukkan sebagai kata tugas, maka adverba tidak boleh menjadi inti dalam frasa subjek atau predikat. Kehadiran adverba hanyalah membawa tugas tertentu dalam ayat. Oleh itu, ungkapan ”Hal ini demikian kerana...” perlulah diubah seperti yang berikut:

(i) Hal ini berlaku demikian kerana....
(ii) Perkara ini terjadi demikian kerana...
(iii) Hal ini dikatakan demikian kerana...

Dengan berdasarkan ayat-ayat di atas, kata adverba `demikian’ bertugas sebagai penerang kepada kata kerja `berlaku’, `terjadi’, `dikatakan’, dan sebagainya.

Kepada guru-guru di sekolah, harap terimalah perubahan ini sebagai satu daripada perkembangan bahasa Melayu. Janganlah menghukum pelajar jika mereka masih menggunakan ungkapan `Hal ini demikian kerana...’. Untuk mendidik pelajar dan masyarakat tentang penggunaan bahasa Melayu yang betul, kita hendaklah menggunakan pendekatan yang bijaksana dan rasional.



Siri 118 - lebat, dengan lebat dan lebatnya

Cikgu,
Adakah ayat-ayat yang di bawah ini gramatis? Jika tidak gramatis, kenapa? Ayat yang sepatutnya bagaimana?

1. Mata sanak saudara itu memandang lalu mengalirlah air mata mereka.
2. Ketika hujan turun lebat, kami melihat seluruh kampung itu dihanyutkan oleh arus sungai yang deras.

Drp:
Cikgu Nik.

Jawaban:
1. Ayat (1) tidak gramatis kerana kata kerja transitif `memandang’ memerlukan objek. Ayat yang betul ialah: `Mata sanak saudara itu memandang kami lalu mengalirlah air mata mereka.’

2. Ayat (2) betul.
Frasa kerja tak transitif `turun lebat’ gramatis kerana `lebat’ ialah kata adverba. Frasa `turun dengan lebat’ juga betul menurut Buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Hal ini dikatakan demikian kerana kata sendi nama `dengan’ dalam frasa tersebut berfungsi sebagai menerangkan cara.(Penulis tidak bersetuju dalam hal ini kerana kata sendi nama `dengan’ perlulah diikuti oleh kata nama). Frasa `turun dengan lebatnya’ juga betul kerana `–nya’ dalam perkataan `lebatnya’ berfungsi sebagai pembenda.

Drp:
Cikgu Ghalib,MD


Siri 117 - Peluasan, perluasan dan pemerluasan

Soalan:
Apakah perbezaan makna antara `peluasan’, `perluasan’ dan `pemerluasan’?
Drp:
Cikgu TCL, Bukit Mertajam

Jawaban:
Untuk mengetahui makna perkataan tersebut, kita hendaklah mengetahui cara perkataan tersebut terbentuk. Berdasarkan proses transformasi kata, perkataan itu terbentuk melalaui proses yang berikut:

Luas--> meluaskan -> peluasan (aktiviti atau perihal meluaskan sesuatu)

Ayat contoh:
1. Kawasan penanaman buah naga di kampung itu tidak begitu luas.
2.Jabatan pertanian akan meluaskan kawasan penanaman buah naga di kampung itu.
3. Peluasan kawasan penanaman buah naga itu dibuat bagi meningkatkan pengeluaran disebabkan permintaan yang semakin bertambah.

Luas --> memperluas ---> perluasan (perihal atau aktiviti memperluas sesuatu)
Ayat contoh:
4. Kawasan penanaman buah naga di kampung itu masih tidak begitu luas.
5. Jabatan pertanian akan memperluas kawasan penanaman buah naga di kampung itu.
6. Perluasan kawasan penanaman buah naga itu dibuat bagi meningkatkan pengeluaran disebabkan permintaan yang semakin bertambah.

Dengan berdasarkan ayat-ayat contoh yang dikemukakan di atas, perbezaan antara perkataan meluaskan dengan memperluas dapat kita lihat. Meluaskan bermaksud menjadikan sesuatu itu luas, manakala memperluas bermaksud menjadikan sesuatu itu lebih luas. Oleh hal yang demikian, maksud perkataan peluasan dan juga perluasan berbeza berdasarkan kedua-dua perkataan tadi. Peluasan bermaksud hal atau aktiviti meluaskan sesuatu(Menjadikan sesuatu itu luas) , manakala perluasan bermaksud perihal atau aktivti memperluas sesuatu (menjadikan sesuatu itu lebih luas).

Bagi perkataan pemerluasan, proses kewujudan perkataan ini diragui. Dari segi morfologi, pembentukan perkataan ini kelihatan janggal. Lihat pembentukannya seperti yang di bawah ini:

Luas --> berluas --> memperluas --> pemerluasan.

Persoalannya ialah adakah perkataan berluas wujud dalam bahasa Melayu? Jika kita perhatikan proses pembentukan perkataan lain seperti yang di bawah ini, kita akan mendapati bahawa perkataan pemerluasan sepatutnya tidak wujud.

Oleh --> beroleh --> memperoleh --> pemerolehan
Satu --> bersatu --> mempersatukan --> pemersatuan
Ajar --> belajar --> mempelajari --> pemelajaran
Badan --> berbadan --> memperbadankan --> pemerbadanan

Kesimpulannya, perkataan yang berimbuhan dalam bahasa Melayu membawa maksud yang berbeza. Untuk mengetahui maksud perkataan tersebut dengan lebih jelas, pengguna perlulah mengetahui pembentukan perkataan tersebut. Oleh hal yang demikian, kita tidak sepatutnya membentuk sesuatu perkataan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengetahui proses pembentukannya.


Siri 116 - Sayang akan

Assalamualaikum.
Cikgu Ghalib,saya ingin bertanya tentang beberapa soalan. Manakah ayat yang lebih tepat?

1. Mereka akan bercuti di Pulau Langkawi atau Pulau Tioman? Atau Mereka akan bercuti di Pulau Langkawi atau di Pulau Tioman?

2. Selamat pengantin baharu,semoga bahagia hingga ke anak cucu. Atau Selamat pengantin baharu,semoga bahagia hingga ke anak cucu.

3. Benarkah kata sendi nama "antara" tidak boleh digunakan pada pangkal ayat?

4. Saya berasa keliru dengan contoh ayat yang diberikan dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 191. Contoh ayat yang diberikan ialah `Daun-daun kering berguguran’. Bukankah ayat yang lebih tepat ialah `Daun kering berguguran’ kerana perkataan berguguran sudah membawa maksud jamak. Kenapakah mesti digunakan pula perkataan `daun-daun’?

5. Saya juga keliru tentang penggunaan kata sendi nama "akan". Mengikut buku Tatabahasa Dewan, halaman 268, kata sendi nama akan digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk manusia dan penggunaannya mesti didahului oleh kata adjektif yang bersifat emotif. Contoh yang mengelirukan saya ialah: `Semua rakyat mesti sayang akan negara.’ Saya faham bahwa perkataan `sayang’ merupakan kata adjektif yang bersifat emotif, sedangkan perkataan negara tidak merujuk kepada manusia. Selain itu, adakah ayat `Saya gemar akan durian’ betul? Contoh itu saya temukan dalam buku rujukan yang lain.Jika betul bukankah perkataan `durian` juga tidak merujuk manusia.
Tolong bantu saya. Terima kasih.

Daripada,
Fakriya

Jawaban:
Waalaikumsalam.
1. Jawaban yang tepat ialah “Mereka akan bercuti di Pulau Langkawi atau di Pulau Tioman”. Namun demikian, penulis Tatabahasa Dewan berpendapat bahawa kata sendi nama `di` pada unsur kedua boleh digugurkan. Oleh itu, kita hendaklah menerima ketetapan yang dibuat oleh penulis buku Tatabahasa Dewan. Jadi, ayat “Mereka akan bercuti di Pulau Langkawi atau Pulau Tioman” juga betul..
2.Ayat yang betul ialah “Selamat pengantin baharu kami ucapkan dan kami berdoa semoga anda bahagia ke anak cucu./ hingga anak cucu.”
3. Pendapat tersebut tidak benar. Kata sendi nama "antara" boleh digunakan pada pangkal ayat seperti ayat ”Antara punca berlakunya pencemaran sungai termasuklah sikap manusia yang menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah” Ayat tersebut ialah ayat susunan songsang. Ayat asalnya ialah ” Sikap manusia yang menjadikan sungai sebagai tempat pembuangan sampah termasuk antara punca berlakunya pencemaran sungai.”
4. Saya bersetuju dengan pandangan anda. Ayat yang tepat ialah ”Daun kering berguguran.”
5. Untuk memahami penggunaan kata sendi nama `akan` dengan lebih jelas, sila teliti beberapa ayat yang di bawah ini:

(a)(i) Saya menyayangi negara saya.
(a)(ii) Saya sayang akan negara saya.

(b) (i) Saya menggemari durian.
(b) (ii) Saya gemar akan durian.

(c) (i) Saya mencintai Syahira.
(c) (ii) Saya cinta akan Syahira.

Jika anda meneliti ayat (a) hingga (c) di atas, anda akan mendapati bahawa kata sendi nama `akan’ diikuti oleh kata nama sama ada manusia atau bukan manusia. Semua ayat tersebut juga melibatkan perasaan, iaitu perasaan suka, gemar dan cinta. Dari segi makna, menyayangi bermaksud `sayang akan’, menggemari bermaksud `gemar akan’ dan mencintai bermaksud `cinta akan’.

Kesimpulannya, kata sendi nama `akan` tidak semestinya diikuti oleh manusia. Untuk pengetahuan anda, buku Tatabahasa Dewan mempunyai beberapa kekurangan yang perlu dimantapkan. Teguran dan pendapat anda dalam hal ini amat saya alu-alukan.


Drp:
Cikgu Ghalib


Siri 115 - Perkara ini patut diberi / diberikan perhatian

Soalan:
Mengapakah ayat yang berikut tidak gramatis apabila kita menggunakan perkataan `diberikan’? “Perkara ini patut diberikan perhatian.”
Drp:
Cikgu TCL, Bukit Mertajam

Jawaban:
Untuk mengetahui ayat tersebut betul atau tidak, kita hendaklah meneliti dua ayat yang berikut:

(1) Pelajar patut memberikan perhatian kepada perkara ini.
(2) Mereka patut memberi perkara ini perhatian.

Ayat (1) di atas boleh ditransformasikan kepada beberapa ayat seperti yang berikut:

(1) Pelajar patut memberikan perhatian kepada perkara ini. (Ayat aktif)
(1a) Perhatian patut diberikan oleh pelajar kepada perkara ini. (Ayat pasif diri ketiga)
(1c) Perhatian patut diberikan kepada perkara ini. (Ayat pasif diri ketiga selepas pengguguran FSN oleh + FN

Ayat (2) pula boleh ditransformasikan seperti yang berikut:

(2) Mereka patut memberi perkara ini perhatian. (Ayat aktif)
(2a) Perkara ini patut diberi oleh mereka perhatian. (Ayat pasif diri ketiga bentuk pertama)
(2b) Perkara ini patut diberi perhatian oleh mereka.(Ayat pasif diri ketiga bentuk kedua)
(2c) Perkara ini patut diberi perhatian. (Ayat pasif diri ketiga selepas pengguguran FSN oleh + FN)

Kesimpulannya, ayat “Perkara ini patut diberikan perhatian” tidak gramatis.


Siri 114 - Pasangan apitan di---kan dan awalan di- ….

Rumus:
Subjek Bernyawa--> di---kan
Subjek Tak Bernyawa--> di-…

Huraian:
Apitan di----kan dan awalan di- yang berpasangan dalam ayat yang mempunyai dua objek kebanyakannya mempunyai subjek bernyawa dan subjek tidak bernyawa. Dalam situasi ini, subjek bernyawa hendaklah diikuti oleh apitan di-…-kan dan subjek tidak bernyawa hendaklah diikuti perkataan berawalan di-… .

Contoh:
1. Adik dijahitkan oleh ibu sehelai baju kurung. (Adik ialah subjek yang bernyawa).
2. Sehelai baju kurung dijahit oleh ibu untuk adik. (Baju kurung ialah subjek yang tidak bernyawa)

Latihan
Nyatakan ayat-ayat di bawah ini sama ada betul [ / ] atau salah [ x ]

(1) Secawan kopi dibuatkan oleh kakak untuk ayah. [ ]
(2) Ayah dibuat oleh kakak secawan kopi. [ ]
(3) Ayah dimasakkan oleh ibu sup kambing. [ ]
(4) Sup kambing dimasak oleh ibu untuk ayah. [ ]
(5) Saya diambilkan oleh pelayan itu makanan. [ ]
(6) Makanan diambil oleh pelayan itu untuk saya. [ ]
(7) Sepucuk surat dituliskan oleh Reza untuk neneknya. [ ]
(8) Nenek ditulis oleh Reza sepucuk surat.[ ]
(9) Kami akan dibelikan oleh mereka cenderamata. [ ]
(10) Cenderamata akan dibeli oleh mereka untuk kami. [ ]


(Dipetik daripada Buku Esensi Bahasa Malaysia PMR2009 terbitan Pearson-Longman Malaysia Sdn. Bhd)

Siri 113 - Panduan mengira perkataan

Terdapat banyak pelajar yang keliru tentang pengiraan bilangan perkataan dalam karangan, rumusan atau ringkasan. Jadi, saya mngambil kesempatan ini untuk menjelaskan perkara tersebut supaya semua pelajar memahami cara untuk menentukan sesuatu perkataan itu sama ada satu atau dua patah perkataan, dan sebagainya. Sebenarnya, pengiraan bilangan perkataan ini terdapat sedikit perbezaan dengan peperiksaan yang lain. Namun, bagi peperiksaan PMR dan SPM, pengiraan jumlah perkataan adalah sama.

Perkataan yang dikira sebagai satu patah perkataan adalah seperti yang berikut:

1. Nama khas. Contoh: Selangor Darul Ehsan
2. Perkataan berganda. Contoh: Tolong-menolong, rumah-rumah
3. Kata depan di dan ke. Contoh: Di sana, di samping, di Johor
4. Tarikh: Contoh: 12 Januari 2009
5. Angka yang ditulis dengan nombor atau perkataan: Contoh: Seribu lima ratus enam puluh (1,560)
6. Gelaran: Contoh: Datuk Seri, Yang Amat Berhormat

Kekeliruan yang timbul ialah bilangan patah perkataan untuk penanda wacana. Untuk pengetahuan pelajar atau calon PMR dan SPM, penanda wacana tidak dikira sebagai satu perkataan. Sebagai contohnya:

`selain itu’ dikira sebagai dua patah perkataan.
`di samping itu’ – dua patah perkataan
`bukan itu sahaja’ – tiga patah perkataan
`oleh hal yang demikian’ – empat patah perkataan.

Dengan penjelasan ini, saya berharap agar semua pelajar atau calon PMR dan SPM 2009 tidak akan mengalami kekeliruan tentang jumlah perkataan dalam karangan, rumusan atau ringkasan.


Siri 112 - Mengimbau pandangan

Soalan :
Apakah maksud perkataan `mengimbau’? Bagaimanakah frasa kerja `mengimbau pandangan’ digunakan dalam ayat?
Drp:
Farah

Jawaban:
Mengimbau bermaksud memanggil, menyeru nama seseorang, menjemput atau pergi megambil seseorang. Ayat contoh:
1. Azan Maghrib mengimbau dari masjid
Daripada perkataan mengimbau, wujud pula perkataan imbauan? Apakah maksud imbauan? Imbauan ialah panggilan atau seruan.
Ayat contoh:
2. Orang kampung itu keluar beramai-ramai apabila terdengar imbauan yang terus-menerus.

Selain mengimbau dan imbauan, terdapat juga perkataan terimbau. Apakah maksud terimbau? Maksud terimbau ialah terpanggil.

Ayat contoh:
3. Tiba-tiba, saya berasa terimbau untuk mendengar rintihan dan keluhan penduduk masyarakat tempat itu tentang masalah yang dihadapi.

Daripada perkataan mengimbau, imbauan dan terimbau, ada segelintir pengguna bahasa Melayu yang menggunakan frasamengimbau pandangan, mengimbau kisah lampau, mengimbau sejarah, dan sebagainya dalam ayat atau petikan.

Apakah maksud frasa mengimbau pandangan?

Untuk mengetahui maksud frasa tersebut, lihat petikan yang di bawah ini:

4. Pihak Pelita Brunei yang turut bertugas dalam persembahan itu tidak melepaskan peluang untuk mengimbau pandangan dan idea serta perasaan beberapa orang penduduk Daerah Temburong yang menyaksikan persembahan tersebut.
(Sumber: http://www.brunet.bn/news/pelita/10ogos/berita24.htm)

Maksud frasa mengimbau pandangan yang terdapat dalam ayat yang dikemukakan ialah berasa terpanggil untuk mendengar pendapat.

Apakah frasa lain yang menggunakan perkataan mengimbau? Untuk melihat penggunaan perkataan mengimbau dalam frasa atau ayat yang lain, sila teliti frasa dan ayat yang di bawah ini:

5. Kami sering bertanya khabar dan berkongsi pandangan sambil mengimbau kisah lampau.

6. Rakyat Malaysia hendaklah mengimbau sejarah negara kita pada zaman silam..

7. Semua bekas tentera Askar Melayu Diraja pada zaman pramerdeka dijemput untuk memberikan pandangan dan mengimbau kisah-kisah lama, terutamanya pada zaman pendudukan Jepun.

8. Jika kita mengimbau sejarah kemerdekaan Negara kita, semua kaum telah bersatu padu untuk menentang penjajah di Negara kita.

9. Kepulangannya mengimbau nostalgia penyajak ketika zaman persekolahannya yang lalu.

10. Majlis itu diadakan untuk mengimbau puisi-puisi yang pernah dihasilkan oleh Sasterawan Negara, Usman Awang.

11. Apakah yang sentimentalnya sehingga Dato' boleh mengimbau peristiwa seperti itu?

12. Kami mengimbau pemerintahan yang baharu untuk kembali kepada proses yang akan membawa keamanan dan kesejahteraan rakyat.


13. Yayasan Kepimpinan ini akan memberikan ruang kepada Perdana Menteri untuk mengimbau kenangan pemerintahannya yang lalu dalam majlis itu.

Dengan berdasarkan penggunaan perkataan mengimbau dalam ayat-ayat di atas ini, makna frasa mengimbau sejarah ialah melihat sejarah yang lalu, iaitu mengingatkan perkara yang lalu melalui refleksi atau penceritaan semula. Maksud mengimbau kenangan pula ialah mengingat perkara yang lampau atau perkara yang telah lalu. Kesimpulannya, makna sesuatu perkataan itu bergantung pada ayat atau situasi yang diperkatakan. Frasa mengimbau pandangan atau mengimbau kenangan sering diungkapkan sebagai bahasa kreatif.


Siri 111 - Kata atau Perkataan

Soalan:
Apakah perbezaan antara PERKATAAN dengan KATA? Bagaimanakah kita mengira "patah perkataan" dan "patah kata"?
Drp:
En. Tan, Petaling Jaya

Jawaban:
Banyak kekeliruan timbul dalam kalangan guru tentang penggunaan istilah perkataan atau kata seperti dalam penulisan karangan, iaitu 350 patah kata atau 350 patah perkataan.

Sebenarnya, kita boleh memilih mana-mana istilah sama ada kata atau perkataan. Dari segi makna, kata ialah ucap, tutur, bicara, cakap, nyata, titah, sabda, firman, lafaz, sebut, ujar, titah, syarah, bahas dan sebagainya. Dari segi tatabahasa, kata dirujuk secara khusus tentang jenis kata seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif, kata tugas dan sebagainya.

Perkataan pula dari segi makna ialah ucapan, tutur kata, lisan, kalimat atau ayat. Perkataan biasanya digunakan untuk menggambarkan kata-kata yang terdapat dalam ayat, perenggan, atau wacana secara umum. Allahyarham Asraf Haji Wahab atau lebih dikenali sebagai Pak Asraf lebih suka menggunakan istilah kata dalam ungkapan `tidak melebihi 120 patah kata’. Hal ini bermakna beliau lebih mementingkan jenis kata bagi memperkatakan kata yang ditulis dalam tulisan tersebut. Bagi panel penulis Tatabahasa Dewan pula, mereka lebih cenderung menggunakan istilah `perkataan’ bagi merujuk perkataan yang ditulis atau diujarkan atau dituturkan oleh seseorang. Oleh itu, mereka lebih selesa menggunakan ungkapan `tidak melebihi 120 patah perkataan’. Oleh hal yang demikian, panel penulis Tatabahasa Dewan lebih mementingkan bilangan perkataan tanpa mengambil kira jenis kata yang terdapat dalam tulisan tersebut.

Kesimpulannya, penulisan karangan, ringkasan dan juga karangan rangsangan sebenarnya bukan kajian tatabahasa. Oleh sebab karangan mementingkan isi, pengolahan dan keindahan bahasa, maka istilah perkataan digunakan. Jika seseorang itu ingin mengkaji jenis kata, maka istilah kata atau patah kata lebih sesuai digunakan. Dengan berdasarkan penjelasan ini, seseorang itu boleh memilih untuk menggunakan ungkapan `patah kata’ atau `patah perkataan’. Oleh sebab kita menggunakan Tabahasa Dewan sebagai rujukan utama di sekolah , maka ungkapan `patah perkataan’ perlulah digunakan.

Sabtu, Februari 07, 2009

Soalan Pemahaman K2

Pertanyaan daripada Saudara Leong
Cikgu kalau soalan pemahaman komsas 2 adakah nak bagi contoh kate kan de nak nilai murni adakah kene bagi skali contoh die????

Jawaban :
Pandangan saya begini :

Untuk menjawab soalan pemahaman komsas, sila kenalpasti kata tugas soalan dan jumlah markah untuk setiap soalan.

SPM 2006 (N) : Syair Pembunuhan Angreni.
Soalan 2d (iii) Nyatakan tiga nilai murni yang terdapat dalam syair ini.

Kata tugas : Nyatakan.
Anda hanya perlu menyenaraikan tiga nilai yang sesuai bagi syair di atas tanpa memberi huraian dan contoh yang sesuai.

Contoh jawaban :
Tiga nilai murni yang terdapat dalam syair ini ialah nilai simpati, nilai berterus terang dan nilai ketaatan.

SPM 2006 (J) : Drama Jangan Bunuh Rama-Rama
Soalan 2b (i) : Huraikan satu nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan di atas dan satu nilai kemanusiaan lain daripada keseluruhan drama.

Kata tugas : Huraikan
Anda perlu memberi satu nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan secara lengkap iaitu nyatakan nilai, huraikan nilai dan beri contoh daripada petikan. Begitu juga, anda perlu nyatakan satu nilai daripada drama keseluruhan, huraikan nilai tersebut dan beri satu contoh sesuai daripada teks drama tersebut.

Contoh jawaban :
Satu nilai kemanusiaan yang terdapat dalam petikan di atas ialah tolong-menolong. Nilai ini dipaparkan melalui watak Tuk Mah yang telah menjadi bidan untuk menyambut banyak anak yang dilahirkan ke dunia ini. Satu nilai kemanusiaan daripada keseluruhan drama ialah nilai penyayang. Dalam drama ini, Raja amat menyayangi permaisuri baginda dan sanggup memenuhi permintaannya untuk menangkap rama-rama untuknya.

Anda perlu berhati-hati menjawab soalan yang meminta anda menghuraikan nilai, pengajaran, perwatakan mahupun persoalan jika soalan tersebut memperuntukkan 4 markah. Saya mencadangkan anda sentiasa memberi lebih jawaban untuk mempastikan anda mendapat markah penuh iaitu 4. Jika anda memberi dua nilai berserta huraian dan contoh yang tepat, anda akan memperoleh 4 markah dengan syarat ayat anda gramatis. Jika jawaban anda kurang tepat, misalnya contoh kepada nilai kedua didapati tidak tepat, maka anda cuma berhak memperoleh 2 markah sahaja. Jika ayat anda sebalinya tidak gramatis, markah anda akan diberi 1 sahaja.

Sekali lagi saya tegaskan :
1. Sentiasa menjawab soalan pemahaman dengan ayat yang gramatis.
2. Jangan memberi jawaban dengan cara memberi isi penting sahaja ( bentuk poin ).
3. Sentiasa memberi jawaban yang lebih daripada diperlukan.

Jumaat, Februari 06, 2009

BAHASA BERTATASUSILA

Perkembangan politik yang berlaku di Perak pada masa kini menarik perhatian saya untuk membaca beberapa blog untuk mengetahui pandangan pelbagai pihak mengenai hal tersebut. Antara blog yang sempat saya lawati ialah blog TAIPINGMALI. Setelah membaca beberapa isu yang dipaparkan, saya ingin membuat kupasan bukan dari segi percaturan politik yang sedang berlaku tetapi masalah kesantunan berbahasa. Hal ini saya lihat berlaku pada kebanyakan blog yang saya lawati. Emosi yang tidak terkawal baik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang menyebabkan banyak yang hilang pertimbangan sehingga sanggup mengeluarkan bukan sahaja perkataan yang tidak sopan bahkan telah sampai ke tahap melaknat dan mencerca dengan bahasa lucah. Saya akui kata-kata seorang ahli falsafah iaitu matlamat telah menghalalkan cara. Pada pendapat saya penggunaan bahasa tidak sopan apalagi sampai ke tahap mencerca DYMM Sultan adalah keterlaluan. DYMM Sultan Perak seorang yang bukan sahaja berjiwa rakyat bahkan baginda berpelajaran tinggi dan amat berjasa kepada rakyat baginda. Anakanda baginda iaitu DYMM Raja Nazrin Shah juga berpelajaran tinggi sampai ke tahap Phd. Baginda Sultan bukan sahaja berpelajaran tinggi bahkan berpengalaman dalam bidang kehakiman sehingga melayakkan baginda menjawat jawatan Ketua Hakim Negara. Saya mencadangkan semua pihak menggunakan pendekatan berhemah dan bersopan santun apabila berbicara di hadapan Raja. Di peringkat sekolah sekalipun kita diajar dengan ragam bahasa Istana apabila sesuatu perkara bersangkut paut dengan Raja. Peranan Raja telah digariskan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri. Pada hemat saya, Raja sentiasa dinasihati dan bertindak dengan cara yang betul mengikut budi bicara baginda seperti yang disuratkan. Jika mana-mana pihak tidak bersetuju dengan sesuatu perkara yang mempunyai sangku paut dengan Raja, sila kemukakan ke Mahkamah Tinggi dengan cara profesional bukan cara demonstrasi jalanan yang akan merosakkan bukan sahaja keamanan bahkan kestabilan yang telah susah payah kita bina selama bertahun-tahun. Saya berpendapat DYMM Tuanku Sultan tiada masalah bahkan dengan senang hati sedia berhadapan dengan mana-mana pihak yang mencabar kewibawaan baginda di mahkamah. Nah, buktikan kata-kata anda di luar sana. Laksanakan dan failkan kes ini segera ke mahkamah. Biar isu ini cepat selesai. Saya rasa gembira kerana baru sekarang anda akan bertemu buku dengan ruas. Daulat Tuanku.

( Untuk membaca mengenai isu yang saya perkatakan, sila layari blog Taiping Mali di alamat berikut : http://taipingmali.blogspot.com/

Khamis, Februari 05, 2009

KOLEKSI SOALAN PERIBAHASA 2004-2008

Tahun 2008 (N)
Bagai menatang minyak yang penuh
Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau
Hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah.

Tahun 2008 (J)
Mendapat durian runtuh
Berani kerana benar, takut kerana salah
Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan

Tahun 2007 (N)
Bahasa Jiwa Bangsa
Bagai dakwat dengan kertas
Seperti air di dalam kolam

Tahun 2007 (J)
Bagai kacang lupakan kulit
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian

Tahun 2006 (N)
Bahasa jiwa bangsa
Nak seribu daya, tak nak seribu dalih
Mata pena lebih tajam daripada mata pedang

Tahun 2006 (J)
Seperti ular kena palu
Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih

Tahun 2005 (N)
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul
Seperti burung dalam sangkar, mata lepas badan terkurung
Ukur baju di badan sendiri

Tahun 2005 (J)
Seperti ikan pulang ke lubuk
Muafakat Membawa Berkat
Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.

Tahun 2004 (N)
Bersatu teguh bercerai roboh
Bagai tanduk diberkas
Kalah jadi abu, menang jadi arang.

Analisis pola soalan peribahasa :

Bentuk soalan peribahasa :
1. Beri maksud peribahasa
2. Memberi maksud peribahasa mengikut ujaran ayat ( Isi tempat kosong )
3. Membuat ayat berdasarkan peribahasa diberi

Panduan untuk pelajar :
1. Peribahasa yang diberi mesti tepat.
2. Peribahasa yang diberi terbalik tidak diterima.
3. Peribahasa yang diberi dalam bentuk nombor tidak diterima
( Contoh : Nak 1000 daya tak nak 1000 dalih )
4. Jika diminta buat ayat, pelajar tidak boleh beri maksud peribahasa.
(Contoh : Maksud peribahasa Bagai Menatang Minyak yang Penuh ialah memberi
sepenuh kasih sayang kepada seseorang. ( Ayat ini dikategorikan : salah)

Peringatan : Untuk soalan bina ayat S3(a), pelajar masih dibenarkan membina ayat
dengan cara memberi maksud perkataan.
Maksud pembangunan mesra alam
ialah pembangunan yang dilakukan tanpa
merosakkan atau mencacatkan alam sekitar.

5. Untuk tahun 2009, dijangkakan soalan yang akan dikemukakan ialah memberi maksud
peribahasa. Sila rujuk senarai peribahasa yang terdapat dalam buku teks.

CAKAP AJUK DAN CAKAP PINDAH

Koleksi Soalan Tatabahasa 3(b) Tahun 2004-2008

SOALAN 2004 (N)
Tulis petikan di bawah ini dalam bentuk cakap ajuk

2005 (J)
Tukar ayat pasif di bawah menjadi ayat aktif

2005 (N)
Tukar ayat pasif di bawah kepada ayat aktif

2006 (J)
Cerakinkan ayat majmuk menjadi 6 ayat tunggal

2006 (N)
Cerakinkan setiap ayat majmuk di bawah kepada dua ayat tunggal

2007 (J)
Buat 6 ayat perintah

2007 (N)
Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif

2008 (J)
Tukar ayat bersusunan biasa di bawah kepada ayat bersusunan songsang

2008 (N)
Tentukan pola ayat dasar

Analisis :
1. Soalan Cakap Ajuk dan Cakap Pindah kali terakhir dikemukakan pada tahun 2004.
2. Pada tahun 2008 soalan bentuk ini disebut-sebut akan ditanya dalam peperiksaan
selain tajuk pola ayat dasar.
3. Sila beri tumpuan yang lebih terhadap soalan bentuk ini bagi tahun 2009.
4. Gunakan teks drama dalam antologi Anak Laut dan Kerusi sebagai latihan.

SELAMAT BELAJAR.

NOTA KELAS 4 SAINS 1 HARI INI.

Untuk pelajar tingkatan 4 Sains 1, pada hari ini saya telah menerangkan kepada anda semua berkaitan tajuk Cakap Ajuk dan Cakap Pindah.

1. Cakap Ajuk ialah jenis ayat dalam bentuk perbualan/ orang bercakap.
Ada dua jenis ayat yang menunjukkan orang sedang bercakap iaitu :

"Tolong tulis karangan yang panjangnya melebihi 350 patah perkataan sekarang, "
perintah Cikgu Amin kepada pelajar-pelajar tingkatan 4 Sains 1.

Cikgu Amin : Pelajar-pelajar tingkatan 4 Sains 1, sila tulis karangan yang
panjangnya melebihi 350 patah perkataan sekarang juga.

2. Cakap pindah ialah jenis ayat yang tidak mengandungi dialog secara langsung.

Langkah Menukar Cakap Ajuk kepada Cakap Pindah.


1. Pastikan ragam ayat tersebut sama ada ayat penyata, ayat tanya, ayat perintah
atau ayat seruan.

- Jika ayat penyata : Dia menyatakan, dia menerangkan, dia memberitahu
- Jika ayat tanya : Dia bertanya sebab, dia ingin tahu, dia ingin mendapat
penjelasan
- Jika ayat perintah : Cikgu mengarahkan, cikgu menyuruh, cikgu melarang
- Jika ayat seruan : Dengan marah, dengan sedih, dia kagum, dia hairan

2. Elakkan daripada menggunakan kata tanya iaitu :
Apa, siapa, di mana. bagaimana, mengapa


Contoh :
Param : Berapa harga sekilogram udang basah ?

Jawapan (1): Param bertanya berapa harga sekilogram udang basah (X)
(2): Param bertanya harga sekilogram udang basah (/)

Ah Chong : Boleh saya membeli daging ini dengan cara berhutang ?

Jawapan : (1) : Ah Chong bertanya bolehkah dia membeli daging itu dengan cara
berhutang. (X)
(2) : Ah Chong ingin membeli daging itu dengan cara berhutang. (X)
Keterangan : Ayat ini maksudnya berbeza daripada ayat asal.
(3) : Ah Chong bertanya sama ada dia boleh membeli daging itu dengan
cara berhutang. (/)

3. Penutur dengan isi yang dituturkan mesti sama.

Ah Seng : Mengapa Azmi tidak datang ke sekolah pada hari ini ?

Jawaban : (1) : Azmi bertanya sebab Ah Seng tidak datang ke sekolah pada hari itu.
(X) - Isi cerita berbeza daripada apa yang dituturkan.

(2) : Ah Seng bertanya sebab Azmi tidak datang ke sekolah pada hari ini(/)

Latihan ( Rujuk Buku Teks Tingkatan 4 : Halaman 144 )

Jason : Aduh, sakitnya hati saya !

Aduh ialah kata seru yang bertujuan
menyatakan perasaan marah dan rasa tidak
puas hati )


Sambil melepaskan geram, Jason menyatakan bahawa hatinya telah disakiti.
Dengan perasaan marah, Jason menyatakan bahawa hatinya telah disakiti.
Jason menyatakan kemarahannya sambil menyatakan bahawa hatinya telah
disakiti.


Manimala : Mengapakah awak mengeluh sahaja ni ?

Mengapakah ialah kata tanya yang digunakan untuk menanyakan sesuatu.

Manimala bertanya sebab Jason asyik mengeluh.
Manimala ingin tahun punca Jason asyik mengeluh.
Manimala mahu kepastian punca Jason asyik mengeluh.

Jason : Oh, awak pura-pura tak tahu pula !

Jason menjelaskan bahawa Manimala sebenarnya berpura-pura tidak mengetahui
sebab Jason asyik mengeluh.

Manimala : Usahlah awak menyindir saya.

Usahlah ialah kata perintah yang bertujuan menimbulkan sesuatu tindak balas
terhadap permintaan ( larangan ).

Manimala meminta agar Jason tidak menyindir dirinya.
Manimala mengingatkan Jason agar tidak menyindir dirinya.

Untuk pelajar tingkatan 4 Sains 1- sila buat soalan seterusnya. Saya yakin anda akan mampu menguasainya dalam jangka waktu yang singkat. "BM kacang"

PENULISAN CERPEN.

Karangan Respons Terbuka
Dimensi : Komsas
Jenis : Penulisan Cerpen.

Langkah-langkah sistematik untuk menulis cerpen dengan baik dijelaskan dalam Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 4. Sila rujuk kepada Tema 6 iaitu Riadah. Pada subtema iaitu bahagian 3 ( Hobi dan cabarannya ): Hal 149-153, diterangkan dengan terperinci proses penulisan cerpen iaitu :

A. Persediaan Sebelum Menulis Cerpen
- Mengenal pasti format cerpen
- Menganalisis format cerpen
- Mencari dan mendapatkan isi cerpen
- Merangka isi cerpen

B. Merangka isi Cerpen
- Membentuk watak dan perwatakan
- Membentuk latar cerpen
- Membentuk plot cerpen
- Membentuk dialog cerpen

C. Menulis draf cerpen

D. Memurnikan draf cerpen
- Menyemak isi draf
- Menyunting draf cerpen

Di dalamnya juga dijelaskan perkara-perkara berikut :
- Apakah cerpen
- Mengenal pasti struktur cerpen
- Menghuraikan perwatakan cerpen
- Menyatakan unsur cerpen
- pengaruh pancaindera dalam penulisan cerpen
- Plot cerpen
- Senarai semak penyuntingan cerpen
- Senarai semak isi cerpen

Buku teks Bahasa Melayu menjadi satu panduan yang cukup lengkap untuk menjadi panduan kepada pelajar dan guru pada peringkat SPM. Disarankan pelajar sentiasa merujuk kepada buku teks untuk memperoleh panduan bagi mempelajari Bahasa Melayu. Rakan guru digalakkan merujuk kepada Buku Panduan Guru yang disediakan untuk merangka aktiviti dalam proses P&P dalam kelas. Jangan terlalu bergantung kepada buku rujukan dan buku kerja yang anda sendiri tidak pasti kesahihan maklumatnya. Kita bertanggungjawab terhadap setiap kata-kata yang dikeluarkan daripada mulut kita ketika mengendalikan proses p&P di dalam bilik darjah. Bertanyalah kepada rakan guru yang lebih berpengalaman untuk mendapatkan maklumat berkaitan suatu perkara.

"BAHASA JIWA BANGSA"- Bersama Memartabatkan Bahasa Melayu di Malaysia.

Ahad, Februari 01, 2009

PPSMI mencabar bahasa Melayu sebagai tonggak tamadun

Tulisan :
Prof. Dr. Awang Sariyan
Profesor Akademi Pengajian Melayu, UM,
dan
Fakulti Pengajian Bahasa Asing
Beijing Foreign Studies University

Pendahuluan

Semua ahli bahasa, ahli falsafah, ahli sosiologi dan ahli psikologi dari zaman awal hingga kini sependapat bahawa bahasa merupakan cerminan kebudayaan dan tamadun sesuatu bangsa. Tamadun Barat yang dirintis oleh bangsa Yunani sejak lima atau enam abad sebelum Masihi tumbuh dan berkembang sehingga menjadi teras kebudayaan Barat melalui kekuatan bahasa Yunani. Demikianlah kemudian kebudayaan dan tamadun Barat ditunjang oleh bahasa Latin, bahasa Perancis dan kemudian oleh bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa Eropah yang lain. Tamadun Islam pun dengan jelas bertunjangkan keutuhan bahasa Arab, khususnya sesudah bahasa itu menjadi bahasa al-Qur`an dan bahasa Islam.

Bahasa Melayu sebagai Tunjang Tamadun

Bahasa Melayu sebagai asas utama kebudayaan Melayu dan kebudayaan negara telah mula berperanan sebagai bahasa kebudayaan dan tamadun selewat-lewatnya pada abad ketujuh, iaitu pada zaman kerajaan Sriwijaya dan kemudian secara lebih nyata dan luas dalam zaman kesultanan Melayu. Dalam zaman Sriwijaya, bahasa Melayu telah menjadi tunjang tamadun sekurang-kurangnya dalam tiga aspek utama, iaitu sebagai bahasa pentadbiran kerajaan, bahasa pengembangan agama Buddha dan bahasa perdagangan. Dalam zaman kesultanan Melayu pula, bahasa Melayu telah menjadi wahana seluruh aspek kehidupan bertamadun, baik dalam bidang pentadbiran, undang-undang, ilmu, keagamaan, susastera, perdagangan, mahupun hubungan diplomatik.

Selain menjadi bahasa kerajaan-kerajaan Melayu yang meliputi Kepulauan Melayu, bahasa tersebut turut menjadi bahasa antarbangsa apabila bahasa itu digunakan dalam surat-menyurat dan perjanjian antara kerajaan Melayu dengan kerajaan asing, terutama dari Eropah. Malah sejarah mencatat bahawa bahasa Melayu menjadi lingua franca atau bahasa perhubungan umum antara masyarakat di alam Melayu dengan para pedagang, pendakwah dan golongan lain yang berurusan di rantau ini.

Apabila konsep negara baharu hendak diwujudkan bagi Persekutuan Tanah Melayu sesudah dimerdekakan oleh penjajah Inggeris, bahasa Melayu menjadi salah satu tunjang konsep kenegaraan, iaitu dengan peranannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi serta bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Maka wujudlah dasar negara yang dikenal sebagai Dasar Bahasa Kebangsaan. Itulah peranan bahasa Melayu yang selama hampir setengah abad dipupuk dan diupayakan menjadi salah satu asas pembinaan dan peneguhan konsep negara bangsa.

Cabaran kepada Bahasa Melayu

Dalam proses itu, tidak jarang dan tidak kurang ujian yang melanda bahasa Melayu sebagai teras tamadun bangsa dan negara, sama ada yang berpunca daripada sikap kalangan yang tidak yakin akan kemampuan bahasa itu sebagai bahasa ilmu, bahasa sains dan teknologi atau yang berakibat daripada kalangan yang jiwanya telah tertawan oleh segala yang unggul daripada kebudayaan Barat. Kalangan anglophile ini amat taksub akan segala nilai dan seluruh aspek kebudayaan Barat, termasuk bahasanya. Bagi mereka, bangsa dan negara tidak akan maju tanpa berteraskan kebudayaan yang telah menawan jiwa mereka itu. Wujudnya kalangan itu dapat difahami apabila kita membaca huraian Ibnu Khaldun, Malek Ben Nabi, Syed Muhammad Naquib al-Attas dan pemikir Islam yang lain.

Bahasa Melayu yang telah lebih satu alaf menjadi wahana tamadun di rantau ini digerhanakan, mula-mula oleh penjajah yang meletakkan bahasa itu setaraf dengan bahasa vernakular Cina dan Tamil apabila bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar sekolah vernakular Melayu, jauh lebih rendah daripada bahasa Inggeris yang menjadi bahasa penghantar sekolah elit. Sesudah negara kita bebas daripada penjajahan, nasib bahasa Melayu digerhanakan pula oleh pihak-pihak tertentu daripada kalangan sebilangan kita sendiri. Malah amat malang halnya kerana antara yang menggerhanakan bahasa Melayu ialah sejumlah orang Melayu sendiri. Inilah bahayanya apabila kita kehilangan “makna diri” kita sebagai bangsa Melayu sehingga sanggup meremehkan tunjang kebudayaan dan tamadun yang penting, iaitu bahasanya sendiri.

Saya telah merumuskan kegerhanaan dan penggerhanaan bahasa Melayu dalam beberapa wacana (seminar, kongres, persidangan dan juga tulisan) dalam dua aspek utama, iaitu aspek taraf dan mutu bahasa Melayu.

Kemerosotan dalam aspek taraf bermaksud penyempitan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undang, iaitu Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan mutakhir ini ternyata bukan semakin meluas tetapi kian mengecil. Apabila subjek-subjek yang berteraskan sains dan matematik diputuskan diajarkan dalam bahasa Inggeris (sehingga unjurannya menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Inggeris sehingga akan mencapai 80% dalam sistem pendidikan negara), misalnya, kita pasti tidak dapat memenuhi aspirasi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara, sebagaimana yang telah diputuskan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat, terutama yang bertanggangjawab dalam bidang rasmi penggunaan bahasa Melayu, terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan (yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah linguistiknya percampuran kod, bahasa sms, bahasa sembang di internet, dan sebagainya) dengan bahasa yang baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra sebagai bahasa budaya tinggi. Demikian juga, semakin tidak nyata semangat cinta dan hormat kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri negara apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan, termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan nama berdasarkan bahasa asing (misalnya pada suatu waktu dahulu kota pentadbiran negara Putrajaya dicemarkan oleh keghairahan Perbadanan Putrajaya menggunakan precinct, parcel dan boulevard untuk penamaan jalan dan kawasan).

Senario kini tentang kedudukan bahasa Melayu menunjukkan kian kurang terbudayanya bahasa Melayu dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat, khususnya dalam konteks yang fungsional, iaitu yang berkaitan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Senario itu tergambar pada beberapa perkara yang berikut:

1. Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi seperti mesyuarat, pekeliling, majlis rasmi dan sebagainya yang masih tidak mengutamakan bahasa Melayu seperti yang ditafsirkan sebagai “bahasa rasmi” dalam Perlembagaan.

2. Tidak tegasnya dan tidak selarasnya penguatkuasaan penggunaan bahasa dalam sektor tertentu seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di tempat awam (melibatkan pihak berkuasa tempatan), penyiaran (melibatkan Kementerian Penerangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia).

3. Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan, seperti pengajaran subjek-subjek berasaskan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah, peningkatan dan peluasan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar kursus di IPTA dan juga pengecualian pengajaran di IPTS dalam bahasa asing serta pengecualian pengajaran bahasa Melayu sebagai subjek wajib.

4. Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang kadang kala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat (pemimpin, profesional dan orang awam) untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu.

5. Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berkolerasi dengan taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, sementara bahasa Inggeris dianggap menjadi kayu ukur taraf sosial dan pendidikan serta menjanjikan pulangan ekonomi, misalnya dalam hal peluang pekerjaan. Jika bahasa Melayu digunakan pula, masih besar jumlah anggota masyarakat, termasuk golongan yang berpengaruh yang menggunakannya pada tahap mutu bahasa yang tidak begitu mencerminkan budaya tinggi.

6. Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu turut mengurangkan perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada bahasa Melayu. Sebagai contoh, dalam pada DBP mengusahakan pelibatan sektor swasta menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (menurut laporan The Star pada 1 Januari 2004) membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan lagi pada papan perniagaan dan iklan. Seorang menteri kanan pula, yang pada waktu itu menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa, melalui media juga, mengajak masyarakat mengabaikan pejuang bahasa yang didakwanya berfikiran sempit, lalu menyeru agar digiatkan usaha meluaskan penggunaan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan. Dengan tidak segan-silu dan berasa hormat kepada salah satu asas kenegaraan, iaitu bahasa kebangsaan, ia mengisytiharkan bahawa urusan di kementeriannya kebanyakannya dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Inggeris.

Cabaran Khusus dalam Bidang Pendidikan: Musibah PPSMI

Secara khusus, dalam sistem pendidikan, telah berlaku penurunan martabat dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu apabila dilakukan tindakan yang jelas untuk mengurangkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan, iaitu dasar yang diasaskan pada Penyata Razak 1956. Pada tahun 1993, Perdana Menteri pada waktu itu, Dr. Mahathir Mohamad membuat pengisytiharan bahawa semua kuliah sains dan tekonologi di universiti hendaklah disampaikan dalam bahasa Inggeris. Keputusannya itu bertentangan dengan pendiriannya pada awal tahun 1970-an ketika menjadi Pengerusi Majlis Universiti Kebangsaan yang dengan tegas menyatakan bahawa bahasa Melayu mestilah dijadikan bahasa penghantar utama untuk semua kursus di universiti.

Pada waktu itu, kumpulan-kumpulan cendekiawan yang faham dan masih kental semangat kebangsaannya mengadakan pertemuan demi pertemuan dan gerakan menasihati kerajaan agar tidak melaksanakan keputusan Perdana Menteri. Sebahagian besar memorandum, resolusi dan pernyataan serta makalah yang membantah keputusan telah diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia pada tahun 1996 dalam buku yang berjudul Manifesto Budaya: Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa, dengan Allahyarham Asraf sebagai editornya. Kebetulan ketika itu masih ada tenaga unggul dalam kepemimpinan negara yang menjadi penaung kepada gerakan kebangsaan sehingga akhirnya keputusan itu senyap begitu sahaja.

Tidak sampai 10 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2002, Perdana Menteri yang sama membuat pengumuman bahawa mata pelajaran sains dan matematik di sekolah akan diajarkan dalam bahasa Inggeris pada tahun berikutnya, iaitu tahun 2003. Inilah rasanya kali pertama dalam sejarah negara ini satu dasar baru yang merombak dasar selama puluhan tahun dilaksanakan dalam tempoh yang cukup singkat, iaitu satu tahun. Orang yang tidak lupa kepada sejarah dasar dan sistem pendidikan di negara ini tentu masih ingat bahawa dasar pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan yang digagaskan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 dan kemudian diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 hingga diterapkan dalam Akta Pelajaran 1961, baru dilaksanakan dengan pesat pada tahun 1970 apabila Abdul Rahman Ya`kub (Tun Datuk Patinggi) menjadi Menteri Pelajaran. Ertinya untuk pelaksanaan dasar yang menjadi acuan pembentukan generasi baru yang bersatu padu dan memperoleh ilmu serta sistem nilai melalui satu bahasa kebangsaan hanya dapat dimulakan berbelas-belas tahun kemudian.

Kemudian apabila kerajaan mendapati perlunya sistem pendidikan yang menekanakan pembinaan manusiawi, maka Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir Mohamad sebagai Menteri Pelajaran ketika itu membuat kajian dan menerbitkan kajian itu pada tahun 1979. Sebagai hasil rumusan dan syor jawatankuasa tersebut, dirancang pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Ternyata bahawa pelaksanaan dasar dan sistem baharu itu mengambil waktu lapan tahun kerana hanya dilaksanakan pada tahun 1988 sesudah melalui kajian demi kajian, projek rintiss dan penyempurnaan prasarana.

Setelah terlaksana Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama selama kira-kira 30 tahun, dengan kejayaan melahirkan tidak kurang 5.4 juta lepasan di peringkat SPM yang sebahagiannya kemudian melanjutkan pengajian di peringkat tinggi dan menjadi tenaga penggerak pembangunan negara dalam pelbagai bidang, dilakukan perubahan yang cukup drastik. Tiada kajian yang dijalankan dan tiada perundingan yang dilakukan dengan pakar-pakar pendidikan. Bahkan tiada sama sekali dilakukan cuba uji melalui projek rintis di sejumlah sekolah seperti yang lazimnya dilakukan dalam pelaksanaan mana-mana sistem yang baharu.

Seminar, forum, dialog, memorandum dan pernyataan media yang mengemukakan bantahan atau sekurang-kurangnya permintaan agar ditangguhkan pelaksanaan dasar baharu itu hampir-hampir tidak diendahkan. Resolusi Kongres Pendidikan Melayu Kedua pada 26 – 27 Mac 2005 yang mendesak ditangguhkan pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dipandang sepi, malah beberapa hari sesudah tamat kongres itu, Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri mengumumkan bahawa dasar itu diteruskan, walaupun dalam ucapan penutupan kongres beliau berjanji bahawa kerajaan akan membuat kajian yang mendalam untuk menimbangkan keputusan meneruskan atau menangguhkan dasar baharu itu. Sejarah baharu telah berlaku di negara ini sekali lagi apabila “kajian mendalam” selesai dalam tempoh tiga hari!

Yang bangkit bersuara orang-orang yang sama, yang telah dianggap fanatik, ekstrem, jumud dan pernah didakwa pengkhianat, kerana kononnya menghalang anak bangsa menjadi pandai dan menghalang anak bangsa menguasai bahasa asing. Untunglah masih ada dalam kalangan UMNO yang prihatin akan peranan bahasa Melayu dalam pembinaan tamadun bangsa dan negara. Resolusi Badan Perhubungan UMNO Johor dalam Konvensyen UMNO Johor pada penghujung bulan Oktober tahun 2006 meminta disemak dasar meritokrasi dan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Sayangnya suara UMNO Johor itu tidak mendapat perhatian daripada UMNO pusat dan ironis pula halnya kerana yang melaksanakan PPSMI ialah menteri yang datang dari Johor! Demikianlah resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-7 (6-8 November 2006) yang turut mendesak dikaji dasar pelaksanaan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris pun ditolak dengan kenyataan tegas pemimpin negara bahawa dasar tersebut tetap diteruskan.

Beberapa kajian ilmiah peringkat sarjana dan kajian institusi serta individu tertentu menunjukkan bahawa pelaksanan dasar baharu itu membawa bencana dan padah yang bukan kecil. Implikasi negatif yang cukup segera dirasakan daripada pelaksanaan bahasa Inggeris dalam pengajaran sains dan matematik, terutama oleh anak-anak di luar bandar yang majoritinya orang Melayu ialah gangguan dalam penguasaan ilmu sains dan matematik disebabkan oleh faktor penggunaan bahasa asing. Pelajar mengalami masalah kerana terpaksa memindahkan konsep-konsep sains dan matematik daripada bahasa asing ke dalam bahasa ibundanya dalam keadaan pelajar tidak atau belum menguasai bahasa asing itu.

Bilangan pelajar yang terlibat dengan pelaksanaan dasar pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris sehingga tahun 2004 ialah 1.88 juta orang dan menjelang 2010 dijangka jumlahnya menjangkau 2 juta orang. Jika sekalipun 50% daripada mereka yang tinggal di kawasan bandar dianggap menguasai bahasa Inggeris, namun terdapat hampir 1 juta (0.94 juta), terutama pelajar di luar bandar yang menghadapi masalah pemelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hakikat yang penting ialah bahawa golongan pelajar yang paling banyak menjadi mangsa daripada pelaksanaan dasar tersebut terdiri daripada anak-anak bangsa Melayu.

Kajian yang dijalankan oleh pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Nor Hashimah Jalaluddin (2004) menunjukkan ketidaksediaan pelajar belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggerus. Kenyataan tersebut tergambar pada dapatan kajian bahawa 75% pelajar tidak setuju sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris, 77% setuju bahawa bahasa Melayu mampu menyampaikan sains dan matematik dengan berkesan, 71% meminati sains dan matematik kerana diajarkan dalam bahasa Melayu, 70% yakin akan cemerlang dalam sains dan matematik jika diajarkan dalam bahasa Melayu. Kajian DBP-UKM pada tahun 2004 tentang persepsi pelajar menunjukkan bahawa amat rendah tahap kesediaan pelajar untuk menerima pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kesediaan mereka belajar sains dan matemtik sepenuhnya dalam bahasa Inggeris hanya 5.9% (untuk sains) dan 5% (untuk matematik).

Yang lebih malang lagi, kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM (2004) menunjukkan penurunan prestasi yang cukup mencemaskan dalam kalangan pelajar yang terlibat dalam mata pelajaran sains, matematik, bahasa Inggeris dan bahkan bahasa Melayu. Dalam Peperiksaan Pertengahan Tahun Tingkatan 2 pada tahun pengajian 2004 (pelajar yang mula belajar sains dan matematik di tingkatan 1 pada tahun 2003 dalam bahasa Inggeris), peratus pelajar yang mendapat gred cemerlang (gred A) bagi mata pelajaran sains hanya 11.9% dan bagi mata pelajaran matematik hanya 16.9%. Hampir separuh daripada sampel yang dikaji (45.49%) mendapat gred gagal dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. Bagi mata pelajaran bahasa Inggeris pula, hanya 10.4% yang mencapai gred A. Malang sekali apabila yang mencapai gred A dalam mata pelajaran bahasa Melayu hanya 18.7% dan 16.7% malahan gagal (mendapat gred E). Kejatuhan prestasi dalam mata pelajaran bahasa Melayu itu barangkali disebabkan kekeliruan yang terjadi pada guru dan juga pelajar dalam tempoh peralihan yang mengejut pelaksanaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik.

Pihak yang sangat penting dalam pelaksanaan dasar tersebut, iaitu guru sendiri menghadapi masalah yang amat besar. Daripada sejumlah 181,340 orang guru di sekolah rendah pada tahun 2004, dianggarkan kira-kira 80,000 orang terlibat dalam pengajaran sains dan matematik dan semuanya terlatih dalam bahasa Melayu yang dijadikan bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara sejak tahun 1970. Dengan pelaksanaan dasar tersebut secara mendadak, dapat dipastikan berlakunya masalah pengajaran yang dihadapi oleh guru-guru. Kajian yang dijalankan oleh DBP-UKM pada tahun 2004 di 242 buah sekolah menengah di seluruh negara menunjukkan bahawa guru tidak mempunyai kesediaan untuk mengajarkan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Hanya 54.7% guru sains dan 62.2% guru matematik yang mampu menerangkan konsep sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Kajian Norhashimah Jalaluddin yang dijalankan pada tahun 2004 dengan jelas menunjukkan bahawa 81% guru mahu sains dan matematik diajarkan dalam bahasa Melayu, 72% mengatakan bahawa pencapaian pelajar dalam sains da matematik akan lebih cemerlang jika diajarkan dalam bahasa Melayu, dan 79% berpendapat bahawa pelajar lebih dapat menumpukan perhatian jika kedua-dua mata pelajaran itu diajarkan dalam bahasa Melayu.

Kini peribahasa “lulus jarum luluslah kelindan” sudah mula berlaku di Institut Pengajian Tinggi Awam apabila semua universiti kerajaan telah mula melaksanakan dasar ke arah pengajaran subjek-subjek sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, sebagai suatu kesinambungan yang logis daripada dasar yang dilaksanakan di peringkat sekolah. Universiti seakan-akan tiada pilihan lain kerana pelanggan yang diterima merupakan mereka yang telah dilatih dalam bahasa Inggeris.

Kesan Buruk PPSMI

Akhirnya, sebagaimana yang dirumuskan oleh Kumpulan Prihatian (2005), kita akan menyaksikan kesan-kesan yang berikut daripada penarikan semula dasar bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama:

1. Akibat kepada Bahasa Melayu - Proses menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu dan bahasa moden akan terhenti. Sebaliknya bahasa Melayu akan terperosok sebagai bahasa pasar sahaja. Istilah yang telah dicipta yang telah mencecah satu juta untuk ratusan bidang ilmu, termasuk ilmu terkini seperti aeroangkasa, tidak akan digunakan dan istilah baharu tidak ada keperluannya untuk dicipta lagi. Buku dalam bidang sains, perubatan, ekonomi, perniagaan dan teknologi tidak akan diterbitkan dalam bahasa Melayu kerana tidak akan ada lagi pembacanya. Kedudukan bahasa Melayu dalam semua bidang, terutama dalam bidang ilmu dan perniagaan di negara bertuah Malaysia ini akan jatuh ke nombor tiga di bawah bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin.

Amatlah mencemaskan bahawa pada satu waktu kelak bahasa Melayu hanya menjadi bahasa penghantar bagi kira-kira 20% sahaja, iaitu bagi mata pelajaran yang bukan tergolong dalam sains dan teknologi. Selalu dihujahkan bahawa perubahan ini hanya bagi dua mata pelajaran sahaja. Hakikatnya jauh berbeda.Yang berikut ini ialah unjuran yang dapat dirumuskan daripada perancangan yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran:

- Sekolah Rendah: BM 60%; BI 40%

- Sekolah Menengah:

Tingkatan 3: BM 62%; BI 38%
Tingkatan 4 & 5 Sastera: BM 56%; BI 44%
Tingkatan 4 & 5 Sains: BM 36%; BI 64%
Tingkatan 4 & 5 Biologi: BM 33%; BI 67%
Tingkatan 4 & 5 Reka Cipta: 32%; BI 68%
Tingkatan 4 Akaun: BM 47%; BI 53%

SPM: BM 29%; BI 71%

Tingkatan 6 Sastera: BM 60%; BI 40%
Tingkatan 6 Sains dan Matrikulasi: BM 20%; BI 80%

- Peringkat Universiti:

BM: Kursus Sastera dan Pengajian Islam; BI: Semua kursus lain

(Catatan: Malah ada kursus sastera di universiti tertentu yang wajib dikuliahkan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris. Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya sendiri pada tahun 2007 telah diarahkan memulakan pengajaran 30% peratus dalam bahasa Inggeris sehingga akhirnya mencapai 70% dari tahun ke tahun, tetapi syukurlah dengan perjuangan kepimpinannya arahan itu dapat dihindarkan, tetapi soalnya sampai bila kita perlu memerangi sikap karut seperti itu.)

2. Akibat kepada Pelajar Melayu - Kesannya kepada pelajar, terutama pelajar Melayu daripada sudut penguasaan ilmu sains dan matematik buruk sekali. Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang masih belum mempunyai kemahiran kecekapan bahasa yang asas akan menghadapi masalah untuk membaca buku teks, berdailog, berdebat dan memberikan gerak balas bertulis dalam ujian dan peperiksaan. Inilah masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar-pelajar Melayu kini. Masalah ini tidak dapat diselesaikan dengan hanya menuding jari kepada pelajar dan guru bahawa mereka mahu mencari jalan mudah. Belum terbukti di mana-mana pun alat teknologi mampu menggantikan guru di bilik darjah. Yang perlu diingat, wajarkah kita memperjudikan nasib masa depan anak bangsa kita dengan menggunakan kaedah yang belum terbukti berhasil di mana-mana di muka bumi ini? Seorang bernama Steven Lee telah membangkitkan hal ini dalam Berita Harian 19 April 2005 bertajuk, “Pendekatan Pembelajaran Bukan Boleh ‘Dicuba-cuba’”.

3. Akibat kepada Media Massa Berbahasa Melayu
Pada tahun 1960-an dahulu tulisan Jawi dikeluarkan daripada bilik darjah. Sebagai akibatnya, hari ini sebahagian besar orang Melayu buta Jawi. Akhbar Utusan Melayu yang asalnya dalam tulisan Jawi dahulu menjadi lidah dan alat perjuangan bangsa Melayu. Tulisan Jawi menjadi hina apabila akhbar Utusan Melayu terpaksa ditutup dan kemudian diselamatkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan dijadikan sisipan dalam akhbar Utusan Malaysia pada setiap hari Isnin. Lambat-laun akhbar berbahasa Melayu tidak lagi mampu menjadi wadah ilmu, pemikiran dan penyatuan umat Melayu. Inilah yang besar kemungkinannya akan berlaku kepada media berbahasa Melayu 20 tahun dari sekarang. Akhbar Melayu tidak akan lagi memuatkan ruangan teknologi, kesihatan, ekonomi, perniagaan, komputer dan lain-lain kerana tidak akan ada pembacanya. Pembaca akhbar nanti tidak lagi menguasai istilah dalam bidang-bidang ini dalam bahasa Melayu. Dapatkah akhbar hidup tanpa ruangan ekonomi, perniagaan, kesihatan, sains, teknologi dan sebagainya?

Pada hari ini pun, di negara Malaysia yang majoritinya bangsa Melayu dan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, edaran akhbar terbesar berbahasa Melayu jatuh ke nombor tiga di bawah akhbar berbahasa Mandarin dan Inggeris. Bayangkan 10 tahun dari sekarang akibat penukaran bahasa penghantar 80% mata pelajaran di sekolah ke dalam bahasa Inggeris.

Penutup

Kos budaya, pendidikan dan politik bagi penyelewengan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan ini terlalu menggerunkan untuk diabaikan. Apa yang dikatakan sebagai perubahan bahasa penghantar dua mata pelajaran sahaja sebenarnya akan membawa malatpetaka kepada bangsa Melayu. Mampukah bahasa Melayu bertahan sebagai tunjang kebudayaan dan tamadun apabila secara jelas peranannya kian dihakis dan dipinggirkan dalam bidang-bidang kehidupan bertamadun di negara ini? Adakah sanggup kita membayangkan bahawa pada suatu waktu kelak anak cucu bangsa Melayu terpaksa menangisi hikmah yang hilang – hikmah dalam bentuk bahasa, sastera dan budayanya, sebagaimana yang dialami oleh diaspora Melayu di Thailand selatan, di Filipina selatan, di Sri Lanka, di Kampuchea dan di tempat lain? Kita yang membayangkan rasa cemas sedemikian pasti dicap pesimistik, tetapi apatah ruginya kita berhemah dan berhubaya-hubaya agar tidak tertimpa kepada kita nasib ”Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.”

Dipetik daripada : Blog Prof Abdullah Hassan
http://profabdullah1.wordpress.com/

Template by:
Free Blog Templates